Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Haiza. Show all posts
Showing posts with label Haiza. Show all posts

Haiza Harap Lagu Rayanya Tidak Jadi Mangsa Diskriminasi

Penyanyi dan penyampai radio Best FM, Haiza berharap lagu raya baharunya berjudul Ini Baru Raya dimainkan oleh semua stesen radio tempatan pada Hari Raya Aidilfitri ini tanpa sebarang dikriminasi. Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 35, berkata, dia mahu stesen radio memandangnya daripada sudut seorang penyanyi dan bukannya sebagai penyampai radio di stesen radio pesaing. "Saya harap lagu ini diterima dan dimainkan di semua stesen radio tempatan. Kalau boleh lihat saya sebagai seorang penyanyi dan bukan penyampai radio. "Saya ini masih baru dan tidak langsung memberi pesaingan kepada mana-mana stesen radio jika dibandingkan dengan penyampai di stesen radio lain. Lagi pula ini adalah lagu raya dan didengar setahun sekali sahaja," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini Isnin.
Haiza menyertai stesen radio Best FM bermula pada Februari lalu. Haiza berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lagu raya baharunya duet bersama penyanyi Fazli Zainal berjudul Ini Baru Raya ciptaan Anuar Razak (Revolvers). Kata Haiza, dia mula mendengar dan tertarik dengan lagu tersebut ketika didendangkan oleh komposernya sendiri Anuar Razak dalam satu majlis Hari Raya pada tahun lalu. "Saya jatuh cinta pada lagu ini semasa tahun lalu, ketika itu ia dinyanyikan oleh abang Anuar sendiri dan selepas majlis terus saya bertanya tentang lagu tersebut. "Alhamdulillah saya dan Fazli Zainal rakam lagu ini semula dua minggu sebelum puasa," katanya. Jelas Haiza, lagu tersebut mempunyai keunikan tersendiri dan bertepatan dengan kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri. Katanya, irama inang dan joget dalam lagu tersebut juga membuatkan karya itu tidak lari daripada lagu raya lama. "Bila bercakap tentang lagu raya, orang ramai masih nak dengar lagu-lagu raya lama sebab salah satunya irama joget dan inang. "Sebab tu juga lagu ini saya mahu ia dikekalkan dengan irama itu supaya orang ramai boleh menerima lagu ini," katanya. Dalam pada itu Haiza berkata, Ini Baru Raya merupakan lagu raya keduanya selepas Pertemuan Di Hari Raya pada tahun 1998.

Koleksi Foto : Cahaya Mata Pertama Haiza & Suami

Agak lama juga kita tidak mendengar cerita mengenai penyanyi Haiza, yang suatu ketika dahulu popular dengan lagu berjudul “Dag Dig Dug.” Sebelum ini Haiza dan suaminya, Norhanapfe Omar dikatakan perlah menunggu selama lima tahun untuk mendapatkan cahaya mata sulung mereka dan penantian tersebut akhirnya berakhir apabila Haiza selamat melahirkan putera comel mereka pada 9 September tahun lalu. Berikut kami paparkan beberapa koleksi cahaya mata pertama Haiza dan suami yang diberi nama sebagai Nur Iman Shafi’e, 6 bulan. Untuk makluman, Haiza dan Norhanapfe Omar telah mendirikan rumah tangga sejak 24 Ogos 2007.

Haiza Dapat Bayi Lelaki Selepas Lima Tahun Kahwin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, selamat melahirkan bayi lelaki di Pusat Pakar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras di sini malam Ahad. Bayi seberat 3.07 kilogram itu lahir secara normal kira-kira pukul 8.37 malam dan diberikan nama Nur Iman Syafie. Haiza berkata, dia dimasukkan ke pusat perubatan itu kira-kira pukul 1 petang hari yang sama selepas mengalami kesakitan ketika di rumah. Katanya nama Nur Iman Syafie dipilih selepas dia dan suami Norhanaphe Omar, 32, mengetahui jantina anak mereka itu selepas beberapa bulan mengandung.
"Nur Iman Syafie bermakna cahaya keimanan. Saya dan suami berharap anak kami ini akan menjadi orang yang beriman," katanya kepada mStar Online sewaktu ditemui di pusat pakar itu di sini, malam Ahad. Sementara Haiza berkata, dia amat bersyukur kerana selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya Allah mengurniakan zuriat buat mereka selepas puas berusaha. "Zuriat ini amat bermakna buat saya dan suami. Syukur kepada Allah," katanya. Haiza yang popular dengan lagu terbaharu berjudul Semalam bercuti daripada sebarang pertunjukan pentas dan akan kembali aktif selepas tempoh berpantang. Haiza dan Norhanaphe mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2007.

Haiza tunggu 'hadiah' Aidilfitri

PENYANYI yang satu ketika dahulu cukup popular dengan lagu Dag Dig Dug ini telah lama menyimpan hasrat untuk bergelar ibu. Apalagi setelah hampir lima tahun mendirikan rumahtangga bersama suami, Norhanapfe Omar, Haiza tentunya seperti pasangan lain yang seboleh-bolehnya mahu cepat dikurniakan cahaya mata. Namun, siapa kita untuk menentukan percaturan Tuhan. Kini, Haiza sudah pun hamil dan kandungan berusia tujuh bulan. Cuma tinggal kurang lebih dua bulan sahaja lagi penantian Haiza dan suami untuk melihat orang baru itu `melihat’ dunia. Paling mengujakan, menurut Haiza, dia dijangka bersalin pada 22 September. “Saya berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Masa bersalin itu nanti pun kita masih dalam mood raya. “Saya memang tak sabar menanti kehadiran orang baru ni. Saya anggap dia adalah anugerah Aidilfitri paling bermakna untuk saya dan suami," katanya. Ternyata, cuma riak ceria yang terpapar di wajah Haiza tatkala kehamilannya menjadi topik utama perbualan kami tempoh hari. Maklumlah, orang akan menyambut anak pertama. Dia yang masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi tersebut memberitahu, dalam kemeriahan menyambut lebaran, dia juga perlu menjaga setiap langkah dan pergerakannya saban hari. Bukan apa, Haiza bimbang kemungkinan bersalin awal daripada tarikh jangkaan doktor. “Biasalah, anak pertama ni kita kena jaga-jaga sikit sebab tak pernah ada pengalaman. Bimbang juga kalau-kalau si dia ni dah tak sabar sangat nak keluar. “Apa yang saya buat sekarang ni, bersiap sedia sajalah. Semua kelengkapan saya dah sediakan dan pastikan ada dalam kenderaan sebab kita tak tahu apa akan berlaku. “Saya juga rasa bertuah sebab Jamu Mak Dara juga menaja kelengkapan bersalin saya. Mungkin inilah yang dikatakan orang, rezeki anak. “Apa pun, saya cuma berharap bayi ini dilahirkan dalam keadaan sihat," katanya yang cuma mengenakan baju raya kaftan kerana menyifatkan ia selesa untuk digayakan ketika mengandung. Cerita raya Haiza Bercerita mengenai raya, kata Haiza, saban tahun, dia dan suami akan membuat sistem giliran untuk pulang ke kampung sebelah siapa. Ini kerana, selorohnya, dengan cara itu barulah kata sepakat boleh dicapai dan ia juga boleh mengelak daripada ada pihak yang bermasam muka di pagi raya. Oleh kerana tahun ini adalah giliran Haiza, maka dia dan suami menyambut lebaran di Pontian, Johor bersama keluarganya. “Disebabkan kampung suami di Melaka, jadi saya singgah dulu di sana sebelum beraya di Pontian. “Tapi, raya di Melaka seronok, Masa mula-mula kahwin dulu, saya teruja nak beraya di sana sebab cara orang Melaka sambut raya lain. “Mereka akan bangun seawal 4 pagi untuk bersiap dan kemudian pukul 6 pagi sudah mula menziarahi saudara-mara yang terdekat. “Rasanya, di tempat lain tak begitu. Bagi saya sambutan di Melaka ada keunikan dan tradisinya tersendiri. “Paling saya suka, bila dapat melihat penghujung cahaya pelita yang dipasang di sekitar rumah dan suasana masa tu sukar sekali digambarkan dengan kata-kata. Indah sangat, " katanya. Dalam pada itu, jelas Haiza, setiap kali raya, dia pasti tak sabar untuk merasai air tangan ibunya. “Kalau di rumah, kita dah biasa dengan air tangan sendiri. Jadi bila pulang ke kampung sekali-sekala, nak jugalah rasa air tangan ibu," katanya yang menggemari sambal goreng dan rendang daging.

Haiza tauke cakar ayam

USIA kandungannya sudah mencecah lapan bulan tapi dia masih bertenaga meneruskan ibadah berpuasa. Bagi Haiza atau Rohaizah Nordin, 32, selagi terdaya dan tidak mendatangkan mudarat kepada kandungan, dia akan meneruskan amalan berpuasa hingga ke penghujungnya. "Alhamdulillah, baby tidak meragam. Dia macam tahu sahaja mama dia berpuasa. Lagipun apa kerja sangat yang Haiza buat. Cuma tunggu pukul enam petang, barulah turun dari bilik hotel ini untuk mengacara bersama abang Jaafar Onn. "Sudah tiga tahun Haiza dan abang Jaafar 'berumah tangga' di sini. Setakat ini pihak hotel tidak pernah ada masalah dengan cara kami bekerja. Setiap hari orang yang datang berbuka di sini berbeza," katanya tersenyum. Menurut perkiraan doktor, Haiza dijangka melahirkan bayi sulungnya selepas lima tahun menunggu pada 22 September depan dan dia memilih untuk bersalin di Hospital Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). "Apa jantina bayi yang Haiza kandungkan ini biarlah rahsia dulu. Tapi kami sudah menyediakan dua nama. Kalau baby girl, Nur Qaseh Khadijah dan kalau lelaki, Nur Iman Maliki. Haiza suka nama-nama yang penuh bermakna pada zaman Nabi itu," ujarnya. Haiza yang bernikah dengan Norhanapfe Omar di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007, mereka akan pulang beraya pada 17 Ogos ini di Melaka dan Benut, Pontian, Johor. "Tahun ini giliran beraya di kampung Haiza. Dalam perjalanan ke Benut, singgah sekejap di Melaka. Kiranya beraya sekejap je kat kampung kerana 22 Ogos kami kena balik ke Kuala Lumpur, sebab Napi (suami) mula kerja 23 Ogos ini," jelasnya.

Suami Semakin Romantik Selepas Haiza Mengandung

KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza menyifatkan pendapat mengatakan kehadiran anak mampu mengeratkan lagi perhubungan suami isteri ternyata benar apabila dia dan suaminya lebih mesra dan akrab sejak mengandung bayi sulung. Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin berkata, sejak enam bulan usia kandungan, suaminya, Norhanapfe Omar, semakin peka terhadap kesihatan Haiza selain kedua-duanya semakin romantik di antara satu sama lain. "Saya setuju dengan kata-kata orang bahawa anak mampu mengeratkan lagi ikatan suami isteri menjadi lebih kukuh kerana saya juga merasainya. "Malah dia lebih romantik daripada biasa dan terlalu prihatin dengan keadaan diri dan anak yang saya kandungkan ini," katanya. Bagaimanapun, tambah Haiza, hal ini tidak bermakna perhubungan antaranya dan suami sering dilanda masalah sebelum mengandung. Sepanjang lima tahun perkahwinan tanpa anak, Norhanapfe kerap memberi semangat dan nasihat apabila Haiza tertekan gara-gara kesukarannya untuk mengandung. "Diakui, awal dua tahun perkahwinan kami, saya tertekan kerana tidak mempunyai anak, walaupun saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah ketika mendapatkan pemeriksaan doktor. "Dan ketika itu suamilah yang tidak putus-putus memberi semangat kepada saya dan alhamdulillah kami tidak pernah bergaduh kerana ketiadaan anak.
"Mungkin juga kerana keluarga kami juga tidak mendesak, ia sedikit sebanyak tidak membuatkan kami tertekan," ujarnya. Haiza bernikah dengan Norhanapfe di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007. Sementara itu, penyanyi dangdut itu akan muncul bersama Jaafar Onn bagi menghiburkan pengunjung yang datang untuk berbuka puasa di Hotel Dorsett Regency Kuala Lumpur pada bulan Ramadan nanti. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Haiza dan Jaafar akan mempersembahkan lagu-lagu Hari Raya bagi menghiburkan pengunjung yang hadir. "Menarik lagi pada tahun ini, saya juga akan menjual kuih tradisional yang diberi nama 'Citarasa Haiza Cakar Ayam'. "Saya menjual kuih tersebut yang dibuat oleh golongan ibu-ibu tunggal di Johor Bahru dan ia kemudiannya dijual dengan harga yang sangat berpatutan, hanya RM28 bagi sebekas yang besar," katanya. Dalam pada itu, pengunjung yang ingin berbuka puasa di hotel tersebut pastinya berpuas hati dengan makanan yang disediakan kerana ia memenuhi selera pengunjung dengan masakan-masakan popular ala kampung. Pihak hotel juga menyediakan pelbagai juadah seperti gado-gado, hati ayam goreng berempah, sambal, ulam, pisang dan cempedak goreng, serawa durian, daging masak Arab, sambil tumis udang petai, pucuk paku lemak cili padi dan sotong tumis jintan. Turut tersedia hidangan pencuci mulut, sagu sejuk bersama kelapa, kuih nyonya, bubur cha-cha dan bubur pulut hitam. Kadar bayaran berbuka RM69++ seorang.

Haiza Hamil Empat Bulan Selepas Lima Tahun Berkahwin

PETALING JAYA: Selepas lima tahun menanti, penyanyi Haiza amat bersyukur kerana disahkan mengandung yang mana usia kandungannya sudah mencecah empat bulan. Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, berkata, dia tidak mengalami sebarang alahan atau gangguan terhadap kandungannya selepas disahkan hamil. “Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi sebarang gangguan atau alahan yang serius. Boleh dikatakan, semuanya berjalan dengan lancar dan baik. “Malah, saya sendiri pun berasa pelik apabila berbadan dua kerana pergerakan dan kesihatan saya berada pada tahap baik dan langsung tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Khamis. Haiza bernikah dengan Norhanapfe Omar di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007. Ditanya mengenai pengalaman menarik sejak hamil, penyanyi lagu Dag Dig Dug itu berkata, dia tidak mengidam atau meminta perkara yang pelik-pelik seperti yang berlaku kepada kebanyakan wanita hamil lain. “Buat masa ini memang saya tidak minat atau teringin benda yang pelik-pelik. Mungkin juga kandungan masih terlalu awal, saya tidak pasti tetapi saya bersyukur kerana keinginan saya berada dalam keadaan terkawal. “Kalau pun ada, saya pantang menonton iklan makanan di televisyen, pasti saya akan teringin dengan serta-merta. “Baru-baru ini, saya terlihat iklan makanan segera Subway. Suami pula baru keluar dan saya terpaksa ajak kakak dan anak buah yang kebetulan tinggal berdekatan menemani saya ke restoran itu,” katanya. Diminta berkongsi mengenai perasaan hamil selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, Haiza melihat banyak hikmah dengan ketentuan tersebut. “Saya akui pernah terdetik dalam hati perasaan bimbang jika memang ditakdirkan saya tidak akan mendapat zuriat sendiri tetapi suami selalu tegur dan tidak mahu kami berputus asa dan berusaha. “Alhamdulillah, kini selepas hampir lima tahun berkahwin, rezeki ini datang kepada kami. Cepat atau lambat (dapat anak), saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya mengakhiri perbualan.

Kenapa Haiza kedekut?


Mula-mula Joyah nak ucapkan tahniahlah kepada penyanyi Haiza sebab baru saja melancarkan single baru berjudul Semalam baru-baru ini.

Joyah dah dengar lagu tu. Catchy sangat! Klip videonya pun menarik. Haiza nampak muda dalam klip video tu.

Lebih-lebih lagi dapat bergandingan dengan Zain Saidin. Siapa tak nak berlakon dengan Zain yang wajah Mat Saleh tu kan?

Cerita pasal klip video, Joyah nak kongsi sikitlah dengan pembaca.

Dengar cerita Haiza dan pengarah klip video tersebut sebenarnya ada perselisihan faham? Semuanya gara-gara klip video tu jugalah.

Khabarnya, Haiza tak berpuas hati dengan pengarah Shuhaimi Lua yang mengarahkan klip video itu. Dakwa Haiza tak kreatiflah kononnya.

Haiza tak puas hati sebab Shuhaimi buat klip video tu ala kadar saja. Tak menepati dengan kehendak Haiza yang mahukan klip video tu meletup vava voom gitu.

Joyah dengar cerita, Haiza bagi bajet ciput (sikit) pada pengarah tu, jadi macam mana nak hasilkan video klip yang terbaik!.

Habis kalau ongkosnya ciput, macam mana nak hasilkan klip video yang meletup Haiza oi? Aduhai..boleh migrain Joyah dengar isu ni.

Tak tahu salah siapa sebab pada Joyah, kalau tak puas hati cakap saja depan-depan.

Bukan tu saja, dengar cerita, Shuhaimi juga berkecil hati sebab Haiza langsung tak sebut dirinya sebagai pengarah klip video tu dalam pelancaran singlenya tempoh hari.

Tak sebut satu hal, jemput pun tidak. Sudahnya, makan hatilah kawan tu. Padahal dua-dua berkawan baik sebelum isu ni timbul.

Itulah orang cakap, masa berkawan, semua manis, semua indah, semua sayang. Bila dah bergaduh, semua jadi busuk, semua benci, semuanya rasa menyampah!

Ayooo..Joyah pun tak reti nak cakap apa lagi. Cuma nasihat Joyah pada Haiza, kalau hati awak tak suka disakiti janganlah sakiti hati orang lain.

Satu lagi, kalau nak yang kelas kenalah keluarkan duit pun kelas-kelas, bukan ciput-ciput!

Haiza tak mahu


SUDAH menjadi resam hidup, kalau seseorang lewat mendirikan rumah tangga, pasti menjadi bualan ramai. Kalau sudah bernikah pula, akan ditanya bila lagi mahu menimang cahaya mata.

Seringkali, keluarga bukanlah pemberi tekanan sebaliknya orang sekeliling pula yang sibuk bertanya.

Itulah keadaan yang terpaksa dilalui oleh penyanyi Haiza yang hingga kini belum ada cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga dengan Norhanapfe Omar kira-kira lima tahun lalu.

Haiza atau Rohaizah Nordin, 32, berkata, dia dan suami tidak pernah berasa sunyi biarpun tanpa cahaya mata yang merupakan pelengkap dalam rumah tangga.

Ada juga yang mencadangkan agar Haiza mengambil anak angkat dengan harapan kehadiran bayi itu boleh menjadi pembuka jalan untuknya dan suami memperoleh cahaya mata sendiri kelak.

“Bukan Haiza dan suami tak boleh ambil anak angkat tapi banyak perkara yang perlu difikirkan. Haiza kena tahu asal usul budak itu sebelum ambil dia sebagai anak angkat.

“Bila berbincang, banyak sangat prosesnya. Jadi kami ambil keputusan tunggu sahaja Allah kurniakan zuriat sendiri. Bulan Ogos ini baru masuk lima tahun perkahwinan kami, rasanya tahun ini juga kami merancang untuk punya anak sendiri,” katanya tersenyum.

Menurut penyanyi yang baru sahaja melancarkan single dan klip video Semalam menerusi syarikat My Own Entertainment, antaranya dan suami tidak ada masalah kesihatan.

Justeru mereka sentiasa bersabar dan berdoa agar memperoleh zuriat sendiri dalam jangka waktu terdekat.

“Insya-Allah, jika diizinkan Allah, tahun ini Haiza bercadang untuk menimang anak. Antara Haiza dan suami tidak ada masalah kesihatan, cuma belum rezeki saja.

“Haiza percaya ada hikmahnya kenapa Allah belum kurniakan cahaya mata untuk kami sebelum ini. Sekarang ini Haiza hanya mampu berusaha dan berdoa,” katanya terus terang.

Salah stesen radio?

Sejak awal kemunculannya dalam bidang seni suara, Haiza memilih genre dangdut sebagai platform dan turut dikenali sebagai Haiza. Dag Dig Dug berdasarkan populariti lagu dendangannya itu.

Namun kini irama itu seakan suram di persada seni tanah air dan Haiza perlu melangkah ke depan dengan menukar arah untuk terus berkarya dalam bidang seni.

Sebagai tanda dia mengikuti perkembangan muzik semasa dan tidak tegar pada satu irama, Haiza kini tampil dengan genre pop komersial.

“Kalau tahun 90-an dulu mungkin irama dangdut menguasai pasaran tapi sekarang berbeza. Untuk terus bertapak dalam bidang seni, Haiza perlu ikuti senario semasa.

“Justeru itulah Haiza memilih irama pop komersial untuk lagu Marilah Padaku, ciptaan Omar K dan Audi Mok yang liriknya dihasilkan oleh Zel Firdaus,” katanya.

Menurut Haiza, dia bukan hendak bersaing dengan penyanyi pop komersial yang lain, cuma ingin mewarnai pentas seni tanah air.

“Siapalah Haiza untuk bersaing dengan penyanyi pop yang sedia ada. Meskipun lagu Marilah Pada Ku, berirama pop tapi cara Haiza dendang tetap ada lenggok dangdut.

“Sebenarnya peminat-peminat masih inginkan dangdut, dan Haiza sendiri sudah buang ego dan cuba ikuti kehendak semasa.

“Tapi lagu-lagu dendangan Haiza masih kurang mendapat tempat di stesen radio. Apa pun Haiza tetap berusaha agar lagu itu disiarkan. Kalau tidak terpaksalah cari alternatif lain,” katanya pasrah.

Kata Haiza, dia tidak menyalahkan stesen radio jika enggan memutarkan lagu-lagu dendangannya, cuma mohon diberi ruang untuk mempromosi lagu-lagu tersebut.

Laris di kalangan korporat

Biarpun lagu dangdut sukar mendapat tempat di stesen radio namun ia menjadi permintaan ramai setiap kali Haiza mengadakan persembahan makan malam.

Kata Haiza, setiap kali menjayakan makan malam korporat, lagu dangdut pasti tidak ketinggalan dalam senarai lagu dendangannya.

“Ingatkan bila nyanyi lagu popular dulu dan kini, orang tidak kisah pasal lagu dangdut. Rupa-rupanya tidak, lagu dangdut tetap jadi pilihan kerana mereka tahu Haiza penyanyi apa,” katanya.

Menurutnya, biarpun ramai penyanyi bersungut kerana jualan album kurang memberangsangkan, namun dia tetap bersyukur kerana rezekinya datang daripada persembahan makan malam.

Malah kata Haiza, segala kos pengeluaran single dan klip video Semalam yang turut menampilkan Zain Saidin sebagai pasangannya, menggunakan wang hasil persembahan pentas. Setakat ini untuk dua lagu, Haiza telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM30,000.

“Memandangkan Haiza keluar kos, jadi kena kerja lebih sikit. Sebab itulah Haiza jual cakera padat klip video dan lagu-lagu itu dengan harga RM10 seunit. Cara jualan melalui online atau waktu persembahan,” ceritanya yang berjaya menjual lebih 500 unit.

Haiza Buang Ego Selepas Gagal Album Dangdut


BANGSAR: Penyanyi Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, terpaksa membuang egonya kerana sering mempertahankan irama dangdut akhirnya akur apabila apabila muncul dengan single lagu terbaru berkonsepkan pop berjudul, Semalam.

Haiza berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana ingin mengikut rentak dan peredaran muzik semasa selain memenuhi kehendak radio yang tidak lagi memutarkan lagu-lagu dangdut.

"Sedar tak bahawa lagu-lagu dangdut sudah jarang kita dapat dengar dalam radio? Sebagai seorang penyanyi yang masih lagi 'cari makan' menerusi kerjaya ini, saya perlu muncul dengan lagu baru.

"Justeru itu, saya pertaruhkan Semalam sebagai single terbaru dan buat pertama kalinya lagu yang saya bawakan ini berkonsep pop. Saya terpaksa membuang ego yang selama ini saya memperjuangkan muzik dangdut agar ia mudah diterima stesen-stesen radio tempatan," kata Haiza yang ditemui pada majlis ulang tahun kelahirannya di Restoran Rebung, di sini, malam Khamis.

Bagaimanapun tambah penyanyi ini, apabila mengubah konsep lagu yang berbeza, para peminat pula kecewa dengannya kerana mereka mengharapkan lagu dangdut baru dan bukannya lagu genre lain.

Dalam pada itu, isteri kepada pemain hoki Norhanapfe Omar, ini berkata, dia juga sedih kerana stesen-stesen radio seperti memandang enteng lagu-lagu barunya termasuklah lagu Marilah Padaku, single yang telah dikeluarkan pada tahun lalu.

"Pada tahun lalu, saya muncul dengan lagu Marilah Padaku, di mana ia berkonsepkan dangdut urban tetapi malang sekali ia tidak diputarkan dengan kerap di radio. Rasa macam sia-sia sahaja kerana ia tidak dapat diperdengarkan kepada umum.

"Sebab itulah untuk kali ini, saya keluarkan konsep pop pula agar ia dapat diterima oleh semua jenis stesen radio. Saya harap janganlah pula mereka (radio) ingat saya mahu menghentam, cuma ingin merayu untuk memberi ruang kepada saya," katanya yang akan berbalik kepada lagu dangdut andai kata Semalam tidak mendapat sambutan.

Kekal bahagia

Sementara itu, bercerita mengenai harapan sempena ulang tahunnya yang ke-32, Haiza mengharapkan agar dia, suami dan keluarga kekal bahagia di dunia dan akhirat.

Malah, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dag Dig Dug ini mendoakan supaya dia dan suaminya yang sudah pun berkahwin selama empat tahun dikurniakan anak pada tahun ini.

"Saya bukannya jenis yang meminta, cuma ingin mengharapkan yang baik-baik sahaja buat saya dan sekeluarga. Semoga saya diberikan rezeki anak juga.

"Dalam pada itu, saya sering menerima hadiah bunga daripada suami selain memberi pelbagai kejutan, tetapi tak tahulah apa yang dia nak beri pada tahun ini.

"Apa-apa pun saya tak kisah, kerana hadiah paling bermakna buat saya ialah kasih sayang yang diberikan selama ini," ujarnya.

Pada majlis ulang tahun Haiza, ia disambut sederhana tetapi meriah oleh keluarga rakan-rakan media dan beberapa teman selebriti antaranya seperti Maya (Matahari), Datuk Chef Ismail dan Alyah.

Diam Haiza berisi


PASTI ada yang tertanya-tanya sama ada Haiza yang pernah popular dengan lagu Dag Dig Dug masih aktif menyanyi atau tidak. Ini kerana sudah lama tidak mendengar lagu baru dendangannya diputarkan di corong-corong radio.

Meskipun tanpa produk baru namun Haiza atau Rohaizah Nordin, 32, boleh dikategorikan sebagai penyanyi bertuah kerana terus mendapat banyak undangan persembahan pentas dan makan malam.

Menariknya, Haiza bukan sahaja sering diundang sebagai penyanyi malah dia juga menjadi rebutan untuk mengacara majlis.

Justeru tidak hairanlah, biar sudah hampir dua dekad dalam industri seni, Haiza masih mampu bertahan. Lebih penting, ia melalui usahanya sendiri tanpa tajaan mana-mana pihak.

Malah daripada hasil persembahan pentas dan bidang pengacaraan, Haiza, menerusi syarikatnya, My Own Entertainment bukan sahaja telah menerbitkan single baru malah menghasilkan klip videonya berjudul Semalam.

"Alhamdulillah sejak bergerak sendiri tanpa syarikat rakaman, Haiza telah berjaya menghasilkan single dan klip video ini selain single dan klip video sebelumnya berjudul Marilah Padaku melalui wang titik peluh Haiza sendiri.

"Biasalah... bila semua menggunakan wang sendiri, itulah yang kena buat satu persatu.

"Untuk klip video Semalam, Haiza menggunakan khidmat pengarah Suhaimi Lua Abdullah," katanya yang bertindak sebagai Pengarah Urusan di My Own Entertainment Management.

Untuk klip video Semalam, Haiza turut mengundang Zain Saidin sebagai pasangannya.

Katanya, populariti Zain sedikit sebanyak dapat membantunya mempromosi klip video lagu Semalam.

"Zain seorang profesional. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan itu memudahkan kerja Haiza. Haiza pilih Zain, sebab dia tengah popular sekarang ini. Harap popularitinya itu dapat membantu.

"Haiza buat klip video dan single ini atas permintaan para peminat setia yang tidak henti memberi sokongan untuk perjalanan seni Haiza. Jangan ingat Haiza buat ini semua kerana syok sendiri. Semua ini untuk peminat tersayang," katanya terus terang.

Selain menghiburkan para peminat, Haiza menerusi syarikatnya juga ingin menggunakan kedudukannya sebagai penyanyi untuk melaksanakan tanggungjawab sosial.

Sebagai pembuka tirai, syarikatnya akan menganjurkan majlis Malam Gemer8 Bersama Haiza pada 28 Januari ini di Prime City Hotel, Kluang.

Katanya, hasil daripada penjualan meja makan sempena persembahan itu, sebahagiannya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Kluang, Johor.

"Kalau dengan menyanyi boleh membantu orang lain, apa salahnya Haiza menggunakan kelebihan itu untuk berbakti. Biar kita sama-sama mendapat pahala.

"Jika ada korporat yang ingin turut serta membantu, Haiza alu-alukan kerana di masa akan datang, banyak lagi yang ingin Haiza lakukan," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan sifat peramah itu turut menganjurkan percutian bersama peminat kerana cara itu dapat mengeratkan hubungan.

Katanya, pada tahun lalu, dia bersama sekumpulan peminat bercuti ke Bandung dan dia merancang satu lagi percutian bersama peminatnya pada pertengahan tahun ini.

"Menerusi acara Yok Cuti Yok, Haiza akan memulakan program pada Jun ini. Biar selesaikan satu-satu program dulu," katanya lagi.

Berbulan madu selepas lima tahun - Haiza


SEJAK mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 lalu, baru kini penyanyi asal Benut, Rohaizah Nordin atau dikenali Haiza dan suami, Norhanapfe Omar dapat meluangkan masa berbulan madu.

Bayangkan mereka mengambil masa lima tahun untuk berbulan madu, dan akhirnya mereka telah memilih Bali sebagai lokasi bulan madu.

Mereka yang baru sahaja pulang dari Bali pada 11 November 2011 nampak lebih yakin dengan senyuman yang sentiasa terukir. Ia amat berbeza dengan hari-hari sebelumnya, dan pasti bulan madu yang diluangkan di Bali dinikmati sepenuhnya.

Pasangan yang masih mengharapkan cahaya mata ini berharap percutian bulan madu pertama kali ini dapat membuahkan hasil. Haiza mengharapkan mereka dapat manfaat bulan madu ini tanpa memikirkan sebarang pekerjaan masing-masing.

Penantian hampir lima tahun lebih benar-benar menguji keimanan dan kesabaran pasangan ini. Bagi mereka semua itu adalah ketentuan Allah dan apa yang diharapkan adalah usaha.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha. Saya tahu ini bukan bulan madu pasangan orang yang baru berumah tangga. Kiranya saya ini dah jadi pengantin basi, tapi tidak mengapa, apa yang penting dapat bulan madu. Bulan madu biarpun dekat atau jauh, ia sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi dan seribu ketenangan kepada saya.

“Saya dapat melupakan sejenak hal kerja, show dan masalah lain, begitu juga dengan suami saya. Biarpun tidak lama di Bali, saya harap apa yang diusahakan itu dapat membuahkan hasil.

“Kalau nak diikutkan kami dah menikah lama, tapi baru sekarang kesempatan yang ada untuk dilaungkan bersama. Biasanya saya ada juga ke luar negara, ada yang tanpa suami dan ada dalam satu rombongan. Lainkan, suasana dan persekitarannya itu. Bulan madu kan lebih asyik, lebih-lebih lagi di pulau yang romantik seperti Bali ini,” jelas Haiza.

Percutian selama empat hari itu dihabiskan bersama suami sambil melihat Bali yang pertama kali dikunjunginya. Sebelum ini Haiza pernah melancong ke Paris, London, China, Bandung, tetapi ia tetap tidak sama dibandingkan bercuti di Bali bersama Norhanapfe.

Sebelum ini suaminya sibuk dengan perlawanan dan latihan hoki dan Haiza pula sibuk dengan kerjanya sebagai penyanyi. Masing-masing tidak mempunyai masa yang cocok untuk bercuti bersama.

“Tengah saya ada waktu cuti yang panjang, dia pula sibuk dengan latihan dan begitulah sebaliknya. Sebelum ini ada jugalah kami bercuti bersama, bukan bulan madu, tapi ikut rombongan cik kiah yang ramai-ramai tu.

“Eee…mana sesuai nak berbulan madu. Kena pula pergi dengan peminat, jadi saya kenalah layan peminat. Suami tu kiranya kurang terlayan, tapi di Bali ini hanya kami berdua, dan berdua lebih baik…,” katanya.

Di sana, mereka sempat melawat Uluwatu, tasik Bedugul, Tanah Lot, Sange, Ubud, dan berjalan sekitar Denpasar dan Kuta. Pasangan yang menginap di hotel Best Western Resort, Kuta juga tidak lepas membeli-belah.

“Kita tak pernah sampai sini, jadi tak tahu tentang apa yang boleh dibeli. Bawa duit pun taklah banyak sangat, kononnya nak bulan madu saja. Semua itu di luar jangkaan, malah duit yang dibawa tidak mencukupi.

“Terpaksa tukar duit lagi di Bali. Memang menarik membeli-belah di sini. Bawa RM5,000 pun belum tentu kita puas membeli-belah. Tapi saya tidaklah belanja sebanyak itu!” terang Haiza lagi.

Bercerita tentang album barunya, menurut Haiza album single itu masih dijual dan setakat ini sambutannya boleh tahan. Tahun 2012 juga merupakan tahun yang agak sibuk baginya. Tahun depan genaplah 17 tahun Haiza menjadi artis dan dia bercadang untuk mengadakan mini konsertnya di tiga buah bandar.

“Saya akan buat mini konsert yang berskala kecil saja, iaitu di hotel dan juga akan melibatkan beberapa teman artis rapat dalam persembahan itu nanti. Sekarang saya sibuk mencari penaja untuk tujuan tersebut, dan kalau ada yang sudi bolehlah hubungi saya ataupun ejen acara saya di talian 012-2578884.

“Maklum sajalah, nak buat majlis yang sedemikian pun memerlukan modal yang besar juga,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug ini. - Noor Joha Ahmad

Berhabis RM25 ribu kerana anak - Haiza


BELUM ada rezeki! Mungkin itu ungkapan yang cukup sesuai menggambarkan apa yang berlaku pada penyanyi dangdut popular Haiza yang masih belum dikurniakan cahaya mata.

Biarpun usia perkahwinan akan menjangkau empat tahun pada bulan Ogos ini, sehingga kini mereka masih berdua sedangkan rakan-rakan yang lain sudah mula menambah bilangan cahaya mata.

Bukan berniat untuk bercerita apa sebenarnya masalah yang dihadapi tetapi Pancaindera menerima berita penyanyi yang cukup popular dengan lagu Dag Dig Dug itu berhabis ribuan ringgit hanya kerana anak.

Biarpun pada mulanya Haiza enggan mendedahkan jumlah wang yang telah dibelanjakan, tetapi akhirnya dia mengaku hampir RM25,000 telah dibelanjakan sebagai bil perubatan untuk mendapatkan anak.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Haiza dan pasangannya Norhanapfe Omar sejak tahun 2009 lagi tetapi masih belum membuahkan hasil.

“Memang betul Haiza dah belanjakan hampir RM25,000 untuk itu. Dah macam-macam tempat Haiza pergi tetapi masih belum menjadi. Dari perubatan tradisonal sampailah ke hospital, semua Haiza cuba.

“Ada yang cakap itu, kita pun ke situ. Orang cakap sini bagus, kita ke sana. Tak salah berusaha tetapi bila sampai satu tahap ia membuatkan Haiza terfikir apa sebenarnya masalah tu.

“Bila ke hospital, doktor kata Haiza dan suami tak ada apa-apa masalah. Haiza okey, dia pun okey. Jadi Haiza pasrah dan menganggap kami belum ada rezeki untuk menimang anak sendiri lagi,” luah Haiza tanpa berselindung.

Menjadi orang popular memang memberikan cabaran buat mereka. Setiap kali keluar bersama, pasti orang akan bertanyakan soalan bila lagi mahu memiliki cahaya mata sendiri.

Sudah berlanjutan sejak beberapa tahun lalu, jelas Haiza ada kalanya dia cukup tertekan dengan pelbagai persoalan yang menerjah sedangkan semua itu bukan kehendaknya.

Tidak mahu mengguris perasaan orang, Haiza masih mampu tersenyum menjawab segala soalan ‘maut’ tersebut sedangkan di dalam hati kecilnya tidak ada siapa yang tahu.

“Dulu masa belum kahwin orang asyik tanya bila nak kahwin. Bila dah kahwin orang tanya bila nak ada anak sendiri. Letih sebenarnya nak jawab tapi nak buat macam mana sebab orang kenal kita sebagai artis.

“Memang banyak usaha yang dah Haiza buat. Bila nak pergi mana-mana tempat berubat baru, pasti Haiza rujuk pada ibu bapa Haiza sebab mereka lebih arif dalam soal ini.

“Memang Haiza selalu minta ibu dan ayah doa Haiza cepat dapat rezeki memandangkan doa ibu bapa selalunya mujarab. Mana tahu akhirnya semua impian akan terkabul.

“Tapi ada juga orang yang cadangkan Haiza ambil anak angkat. Rasanya sampai sekarang masih belum ada perancangan ke arah itu.

“Nak ambil anak orang bukan mudah. Banyak benda yang Haiza kena kaji terutama latar belakang anak yang nak kita bela nanti. Takut juga akan timbul masalah kemudian hari.

“Buat masa ini biarlah Haiza habiskan masa yang berkualiti bersama suami. Dia pun memang jarang ada di rumah memandangkan kami sama-sama sibuk.

“Apa pun yang terjadi, Haiza tak pernah kesal dengan takdir. Mungkin rezeki lambat tiba dan sebagai manusia biasa Haiza tetap berusaha sampai berjaya,” katanya yang bernikah pada 24 Ogos 2007 di Pontian, Johor.

Hadiah untuk peminat

DIAM tak diam sudah 16 tahun Haiza berkecimpung dalam dunia seni tanah air. Biarpun namanya sedikit tenggelam dek penangan kebanyakan artis kelahiran program realiti tv yang lain, dia bersyukur semuanya masih berjalan seperti biasa.

Bukan soal popular menjadi ukuran tetapi apa yang boleh dibanggakan dengan pemilik nama Rohaizah Nordin ini selama tempoh itu dia mampu bertahan sebagai anak seni.

Menurut Haiza sejak mula-mula bergelar penyanyi dangdut dulu, rezekinya cukup murah biarpun ramai pihak yang mengatakan penyanyi dangdut tidak boleh cari makan.

“Masih ada show dan hampir setiap minggu Haiza terlibat dalam undangan pentas. Mungkin orang tak nampak semua itu sebab tak ada publisiti yang diberikan oleh pihak media.

“Haiza tak kisah dengan apa juga kata-kata orang. Apa yang paling penting Haiza ikhlas dalam setiap perbuatan dan mungkin itu sebabnya rezeki Haiza dalam bidang seni murah.

“Banyak sebenarnya perancangan yang telah Haiza buat untuk kembali merancakkan arena seni suara. Memang Haiza cukup berharap agar peminat-peminat setia Haiza memberikan sokongan pada kerjaya seni Haiza nanti,” jelasnya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru pula, Haiza sudahpun melancarkan single terbaru berjudul Marilah Padaku yang dicipta oleh Omar K dan Audi Mok.

Lagu yang berentak pop urban itu merupakan percubaan terbaru penyanyi yang lahir 2 Februari 1980 setelah kali terakhir keluar dengan album tahun 2009.

Pada 21 Mei ini Haiza akan diraikan sempena ulang tahun ke 16. Acara yang dinamakan Jom Kopi Kopi Bersama Haiza dijadualkan berlangsung di Hotel UITM Shah Alam, Selangor pada sebelah malam.

Pelbagai acara dan aktiviti menarik yang telah diatur bagi peminat setia penyanyi berkenaan dan untuk sebarang pertanyaan boleh menghubung talian 012 2578884 atau 017 2800462. Layari juga facebook/Jom Kopi Kopi Bersama Haiza untuk maklumat lanjut.

Haiza Tidak Gaduh Dengan Pengurus, Usaha Dapat Anak


SHAH ALAM: Penyanyi dangdut Haiza menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan dia telah bergaduh dengan pengurusnya iaitu Zureen sejak beberapa bulan lalu.

Ini kerana dalam majlis-majlis tertentu Haiza tidak lagi menggunakan khidmat Zureen sebagai pengurus sebaliknya segala aktiviti seni dilakukannya sendiri.

Kata Haiza, Zureen mengambil keputusan untuk tidak bekerja dengannya lagi kerana mempunyai masalah peribadi selain ingin memberi tumpuan kepada keluarganya.

"Saya menghormati keputusan Zureen untuk tidak menguruskan saya lagi kerana mahu memberi fokus kepada keluarganya kerana ayahnya sedang sakit dan memerlukan perhatian.

"Tiada sebarang pergaduhan atau perselisihan faham antara kami. Kami sudah bekerja selama lapan tahun dan hubungan itu bagaikan adik beradik. Saya menghormati keputusan dia untuk memilih haluan sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Shah Alam Convention Centre (SACC) dan mStar di sini, Selasa.

Penyanyi itu menjawab desas-desus kononnya dia sudah tidak sehaluan lagi dengan pengurusnya seperti di laporkan sebuah akhbar Ahad lalu.

Jelas Haiza, dia kini menguruskan sendiri jadualnya sejak bulan Ramadan lalu sebelum mendapat pengganti Zureen.

"Sepanjang Ramadan lalu saya sibuk dengan persembahan di Hotel Dorsett Kuala Lumpur tanpa ditemani pengurus. Buat masa ini saya masih belum cari pengurus, Insya-Allah setakat ini saya boleh uruskan jadual saya sendiri," katanya.

Berusaha mahu dapat anak

Dalam pada itu, Haiza yang sudah hampir empat tahun mendirikan rumah tangga bersama suami Norhanafpe Omar mengakui sentiasa berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.

"Ramai yang tanya tentang anak, kadang-kadang saya tidak tahu bagaimana nak jawab sebab saya sudah berusaha tapi belum ada rezeki.

"Ramai di kalangan rakan-rakan yang saya jumpa bagi bermacam-macam petua dan nasihat untuk mudah hamil, tapi belum ada apa-apa tanda lagi setakat ini," katanya.

Jelas Haiza, dia dan suaminya tidak terlalu berharap namun sentiasa berusaha dan berdoa agar dianugerahkan cahaya mata bagi melengkapkan kehidupan keluarga mereka.

Haiza mula pening-pening


Haiza pening-pening dan tak lekang dengan minyak cap kapak. Ala-ala orang yang baru nak melekat baby gitu.

Haiza mengandung ke? Dia sendiri tak boleh nak mengesahkan sebab belum membuat mengesahkan dengan doktor.

Tapi nampak gayanya dah macam orang yang baru nak mengandung gitu.


Minyak cak kapak tak lekang. Semasa mengikuti rombongan Roadshow Soyo & URTV di Kuching dan Miri, Sarawak baru-baru ini Haiza pening-pening apabila kepenatan dan mengadap meja makan.

"Itu gaya orang nak mengandung," usik rakannya, Azza.

Azza macam tahu pula gaya orang mengandung walaupun dia sendiri tak ada pengalaman hamil.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails