Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dia bukan kaki pukul! - Rabecca


DALAM diam tiba-tiba sahaja nama pelakon jelita Rabecca Nur Al-Islam kembali hangat. Kali ini bukan kerana dia berpakaian seksi tetapi kerana dia dikatakan bercinta dengan seorang kaki pukul.

Entah dari mana perkhabaran negatif itu timbul, tidak diketahui oleh Rabecca atau mesra disapa Becca kerana dia mengetahui cerita 'panas' itu daripada mulut rakan-rakannya sendiri.

Selepas puas ditanya mengenai gosip terbaru itu, Becca hanya tertawa panjang kerana baginya kekasih yang dikenalinya sejak dua tahun yang lalu seorang yang penyayang, malah tidak pernah menjentiknya apatah lagi memukulnya.

"Saya pun tidak tahu macam mana dan bagaimana cerita itu boleh muncul secara tiba-tiba kerana saya kenal siapa kekasih saya. Kami amat bahagia dan tidak pernah bergaduh. Dia bukan lelaki panas baran.

"Mungkin orang tersalah pandang kekasih saya, itu yang muncul gosip," katanya.

Ditanya bagaimana pula reaksi kekasihnya yang juga seorang duda beranak dua setelah gosip itu tersebar, Becca tidak menafikan dia dan kekasihnya turut terkejut. Namun, itu tidak menggoyahkan hubungan mereka.

"Dia pun pelik macam mana boleh timbul gosip itu, dia ada hubungi saya bila kawan-kawan dia terbaca dalam Internet. Bila saya terangkan kepadanya baru dia faham dan boleh menerima situasi itu.

"Alhamdulillah, hubungan kami masih baik kerana saya kenal siapa dia dan dia kenal siapa saya," terangnya.

Tambahnya, biasanya setiap gosip yang mengaitkan dirinya pasti akan diketahui kerana Becca mempunyai pasukan pemantau di Internet.

"Bunyi macam pelik tetapi saya memang ada rakan-rakan yang kerjanya sentiasa memantau setiap forum dan laman web. Jadi kalau ada cerita gosip terbaru, saya akan tahu, jadi tidaklah terkejut sangat bila gosip itu jadi hangat," balasnya.

Bukan perampas

Bercerita tentang percintaannya bersama duda berusia 40-an sedangkan usia Becca baru mencecah angka 23 tahun, pasti ramai yang menyangka gadis jelita itu seorang perampas suami orang. Apa yang pasti telahan itu adalah tidak tepat sama sekali.

Mengakui lebih selesa bercinta dengan lelaki lebih berusia tetapi jauh di sudut hati Becca langsung tidak tergamak untuk merampas lelaki yang berstatus suami orang.

"Tolong jangan sangka saya begitu. Mula-mula saya kenal dia (kekasih) saya sangka dia bujang sebab dia nampak muda. Bila kawan-kawan kata dia sudah ada anak dua dan sudah lama menduda saya agak terkejut.

"Bila tahu kisah sebenar saya lebih tertarik untuk saya mengenalinya. Saya tidak kisah dia duda dengan anak dua berusia 13 tahun dan 7 tahun. Asalkan dia bukan suami orang sebab saya tidak sanggup untuk melukakan hati wanita lain," luahnya.

Menceritakan detik perkenalan mereka dua tahun yang lalu, Becca menjelaskan mereka ditemukan oleh rakannya, ketika itu Becca merupakan seorang ejen insurans dan baru berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

Tidak sangka perkenalan yang tidak diundang itu berkekalan sehingga hari ini dan diharapkan akan kekal ke jinjang pelamin.

Lelaki bertuah yang bekerja sebagai seorang peguam itu terlalu istimewa buat Becca kerana dia amat memahami diri Becca sebagai wanita.

"Dia adalah seorang kawan baik, lelaki yang terdekat dengan saya selain papa dan lima abang saya. Dia menyenangkan dan tidak pernah memeningkan kepala sebab dia amat memahami," tuturnya jujur.

Becca tunggu dipinang

Menjelaskan lebih lanjut hala tuju hubungan cinta, Becca tidak menafikan dia juga seperti wanita lain yang mengimpikan hubungan dinoktahkan dengan sebuah perkahwinan.

Namun, sebagai wanita Becca mengatakan dia tidak layak untuk meletakkan sasaran tarikh perkahwinan kerana semua itu ditentukan setelah lamaran dibuat oleh kekasih hatinya.

"Sebenarnya walaupun saya berumur 23 tahun tetapi saya sudah lama impikan alam perkahwinan kerana saya sukakan kehidupan berkeluarga.

"Dulu memang saya teringin nak berkahwin segera, sekarang tiba-tiba sibuk jadi saya tidak fikirkan sangat. Dulu masa teringin nak kahwin tidak ada siapa nak pinang (ketawa).

"Jadi, sekarang saya tidak boleh cakap lebih kerana kuasa meminang itu datangnya daripada lelaki bukannya perempuan. Saya tunggu dia pinang saya," beritahunya.


Becca yang turut mempunyai seorang anak angkat bernama Nor Adam Daniel berusia setahun enam bulan mengatakan meskipun jurang usia antara mereka agak besar tetapi itu bukan halangannya untuk mereka bersama.

"Saya ada anak, dia juga ada anak, jadi masing-masing faham dengan tanggungjawab masing-masing. Saya rapat dengan anak-anaknya dan kalau ada masa kami juga selalu keluar bersama. Umur itu tolak ketepi kerana saya sukakan lelaki yang matang.

"Memang saya berharap agar hubungan kami diakhiri dengan perkahwinan sehingga kami menutup mata," katanya.

Ulas Becca lagi, andai jodohnya bersama kekasih tiba lebih awal, dia tidak menolak meskipun namanya kini sedang mendaki puncak populariti.

"Kalau ada jodoh pada usia muda, saya tak kisah, sebab bagi saya tidak semestinya kahwin rezeki kurang. Ramai pelakon wanita yang kahwin rezeki mereka masih banyak.

"Wanita kerja keras macam mana pun tetap kena kahwin kerana akhirnya kita tetap duduk di dapur. Kita tak boleh jadi ketua, hanya lelaki yang boleh jadi ketua dan berkahwin lewat wanita sebaliknya," ujarnya.

Becca yang baru sahaja balik daripada bercuti selama 12 hari di kampung halamannya Johor Bahru bakal sibuk di lokasi penggambaran drama terbaru terbitan Metrowealth International Group (MIG) yang berjudul Jangan Tegur Lagi.

Drama yang akan ditayangkan di TV3 pada bulan November depan itu menggandingkan Becca selaku teraju utama bersama pelakon Eizlan Yusof.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails