Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Diam Haiza berisi


PASTI ada yang tertanya-tanya sama ada Haiza yang pernah popular dengan lagu Dag Dig Dug masih aktif menyanyi atau tidak. Ini kerana sudah lama tidak mendengar lagu baru dendangannya diputarkan di corong-corong radio.

Meskipun tanpa produk baru namun Haiza atau Rohaizah Nordin, 32, boleh dikategorikan sebagai penyanyi bertuah kerana terus mendapat banyak undangan persembahan pentas dan makan malam.

Menariknya, Haiza bukan sahaja sering diundang sebagai penyanyi malah dia juga menjadi rebutan untuk mengacara majlis.

Justeru tidak hairanlah, biar sudah hampir dua dekad dalam industri seni, Haiza masih mampu bertahan. Lebih penting, ia melalui usahanya sendiri tanpa tajaan mana-mana pihak.

Malah daripada hasil persembahan pentas dan bidang pengacaraan, Haiza, menerusi syarikatnya, My Own Entertainment bukan sahaja telah menerbitkan single baru malah menghasilkan klip videonya berjudul Semalam.

"Alhamdulillah sejak bergerak sendiri tanpa syarikat rakaman, Haiza telah berjaya menghasilkan single dan klip video ini selain single dan klip video sebelumnya berjudul Marilah Padaku melalui wang titik peluh Haiza sendiri.

"Biasalah... bila semua menggunakan wang sendiri, itulah yang kena buat satu persatu.

"Untuk klip video Semalam, Haiza menggunakan khidmat pengarah Suhaimi Lua Abdullah," katanya yang bertindak sebagai Pengarah Urusan di My Own Entertainment Management.

Untuk klip video Semalam, Haiza turut mengundang Zain Saidin sebagai pasangannya.

Katanya, populariti Zain sedikit sebanyak dapat membantunya mempromosi klip video lagu Semalam.

"Zain seorang profesional. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan itu memudahkan kerja Haiza. Haiza pilih Zain, sebab dia tengah popular sekarang ini. Harap popularitinya itu dapat membantu.

"Haiza buat klip video dan single ini atas permintaan para peminat setia yang tidak henti memberi sokongan untuk perjalanan seni Haiza. Jangan ingat Haiza buat ini semua kerana syok sendiri. Semua ini untuk peminat tersayang," katanya terus terang.

Selain menghiburkan para peminat, Haiza menerusi syarikatnya juga ingin menggunakan kedudukannya sebagai penyanyi untuk melaksanakan tanggungjawab sosial.

Sebagai pembuka tirai, syarikatnya akan menganjurkan majlis Malam Gemer8 Bersama Haiza pada 28 Januari ini di Prime City Hotel, Kluang.

Katanya, hasil daripada penjualan meja makan sempena persembahan itu, sebahagiannya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam, Kluang, Johor.

"Kalau dengan menyanyi boleh membantu orang lain, apa salahnya Haiza menggunakan kelebihan itu untuk berbakti. Biar kita sama-sama mendapat pahala.

"Jika ada korporat yang ingin turut serta membantu, Haiza alu-alukan kerana di masa akan datang, banyak lagi yang ingin Haiza lakukan," katanya.

Penyanyi yang terkenal dengan sifat peramah itu turut menganjurkan percutian bersama peminat kerana cara itu dapat mengeratkan hubungan.

Katanya, pada tahun lalu, dia bersama sekumpulan peminat bercuti ke Bandung dan dia merancang satu lagi percutian bersama peminatnya pada pertengahan tahun ini.

"Menerusi acara Yok Cuti Yok, Haiza akan memulakan program pada Jun ini. Biar selesaikan satu-satu program dulu," katanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails