Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Rabecca. Show all posts
Showing posts with label Rabecca. Show all posts

Selepas Syiling 5 Sen Erma Beri Rabecca Wang RM1 Pula

Selepas dikejutkan dengan penerimaan wang syiling 5 sen berjumlah RM11,200, Rabecca yang menang saman terhadap Erma Fatima menerima pula wang kertas RM1 dengan jumlah yang sama daripada pengarah drama itu. Rabecca, 27, berkata, dia menerima wang itu melalui pejabat peguamnya iaitu Nordin Othman pada pukul 10 pagi Selasa selepas dia bertindak memulangkan syiling 5 sen yang diterimanya sebelum ini. "Tidak mengapa, jika cara itu dapat memuaskan hati insan bernama Fatimah Rahmad (Erma), saya reda. "Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala-galanya, syukur Alhamdulillah," kata Rabecca menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada mStar Online pada Selasa. Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit drama itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak RM11,200 (40 peratus berserta lima peratus faedah) daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya. Kedua-dua artis itu sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman pada 23 Julai 2013.
Bagaimanapun pihak peguam Erma bersama beberapa pembantu menyerahkan wang tuntutan berkenaan menggunakan wang syiling 5 sen di pejabat Nordin yang dimasukkan dalam beberapa bungkusan termasuk sebuah kotak yang terdapat Al-Quran. Namun, pihak Rabecca pula memulangkan wang tersebut kepada Erma dan meminta penerbit dan pengarah itu membayar wang tuntutannya dengan cara berhemah iaitu tidak menggunakan syiling. Sementara itu, tambah Rabecca, dia menerima wang tersebut dengan hati yang terbuka kerana enggan memanjangkan lagi isu tersebut. Dia juga tidak mahu lagi dikaitkan dengan Erma sebaliknya ingin memberi fokus terhadap kerja amal di mana dia akan berada di Kuantan, Pahang pada petang Rabu (hari ini) bagi membantu mangsa-mangsa banjir. "Saya akan bertolak ke Kuantan pada pagi Rabu untuk membantu dan berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir. Doakan yang baik-baik ya," ujarnya.

Erma Sindir Rabecca Kerana Enggan Terima Syiling 5 Sen

Tindakan pelakon Rabecca Nur Al-Islam, 23, yang mahu memulangkan semula wang syiling 5 sen berjumlah RM11,500 kepada Erma Fatima membuatkan pengarah itu menyindir pelakon tersebut di laman Instagram miliknya pada awal pagi Rabu. Erma dalam beberapa kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial tersebut berkata, tidak baik bagi Rabecca untuk tidak menerima wang syiling berkenaan dan senaskhah Al-Quran yang diberikan kepadanya. "Tak baik you reject coin 5 sen dan Al-Quran, 5 sen pun duit tuntutan you juga, nilainya tetap sama, seems Al-Quran pun you reject maka I tetap nak you tahu apa yang tertulis dalam Al-Quran itu untuk you, so I post di sini sebab I tahu you akan baca," katanya yang dipetik daripada Instagram itu pada Rabu.
Rabecca pada Selasa menerima wang tuntutannya daripada Erma Fatima iaitu sebanyak RM11,200 dalam bentuk wang syiling 5 sen selepas memenangi kes tuntutan terhadap pengarah drama itu pada 8 November lalu. Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 23 Julai 2013. Selain wang syiling dan Al-Quran yang dihantar ke pejabat peguam Rabecca, Erma turut menyelitkan sekeping kad dengan kata-kata agar pelakon wanita tersebut terus tidak berbohong. "Rabecca, kita mampu membohongi satu dunia tapi kita tidak akan mampu berbohong pada diri kita dan Allah. "Andai ini (wang berkenaan) hak awak maka halallah ia, tetapi kalau bukan hak awak maka saya haramkan dunia akhirat, selamat menikmati kemenangan," tulis Erma pada kad berkenaan yang turut dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Bagaimanapun, pada tengah hari Rabu, Erma telah memadam kesemua status dan gambar sindiran itu dalam laman sosialnya. Sementara itu dalam satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada mStar Online pada Rabu Erma enggan memberi sebarang kenyataan terhadap perkara tersebut. "Maaf, saya tidak mahu beri apa-apa kenyataan. Rasanya tidak perlu saya komen dan saya tidak perlukan publisiti tentang itu. "Cukup-cukuplah... biar dia sorang sahaja yang gila publisiti, maafkan akak ya," ujarnya.

Rabecca Minta Tidak Tabur Fitnah, Erma Enggan Halalkan Wang

Perbalahan di antara pelakon Rabecca Nur Al-Islam dengan pengarah drama Erma Fatima masih belum selesai apabila pelakon itu menyifatkan Erma masih menyebarkan fitnah dengan menuduhnya artis yang tidak berdisiplin. Rabecca atau nama sebenarnya Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, 27, mendakwa, selepas dia menang saman terhadap pengarah itu pada 8 November lalu Erma didapati memfitnahnya menerusi laman Instagram dan Twitter. "Kes sudah selesai. Tapi nampaknya ia seperti belum selesai apabila dia masih lagi memfitnah saya mengatakan saya tidak berdisiplin. . "Keadaan itu boleh menjejaskan periuk nasi saya apabila pihak penerbit drama atau filem mungkin tidak akan menawarkan saya berlakon," katanya. Rabecca ditemui pada sidang media khas di Harrods, pusat beli belah KLCC di sini pada Khamis. Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila mahkamah majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit drama itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak 40 peratus berserta lima peratus faedah daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya. Kedua-dua artis itu sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman di mahkamah majistret Kuala Lumpur pada 23 Julai 2013.
Sementara itu, Rabecca berkata, Erma boleh membuat rayuan di mahkamah jika enggan melunaskan baki bayaran seperti yang diarahkan tetapi bukan dengan cara memburuk-burukkan di laman sosial. "Senang saja, jika tidak puas hati atau enggan membayar, buat saja rayuan di mahkamah. "Tidak perlu memburukkan saya di laman sosial. Sekiranya dia masih lagi memfitnah, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya," tegas Rabecca. Turut hadir pada sidang media tersebut, ialah peguam Rabecca iaitu Nordin Othman. Tidak halalkan wang itu – Erma Fatima Sementara itu Erma Fatima yang dihubungi berkata, dia akan menurut perintah mahkamah dan tidak berhasrat memanjangkan kes berkenaan sebagaimana yang dicadangkan oleh Rabecca. Malah Erma juga bersedia untuk menjelaskan baki wang berkenaan sebanyak RM11,000 kepada wanita itu tetapi tidak menghalalkannya. “Saya akan bayarkan wang itu kepada Rabecca tetapi saya tidak akan halalkannya. Kekalahan saya di mahkamah atas sebab-sebab teknikal. Saya pun tak mahu panjangkan kes ini lagi,” katanya.

Rabecca Menang Saman Erma Fatima

Pelakon Rabecca Nur Al-Islam pada Jumaat berjaya memenangi kes tuntutan terhadap penerbit dan pengarah drama Erma Fatima ekoran perlanggaran kontrak dan melunaskan baki bayaran lakonan sebanyak 40 peratus selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membuat keputusan pada Jumaat. Majistret Muhamad Faizal Ismail turut mengarahkan Erma mengembalikan baki jumlah wang berkenaan berserta lima peratus faedah daripada bayaran selain membayar kos guaman kepada Rabecca. Menurut peguam yang mewakili Rabecca iaitu Nordin Othman, sekiranya Erma masih gagal melunaskan baki bayaran, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Erma. "Pihak kami tidak meminta lebih daripada apa yang dijanjikan oleh Erma dan berharap baki bayaran Rabecca segera dilunaskan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat. Erma dan Rabecca sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus.
Ia membuatkan Rabecca memfailkan saman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu. Dejavu Di Kinabalu diterbitkan oleh Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd sebanyak 28 episod dan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, bermula 18 Jun hingga 31 Julai 2012. Selain Rabecca, drama berkenaan turut dibintangi Tiz Zaqyah, Aqasha, Nazim Othman dan Aishah Ilias. Sementara itu, Rabecca berkata, dia bersyukur apabila kes tuntutan itu berpihak kepadanya dan berharap kejadian seperti itu tidak berlaku lagi. "Apa yang dituntut merupakan hak saya di mana saya berada di pihak yang benar. Kes tuntutan ini juga dibuat agar pihak penerbit tidak sewenang-wenangnya 'mempermainkan' hak pelakon. "Saya juga tidak ada masalah jika dia (Erma) enggan mengambil saya berlakon kerana banyak lagi penerbit-penerbit lain yang mahu menggunakan khidmat saya," katanya.

Sukar berjauhan - Rabecca Nur Islam

LAMA tidak mendengar berita mengenai pelakon jelita, Rabecca Nur Islam dalam bidang seni lakonan. Malah, semenjak melahirkan anak pertamanya, Nor Anggun Raveira pada November tahun lalu, amat jarang sekali dapat bertemu dengan aktres jelita ini. Baru-baru ini, Hits berkesempatan bertemu dengannya pada majlis cukur jambul anak keduanya, Nor Anggerik Renesmee dan sambutan ulang tahun anak pertamanya yang genap usia setahun pada 2 November lalu. Genap 44 hari anak keduanya dilahirkan ketika bertemunya di majlis itu, Rabecca sempat berkongsi kisah mengenai kelahiran anak itu. Menurutnya, tidak banyak perbezaan antara sifat antara anak pertama dan keduanya cuma dalam kandungan sahaja yang banyak berbeza. “Perbezaan antara kedua-dua anak saya ini hanya ketika saya mengandung sahaja. Ketika mengandungkan Anggerik, dia memang lasak. “Dalam perut Anggerik memang berbeza dengan Anggun kerana dia banyak bergerak berbanding Anggun yang banyak diam. “Malah, ketika itu, saya dan suami merasakan yang saya mengandungkan seorang anak lelaki kerana kelasakannya ketika di dalam perut," katanya tertawa. Tambah Rabecca, cuma selepas dilahirkan, barulah nampak perangai Anggerik dan Anggun tidak banyak perbezaan. “Masa dalam pantang, Anggerik tidak banyak berbeza dengan Anggun. Kedua-duanya sangat baik dan tidak banyak ragam. “Bila keluar pun Anggerik diam sahaja. Jarang menangis sampai ramai orang cakap perangai dia sama dengan perangai Anggun," ujarnya. Ditanya mengenai soal kebahagiaan dalam hidup kini, ujarnya dia sangat bersyukur dengan kehidupan yang dimiliki sekarang. “Saya memang bersyukur dengan kehidupan kini. Dikurniakan sebuah keluarga yang besar tambah lagi saya memang suka dengan kanak-kanak. “Malah, kalau ada majlis atau program melibatkan kanak-kanak, saya adalah orang pertama yang akan melibatkan diri. “Bagi saya, anak-anak ini memberi ketengan kepada saya. Apatah lagi dengan suami yang suka membantu, itu membuat saya benar-benar bersyukur dengan apa yang saya miliki kini," jelasnya.

ANAK KETIGA RABECCA NUR ISLAM

Secara terus-terang, pelakon Rabecca Nur Al Islam mengakui yang dia dan suaminya Datuk Nor Azam suka mempunyai keluarga besar. Bermakna bukan tiga anak sahaja, tetapi mereka kemungkinan mengidamkan seramai satu pasukan bolasepak. Rabecca berkata demikian kepada media selepas selamat melahirkan anak ketiganya seberat 3.74 kilogram di Hospital Gleanegles, Ampang, Selangor pada hari Jumaat kira-kira pukul 9.35 pagi. Mereka sebelum ini mempunyai dua anak lain iaitu Nor Adam Daniel, 5 dan Nor Anggun Raveira, 10 bulan.

Rabecca Tiada Masalah Kuruskan Badan Selepas Bersalin

PETALING JAYA: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam berasa gembira kerana tidak perlu melakukan amalan diet yang ekstrem seperti sesetengah wanita lain selepas dia melahirkan anak sulungnya, Nor Anggun Raverra pada 2 November lalu. Rabecca atau nama panggilannya, Becca, 26, berkata, dia bersyukur kerana tubuh badannya tidak terlalu berisi dan sekali gus tidak menyukarkan dia untuk kembali langsing seperti sebelum hamil. "Alhamdulillah, saya tidak perlu bersusah payah untuk menjalani rutin diet kerana tubuh badan saya tidak banyak berubah.
"Malah sepanjang mengandungkan Anggun, berat saya tidak naik, kandungan sahaja yang membesar. "Cuma saya akan mengamalkan minum pati ikan haruan dan berpantang cara tradisional selama 100 hari untuk menjaga kesihatan dalaman," katanya yang dihubungi mStar Online, dekat sini, Isnin. Becca selamat melahirkan Anggun secara pembedahan pada 2 November lalu, pukul 8.19 pagi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur. Bayi tersebut dilahirkan dengan berat 3.4 kilogram. Tambah Becca, dia dan Anggun akan menjalani rawatan susulan oleh doktor dan jururawat peribadi di rumahnya.
Ditanya mengenai perasaannya melahirkan Anggun selepas dua kali mengalami keguguran, dia bersyukur dan gembira apabila bayi yang dilahirkan itu sihat dan sempurna. "Saya tidak sabar menunggu dan melihat setiap detik pembesaran Anggun dan semestinya saya ingin menghiasi dia dengan pakaian-pakaian yang comel. "Suami dan anak lelaki saya, Adam Daniel turut teruja dengan kehadiran Anggun. Dia telah menyempurnakan hidup kami sekeluarga," ujarnya. Sementara itu, pelakon drama Jangan Tegur... Lagi itu akan berehat untuk sementara daripada dunia lakonan dan akan kembali aktif selepas empat atau lima bulan akan datang. Becca telah mendirikan rumah tangga dengan seorang peguam, Nor Azam Sulaiman, 44, pada 14 Januari 2011 di kediaman mereka di Ukay Perdana, Ampang dekat sini.

Rabecca tak sabar beli baju bayi

PERKARA yang paling menggembirakan buat setiap wanita yang bergelar isteri sudah tentu apabila disahkan mengandung anak sulung. Nyata, perasaan itu kini dialami pelakon Rabecca Nur Al-Islam Ahmad apabila disahkan mengandung buat kali ketiga selepas dua kandungan terdahulunya gugur. Melayari bahtera rumah tangga bersama ahli perniagaan, Nor Azam Sulaiman sejak mengikat tali pernikahan pada 14 Januari tahun lepas, kini dia sedang mengandung bayi pertamanya dari darah dagingnya sendiri dan dia dijangka melahirkan bayi perempuan pada awal November ini. Pelakon filem Keramat yang lebih mesra dengan panggilan Becca itu kini sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membeli kelengkapan bayinya itu, namun dia akur dengan pantang larang orang-orang tua supaya membeli kelengkapan ketika kandungan berusia lapan bulan ke atas. Disebabkan dia sudah ada pengalaman duka bayi terdahulu yang dikandungnya gugur ketika berusia beberapa minggu, Becca kini agak fobia dan mengamalkan pantang larang orang tua bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Ketika ditemui di rumahnya di Sering Ukay Perdana, luah Becca: “Saya kena tunggu kandungan berusia lapan bulan dahulu. Orang tua-tua cakap tak elok beli barangan bayi pada awal kandungan, saya ikut pesanan itu sebagai langkah berjaga-jaga.” Beritahunya yang kini mempunyai seorang anak berusia empat tahun iaitu Nor Adam Daniel, perasaan tidak sabar untuk membeli barang seperti katil, kereta sorong dan baju bayi itu amat luar biasa sekali dirasakannya. Rahsiakan nama anak Sungguhpun sudah mempunyai dua anak tiri, Nor Arif Qayyum, 16, dan Nor Khaiyrin Sofiya Nor Azam, 10, selain Adam, Becca bagaimanapun berjanji untuk memberikan kasih sayang yang sama rata tanpa mengira sama ada mereka anak kandungnya atau tidak. “Adam sendiri sekarang bukan main lagi apabila perut saya sudah kelihatan, dia selalu cium perut saya dan sangat cemburu dan marah apabila papanya (Nor Azam) buat perkara yang sama kerana bagi Adam dia seorang yang boleh cium baby,” katanya. Begitu juga dengan Nor Arif dan Nor Khaiyrin, kata Becca, mereka juga teruja untuk mendapat adik baharu dan sering mengajaknya untuk membeli barangan bayi. Tambah Becca, sepanjang mengandung, dia tidak mempunyai sebarang kesukaran yang ketara kecuali mual ketika kandungan berusia dua dan tiga bulan.
“Sekarang sudah okey, cuma sepanjang bulan puasa, saya tidak tahan lapar kerana bayi mesti menendang-nendang jika lapar,” jelasnya yang ingin merahsiakan nama yang dipilih kepada bayinya itu. Dia memberitahu lagi, perubahan dirinya ketika mengandung tidak ada yang sangat ketara melainkan kulitnya yang kelihatan lebih gelap dari kebiasaan. “Syukur saya tidak alami masalah macam sesetengah ibu mengandung lain, cuma kulit saya macam gelap sikit, orang tua cakap kalau mengandung bayi perempuan dia akan ambil seri ibunya,” kata yang pernah berlaku drama bersiri Dejavu Di Kinabalu. Becca turut memberitahu, anaknya Adam turut menunjukkan sikap yang agak lasak dari kebiasaan ketika dirinya disahkan mengandung. “Dia jadi kanak-kanak yang hiperaktif. Mungkin dia mahu perhatian saya dengan selalu melakukan perkara yang di luar jangkaan. Saya pernah dengar cerita kalau budak mahu dapat adik selalunya begitu, jadi saya akur dan tidak terlalu tegas dengan perangainya itu,” jelasnya. Beraya di Johor Selain mengandung anak sulung, Becca turut teruja untuk menyambut Aidilfitri, apabila tahun ini adalah giliran mereka sekeluarga beraya di kampung halaman Becca di Johor Bahru, Johor. Jika tahun lepas Becca sekeluarga telah pulang ke kampung keluarga suaminya di Sarawak, kali ini giliran beraya di Johor pula. “Kami sekeluarga pulang dua hari sebelum Aidilfitri selama seminggu,” ujarnya yang menggemari semua jenis masakan yang berasal dari kampung halamannya. Dia memberitahu, keseronokan dapat pulang ke Johor apabila dapat bertemu adik-beradiknya dan kemeriahan menyambut Aidilfitri cukup dirasai kerana dia mempunyai saudara yang rama di sana. “Saya ada lapan adik-beradik, itu tidak termasuk 15 orang anak buah lagi, memang meriah dan seronok sangat,” jelasnya yang sudah tentu menikmati lontong Johor sebagai juadah wajib hari raya.

Rabecca Menangis Keguguran Anak Sulung


PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rabecca Nur Al-Islam, 25, menganggap keguguran kandungannya yang baru mencecah usia dua bulan sebagai tiada rezeki.

Dia yang pada mulanya mengalami pendarahan dan sakit perut dikejarkan ke Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.

“Pada malam kejadian saya sakit di bahagian bawah perut dan berlaku pendarahan. Suami saya bawa ke hospital dan apabila diperiksa bayi dalam kandungan sudah tidak bernyawa.

“Kemudian doktor melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi. Kata doktor bayi tersebut sudah beberapa hari meninggal dunia tanpa saya sedari,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Tambah Rabecca, dia masih lagi berasa terkejut, kecewa dan sedih dengan kejadian yang menimpanya.

“Ketika mendapat tahu perkara tersebut saya tak henti menangis, mungkin saya terlalu berharap untuk mendapatkan bayi.

“Alhamdulillah, suami saya sentiasa berada di sisi dan memberi sokongan agar tidak terlalu bersedih dengan apa yang sudah berlaku itu,” katanya yang dijangka keluar pusat perubatan berkenaan Khamis.

Rabecca telah mendirikan rumah tangga bersama seorang peguam Nor Azam Sulaiman pada 15 Januari lalu dan mempunyai seorang anak angkat bernama Nor Adam Danie yang kini berusia tiga tahun.

Katanya, sejak mengetahui dirinya mengandung, dia sudah menolak semua tawaran berlakon untuk berehat buat sementara waktu.

Peguam Duda Bakal Suami Rabecca


KUALA LUMPUR: Pelakon Rabecca Nur Al-Islam, 24, (gambar) bakal menamatkan zaman bujangnya pada 14 Januari 2011 dengan seorang peguam, Nor Azam Datuk Sulaiman berusia 42 tahun.

Menurut Rabecca, dia akan mengadakan tiga majlis berturut-turut iaitu pada 14 Januari bagi acara pernikahan sementara 15 dan 16 Januari pula bagi acara persandingan.

"Pada 14 hari bulan, pernikahan akan diadakan di rumah baru saya di Ampang, Selangor manakala majlis resepsi sehari selepas itu di Hotel Flamingo, Ampang berkonsepkan tradisional.

"Manakala 16 hari bulan pula ia akan diadakan di Menara Kuala Lumpur berkonsep Inggeris, di mana hanya 250 tetamu sahaja yang akan hadir.

"Syukur alhamdulillah setelah tiga tahun bercinta, kami bakal disatukan," katanya pada sidang media pengumuman perkahwinannya di butik Harrods, KLCC di sini, Jumaat.

Tambahnya, pengumuman yang dibuat itu secara tidak langsung menutup khabar angin tentang kisah percintaannya dengan seorang VIP.

"Sebenarnya saya tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana VIP. Bakal suami saya pun bukanlah di kalangan mereka sebaliknya haya orang biasa.

"Dia hanya seorang duda biasa yang memiliki dua orang anak," tegasnya.

Ditanya mengenai jumlah hantaran yang bakal diterima, Rabecca masih tidak tahu berapa nilai hantaran yang akan diberi oleh pihak lelaki.

"Memang saya tak tahu berapa hantaran yang akan saya terima. Cuma dengan apa yang saya dapat sekarang ini seperti sebuah rumah di Ampang dan jam tangan jenama Chopard sudah memadai," katanya.

Tak semurah itu-Rabecca


EPISOD kontroversi Rabecca Nur Al Islam Ahmad belum berakhir. Kisah penampilannya yang seksi, isu ditaja VIP dan pernah dilabel liar sudah basi diperkatakan. Biarpun dipalit pelbagai cerita nakal, namun untuknya melenting, tidak sekali.

Bagaikan adat menjadi orang cantik dan punya nama glamor, ada saja yang cuba membuat cerita. Terbaru, timbul pula khabar angin mengatakan pelakon kelahiran Johor Bahru yang berusia 24 tahun ini mula berjinak-jinak dengan hartawan dari Indonesia.


Bingkas Rabecca menyoal semula, bagaimana pula spekulasi ini boleh timbul sedangkan kesahihannya jauh entah ke mana. Kononnya pelakon yang popular menerusi drama rantaian termasuk Sutera Maya, Gadis Kosmo, Jangan Tegur Lagi dan Jalan Pinang Sebatang dikatakan kerap berkunjung ke negara itu kebelakangan ini. Mustahil juga jika alasan diberi berkaitan urusan kerja kerana kekerapan Rabecca ke sana seperti ahli perniagaan yang punya cawangan syarikat di sana.

Lantas peluang bersembang dengannya membuka ruang buat isu ini disingkap dan dijelaskan.

“Kelakar juga apabila mendengar spekulasi ini. Bila difikirkan semula, ada saja kisah peribadi saya yang menjadi perhatian ramai meskipun tidak pernah pula saya menjemput mana-mana jurufoto atau teman wartawan mengikut gerak-geri saya hingga ke lapangan terbang. Namun tidak sangka pula ada yang berprasangka kononnya saya menjalin hubungan dengan seseorang di luar negara hanya kerana acap kali mengunjungi Indonesia.

“Jujurnya, masih ramai yang tidak mengenali saya dan latar belakang keluarga. Saya tidak mahu berdalih atau mengelak sebaliknya saya ingin terus mengakui yang memang benar, saya kerap ke Jakarta dan Bandung. Bukan atas urusan kerja dan juga tiada kena-mengena dengan isu kekasih yang disorokkan di sana. Sebaliknya kunjungan saya ke Jakarta adalah untuk bertemu keluarga dan menziarahi mereka.

“Keluarga sebelah ibu saya adalah orang Jawa di Johor Bahru dan kebanyakan mereka berasal dari Jakarta dan Bandung. Keluarga saya memang besar dan bayangkanlah, ibu saya saja mempunyai 16 adik-beradik. Justeru, saya mempunyai ramai sepupu dan sanak-saudara yang penuh menetap di Jakarta dan Bandung.

Kunjungan saya ke sana hanya untuk bertemu mereka jika ada kelapangan dan tidak pernah pula saya ke sana sendirian, sebaliknya mak atau kakak akan menemani sekali ke sana.

“Kebetulan, saya memang gemar membeli-belah dan berjalan, jadi peluang merayap ke sana tidak akan dilepaskan. Lagipun, saya tidak perlu menyewa hotel atau memikirkan soal kenderaan kerana semua saudara sentiasa menanti kedatangan saya. Tidak ada kaitan dengan bertemu kekasih atau punya agenda lain yang cuba saya sembunyikan,” tegas ibu kepada Noor Adam Daniel ini.

Enggan mengulas lanjut mengenai teman hidupnya, sebaliknya Rabecca lebih selesa untuk menyimpan kisah peribadinya tanpa sebarang perhatian media.

Bagaimanapun, Rabecca punya alasannya sendiri tatkala ditanya mengenai soal kehidupan mewahnya yang dilihat melangkaui kerjaya lakonannya. Tidak melatah atau tidak sekali terhenti kata, tercari-cari alasan sesuai, namun dengan bersahaja Rabecca menjawabnya.

“Sejak di bangku sekolah lagi, saya bukan jenis yang suka meminta-minta. Baik duit sekolah mahupun perbelanjaan harian, saya lebih selesa mencari sendiri dengan bekerja hingga ada kalanya mak dan ayah berasa pelik. Memang sejak tamat persekolahan lagi, saya sudah mula bekerja mencari duit poket sendiri bagi menampung selera mewah saya. Saya suka bergaya dan tampak cantik, justeru semua yang dibeli menggunakan duit hasil titik peluh sendiri.

“Hingga kini mengecapi kehidupan sebagai selebriti, tidak dinafikan ada pihak datang menghimpit. Namun sayangnya, saya bukan semurah itu atau senang ditabur janji. Apa yang lebih mendatangkan rasa puas adalah apabila kita dapat merasai hasil penat lelah sendiri kemudiannya ia dibelanjakan untuk memenuhi permintaan diri. Itu lebih bermakna dan akan wujud rasa sayang akan apa saja yang dibeli.

“Saya tidak pernah ditaja atau mempunyai seseorang yang menabur wang ringgit di belakang saya. Kehidupan saya seharian atau segala kos penerbangan saya ke Jakarta adalah menggunakan hasil kerja lakonan saya selama ini. Hampir tujuh tahun menjadi anak seni, saya tahu menguruskan kewangan sendiri.

“Saya seorang yang sangat kuat bekerja dan mementingkan hasil kerja yang sempurna. Tiada masa untuk memikirkan soal lelaki atau mencari masalah dengan membiarkan lelaki mengikat saya semata-mata untuk menagih kemewahan,” katanya yang baru saja selesai penggambaran drama Trilogi Cinta yang bakal ditayangkan pada Januari depan dan filem terbitan MIG berjudul Keramat.

Rabecca Perjelas Gosip Kahwin Duda


PETALING JAYA: Pelakon seksi, Rabecca Nur Al-Islam menafikan khabar angin yang dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan duda anak dua pada Januari tahun depan.

Menurut Rabecca, dia enggan memberikan sebarang komen mengenai perkahwinannya itu dan menganggap ia sekadar gosip biasa sahaja.

"Apa-apa pun, dalam masa terdekat ini saya tak mahu komen. Saya akan beritahu semuanya bila tiba masa," katanya ketika dihubungi mStar Online, disini, Selasa.

Sementara itu, gambar Rabecca bersama seorang lelaki yang dikatakan kekasihnya itu telah pun tersebar di Internet.

Difahamkan, lelaki tersebut begitu rapat dengan anak angkat Rabecca, Adam, berdasakan gambar yang dipaparkan.

Bagaimanapun, Rabecca yang popular menerusi drama Legasi 43 Karat itu berkata lelaki berkenaan bukan kekasihnya seperti yang didakwa.

"Saya belum lihat lagi gambar yang disebarkan itu. Tapi saya percaya mungkin gambar-gambar itu adalah abang saya. Saya mempunyai lima orang abang," jelasnya.

Ditanya pula adakah dia kini sedang dilamun cinta dengan seseorang, katanya: "Tunggulah nanti saya beritahu."

Rabecca Tidak Hipokrit Kerana Nama


PENAMPILAN yang seksi dan mengoda membuatkan Rabecca Nur Al-Islam,24, tidak lari daripada menerima tohmahan gara-gara nama dan personaliti yang dikatakan tidak seiring.

Namun bagi Rabecca, dia mahu menjadi dirinya sendiri dan tidak enggan bersikap kepura-puraan seperti segelintir manusia lain.

"Saya tidak faham bagaimana orang menilai seksi. saya rasa saya biasa sahaja. Saya hanya jadi diri sendiri. Tidak semestinya nama saya Rabecca Nur Al Islam saya perlu jadi hipokit.

"Saya tahu orang ingin saya bawa nama ini dengan watak yang sentiasa baik. Tapi tiada siapa di dunia ini yang sempurna. Namun saya akan cuba perbaiki diri ke arah yang lebih baik.

"Saya berpakaian sesuai dengan keadaan. Lagipun saya dilahirkan dalam keluarga yang terbuka dan positif, keluarga tidak mengongkong cara saya berpakaian," jelasnya.

Dalam pada itu, Rabecca memberitahu bangga dengan nama yang dimilikinya. Malah dia juga mengakui jatuh cinta dengan nama peliknya itu.

"Nama saya memang agak pelik tetapi secara jujur saya bangga dan jatuh cinta dengan nama ini, sebab itu saya lebih suka memperkenalkan diri dengan nama penuh saya.

"Bukan saya sahaja malah adik beradik yang lain semua mempunyai nama yang pelik. Itu adalah keunikan keluarga kami dan membezakan dengan orang lain," jelas Rabecca yang mempunyai darah kacukan Arab,Cina,Indonesia dan Melayu ini.

Bercerita tentang kerjaya, dia yang sudah 7 tahun menceburi bidang lakonan bakal keluar dengan filem terbaru berjudul Keramat terbitan Metrowelth tidak lama lagi.

Filem ini merupakan percubaan pertama Rabecca untuk meneruskan langkahnya kedunia filem. Bagaimanapun menurut anak jati Johor ini berlakon filem bukanlah cabaran besar buat dirinya.

"Tidak banyak perbezaan antara drama dan filem. Penggambaran drama lebih panjang berbanding filem tetapi filem lebih rumit kerana perlu memasukkan semula suara selepas selesai penggambaran.

"Tapi ia bukanlah cabaran besar sebab saya sebelum ini memulakan kerjaya lakonan daripada lakonan teater," jelasnya yang pernah berlakon teater Sirah Junjungan.

Bercerita tentang watak yang sering dilakonkan, dia mengakui lebih banyak ditawarkan watak antagonis berbanding watak wanita baik.

"Raut wajah saya yang garang mungkin menyebabkan saya dipilih memegang watak antagonis. Namun saya tidak kisah kerana saya lebih mudah membawa watak jahat berbanding watak baik.

"Tetapi jika diberi pilihan saya lebih gemar melakonkan watak aksi seperti yang sering dilakonkan oleh Angelina Jolie," jelasnya.

'Saya tak kisah'-Rabecca


DILABEL sebagai 'artis 'ambulans' tidak sedikit pun mematahkan semangat Rabecca Nur Al-Islam Ahmad untuk terus aktif berlakon.

Ini kerana baginya cerita itu semua tidak benar dan sekadar cakap orang saja.

Seorang yang tegas pendirian, gadis kelahiran Johor Bahru ini mengakui dia lebih tahu apa yang berlaku.

Malah, katanya, pihak MIG Production Sdn Bhd pun tahu apa yang terjadi.

"Justeru, kerjasama antara kami masih terjalin erat," katanya.

Menurut Rabecca, selepas terbabit dalam drama seram Jangan Tegur Lagi, kini dia menjalani penggambaran drama Jalan Pinang Sebatang juga terbitan MIG.

Kali ini dia berlakon di bawah arahan sutradara, Azhari Zain.

"Bagi saya, kisah artis 'ambulans' itu terjadi kerana orang yang melabelkan diri ini.

"Kebenarannya hanya saya yang tahu. Oleh itu, saya tidak kisah dan ambil peduli apa orang hendak cakap asalkan saya berada di pihak yang benar.


"Saya tak serik untuk terus bekerjasama dengan MIG kerana mereka tahu apa yang berlaku. Saya bersyukur rezeki berlakon masih murah dan mana tahu dapat tawaran beraksi dalam filem pula selepas ini.

"Sudah lama teringin hendak berlakon filem cuma peluang belum tiba. Apapun, saya yakin jika terus usaha pasti berjaya. "Ditambah lagi, mungkin rezeki buat anak Nor Adam Daniel yang akan berusia dua tahun pada hujung Mac ini.

"Lagipun, sekarang kasih sayang dan tumpuan saya kepadanya saja. Jika tiada penggambaran drama, saya akan meluangkan sepenuh masa bersamanya dengan membawanya bersiar-siar," katanya.

Berusia 24 tahun, Rabecca tidak pernah bersembunyi mengenai kisah cintanya.

Bahkan, dia juga mengakui hatinya sudah terisi dengan kehadiran jejaka berstatus duda anak dua.

Bagi anak ketujuh dalam keluarga ini, jodoh ketentuan Tuhan.

"Saya merancang untuk berkahwin tahun ini atau pun 2011 nanti. Namun, saya hanya merancang kerana yang menentukannya Yang Maha Esa.

"Cuma, setiap wanita tentunya mengimpikan perkahwinan dengan orang tersayang dan dicintai.

"Begitu juga dengan saya kerana apabila difikirkan sampai bila harus berkawan saja. Perkenalan kami sudah lama dan sewajarnya ia berakhir dengan perkahwinan.
"Malah, si dia pun dilihat boleh menerima saya dan Adam dalam kehidupannya.

"Ini sangat penting bagi kami kerana bukan mudah membina keluarga bahagia. Saya pun dapati dia serasi dengan Adam dan percaya boleh menjaga kami berdua.

"Selain itu, apa yang penting dia memahami karier saya sebagai anak seni," katanya.

Ditanya mengenai dirinya yang semakin seksi, Rabecca menafikannya.
Jelasnya, pakaian pilihannya bukanlah yang menjolok mata, tetapi bersesuaian dengan diri dan kena pada majlis dihadiri.

"Saya tidak melihat diri saya seksi. Apa yang digayakan selesa dan mengikut keadaan majlis. Barangkali orang melabelkan saya seksi berdasarkan bentuk badan. Bagaimanapun, terpulanglah pada persepsi mereka.

"Ia hak individu dan saya tidak boleh menghalang. Bagi saya, ini perkara biasa, tetapi sedar bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Dalam bidang seni, persaingan sengit dan harus berani menyahut cabaran yang datang," katanya.

Berbicara mengenai lakonannya dalam drama Jalan Pinang Sebatang, Rabecca berkata dia membawa watak sebagai isteri Jalil Hamid.

Bergenre komedi, drama 13 episod itu mengetengahkan kisah rumah tangga yang pasti mencuit hati.

"Ini pengalaman pertama saya berlakon siri komedi. Namun, apa yang boleh dikatakan sepanjang di lokasi penggambaran, memang melucukan. Ketawa tak gering gusi dan seronok berlakon di bawah arahan Azhari," katanya.

PROFIL
NAMA: Rabecca Nur Al-Islam Ahmad
PANGGILAN: Becca
USIA: 24 tahun
TARIKH LAHIR: 30 April 1986
ASAL: Johor Bahru
KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model
KELUARGA: Anak ketujuh daripada lapan beradik
STATUS: Bujang
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Simbiosis, Gerak Khas, Dua Hati, Dendam, Cinta Bukan Di Atas Kertas, Korban Sakina, Tangisan Bulan Madu, Bulan Bertemu Bintang, Selembut Sutera Kilauan Mutiara, Sutera Maya, Gadis Kosmo, Kasih Alam, Serpihan Laungan Takbir, Jangan Tegur Lagi, Jalan Pinang Sebatang.
FILEM: Malaikat Maut
TEATER: Anom, Di Mana Bumi Dipijak dan Sirah Junjungan Tahajud Cinta

Dia bukan kaki pukul! - Rabecca


DALAM diam tiba-tiba sahaja nama pelakon jelita Rabecca Nur Al-Islam kembali hangat. Kali ini bukan kerana dia berpakaian seksi tetapi kerana dia dikatakan bercinta dengan seorang kaki pukul.

Entah dari mana perkhabaran negatif itu timbul, tidak diketahui oleh Rabecca atau mesra disapa Becca kerana dia mengetahui cerita 'panas' itu daripada mulut rakan-rakannya sendiri.

Selepas puas ditanya mengenai gosip terbaru itu, Becca hanya tertawa panjang kerana baginya kekasih yang dikenalinya sejak dua tahun yang lalu seorang yang penyayang, malah tidak pernah menjentiknya apatah lagi memukulnya.

"Saya pun tidak tahu macam mana dan bagaimana cerita itu boleh muncul secara tiba-tiba kerana saya kenal siapa kekasih saya. Kami amat bahagia dan tidak pernah bergaduh. Dia bukan lelaki panas baran.

"Mungkin orang tersalah pandang kekasih saya, itu yang muncul gosip," katanya.

Ditanya bagaimana pula reaksi kekasihnya yang juga seorang duda beranak dua setelah gosip itu tersebar, Becca tidak menafikan dia dan kekasihnya turut terkejut. Namun, itu tidak menggoyahkan hubungan mereka.

"Dia pun pelik macam mana boleh timbul gosip itu, dia ada hubungi saya bila kawan-kawan dia terbaca dalam Internet. Bila saya terangkan kepadanya baru dia faham dan boleh menerima situasi itu.

"Alhamdulillah, hubungan kami masih baik kerana saya kenal siapa dia dan dia kenal siapa saya," terangnya.

Tambahnya, biasanya setiap gosip yang mengaitkan dirinya pasti akan diketahui kerana Becca mempunyai pasukan pemantau di Internet.

"Bunyi macam pelik tetapi saya memang ada rakan-rakan yang kerjanya sentiasa memantau setiap forum dan laman web. Jadi kalau ada cerita gosip terbaru, saya akan tahu, jadi tidaklah terkejut sangat bila gosip itu jadi hangat," balasnya.

Bukan perampas

Bercerita tentang percintaannya bersama duda berusia 40-an sedangkan usia Becca baru mencecah angka 23 tahun, pasti ramai yang menyangka gadis jelita itu seorang perampas suami orang. Apa yang pasti telahan itu adalah tidak tepat sama sekali.

Mengakui lebih selesa bercinta dengan lelaki lebih berusia tetapi jauh di sudut hati Becca langsung tidak tergamak untuk merampas lelaki yang berstatus suami orang.

"Tolong jangan sangka saya begitu. Mula-mula saya kenal dia (kekasih) saya sangka dia bujang sebab dia nampak muda. Bila kawan-kawan kata dia sudah ada anak dua dan sudah lama menduda saya agak terkejut.

"Bila tahu kisah sebenar saya lebih tertarik untuk saya mengenalinya. Saya tidak kisah dia duda dengan anak dua berusia 13 tahun dan 7 tahun. Asalkan dia bukan suami orang sebab saya tidak sanggup untuk melukakan hati wanita lain," luahnya.

Menceritakan detik perkenalan mereka dua tahun yang lalu, Becca menjelaskan mereka ditemukan oleh rakannya, ketika itu Becca merupakan seorang ejen insurans dan baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

Tidak sangka perkenalan yang tidak diundang itu berkekalan sehingga hari ini dan diharapkan akan kekal ke jinjang pelamin.

Lelaki bertuah yang bekerja sebagai seorang peguam itu terlalu istimewa buat Becca kerana dia amat memahami diri Becca sebagai wanita.

"Dia adalah seorang kawan baik, lelaki yang terdekat dengan saya selain papa dan lima abang saya. Dia menyenangkan dan tidak pernah memeningkan kepala sebab dia amat memahami," tuturnya jujur.

Becca tunggu dipinang

Menjelaskan lebih lanjut hala tuju hubungan cinta, Becca tidak menafikan dia juga seperti wanita lain yang mengimpikan hubungan dinoktahkan dengan sebuah perkahwinan.

Namun, sebagai wanita Becca mengatakan dia tidak layak untuk meletakkan sasaran tarikh perkahwinan kerana semua itu ditentukan setelah lamaran dibuat oleh kekasih hatinya.

"Sebenarnya walaupun saya berumur 23 tahun tetapi saya sudah lama impikan alam perkahwinan kerana saya sukakan kehidupan berkeluarga.

"Dulu memang saya teringin nak berkahwin segera, sekarang tiba-tiba sibuk jadi saya tidak fikirkan sangat. Dulu masa teringin nak kahwin tidak ada siapa nak pinang (ketawa).

"Jadi, sekarang saya tidak boleh cakap lebih kerana kuasa meminang itu datangnya daripada lelaki bukannya perempuan. Saya tunggu dia pinang saya," beritahunya.


Becca yang turut mempunyai seorang anak angkat bernama Nor Adam Daniel berusia setahun enam bulan mengatakan meskipun jurang usia antara mereka agak besar tetapi itu bukan halangannya untuk mereka bersama.

"Saya ada anak, dia juga ada anak, jadi masing-masing faham dengan tanggungjawab masing-masing. Saya rapat dengan anak-anaknya dan kalau ada masa kami juga selalu keluar bersama. Umur itu tolak ketepi kerana saya sukakan lelaki yang matang.

"Memang saya berharap agar hubungan kami diakhiri dengan perkahwinan sehingga kami menutup mata," katanya.

Ulas Becca lagi, andai jodohnya bersama kekasih tiba lebih awal, dia tidak menolak meskipun namanya kini sedang mendaki puncak populariti.

"Kalau ada jodoh pada usia muda, saya tak kisah, sebab bagi saya tidak semestinya kahwin rezeki kurang. Ramai pelakon wanita yang kahwin rezeki mereka masih banyak.

"Wanita kerja keras macam mana pun tetap kena kahwin kerana akhirnya kita tetap duduk di dapur. Kita tak boleh jadi ketua, hanya lelaki yang boleh jadi ketua dan berkahwin lewat wanita sebaliknya," ujarnya.

Becca yang baru sahaja balik daripada bercuti selama 12 hari di kampung halamannya Johor Bahru bakal sibuk di lokasi penggambaran drama terbaru terbitan Metrowealth International Group (MIG) yang berjudul Jangan Tegur Lagi.

Drama yang akan ditayangkan di TV3 pada bulan November depan itu menggandingkan Becca selaku teraju utama bersama pelakon Eizlan Yusof.

Rabecca pilih duda anak dua


Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
Bagaimanapun calon suaminya itu mestilah menyayangi anak angkatnya, Nor Adam Daniel, setahun empat bulan, kerana dia mengasihi kanak-kanak itu melebihi dirinya sendiri.

Menurut Rabecca, yang semakin laris membintangi pelbagai drama dan telefilem, dengan berkahwin jiwanya akan lebih tenteram kerana terlepas daripada tohmahan serta fitnah dunia.

Dia yang suka memasak teringin untuk menyediakan juadah kesukaan untuk suami tercinta.

Andai kata bertemu jodoh nanti, Rabecca berazam menjadi isteri dan ibu terbaik.

Apabila bercakap mengenai jodoh, dia sudahpun ada pilihan hati iaitu duda anak dua.

Dia menyifatkan lelaki itu amat baik dan memahami diri dan kerjayanya sebagai pelakon.

“Jika ada yang masuk meminang, sekarang saya hendak berkahwin. Saya seronok menguruskan rumah tangga dan pasti tambah bahagia dengan kehadiran cahaya mata.

“Bagaimanapun, lelaki itu mesti dapat menerima Adam seperti anak mereka sendiri.

“Saya bersusah payah menjaganya dari kecil, berjaga malam dan hati tidak tenang apabila dia tidak sihat.

“Adam segala-galanya bagi saya. Semakin besar, Adam semakin cerdik dan kasih sayang saya melimpah ruah untuknya. Ketika keluar bekerja Adam dijaga emak saya (Asbah Aris).

“Oleh itu saya tidak mahu ada orang yang menjadi penghalang kasih sayang saya dengan Adam. Saya faham bukan semua orang boleh menerima anak angkat, tetapi Allah s.w.t takdirkan Adam menjadi anak saya.

“Duda anak dua itu mengerti keadaan saya yang ada ‘anak segera’ dan dapat menerima kami berdua seadanya.

“Dia juga tidak mudah cemburu buta, sebab itulah saya selesa berkawan dengan lelaki berusia.

“Mereka matang dan bertanggungjawab serta tidak pernah mencampuri urusan seharian saya. Bukan semua orang boleh faham kerjaya anak seni.

“Disebabkan kesibukan masing-masing, kami jarang berjumpa dan percintaan kami lebih banyak berlangsung menerusi telefon dan SMS. Dek kerana itu juga orang jarang terserempak saya keluar berduaan dengan mana-mana lelaki.

“Dalam pergaulan saya juga perlu menjaga hati emak dan ayah. Emak paling memahami dan ayah pula selalu memantau aktiviti serta mengambil berat penampilan saya.

“Jika saya bergaya seksi dalam akhbar atau majalah, ayah pasti berleter. Saya faham, orang tua mana yang tidak sayangkan anaknya.

“Tetapi sehingga kini kekasih saya itu belum buka mulut bila akan mengakhiri perhubungan kami ke jenjang pelamin. Sebagai wanita dan mengikut adat, saya tunggu sajalah,” katanya.

Rabecca yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik rapat dengan emak dan kakaknya, Farah Nur Hidayah. Biarpun mampu hidup bersendirian, namun dia lebih selesa tinggal bersama emaknya di Ampang.

“Emak juga kawan baik saya yang boleh berkongsi apa saja cerita. Emak tahu dengan siapa saya berkawan kerana sebagai anak saya tidak boleh membelakangkan keluarga apatah lagi emak. Beliau yang melahir dan membesarkan saya sudah tentu beliau insan yang dapat memahami hati budi saya.

“Apabila saya bersikap terbuka dengan emak, tidak apa yang perlu dirisaukan.

“Emak juga tidak pernah peduli gosip yang tersebar di luar sama kerana beliau lebih tahu siapa saya.

“Sementelah lagi saya tinggal bersamanya. Kalau tiada emak, kakak jadi galang gantinya. Selepas tamat pengajian, kakak turut tinggal bersama saya dan emak,” katanya.

Tambah Rabecca, apabila berkahwin kelak, dia akan terus berlakon kerana apabila sekali melangkah menjadi anak seni, maka selamanya dia akan mencintai bidang itu.

“Pun begitu mungkin tidak seaktif zaman bujang kerana ada tanggungjawab yang menunggu di rumah. Andai tidak dapat berlakon pun, mungkin saya akan membuka syarikat produksi sendiri dan bekerja di belakang tabir.

“Melihat kejayaan David Teo dan Datuk Yusof Haslam sebagai produser drama dan filem saya mempunyai angan-angan untuk menurut jejak mereka.

“Saya ingin mempunyai nama besar seperti mereka membina empayar perniagaan dalam bidang penerbitan,” katanya.

Perkembangan lain, sepanjang Ramadan lalu dia sibuk ke lokasi drama bersiri Legasi 43 Karat, arahan Along Kamaludin.

Disebabkan dia perlu memberikan seluruh komitmen terhadap drama itu, Rabbeca terpaksa menolak enam tawaran berlakon telefilem, drama dan filem.

“Legasi 43 Karat diterbitkan dalam 25 episod. Memang sayang terpaksa menolak semua tawaran itu, tetapi saya tiada pilihan lain.

“Drama itu kini sedang ditayangkan di TV3 dalam slot Samarinda, jam 10.30 malam. Dek kerana itu juga penggambaran terpaksa dilakukan setiap hari bagi menepati jadual siaran,” katanya.

Dalam drama itu, Rabecca pegang watak Felisa, wanita yang garang dan kasar namun berubah laku selepas bertemu Johan (Sam Saheizy) dan Danni, (Ezany). Persahabatan yang terjalin mewujudkan cinta tiga segi antara mereka.

Dengan kesibukan itu juga Rabecca tidak berniaga kuih raya.

Bagaimanapun dia tetap mencari masa membuat dua tiga jenis kuih raya kegemarannya untuk dihidang pada hari mulia itu dan juga diberikan kepada media dan sahabat handai.



NAMA: Rabecca Nur Al-Islam Ahmad

USIA: 23 tahun

TARIKH LAHIR: 30 April 1986

TEMPAT LAHIR: Majidee Baru, Johor Bahru

ADIK-BERADIK: Anak ketujuh daripada lapan beradik

TINGGI: 170 sm

BERAT: 48 kilogram

STATUS: Solo

ANAK ANGKAT: Nor Adam Daniel, setahun empat bulan

KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model

DRAMA: Simbiosis, Gerak Khas, Dua Hati, Dendam, Cinta Bukan Di Atas

Kertas, Korban Sakina, Tangisan Bulan Madu, Bulan Bertemu Bintang, Legasi 43 Karat

FILEM: Malaikat Maut

TEATER: Anom, Di Mana Bumi Di Pijak dan teater Muzikal Sirah Junjungan-Tahajud Cinta
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails