Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pernah kerja kilang batu bata - Ebby Yus

SEBUT sahaja nama Ebby Yus, pasti ramai terbayang wajah pelawak ini yang sering bertutur loghat negeri kelahirannya, Negeri Sembilan. Mula melangkah dalam bidang seni pada 1983, pemilik nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 49, ini berhijrah ke ibu kota setelah tamat persekolahan di Sekolah Vokasional Ampangan, Seremban. Namun sebelum melangkah ke dunia seni, Ebby pernah bekerja di sebuah kilang memproses batu bata di Sentul, Kuala Lumpur. Itu kerja pertamanya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke ibu kota. "Saya kerja tidak lama hanya sekitar dua bulan sahaja. Kerja saya mudah hanya ambil batu bata dan masukkan ke dalam tempat pembakarannya. Panas memang panas tetapi bagi saya itu adalah perkara biasa. "Saya dapat upah RM10 sehari tetapi saya tak pernah dapat kumpul duit itu sebab saya habiskan kerana saya selalu keluar bersama-sama kawan-kawan pada sebelah malam. "Ketika itu saya tinggal menumpang di rumah kakak saya di Segambut. Tidak lama selepas itu baru saya menyertai satu sesi uji bakat Asas Tarian di Kompleks Budaya Negara (KBN)," jelasnya. Pelakon purba Menurut anak jati Padang Lebar, Batu Kikir ini, karier seninya bermula setelah berjaya menyertai uji bakat Asas Tarian tersebut dan banyak mendapat tawaran sebagai pelakon tambahan pada awal pembabitannya dalam dunia lakonan. "Saya ditawarkan untuk berlakon cerita purba seperti Bujang Permai, Keris Hitam Bersepuh Emas dan Pendekar Kundur dan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan saya dalam dunia lakonan ialah Allahyarham M. Osman. "M. Osman menawarkan watak utama kepada saya dalam drama Bujang Permai pada 1985. Kebetulan dia nak hero yang berkulit gelap, jadi dia terus ambil saya berlakon. "Selepas itu kebanyakannya saya berlakon dalam drama-drama pendekar, mungkin disebabkan saya ada sedikit kelebihan dalam persilatan maka saya juga agak laku ketika itu. "Semasa itu saya tidak tahu bakat saya dalam bidang komedi sehinggalah saya ditawarkan untuk berlakon dalam drama komedi pertama, Ala Mak Kahwinkan Aku, arahan Aziz M. Osman. "Selepas itu ramai yang mula menawarkan watak komedi kepada saya. Pada tahun 2000, saya mula serius memegang watak tersebut," katanya yang pernah popular dengan drama Gado-Gado. Kali pertama memegang watak komedi Ebby mengakui yang dia tidak selesa memandangkan dirinya bukan seorang pelawak. Namun apabila mendapat maklum balas yang memberansangkan daripada penonton dan rakan-rakan dia cuba memberanikan diri untuk terus membawakan watak sebegitu. "Dalam kehidupan sebenar saya bukanlah seorang yang suka melawak. Tapi apabila berlakon, saya perlu kelihatan seperti pelawak mengikut watak yang diberikan. "Bagi saya penghayatan dalam komedi patut dititikberatkan kerana kerjaya sebagai pelawak memang sukar. Sebab nak buat orang marah, senang namun untuk buat orang ketawa memang cukup payah. Tidak semua pelakon mampu untuk melakukannya," ujarnya. Nakal Mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya Ebby memberitahu bahawa dia seorang budak yang cukup nakal malah ketika sekolah rendah dia dikenali dengan sikap yang suka bergaduh. "Ramai orang cakap saya ini seorang budak yang tidak akan jadi 'orang'. Saya memang cukup nakal, suka bergaduh. Salah sikit terus bergaduh. "Masa kecil saya cukup suka buat benda yang bukan-bukan... curi buah, curi ayam. Biasalah saya budak kampung jadi itulah aktiviti yang saya buat dulu," ceritanya. Namun dia cukup meminati bidang persilatan sejak kecil malah sanggup mencari guru untuk mendalami ilmu persilatan yang cukup digemarinya itu. "Semasa di sekolah rendah lagi saya belajar silat. Saya belajar Silat Gayong melalui seorang guru yang dikenali sebagai Mat Janggut. "Disebabkan minat terhadap ilmu persilatan, di mana sahaja ada pertandingan silat saya pergi. Saya suka tengok seni dan aksi yang ada dalam silat. "Sehingga sekarang saya masih lagi pergi ke mana sahaja sekiranya ada pertandingan silat. Saya juga pernah belajar dengan salah seorang guru silat di Kok Lanas, Kelantan," jelasnya lagi. Bidang perniagaan Mengakui masih sibuk menerima pelbagai tawaran lakonan, kini aktiviti seni terpaksa dikurangkan untuk memberi komitmen kepada bidang perniagaan makanan yang diceburinya. Tidak pernah berhasrat untuk berundur dari bidang seni selepas terlibat tiga dekad lalu, perniagaan ini adalah percaturan Ebby untuk melebarkan kerjayanya dalam bidang yang lebih memberi jaminan. Mempertaruhkan Adam Lai Restaurant yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor sejak dua tahun lalu, dia turut memiliki empat lagi cawangan yang masing-masing terletak di Dataran Prima, Taman Sri Gombak dan Dataran Wangsa Melawati serta yang terbaharu, di Tingkat Lima, Menara Celcom Semarak, Kuala Lumpur. Berkonsepkan masakan Cina Muslim, Ebby berkongsi menguruskan perniagaan itu bersama-sama tiga rakannya, Muhammad Adam Lai Abdullah, Faizal Abdul Jabar dan Mohd Helmy Harun. "Alhamdulillah untuk tiga bulan pertama, sambutan sangat memberangsangkan. Kami cuba menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pengunjung. "Lebih 100 jenis menu ditawarkan kepada penggemar masakan Cina Muslim," katanya yang sebelum ini pernah memiliki sebuah restoran di Kampung Baru namun terpaksa ditutup kerana tiada sambutan. Terkini, selain daripada terkenal melalui rancangan Karoot Komedia, Ebby turut menjayakan beberapa telefilem yang masih lagi belum ditayangkan. Antara drama yang masih dalam proses penggambaran adalah Haji Tak Mabrul bagi tayangan Hari Raya Aidiladha nanti.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails