Pasangan pengantin baru bakal diraikan malam ini di i-City, Shah Alam
MEREKA satu kepala dan gila-gila. Disebabkan keserasian dua hati itulah, artis komedi popular, Ahmad Nabil Ahmad, 28, tidak mengambil masa yang panjang untuk menyunting Nazirah Ayub, 23, sebagai suri hidupnya.
Ketika ini, hati Nabil berbunga bahagia sekali. Manakan tidak, impian bergelar suami kepada buah hatinya sudah terlaksana. Pasangan itu mengakhiri hubungan cinta mereka dengan ikatan perkahwinan Jumaat lalu.
Selepas lebih sembilan bulan menyulam cinta, Nabil dan Nazirah disatukan dalam ikatan sah sebagai suami isteri. Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya menjadi saksi cinta mereka bersatu.
Walaupun enam tahun saling mengenali, perasaan cinta antara mereka hanya berputik selepas bertemu awal tahun lalu. Ketika itu, Nabil kembali hidup solo selepas putus cinta. Usah diungkit kisah lalu, juara Raja Lawak musim kedua itu mahu membina hidup baru bersama isteri tersayang.
Bagi Nazirah, dia enggan ambil pusing dengan cerita silam yang pernah membelenggu diri suaminya, sebaliknya menerima Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 itu seadanya.
“Saya menerima Nabil seorang yang baru. Bagi saya, golongan artis tidak boleh lari daripada kontroversi. Saya menerima Nabil seadanya. Bagaimanapun, usahlah diungkit kisah lama kerana ia sudah jadi sejarah. Setiap insan punya kisah silam,” katanya ketika ditemui di Butik Wazira Collections, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor pada Selasa lalu.
Pereka Wazira Zainal daripada Butik Wazira Collections menjadi pilihan Nabil dan Nazirah untuk rekaan pakaian baju nikah dan majlis resepsi.
Malam ini (Ahad) menyaksikan Nabil dan Nazirah bersanding di atas pelamin dikelilingi pohon berlampu di i-City Shah Alam. Buat pertama kalinya lokasi berkenaan dipilih golongan selebriti untuk majlis perkahwinan. Memilih tema `wonderland wedding’, i-City Shah Alam adalah pilihan yang tepat.
Dengan bantuan penasihat perkahwinan, Nor Sharlina Abdul Rashid yang juga penganjur Festival Pengantin Malaysia, Nabil dan Nazirah dapat merealisasikan impian mereka meraikan tetamu dengan konsep santai. Kad jemputan mereka berbeza apabila menampilkan konsep buku cerita kisah dongeng dan kartun. Selain itu, tetamu yang hadir pada majlis resepsi akan menerima hadiah istimewa iaitu permainan berkonsep ular sawa yang menceritakan perjalanan seni Nabil selama empat tahun.
Selain mengundang 2,500 tetamu, Nabil tidak melupakan anak-anak yatim. Hampir 100 anak-anak yatim dari Seremban akan bersama-sama meraikan majlis bersejarah dalam hidupnya itu.
Nazirah berkata, selain kelakar dan berperangai gila-gila, Nabil juga seorang insan yang cukup menyenangkan. “Hati saya bahagia dan gembira apabila berada di sisinya. Nabil seorang yang cerdik. Cerdik apabila bercakap dan mempunyai perancangan masa depan.
“Bagaimanapun, saya cukup terharu dengan sikap ambil berat dan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Saya mengenali Nabil ketika berusia 18 tahun. Nabil rapat dengan keluarga saya terutama bapa, Ayub Hassan, 60, dan abang ipar, Hafizul Yusof, 27. Memang kami bertemu setiap tahun apabila Aidilfitri, tetapi kami tidak pernah berbual panjang, sekadar menegur. Bagaimanapun pertemuan ketika majlis tahlil awal tahun ini membuka pintu hati kami untuk mengenali lebih rapat. Hubungan kami bertambah rapat ketika program Maharaja Lawak. Saya sering berkongsi idea dengannya.
“Dan Nabil melamar saya selepas itu. Saya ingatkan Nabil `main-main’ kerana dia suka buat lawak, rupa-rupanya dalam gurauan ada seriusnya mengajak saya berkahwin. Saya tiada halangan kerana Nabil rapat dengan keluarga, malah saya akui bapa dan adik ipar saya lebih mengenali Nabil berbanding saya,” katanya yang berwajah iras Nora Danish.
Nabil berkata, Nazirah hadir mengisi kekosongan hidupnya. Walaupun Nazirah bukan cinta pertamanya, tetapi Nazirah adalah insan yang terlalu istimewa. Selain menerima dia seadanya, Nazirah cukup memahami.
“Saya mungkin boleh pilih gadis yang lebih cantik dan ada kerjaya tetapi akhirnya menyusahkan saya semula buat apa? Nazirah, seorang yang sederhana dan menyenangkan. Paling penting, dia menghormati ibu bapa dan keluarga saya. Saya tertarik dengan Nazirah kerana sifatnya yang pandai membawa diri dan bergaul dengan keluarga dan rakan saya.
“Kami mempunyai minat yang sama, saya suka menunggang motosikal, Nazirah juga begitu. Kami punya banyak persamaan. Alhamdulillah, akhirnya jodoh saya diperkenankan Tuhan. Insya-Allah, saya akan membawa isteri, ibu bapa dan keluarga mentua menunaikan umrah hujung tahun ini. Itulah bulan madu kami (berseloroh),” katanya yang memilih penyanyi Jaclyn Victor menjadi pengapitnya pada malam ini.
Selain Jaclyn, Nabil turut mengundang Datuk Siti Nurhaliza, Black, Didie Alias, Amyza Aznan, Kumpulan Sepah, Zizan, Johan, Along, Angah dan ramai lagi untuk memeriahkan majlis resepsinya.
