Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Maher Zain tiada yang baharu

BAGI yang pertama kali menonton persembahan Maher Zain, pasti teruja sewaktu menonton konsert Maher Zain 'Forgive Me' Live di Malaysia 2012, 16 Jun lalu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Berbeza pula pandangan mereka yang pernah menonton persembahannya sebelum ini kerana sudah empat kali dia mengadakan konsert di sini. Kali pertama di Stadium Malawati, Shah Alam, Februari 2011, diikuti di Stadium Perak, Disember tahun lalu dan di Stadium Perpaduan Sarawak. Tidak ada bezanya menonton persembahan Maher dahulu dan sekarang. Apa yang membezakan persembahannya di Stadium Merdeka dengan di Stadium Malawati hanyalah himpunan lagu yang lebih banyak berbanding dulu. Dahulu ketika konsert pertama di sini, penyanyi kelahiran Lubnan yang dibesarkan di Sweden itu, baru tampil dengan satu album, Thank You Allah yang memuatkan 13 buah lagu. Lagu-lagu daripada album itu yang melonjak nama Maher antaranya, Insha Allah, For The Rest Of My Life dan Ya Nabi Salam Alayka. Kini dia sudah memiliki album kedua, Forgive Me, sudah tentulah Maher mahu mempromosi lagu-lagu daripada album terbaharunya ketika persembahan. Menonton persembahan Maher yang menyajikan 23 buah lagu tanpa henti itu, umpama memasang cakera padat (CD) sambil melakukan kerja-kerja rumah. Bezanya, apabila berada di stadium, penonton yang sanggup membayar harga tiket bernilai RM298, RM238, RM138 dan RM78 perlu mendengar dan tidak boleh berganjak dari tempat duduk masing-masing. Konsert anjuran Marctensia Concerts Sdn. Bhd. dan Awakening Records bersama Canon dan sokongan daripada Pelancongan Malaysia seakan tidak berjaya mencapai jumlah penonton yang diharapkan seramai 10,000. Melihat persembahan Maher dari segi kawalan vokal, penyanyi itu tidak ada masalah kerana dia mampu bertahan menyanyi dari pukul 9.20 malam hingga 11.20 malam. Cuma yang membuatkan persembahannya tampak sedikit cacat apabila dia kerap sangat menghulur mikrofon ke arah penonton apabila tiba bahagian korus. Mungkin niatnya ingin mengajak penonton menyanyi bersama tapi dari segi lain dapat dilihat bahawa dia ingin mencari 'nafas' kerana penat. Biar pun begitu, penonton yang terdiri daripada pelbagai usia kelihatan ceria kerana berpeluang mendendangkan lagu-lagu kesukaan mereka bersama penyanyi asal. Bagi peminat setia Maher, mereka mungkin tidak nampak kekurangan pada persembahan penyanyi tersebut, namun secara dasarnya dia hanyalah seorang penyanyi biasa. Tiada apa yang boleh dibanggakan kerana persembahannya yang diiringi oleh pemuzik daripada pelbagai negara itu tidak ada kemuncak. Biarpun namanya dikenali di banyak negara namun dia hanya layak dilabel sebagai seorang penyampai vokal atau penyanyi sahaja. Dia bukanlah seorang penyanyi serba boleh kerana ketika di pentas, Maher dilihat tidak mampu berkomunikasi baik dengan penonton. Hanya pada lagu ke lima, Freedom, baharu Maher membuka bicara dengan ungkapan Assalamualaikum kepada penonton. Melihat corak persembahan sebegitu, tidak dinafikan bukan semua penyanyi boleh menjadi penghibur, sebaliknya penyanyi begitu beruntung kerana lagu-lagu mereka popular. Konsert ini turut diserikan dengan penampilan Irfan Makki dan Raef.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails