Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Haiza tunggu 'hadiah' Aidilfitri

PENYANYI yang satu ketika dahulu cukup popular dengan lagu Dag Dig Dug ini telah lama menyimpan hasrat untuk bergelar ibu. Apalagi setelah hampir lima tahun mendirikan rumahtangga bersama suami, Norhanapfe Omar, Haiza tentunya seperti pasangan lain yang seboleh-bolehnya mahu cepat dikurniakan cahaya mata. Namun, siapa kita untuk menentukan percaturan Tuhan. Kini, Haiza sudah pun hamil dan kandungan berusia tujuh bulan. Cuma tinggal kurang lebih dua bulan sahaja lagi penantian Haiza dan suami untuk melihat orang baru itu `melihat’ dunia. Paling mengujakan, menurut Haiza, dia dijangka bersalin pada 22 September. “Saya berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Masa bersalin itu nanti pun kita masih dalam mood raya. “Saya memang tak sabar menanti kehadiran orang baru ni. Saya anggap dia adalah anugerah Aidilfitri paling bermakna untuk saya dan suami," katanya. Ternyata, cuma riak ceria yang terpapar di wajah Haiza tatkala kehamilannya menjadi topik utama perbualan kami tempoh hari. Maklumlah, orang akan menyambut anak pertama. Dia yang masih belum bersedia untuk mendedahkan jantina bayi tersebut memberitahu, dalam kemeriahan menyambut lebaran, dia juga perlu menjaga setiap langkah dan pergerakannya saban hari. Bukan apa, Haiza bimbang kemungkinan bersalin awal daripada tarikh jangkaan doktor. “Biasalah, anak pertama ni kita kena jaga-jaga sikit sebab tak pernah ada pengalaman. Bimbang juga kalau-kalau si dia ni dah tak sabar sangat nak keluar. “Apa yang saya buat sekarang ni, bersiap sedia sajalah. Semua kelengkapan saya dah sediakan dan pastikan ada dalam kenderaan sebab kita tak tahu apa akan berlaku. “Saya juga rasa bertuah sebab Jamu Mak Dara juga menaja kelengkapan bersalin saya. Mungkin inilah yang dikatakan orang, rezeki anak. “Apa pun, saya cuma berharap bayi ini dilahirkan dalam keadaan sihat," katanya yang cuma mengenakan baju raya kaftan kerana menyifatkan ia selesa untuk digayakan ketika mengandung. Cerita raya Haiza Bercerita mengenai raya, kata Haiza, saban tahun, dia dan suami akan membuat sistem giliran untuk pulang ke kampung sebelah siapa. Ini kerana, selorohnya, dengan cara itu barulah kata sepakat boleh dicapai dan ia juga boleh mengelak daripada ada pihak yang bermasam muka di pagi raya. Oleh kerana tahun ini adalah giliran Haiza, maka dia dan suami menyambut lebaran di Pontian, Johor bersama keluarganya. “Disebabkan kampung suami di Melaka, jadi saya singgah dulu di sana sebelum beraya di Pontian. “Tapi, raya di Melaka seronok, Masa mula-mula kahwin dulu, saya teruja nak beraya di sana sebab cara orang Melaka sambut raya lain. “Mereka akan bangun seawal 4 pagi untuk bersiap dan kemudian pukul 6 pagi sudah mula menziarahi saudara-mara yang terdekat. “Rasanya, di tempat lain tak begitu. Bagi saya sambutan di Melaka ada keunikan dan tradisinya tersendiri. “Paling saya suka, bila dapat melihat penghujung cahaya pelita yang dipasang di sekitar rumah dan suasana masa tu sukar sekali digambarkan dengan kata-kata. Indah sangat, " katanya. Dalam pada itu, jelas Haiza, setiap kali raya, dia pasti tak sabar untuk merasai air tangan ibunya. “Kalau di rumah, kita dah biasa dengan air tangan sendiri. Jadi bila pulang ke kampung sekali-sekala, nak jugalah rasa air tangan ibu," katanya yang menggemari sambal goreng dan rendang daging.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails