Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tak semurah itu-Rabecca


EPISOD kontroversi Rabecca Nur Al Islam Ahmad belum berakhir. Kisah penampilannya yang seksi, isu ditaja VIP dan pernah dilabel liar sudah basi diperkatakan. Biarpun dipalit pelbagai cerita nakal, namun untuknya melenting, tidak sekali.

Bagaikan adat menjadi orang cantik dan punya nama glamor, ada saja yang cuba membuat cerita. Terbaru, timbul pula khabar angin mengatakan pelakon kelahiran Johor Bahru yang berusia 24 tahun ini mula berjinak-jinak dengan hartawan dari Indonesia.


Bingkas Rabecca menyoal semula, bagaimana pula spekulasi ini boleh timbul sedangkan kesahihannya jauh entah ke mana. Kononnya pelakon yang popular menerusi drama rantaian termasuk Sutera Maya, Gadis Kosmo, Jangan Tegur Lagi dan Jalan Pinang Sebatang dikatakan kerap berkunjung ke negara itu kebelakangan ini. Mustahil juga jika alasan diberi berkaitan urusan kerja kerana kekerapan Rabecca ke sana seperti ahli perniagaan yang punya cawangan syarikat di sana.

Lantas peluang bersembang dengannya membuka ruang buat isu ini disingkap dan dijelaskan.

“Kelakar juga apabila mendengar spekulasi ini. Bila difikirkan semula, ada saja kisah peribadi saya yang menjadi perhatian ramai meskipun tidak pernah pula saya menjemput mana-mana jurufoto atau teman wartawan mengikut gerak-geri saya hingga ke lapangan terbang. Namun tidak sangka pula ada yang berprasangka kononnya saya menjalin hubungan dengan seseorang di luar negara hanya kerana acap kali mengunjungi Indonesia.

“Jujurnya, masih ramai yang tidak mengenali saya dan latar belakang keluarga. Saya tidak mahu berdalih atau mengelak sebaliknya saya ingin terus mengakui yang memang benar, saya kerap ke Jakarta dan Bandung. Bukan atas urusan kerja dan juga tiada kena-mengena dengan isu kekasih yang disorokkan di sana. Sebaliknya kunjungan saya ke Jakarta adalah untuk bertemu keluarga dan menziarahi mereka.

“Keluarga sebelah ibu saya adalah orang Jawa di Johor Bahru dan kebanyakan mereka berasal dari Jakarta dan Bandung. Keluarga saya memang besar dan bayangkanlah, ibu saya saja mempunyai 16 adik-beradik. Justeru, saya mempunyai ramai sepupu dan sanak-saudara yang penuh menetap di Jakarta dan Bandung.

Kunjungan saya ke sana hanya untuk bertemu mereka jika ada kelapangan dan tidak pernah pula saya ke sana sendirian, sebaliknya mak atau kakak akan menemani sekali ke sana.

“Kebetulan, saya memang gemar membeli-belah dan berjalan, jadi peluang merayap ke sana tidak akan dilepaskan. Lagipun, saya tidak perlu menyewa hotel atau memikirkan soal kenderaan kerana semua saudara sentiasa menanti kedatangan saya. Tidak ada kaitan dengan bertemu kekasih atau punya agenda lain yang cuba saya sembunyikan,” tegas ibu kepada Noor Adam Daniel ini.

Enggan mengulas lanjut mengenai teman hidupnya, sebaliknya Rabecca lebih selesa untuk menyimpan kisah peribadinya tanpa sebarang perhatian media.

Bagaimanapun, Rabecca punya alasannya sendiri tatkala ditanya mengenai soal kehidupan mewahnya yang dilihat melangkaui kerjaya lakonannya. Tidak melatah atau tidak sekali terhenti kata, tercari-cari alasan sesuai, namun dengan bersahaja Rabecca menjawabnya.

“Sejak di bangku sekolah lagi, saya bukan jenis yang suka meminta-minta. Baik duit sekolah mahupun perbelanjaan harian, saya lebih selesa mencari sendiri dengan bekerja hingga ada kalanya mak dan ayah berasa pelik. Memang sejak tamat persekolahan lagi, saya sudah mula bekerja mencari duit poket sendiri bagi menampung selera mewah saya. Saya suka bergaya dan tampak cantik, justeru semua yang dibeli menggunakan duit hasil titik peluh sendiri.

“Hingga kini mengecapi kehidupan sebagai selebriti, tidak dinafikan ada pihak datang menghimpit. Namun sayangnya, saya bukan semurah itu atau senang ditabur janji. Apa yang lebih mendatangkan rasa puas adalah apabila kita dapat merasai hasil penat lelah sendiri kemudiannya ia dibelanjakan untuk memenuhi permintaan diri. Itu lebih bermakna dan akan wujud rasa sayang akan apa saja yang dibeli.

“Saya tidak pernah ditaja atau mempunyai seseorang yang menabur wang ringgit di belakang saya. Kehidupan saya seharian atau segala kos penerbangan saya ke Jakarta adalah menggunakan hasil kerja lakonan saya selama ini. Hampir tujuh tahun menjadi anak seni, saya tahu menguruskan kewangan sendiri.

“Saya seorang yang sangat kuat bekerja dan mementingkan hasil kerja yang sempurna. Tiada masa untuk memikirkan soal lelaki atau mencari masalah dengan membiarkan lelaki mengikat saya semata-mata untuk menagih kemewahan,” katanya yang baru saja selesai penggambaran drama Trilogi Cinta yang bakal ditayangkan pada Januari depan dan filem terbitan MIG berjudul Keramat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails