Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Suka cakap lepas - Sharifah Shakinah

MUNGKIN ramai mengatakan dia gila dan hanya ingin mengejar populariti murahan, namun ketahuilah itu semua bukan dibuat-buat kerana natijahnya itulah dirinya yang sebenar. Kebelakangan ini, nama Sharifah Sakinah, 25, semakin melonjak naik. Bukan disebabkan kerjaya lakonannya, namun disebabkan ‘kerja gila’ yang dia sering lakukan iaitu dengan memuat naik video dalam laman sosial sehingga menjadi viral. Ketika berpeluang menemu bual Sharifah Sakinah yang sememangnya mudah mesra dan ‘gila-gila’, diakui kadangkala sifat semula jadinya itu sering disalah erti oleh sesetengah pihak. “Saya buat itu semua sekadar suka-suka sahaja. Siapa kenal saya, mereka akan tahu perangai saya macam mana. “Saya tidak mahu hipokrit dan buat semua perkara atas sebab terpaksa," jelasnya memulakan perbualan. Pelakon yang senang disapa sebagai Kina ini tidak memandang semua kontroversi itu sebagai sesuatu yang mampu menjatuhkan kariernya. “Saya tidak rasa semua itu sebagai satu benda yang serius sebab saya tidak mengaibkan orang lain. “Saya rasa orang suka dengan apa yang saya buat, sebab kalau mereka tak suka, benda (klip video) ini tidak akan jadi viral macam apa yang diperlihatkan di media sosial. “Sekecoh-kecoh saya, tidaklah sampai tak tahu batasan. Saya tahu di mana had saya," tambahnya. Figura ini bagaimanapun bijak mengatur pendirian kerana prinsipnya hanya satu iaitu profesional. “Orang luar berpandangan saya tidak serius dan banyak main ketika sedang bekerja. Tapi itu semua hanya pandangan jahat mereka sahaja, saya sebenarnya seorang yang sangat komited dengan kerja. “Saya sama sahaja seperti orang biasa. Namun bila tiba waktu sesi penggambaran dan kerja-kerja yang melibatkan kerjaya, saya akan berubah jadi lebih profesional," tutur Kina yang ada sahaja perkara lucu yang diperkatakannya. Ketika ditebak soalan, adakah keluarga turut terkesan dengan perbuatan yang dilakukannya itu, dengan tenang Sakinah yang merupakan adik kepada pelakon Sharifah Haslinda dan Sharifah Shahira, tenang menjawab, keluarganya tidak melarang apa yang dilakukannya, asalkan dia tahu batas-batas pergaulan dan mengelakkan perkara yang boleh menconteng arang ke muka orang tuanya. “Banyak yang tanya kakak, kenapa saya buat video bodoh macam tu, kakak saya hanya menjawab, ‘biarlah dia’ kerana keluarga semua tahu saya tidak buat benda yang keterlaluan. “Lainlah kalau saya buat kerja mencuri atau ambil duit orang sewaktu sedang sibuk di set penggambaran, itu memanglah keluarga akan marah saya," jelasnya lagi menerangkan situasi sebenar. Mengaku dirinya punya karakter happy go lucky, Sakinah sedar bahawa sikapnya itu kadangkala membuatkan orang berasa tidak selesa untuk mendekati dirinya. Biarpun baru-baru ini, isu dia dengan sengaja mendedahkan perut di Instagram ditempelak hebat oleh para pengikutnya, dia tidak mudah melatah kerana tujuannya hanya mahu beri motivasi kepada umum. “Saya bukan saja-saja tayang perut. Saya tayang perut cuma untuk dijadikan model kepada peminat-peminat yang menyaksikannya supaya lebih bersemangat untuk menjadi cantik, kurus dan sihat. “Bukan senang sebenarnya hendak dapat perut yang kekal langsing, pandanglah ia dari sudut positif. Semua mahu hidup sihat dan ceria," ujarnya sambil berkata dia telah memadam semua gambar yang menayangkan perutnya itu kerana tidak mahu lagi dihimpit pelbagai kritikan negatif dari semua pihak. Ajak orang hidup sihat Dalam pada itu, ketika sedang asyik berbual, Sakinah turut berkongsi tentang program kecergasan Sakinah Fitness yang ditubuhkan untuk mereka yang ‘taksub’ kepada kesihatan. “Alhamdulillah, hobi yang pada mula sekadar suka-suka sahaja, kini sudah menjadi ikutan ramai orang. “Dulu waktu zaman saya di bangku sekolah, saya selalu pergi gimnasium milik kakak saya (Sharifah Haslinda) jadi dari situ saya sudah terbiasa bergaul dengan jurulatih di situ. “Secara tidak langsung saya sendiri jadi tahu tentang cara penjagaan dan senaman yang betul untuk memastikan kesihatan kita kekal sihat," jelasnya lagi. Sakinah juga akui, dia sering dijadikan tempat rujukan untuk bertanyakan soal cara pemakanan yang betul termasuklah cara senaman yang betul bagi mendapatkan tubuh badan menarik. “Benda ini semua tidak perlukan kelayakan pun, cuma kita perlu tahu mana satu yang betul dan perlu ikut langkah tepat. Dari situlah saya akan berkongsi ilmu yang saya ada kepada semua," katanya. Setakat ini Sakinah sudah mempunyai ramai pengikut baik di sekitar Kuala Lumpur dan juga di luar negara. “Kalau tidak terikat dengan jadual penggambaran, Sakinah sering ke Pulau Pinang sebab dekat sana lebih ramai permintaan. Sakinah akan ke sana bersama dengan pasukan Sakinah. Guna populariti “Kita turut akan ke tempat lain jika ada yang panggil dan dapat kumpulkan seramai 20 orang pun sudah memandai, pasti kami akan pergi. Kalau dapat lebih lagi bagus," ujarnya yang hanya mengenakan bayaran sebanyak RM20 hingga RM30 sahaja. Sakinah turut menegaskan bukanlah bayaran yang dipandangnya, cuma niatnya hanya untuk sama-sama berkongsi hobi yang sama kepada semua. “Duit itu pun untuk bayar jurugambar yang kami bawa sekali setiap kali program diadakan," tutur Sakinah yang turut terpilih menjadi sebahagian daripada jurucakap pakaian sukan Adidas. Di samping itu juga, Sakinah turut mengakui menggunakan popularitinya sebagai selebriti untuk menarik peminat dan orang ramai bagi menyertai kelas kecergasannya. Secara tidak langsung menurut Sakinah, menerusi cara itulah dia dapat menarik peminatnya dalam memberikan kesedaran tentang mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian. “Seperti yang saya katakan, tidak semua orang membenci saya. Sebab itulah saya gunakan populariti dengan cara yang betul, contohnya seperti galakkan mereka untuk ubah gaya hidup yang lebih sihat. “Setakat ini sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan ramai di antara mereka mula menunjukkan perubahan positif," jelasnya yang turut terharu dengan penglibatan selebriti terkenal seperti Fara Fauzana, Tasha Shila, Nad Zainal dan Marsha yang turut hadir di setiap program yang dianjurkan olehnya. Selain itu juga, dia turut mengusahakan pusat senaman dan kecergasan dan menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar di MuayFit yang terletak di Damansara Perdana. “Pusat senaman ini dibuka setiap hari daripada pukul 10 pagi hingga 10 malam. “Banyak jenis senaman dan rutin kecergasan ditawarkan di sini. Untuk slot saya pula, saya akan berada di sana setiap hari Ahad dari pukul 10.30 pagi," katanya yang mengajar kelas Zumba dan Body Pump.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails