Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Harapan tinggi Siti Nurhaliza

MEMANG tidak dinafikan, setiap kali penyanyi ini bakal melahirkan album baru, ia adalah sesuatu yang cukup dinanti-nantikan. Seiring dengan statusnya sebagai penyanyi nombor satu negara, pasti peminat setia meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk setiap album terbaharunya mencapai kepuasan maksimum. Album Transkripsi (2006) misalnya, dilihat sebagai album terbaik yang pernah dihasilkan oleh Datuk Siti Nurhaliza sepanjang 17 tahun bergelar seorang penyanyi. Bukan hanya kepada kekuatan vokal tetapi album studio ke-11 penyanyi itu juga memiliki lagu-lagu yang berkualiti dan meraih putaran tinggi di corong radio seperti Biarlah Rahsia, Destinasi Cinta dan Bila Harus Memilih. Lantaran itu, penyanyi yang mesra disapa Siti ini memberitahu, dia berazam untuk menghasilkan album terbaharunya setanding Transkripsi. "Memang bukan mudah untuk menerbitkan sebuah album. Saya akui ia adalah cabaran yang harus ditempuhi. Apatah lagi dalam zaman ini, lagu-lagu harus segar dan baharu seiring dengan edaran muzik semasa. "Saya cukup sedar Transkripsi telah meletakkan satu tanda aras baharu dalam karier saya. Malah sehingga kini, lagu-lagunya masih diminati. "Tetapi dalam soal ini, pelbagai perkara yang harus dipertimbangkan. Jika sesebuah album itu memiliki lagu-lagu yang berkualiti tetapi tidak mendapat perhatian stesen radio, memang sukar juga untuk dijual. "Aspek kualiti dan komersialisme merupakan dua elemen penting dalam memastikan kejayaan sesebuah album mahupun lagu itu. Itu amat saya titik beratkan setiap kali menghasilkan album baru," jelas Siti dalam nada optimis sewaktu ditemui di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini. Selain Transkripsi, juara Bintang HMI 1995 ini telah menghasilkan 14 buah album solo termasuk sebuah album Inggeris, All Your Love (2011) sejak bergelar penyanyi pada tahun 1996. Mengulas lanjut tentang penghasilan album ke-16 pula, Siti memberitahu ketika ini dia masih lagi dalam proses mencari material terbaik sebelum menjalani rakaman yang dijangka pada bulan Ramadan ini. Untuk itu, kata penyanyi yang menempa kemasyhuran menerusi lagu Jerat Percintaan dan Cindai ini mengalu-alukan semua komposer baik yang muda mahupun senior untuk menyumbangkan karya masing-masing. Malah Siti juga menyatakan kesediaannya untuk kembali bekerjasama dengan dua komposer popular, Adnan Abu Hassan dan Ajai yang sebelum ini cukup sinonim dengannya. "Sudah pasti, proses saringan tetap dilakukan untuk memilih karya yang benar-benar terbaik dan sesuai dengan konsep album. "Pengurus peribadi saya, Rozi Abdul Razak juga telah ke Bengkel Cipta Ekspres 2012 di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini untuk mendengar lagu-lagu yang dicipta. "Siapa tahu, jika ada yang berkenan dan sesuai, tidak mustahil untuk saya merakamkan lagu itu untuk album baharu nanti yang disasarkan berada di pasaran pada penghujung tahun ini," jelas pemegang rekod Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak 11 kali itu lagi. Jika ada artis yang lebih selesa untuk menghasilkan single bagi meneruskan jangka hayat mereka sebagai penyanyi, berlainan dengan Siti. Baginya, biarpun di dalam zaman kemeruduman industri muzik ketika ini, Siti tetap akan menghasilkan album penuh. Ternyata penyanyi berusia 33 tahun ini mempunyai pandangan sendiri berhubung perihal tersebut. "Jika dulu sebuah album penuh memuatkan 10 hingga 12 buah lagu tetapi dengan pasaran muzik ketika ini, lapan buah lagu sudah memadai. Jika ada rezeki, saya tidak kisah untuk menambahkan bilangan lagu. "Ini kerana ia akan dapat memanjangkan serta memantapkan lagi jangka hayat karier saya selain membantu dari segi tawaran persembahan pentas," katanya bersungguh.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails