Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rabecca pilih duda anak dua


Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
Bagaimanapun calon suaminya itu mestilah menyayangi anak angkatnya, Nor Adam Daniel, setahun empat bulan, kerana dia mengasihi kanak-kanak itu melebihi dirinya sendiri.

Menurut Rabecca, yang semakin laris membintangi pelbagai drama dan telefilem, dengan berkahwin jiwanya akan lebih tenteram kerana terlepas daripada tohmahan serta fitnah dunia.

Dia yang suka memasak teringin untuk menyediakan juadah kesukaan untuk suami tercinta.

Andai kata bertemu jodoh nanti, Rabecca berazam menjadi isteri dan ibu terbaik.

Apabila bercakap mengenai jodoh, dia sudahpun ada pilihan hati iaitu duda anak dua.

Dia menyifatkan lelaki itu amat baik dan memahami diri dan kerjayanya sebagai pelakon.

“Jika ada yang masuk meminang, sekarang saya hendak berkahwin. Saya seronok menguruskan rumah tangga dan pasti tambah bahagia dengan kehadiran cahaya mata.

“Bagaimanapun, lelaki itu mesti dapat menerima Adam seperti anak mereka sendiri.

“Saya bersusah payah menjaganya dari kecil, berjaga malam dan hati tidak tenang apabila dia tidak sihat.

“Adam segala-galanya bagi saya. Semakin besar, Adam semakin cerdik dan kasih sayang saya melimpah ruah untuknya. Ketika keluar bekerja Adam dijaga emak saya (Asbah Aris).

“Oleh itu saya tidak mahu ada orang yang menjadi penghalang kasih sayang saya dengan Adam. Saya faham bukan semua orang boleh menerima anak angkat, tetapi Allah s.w.t takdirkan Adam menjadi anak saya.

“Duda anak dua itu mengerti keadaan saya yang ada ‘anak segera’ dan dapat menerima kami berdua seadanya.

“Dia juga tidak mudah cemburu buta, sebab itulah saya selesa berkawan dengan lelaki berusia.

“Mereka matang dan bertanggungjawab serta tidak pernah mencampuri urusan seharian saya. Bukan semua orang boleh faham kerjaya anak seni.

“Disebabkan kesibukan masing-masing, kami jarang berjumpa dan percintaan kami lebih banyak berlangsung menerusi telefon dan SMS. Dek kerana itu juga orang jarang terserempak saya keluar berduaan dengan mana-mana lelaki.

“Dalam pergaulan saya juga perlu menjaga hati emak dan ayah. Emak paling memahami dan ayah pula selalu memantau aktiviti serta mengambil berat penampilan saya.

“Jika saya bergaya seksi dalam akhbar atau majalah, ayah pasti berleter. Saya faham, orang tua mana yang tidak sayangkan anaknya.

“Tetapi sehingga kini kekasih saya itu belum buka mulut bila akan mengakhiri perhubungan kami ke jenjang pelamin. Sebagai wanita dan mengikut adat, saya tunggu sajalah,” katanya.

Rabecca yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik rapat dengan emak dan kakaknya, Farah Nur Hidayah. Biarpun mampu hidup bersendirian, namun dia lebih selesa tinggal bersama emaknya di Ampang.

“Emak juga kawan baik saya yang boleh berkongsi apa saja cerita. Emak tahu dengan siapa saya berkawan kerana sebagai anak saya tidak boleh membelakangkan keluarga apatah lagi emak. Beliau yang melahir dan membesarkan saya sudah tentu beliau insan yang dapat memahami hati budi saya.

“Apabila saya bersikap terbuka dengan emak, tidak apa yang perlu dirisaukan.

“Emak juga tidak pernah peduli gosip yang tersebar di luar sama kerana beliau lebih tahu siapa saya.

“Sementelah lagi saya tinggal bersamanya. Kalau tiada emak, kakak jadi galang gantinya. Selepas tamat pengajian, kakak turut tinggal bersama saya dan emak,” katanya.

Tambah Rabecca, apabila berkahwin kelak, dia akan terus berlakon kerana apabila sekali melangkah menjadi anak seni, maka selamanya dia akan mencintai bidang itu.

“Pun begitu mungkin tidak seaktif zaman bujang kerana ada tanggungjawab yang menunggu di rumah. Andai tidak dapat berlakon pun, mungkin saya akan membuka syarikat produksi sendiri dan bekerja di belakang tabir.

“Melihat kejayaan David Teo dan Datuk Yusof Haslam sebagai produser drama dan filem saya mempunyai angan-angan untuk menurut jejak mereka.

“Saya ingin mempunyai nama besar seperti mereka membina empayar perniagaan dalam bidang penerbitan,” katanya.

Perkembangan lain, sepanjang Ramadan lalu dia sibuk ke lokasi drama bersiri Legasi 43 Karat, arahan Along Kamaludin.

Disebabkan dia perlu memberikan seluruh komitmen terhadap drama itu, Rabbeca terpaksa menolak enam tawaran berlakon telefilem, drama dan filem.

“Legasi 43 Karat diterbitkan dalam 25 episod. Memang sayang terpaksa menolak semua tawaran itu, tetapi saya tiada pilihan lain.

“Drama itu kini sedang ditayangkan di TV3 dalam slot Samarinda, jam 10.30 malam. Dek kerana itu juga penggambaran terpaksa dilakukan setiap hari bagi menepati jadual siaran,” katanya.

Dalam drama itu, Rabecca pegang watak Felisa, wanita yang garang dan kasar namun berubah laku selepas bertemu Johan (Sam Saheizy) dan Danni, (Ezany). Persahabatan yang terjalin mewujudkan cinta tiga segi antara mereka.

Dengan kesibukan itu juga Rabecca tidak berniaga kuih raya.

Bagaimanapun dia tetap mencari masa membuat dua tiga jenis kuih raya kegemarannya untuk dihidang pada hari mulia itu dan juga diberikan kepada media dan sahabat handai.



NAMA: Rabecca Nur Al-Islam Ahmad

USIA: 23 tahun

TARIKH LAHIR: 30 April 1986

TEMPAT LAHIR: Majidee Baru, Johor Bahru

ADIK-BERADIK: Anak ketujuh daripada lapan beradik

TINGGI: 170 sm

BERAT: 48 kilogram

STATUS: Solo

ANAK ANGKAT: Nor Adam Daniel, setahun empat bulan

KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model

DRAMA: Simbiosis, Gerak Khas, Dua Hati, Dendam, Cinta Bukan Di Atas

Kertas, Korban Sakina, Tangisan Bulan Madu, Bulan Bertemu Bintang, Legasi 43 Karat

FILEM: Malaikat Maut

TEATER: Anom, Di Mana Bumi Di Pijak dan teater Muzikal Sirah Junjungan-Tahajud Cinta
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails