Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Berhabis RM25 ribu kerana anak - Haiza


BELUM ada rezeki! Mungkin itu ungkapan yang cukup sesuai menggambarkan apa yang berlaku pada penyanyi dangdut popular Haiza yang masih belum dikurniakan cahaya mata.

Biarpun usia perkahwinan akan menjangkau empat tahun pada bulan Ogos ini, sehingga kini mereka masih berdua sedangkan rakan-rakan yang lain sudah mula menambah bilangan cahaya mata.

Bukan berniat untuk bercerita apa sebenarnya masalah yang dihadapi tetapi Pancaindera menerima berita penyanyi yang cukup popular dengan lagu Dag Dig Dug itu berhabis ribuan ringgit hanya kerana anak.

Biarpun pada mulanya Haiza enggan mendedahkan jumlah wang yang telah dibelanjakan, tetapi akhirnya dia mengaku hampir RM25,000 telah dibelanjakan sebagai bil perubatan untuk mendapatkan anak.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Haiza dan pasangannya Norhanapfe Omar sejak tahun 2009 lagi tetapi masih belum membuahkan hasil.

“Memang betul Haiza dah belanjakan hampir RM25,000 untuk itu. Dah macam-macam tempat Haiza pergi tetapi masih belum menjadi. Dari perubatan tradisonal sampailah ke hospital, semua Haiza cuba.

“Ada yang cakap itu, kita pun ke situ. Orang cakap sini bagus, kita ke sana. Tak salah berusaha tetapi bila sampai satu tahap ia membuatkan Haiza terfikir apa sebenarnya masalah tu.

“Bila ke hospital, doktor kata Haiza dan suami tak ada apa-apa masalah. Haiza okey, dia pun okey. Jadi Haiza pasrah dan menganggap kami belum ada rezeki untuk menimang anak sendiri lagi,” luah Haiza tanpa berselindung.

Menjadi orang popular memang memberikan cabaran buat mereka. Setiap kali keluar bersama, pasti orang akan bertanyakan soalan bila lagi mahu memiliki cahaya mata sendiri.

Sudah berlanjutan sejak beberapa tahun lalu, jelas Haiza ada kalanya dia cukup tertekan dengan pelbagai persoalan yang menerjah sedangkan semua itu bukan kehendaknya.

Tidak mahu mengguris perasaan orang, Haiza masih mampu tersenyum menjawab segala soalan ‘maut’ tersebut sedangkan di dalam hati kecilnya tidak ada siapa yang tahu.

“Dulu masa belum kahwin orang asyik tanya bila nak kahwin. Bila dah kahwin orang tanya bila nak ada anak sendiri. Letih sebenarnya nak jawab tapi nak buat macam mana sebab orang kenal kita sebagai artis.

“Memang banyak usaha yang dah Haiza buat. Bila nak pergi mana-mana tempat berubat baru, pasti Haiza rujuk pada ibu bapa Haiza sebab mereka lebih arif dalam soal ini.

“Memang Haiza selalu minta ibu dan ayah doa Haiza cepat dapat rezeki memandangkan doa ibu bapa selalunya mujarab. Mana tahu akhirnya semua impian akan terkabul.

“Tapi ada juga orang yang cadangkan Haiza ambil anak angkat. Rasanya sampai sekarang masih belum ada perancangan ke arah itu.

“Nak ambil anak orang bukan mudah. Banyak benda yang Haiza kena kaji terutama latar belakang anak yang nak kita bela nanti. Takut juga akan timbul masalah kemudian hari.

“Buat masa ini biarlah Haiza habiskan masa yang berkualiti bersama suami. Dia pun memang jarang ada di rumah memandangkan kami sama-sama sibuk.

“Apa pun yang terjadi, Haiza tak pernah kesal dengan takdir. Mungkin rezeki lambat tiba dan sebagai manusia biasa Haiza tetap berusaha sampai berjaya,” katanya yang bernikah pada 24 Ogos 2007 di Pontian, Johor.

Hadiah untuk peminat

DIAM tak diam sudah 16 tahun Haiza berkecimpung dalam dunia seni tanah air. Biarpun namanya sedikit tenggelam dek penangan kebanyakan artis kelahiran program realiti tv yang lain, dia bersyukur semuanya masih berjalan seperti biasa.

Bukan soal popular menjadi ukuran tetapi apa yang boleh dibanggakan dengan pemilik nama Rohaizah Nordin ini selama tempoh itu dia mampu bertahan sebagai anak seni.

Menurut Haiza sejak mula-mula bergelar penyanyi dangdut dulu, rezekinya cukup murah biarpun ramai pihak yang mengatakan penyanyi dangdut tidak boleh cari makan.

“Masih ada show dan hampir setiap minggu Haiza terlibat dalam undangan pentas. Mungkin orang tak nampak semua itu sebab tak ada publisiti yang diberikan oleh pihak media.

“Haiza tak kisah dengan apa juga kata-kata orang. Apa yang paling penting Haiza ikhlas dalam setiap perbuatan dan mungkin itu sebabnya rezeki Haiza dalam bidang seni murah.

“Banyak sebenarnya perancangan yang telah Haiza buat untuk kembali merancakkan arena seni suara. Memang Haiza cukup berharap agar peminat-peminat setia Haiza memberikan sokongan pada kerjaya seni Haiza nanti,” jelasnya.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru pula, Haiza sudahpun melancarkan single terbaru berjudul Marilah Padaku yang dicipta oleh Omar K dan Audi Mok.

Lagu yang berentak pop urban itu merupakan percubaan terbaru penyanyi yang lahir 2 Februari 1980 setelah kali terakhir keluar dengan album tahun 2009.

Pada 21 Mei ini Haiza akan diraikan sempena ulang tahun ke 16. Acara yang dinamakan Jom Kopi Kopi Bersama Haiza dijadualkan berlangsung di Hotel UITM Shah Alam, Selangor pada sebelah malam.

Pelbagai acara dan aktiviti menarik yang telah diatur bagi peminat setia penyanyi berkenaan dan untuk sebarang pertanyaan boleh menghubung talian 012 2578884 atau 017 2800462. Layari juga facebook/Jom Kopi Kopi Bersama Haiza untuk maklumat lanjut.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails