Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Haiza tak mahu


SUDAH menjadi resam hidup, kalau seseorang lewat mendirikan rumah tangga, pasti menjadi bualan ramai. Kalau sudah bernikah pula, akan ditanya bila lagi mahu menimang cahaya mata.

Seringkali, keluarga bukanlah pemberi tekanan sebaliknya orang sekeliling pula yang sibuk bertanya.

Itulah keadaan yang terpaksa dilalui oleh penyanyi Haiza yang hingga kini belum ada cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga dengan Norhanapfe Omar kira-kira lima tahun lalu.

Haiza atau Rohaizah Nordin, 32, berkata, dia dan suami tidak pernah berasa sunyi biarpun tanpa cahaya mata yang merupakan pelengkap dalam rumah tangga.

Ada juga yang mencadangkan agar Haiza mengambil anak angkat dengan harapan kehadiran bayi itu boleh menjadi pembuka jalan untuknya dan suami memperoleh cahaya mata sendiri kelak.

“Bukan Haiza dan suami tak boleh ambil anak angkat tapi banyak perkara yang perlu difikirkan. Haiza kena tahu asal usul budak itu sebelum ambil dia sebagai anak angkat.

“Bila berbincang, banyak sangat prosesnya. Jadi kami ambil keputusan tunggu sahaja Allah kurniakan zuriat sendiri. Bulan Ogos ini baru masuk lima tahun perkahwinan kami, rasanya tahun ini juga kami merancang untuk punya anak sendiri,” katanya tersenyum.

Menurut penyanyi yang baru sahaja melancarkan single dan klip video Semalam menerusi syarikat My Own Entertainment, antaranya dan suami tidak ada masalah kesihatan.

Justeru mereka sentiasa bersabar dan berdoa agar memperoleh zuriat sendiri dalam jangka waktu terdekat.

“Insya-Allah, jika diizinkan Allah, tahun ini Haiza bercadang untuk menimang anak. Antara Haiza dan suami tidak ada masalah kesihatan, cuma belum rezeki saja.

“Haiza percaya ada hikmahnya kenapa Allah belum kurniakan cahaya mata untuk kami sebelum ini. Sekarang ini Haiza hanya mampu berusaha dan berdoa,” katanya terus terang.

Salah stesen radio?

Sejak awal kemunculannya dalam bidang seni suara, Haiza memilih genre dangdut sebagai platform dan turut dikenali sebagai Haiza. Dag Dig Dug berdasarkan populariti lagu dendangannya itu.

Namun kini irama itu seakan suram di persada seni tanah air dan Haiza perlu melangkah ke depan dengan menukar arah untuk terus berkarya dalam bidang seni.

Sebagai tanda dia mengikuti perkembangan muzik semasa dan tidak tegar pada satu irama, Haiza kini tampil dengan genre pop komersial.

“Kalau tahun 90-an dulu mungkin irama dangdut menguasai pasaran tapi sekarang berbeza. Untuk terus bertapak dalam bidang seni, Haiza perlu ikuti senario semasa.

“Justeru itulah Haiza memilih irama pop komersial untuk lagu Marilah Padaku, ciptaan Omar K dan Audi Mok yang liriknya dihasilkan oleh Zel Firdaus,” katanya.

Menurut Haiza, dia bukan hendak bersaing dengan penyanyi pop komersial yang lain, cuma ingin mewarnai pentas seni tanah air.

“Siapalah Haiza untuk bersaing dengan penyanyi pop yang sedia ada. Meskipun lagu Marilah Pada Ku, berirama pop tapi cara Haiza dendang tetap ada lenggok dangdut.

“Sebenarnya peminat-peminat masih inginkan dangdut, dan Haiza sendiri sudah buang ego dan cuba ikuti kehendak semasa.

“Tapi lagu-lagu dendangan Haiza masih kurang mendapat tempat di stesen radio. Apa pun Haiza tetap berusaha agar lagu itu disiarkan. Kalau tidak terpaksalah cari alternatif lain,” katanya pasrah.

Kata Haiza, dia tidak menyalahkan stesen radio jika enggan memutarkan lagu-lagu dendangannya, cuma mohon diberi ruang untuk mempromosi lagu-lagu tersebut.

Laris di kalangan korporat

Biarpun lagu dangdut sukar mendapat tempat di stesen radio namun ia menjadi permintaan ramai setiap kali Haiza mengadakan persembahan makan malam.

Kata Haiza, setiap kali menjayakan makan malam korporat, lagu dangdut pasti tidak ketinggalan dalam senarai lagu dendangannya.

“Ingatkan bila nyanyi lagu popular dulu dan kini, orang tidak kisah pasal lagu dangdut. Rupa-rupanya tidak, lagu dangdut tetap jadi pilihan kerana mereka tahu Haiza penyanyi apa,” katanya.

Menurutnya, biarpun ramai penyanyi bersungut kerana jualan album kurang memberangsangkan, namun dia tetap bersyukur kerana rezekinya datang daripada persembahan makan malam.

Malah kata Haiza, segala kos pengeluaran single dan klip video Semalam yang turut menampilkan Zain Saidin sebagai pasangannya, menggunakan wang hasil persembahan pentas. Setakat ini untuk dua lagu, Haiza telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM30,000.

“Memandangkan Haiza keluar kos, jadi kena kerja lebih sikit. Sebab itulah Haiza jual cakera padat klip video dan lagu-lagu itu dengan harga RM10 seunit. Cara jualan melalui online atau waktu persembahan,” ceritanya yang berjaya menjual lebih 500 unit.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails