Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kad pengenalan Siti disalahgunakan


DI sebalik fungsi teknologi Internet yang memudahkan pelbagai informasi diperoleh dengan cepat, ia juga boleh menjadi satu medium untuk seseorang itu mengambil kesempatan ke atas individu yang lain.

Lebih-lebih lagi bagi golongan selebriti yang sememangnya dikenali umum, perasaan ingin tahu daripada pihak luar mengenai mereka membuak-buak.

Sehinggakan dengan hanya menggunakan nombor kad pengenalan, hampir semua maklumat peribadi boleh diketahui tanpa memerlukan pemilik sebenar membukanya.

Begitu juga dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, apabila nombor kad pengenalannya telah disalahguna oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Individu tersebut telah menggunakan nombor kad pengenalan Siti untuk mengesan sejumlah 27 saman polis yang dikenakan terhadap kereta-kereta milik Siti yang kesemuanya berjumlah RM5,050 dan kemudian menyebarkan maklumat terperinci mengenainya di Internet.

Menurut Siti, biarpun dia tidak kisah dengan paparan samannya yang tersebar di Internet, penyanyi jelita itu bagaimana pun menegaskan akan mengambil tindakan jika penyalahgunaan nombor kad pengenalannya itu melampaui batas.

"Biasalah bab saman-saman, semua orang pasti melaluinya. Tapi jika pengesanan menggunakan kad pengenalan saya melampaui batas, seharusnya individu tersebut perlu diambil tindakan.

"Memang saya tak kisah, cuma bila ada orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas kad pengenalan kita, itu adalah sangat tidak patut, "tegasnya.

Tambah Siti: "Saya tahu untuk melihat jumlah saman yang dikenakan, ia boleh diperiksa melalui laman web tertentu. Macam inilah, kepada individu berkenaan, kalau kita tidak jujur pada diri, apa-apa sahaja yang dibuat akan memberi kesan buruk kepada diri kita.

"Saya tak marah kerana yang menyamar itu mesti suka-suka mahu mengesan bil saman itu tapi pada masa yang sama janganlah ambil kesempatan. Mula-mula memang suka, lama-lama boleh jadi satu kes. Apa motif dia sebenar? Saya tak pasti," katanya.

Memandangkan nombor kad pengenalan setiap individu bukan lagi menjadi satu rahsia, Siti mencadangkan agar prosedur bagi membuka laman pemeriksaan saman atau perkara-perkara lain diperketatkan.

"Pemeriksaan bil saman atau perkara lain melalui Internet memang mudah bagi golongan yang sibuk. Tetapi saya harap prosedur membuka laman berkenaan perlulah diperketatkan.

"Contohnya, selain mengisi nombor kad pengenalan dalam maklumat laman tersebut, sekurang-kurangnya perlu ada kata laluan yang hanya empunya diri sahaja yang tahu.

"Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan diri daripada terkena daripada pihak yang tidak bertanggungjawab," tegas Siti yang mengakui akan membayar saman yang dikenakan terhadapnya itu dalam masa terdekat ini.

Rehat panjang

Selama 15 tahun bergelar anak seni, buat pertama kalinya, Siti telah membuat keputusan untuk berehat panjang bermula Jun depan sehinggalah ke akhir tahun ini.

Sebelum itu pelbagai spekulasi yang timbul mengenai tujuan rehat panjangnya itu. Ada yang berkata ia merupakan langkah pertama bagi anak kelahiran Kuala Lipis itu mahu mengundur diri.

Ada juga khabar angin mengatakan Siti mahu merehatkan diri agar memudahkan dirinya untuk mendapatkan cahayamata yang menjadi idamannya sejak awal perkahwinannya lagi.

Bagaimanapun beritahu Siti, tidak kira sama ada dirinya berehat atau tidak, dia bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa, sememangnya berusaha untuk ke arah mendapatkan zuriat.

"Memanglah, kalau nak diikutkan, orang kata jangan terlalu memikirkan sangat kerana ia boleh mengganggu proses mendapatkan zuriat.

"Ikhlas saya katakan, saya berusaha dari dulu sampailah sekarang. Saya percaya ada rezeki kami. Mungkin ada hikmahnya mengapa kami lewat mendapat zuriat. Maklumlah, banyak perkara yang perlu diselesaikan.

"Kalau cepat dapat anak, alhamdulillah, rezeki kami," ujarnya tenang.

Bagaimanapun, tambah Siti, keputusannya untuk berehat panjang tidak bermakna dirinya tidak aktif langsung.

Sebaliknya, penyanyi jelita itu ingin merehatkan diri daripada karier nyanyian dan akan fokus kepada perniagaan produk barunya, SimplySiti.

"Nak ikutkan, tahun 2009 hingga 2010 adalah tahun masa yang paling sibuk. Jadi, bila dah ada perniagaan baru, rasanya saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk membangunkan jenama SimplySity.

"Bila dah betul-betul stabil, baru saya boleh ligatkan perkara-perkara lain. Apa pun, ini tidak bermakna saya senyap terus, cuma pembabitan nyanyian saya tidaklah sekerap sebelum ini," ucapnya selepas majlis ulang tahun ke-15 pembabitan Siti dan pelancaran album Apresiasi di Cattleya Grand Ballroom, Wisma PKPS, Shah Alam, baru-baru ini.

Bercerita mengenai karier seninya yang sudahpun menjangkau 15 tahun, penyanyi nombor satu negara ini menyifatkan perjalanan seninya penuh dengan warna warni kehidupan dan dugaan sebagai seorang artis.

Bersyukur dengan apa yang dimiliki, Siti masih lagi ada beberapa agenda yang ingin ditunaikan iaitu konsert tradisional, album Inggeris yang dijangka akan dibuat dalam masa dua tahun akan datang dan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas.

Dalam pada itu, Siti telah dicalonkan bagi lima kategori dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang akan berlangsung pada 2 Mei ini.

Hampir tersungkur kerana cinta-Vince


DUA tahun kebelakangan ini, nama Vincent Chong Yin-Cern atau Vince sepi seketika sebelum kelahiran album studionya yang ketiga, Kronologi Cinta tahun lalu.

Selama tempoh kehilangannya itu, ramai juga yang bertanya ke mana menghilangnya juara Akademi Fantasia (AF) musim pertama itu.

Adakah dia tidak berminat lagi meneruskan karier seninya atau merajuk dengan industri seni yang dilihat ada kala tidak berlaku adil kepada bakat besar sepertinya?

Jika berdasarkan bakatnya yang bukan sembarangan itu, ramai yang melihat Vince mampu bertahan lama dalam industri.

Seandainya dia tidak lagi meneruskan cita-cita dan minatnya ia memang satu kerugian besar buat industri.

Kehebatan bakat Vince bukan sahaja terletak kepada vokal tetapi bakat penciptaan lagu serta lirik.

Jejaka kacukan Cina-Inggeris itu juga sudah diakui memiliki kualiti vokal yang tersendiri dan dianggap sebagai juara AF paling berkualiti dari segi bakat.

Lalu, sewaktu berbicara dengan anak kelahiran London, England dalam satu pertemuan empat mata di ibu negara baru-baru ini, Vince membuka cerita tentang kehilangannya sebelum tampil dengan Kronologi Cinta.

Cerita Vince, harus diakui dalam tempoh dua tahun itu dia telah melalui perjalanan yang begitu sukar sehingga dia rebah dan hampir tersungkur.

Tanpa berselindung, kata Vince, semuanya adalah penangan hubungan cinta yang tidak kesampaian dan telah merubah hidupnya secara mutlak.

"Ia merupakan tempoh yang cukup sukar buat saya kerana baru saya sedar, cinta sememangnya boleh membunuh kita dalam diam.

"Kerana cinta jugalah, ia mampu menukar watak kita dalam sekelip mata dan saya bersyukur kerana saya tidak terus hanyut serta larut dalam emosi saya sendiri.

"Semuanya kerana bantuan serta sokongan daripada keluarga dan teman-teman rapat yang menjadi kekuatan buat saya untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.

"Sekarang, saya sudah berubah dan fokus utama saya kini adalah tentang kerja. Soal cinta? Bukan lagi agenda utama saya," luah Vince penuh jujur menceritakan pengalamannya.

Sambungnya, perhubungan yang dilaluinya bersama seorang wanita Mexico bernama Veronica sewaktu menuntut di Taipei, Taiwan banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih dewasa dan matang.

Bangkit semula

Malah, jujur Vince mengakui, dia hampir membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya bagi hidup bersama dengan wanita itu.

Mungkin kerana Tuhan mahu menyedarkannya bahawa perhubungan itu tidak mampu bertahan lama, barulah Vince membuka matanya dan melihat warna sebenar dalam perhubungannya.

"Perkahwinan adalah untuk seumur hidup dan kalaulah sepanjang tempoh perkenalan itu banyak perkara yang membuatkan kita tidak boleh melakukannya bersama-sama, apakah yang akan jadi nanti?

"Kerana itu, saya cepat sedar dan memutuskan untuk tidak meneruskan perhubungan ini lagi kerana percaya ia tidak akan membawa sebarang kebaikan.

"Ketika itu jugalah, peluang tiba untuk saya bangkit semula dalam industri dan saya tidak mahu melepaskan peluang itu hanya semata-mata mengorbankan perkara yang tidak dapat menjanjikan kebahagiaan," kata Vince panjang lebar dan mahu melupakan kisah pahit percintaannya itu.

Tidak mahu lagi memikirkan soal cinta buat masa ini, keutamaan dan fokus Vince kini adalah hanya pada kerjayanya.

Berdasarkan pengalamannya itu jugalah telah memberi inspirasi kepada anak seni yang berusia 30 tahun ini untuk menumpahkan ke dalam setiap lagu di dalam album Kronologi Cinta.

Bagi Vince, album ketiganya itu memiliki nilai sentimental yang tersendiri dan ia juga bersifat peribadi kerana kisah hidupnya semuanya terkandung dalam setiap lagu.

"Setiap lagu disusun secara kronologi dan saya juga melihat album ini sebagai sebuah novel yang menceritakan segala pengalaman saya.

"Tiada kata yang mampu saya lafazkan melainkan syukur, gembira dan teruja dengan penghasilan album Kronologi Cinta yang benar-benar memuaskan hati saya.

"Pengalaman lalu juga banyak mematangkan saya sebagai seorang pengkarya dan anak seni. Kematangan itu dapat dilihat dengan jelas dalam album Kronologi Cinta," jelasnya tentang album yang diterbitkan dan diedarkan oleh NSR sejak tahun lalu itu lagi.

Duduk berbual selama satu jam bersama Vince dan membincangkan tentang album Kronologi Cinta, terserlah kesungguhan Vince menceritakan satu per satu proses pembikinan albumnya.

Selama ini, kata pelantun lagu Janji-Janji dan Mengapa Harus Cinta? dia hanya disuap apabila pembikinan albumnya ditangani serta disiapkan oleh orang lain biarpun dia juga menyumbang dari segi lagu-lagunya.

Kali ini, semuanya berbeza apabila keseluruhan produksi album Kronologi Cinta melibatkan tenaga dan kreativitinya dari awal hinggalah akhir.

Juga, album ketiganya itu juga menyaksikan sentuhan yang jauh berbeza dengan apa dua buah album studionya sebelum ini iaitu Vince dan Janji Vince.

Tidak mahu lagi tampil dengan bunyi dan muzik yang sama, bagi Vince, sebagai karyawan dia mahu terus menghasilkan produk tanpa menggunakan formula yang sudah diguna pakai.

Menyuntik semangat

Kerana itu, dia cukup puas hati dengan album tersebut dan barulah kini dia tahu serta sedar bagaimana peritnya untuk menerbitkan sebuah album.

"Apabila NSR memberi peluang kepada saya untuk merakamkan album, saya berfikir ia peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.

"Mereka memberi sepenuh kebebasan kepada saya untuk mencorakkan album saya dengan keinginan dan kehendak saya sendiri.

"Dalam masa yang sama, album ini juga saya lihat telah menepati kehendak pendengar masa kini menerusi variasi lagu yang ditampilkan.

"Kronologi Cinta juga saya sifatkan sebagai kepuasan untuk peminat dan diri saya sendiri," tuturnya bersemangat tentang album yang memuatkan 10 buah lagu ciptaannya.

Selebihnya adalah lagu ciptaan Sharon Paul dan Kronologi Cinta turut memuatkan tiga buah lagu Inggeris iaitu Getting Closer, Teach Me How To Love dan Dear Jean.

Lagu-lagu Melayu yang terkandung dalam album ini adalah Biarkan, Buah Hati, Layan Saja, Apa Jawapannya, Kan Temu Jua, Cerita Kita dan Akhirnya.

Salah sebuah lagu iaitu Ajarku Cinta menyaksikan gabungan Vince bersama naib juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henly Rampas.

Ternyata pengorbanan dan perit jerih Vince menerbitkan album Kronologi Cinta berbalas apabila menerima tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang berlangsung Ahad ini (2 Mei).

Ia merangkumi Kulit Album Terbaik, Album Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu.

Bagi kategori Album Pop Terbaik, Vince disaingi oleh album Aku Stacy oleh Stacy, CTKD (Datuk Siti Nurhaliza & Krisdayanti), Dayang Live (Dayang Nurfaizah) dan Tahajjud Cinta (Siti Nurhaliza).

Manakala untuk Vokal Lelaki Terbaik pula, saingan Vince bukan calang-calang iaitu Faizal Tahir, Hazami, Jamal Abdillah dan Riz.

Bagi Vince, tiga pencalonan itu sudah cukup membuktikan bahawa pihak juri masih lagi percaya dengan bakat serta pembaharuan yang dibawakannya menerusi albumnya itu.

"Bagi saya, menang merupakan satu bonus dan kalau tewas, saya tidak melihat ia satu kegagalan kerana setidak-tidaknya produk saya sebaris dengan calon hebat yang lain.

"Ia juga telah menyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan produk yang lebih baik selepas ini," ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik AIM pada tahun 2005.

Dalam perkembangan lain, Vince juga akan muncul dengan teater muzikal Taming of the Shrew: A Bollywood Cabaret yang akan dipentaskan di PJ Live Arts Theatre, Petaling Jaya, Selangor, pada bulan Jun ini.

Selain itu, Vince juga sibuk menyiapkan dua buah skrip filem masing-masing untuk filem Cina dan Melayu yang masih belum berjudul.

Perkahwinan 'Hijau' Amber Chia-Adrian Wong


KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 warga media cetak dan elektronik menghadiri resepsi perkahwinan Amber Chia dan Adrian Wong di Hotel Le Meridien pada malam Rabu.

Ia adalah anjuran pusat mutiara, Rafflesia khas untuk media bagi sama-sama meraikan hari bahagia pasangan itu.

Amber bergaun hijau rekaan Khoon Hooi manakala Adrian berkot serba putih serta bertali leher hijau tajaan Lord's Tailor.

Lebih menarik, pengasas Jewellery Circles Sdn Bhd, Winnie Sin berkata, baju, kasut rekaan Bill Keith, earring model bertaraf antarabangsa itu bernilai lebih RM2 juta kerana kesemuanya bertatahkan mutiara dan ambar tajaan Rafflesia.

Pasangan Amber-Adrian yang berpakaian warna hijau dan putih melengkapi latar Sultan Ballroom yang dijadikan sebuah taman hijau.

Ia selaras dengan tema resepsi perkahwinan malam tersebut iaitu Noce Verte (dalam bahasa Perancis bermaksud 'The Green Wedding').

Menurut perancang perkahwinan, Bill Bora, tema hijau dipilih kerana perkahwinan selalu diadakan di taman pada musim panas.

"Majlis malam ini akan cuba menonjolkan kehijauan persekitaran dan pemakanan sihat kepada para hadirin," katanya.

Panorama dewan amat menarik dengan bebola bunga ros warna putih dilihat bergantungan dari langit-langit dewan.

Singgahsana Raja Sehari pula direka bentuk seakan-akan terletak di bawah rimbunan pokok kapas.

Majlis yang bermula tepat 8.30 malam itu menyaksikan Amber dan Adrian diarak masuk ke dewan sambil diiringi alunan muzik orkestra.

Model itu diapit oleh artis-artis jemputan seperti Ning Baizura, Daphne Iking, Alyah, Kelly Jagan, Suki Low Sook Yee dan Diana Danielle.

Artis-artis seperti Ning, Diana, Alyah dan Suki turut mendendangkan lagu-lagu romantis kepada pasangan tersebut.

Lebih romantis, Suki sempat mengajak pasangan Amber-Adrian berdansa mengikut rentak lagu 'Yue Liang Tai Piao Wo De Xing' (bulan mewakili hati saya).

Para tetamu menikmati makanan ala Perancis yang disediakan oleh Chef Antoine Rodriguez dari hotel tersebut.

Antaranya, pembuka selera, sup, in-between dan teh hijau. Untuk memastikan suasana Perancis lebih dirasai, kek perkahwinan itu direka bentuk berkonsepkan Menara Eiffel yang ditaja Yomie Bakery.

Amber-Adrian dan rakan-rakan artis merancakkan persembahan malam itu dengan menari cha-cha-cha sambil Ning mendendangkan lagu.

'Zareef Yusof pelengkap kehidupan'-Eizlan Yusof


Eizlan teruja dikurniakan anak lelaki, Jumaat lalu

TERUJA dan ceria sungguh suara lelaki ini ketika menyampaikan khabar gembira ini menerusi telefon. Mana tidaknya, selepas sembilan bulan menanti dengan penuh kesabaran akhirnya 'orang baru' yang ditunggu-tunggu itu kini berada di depan mata. Bukan saja teruja kerana kehadiran anggota baru dalam keluarganya tetapi dia juga tidak sabar untuk menimang cahaya mata lelaki yang sememangnya diimpikan selama ini.

Apatah lagi sebelum ini dia sudah pun dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Vie Zaara.

Kelahiran Zareef Yusof pada pagi Jumaat lalu disambut dengan penuh kesyukuran oleh pelakon Eizlan Yusof serta isterinya, Vie Shantie.

"Selepas mengadu sakit sekitar jam 2 pagi tadi, saya pun membawa isteri saya ke Hospital Umra, Shah Alam. Alhamdulillah, bayi seberat 2.87 kilogram itu selamat dilahirkan secara normal pagi tadi. Kedua-duanya selamat dan kini sedang berehat," cerita Eizlan ketika dihubungi Hip petang Jumaat lalu.

Biarpun ini bukan pengalaman pertamanya bergelar bapa kerana dia sudah pun mempunyai cahaya mata sebelum ini, namun jelas pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Jaguh Jaguh ini, dia tetap seronok dengan kehadiran bayi comel itu.

"Kehadiran Zareef melengkapkan lagi kehidupan kami sekeluarga. Saya memang seronok kerana mempunyai sepasang cahaya mata yang comel dan ini menambahkan keazaman saya untuk bekerja dengan lebih kuat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna buat kami semua.
"Dan dengan kelahiran Zareef ini, nampaknya perancangan untuk menambah ahli keluarga terpaksa direhatkan buat seketika memandangkan kami sudah pun mempunyai sepasang cahaya mata," ujar Eizlan separuh berseloroh.

Ditanya apakah dia sendiri yang akan menjaga isterinya ketika berada di dalam pantang, Eizlan berkata perkara itu akan diuruskan oleh keluarga mentuanya.

"Saya hanya bercuti untuk beberapa hari saja kerana terpaksa ke Jakarta untuk menguruskan perniagaan di sana. Lagipun, saya juga akan kembali ke lokasi untuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Duyung.

"Bagaimanapun, sewaktu dalam pantang, isteri saya akan dijaga ibunya yang memang sudah berada di sini sejak awal lagi. Ini pun ramai keluarga sebelah mentua saya datang ke hospital untuk melawat Vie dan Zareef. Namun, saya juga akan membantunya jika ada kesempatan," kata Eizlan.

Mengenai penerimaan Zaara dengan kehadiran adiknya itu, Eizlan berkata hal itu sedikit merisaukannya kerana anak sulungnya itu memang rapat dengan ibunya.

"Maklum sajalah, sebagai cucu pertama dalam keluarga sebelah mentua, Zaara memang dimanjakan. Dan dia juga memang rapat dengan ibunya. Inipun, dia tinggal dengan pembantu dan selepas ini saya mahu mengambilnya untuk di bawa ke hospital. Saya harap dia boleh menerima adiknya itu dan menjadi temannya untuk bermain," katanya sambil tertawa kecil.

Seperti juga bapa lain, Eizlan mempunyai impian tersendiri untuk membesarkan dua orang anaknya itu.

"Dalam urusan membesarkan anak-anak, saya lebih menumpukan kepada soal pendidikan agama. Hanya dengan agama saja seseorang itu dapat menghindar dari melakukan perkara yang tidak baik. Pun begitu, pelajaran juga tidak akan diabaikan.

"Mengenai masa depan mereka, saya lebih suka jika mereka memilih sendiri bidang apa yang mereka inginkan. Kami cukup fleksibel dalam soal ini. Jika mereka ingin menceburi bidang seni, terpulang kepada mereka. Cuma mereka harus menamatkan terlebih dulu pengajian mereka dan tidak mengabaikan ilmu agama pada masa yang sama," tegasnya.

Sebagai tanda kesyukuran, Eizlan turut merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat sempena kelahiran cahaya mata keduanya itu.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya juga bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran. Saya mahu berkongsi keseronokan ini bersama mereka yang rapat dengan saya," ujarnya seraya mengakhiri perbualan.

Tak mahu fikir panjang-Ahli Fiqir


Ahli Fiqir bubar gara-gara Mawar Berduri hamil

SETIAP pertemuan pasti berakhir dengan perpisahan. Mahu atau tidak, ia harus dilalui dengan hati yang tenang. Begitu juga dengan episod kehidupan mahupun drama. Yang bermula pasti berakhir sama ada yang membahagiakan atau sebaliknya.


Sebuah perjalanan yang panjang tetap akan ada pengakhiran. Begitu juga yang terjadi kepada perjuangan kumpulan popular dari Singapura, Ahli Fiqir yang mengembara ke Malaysia demi meneruskan legasi seni mereka sejak hampir sedekad lalu.Kanvas seni kumpulan yang pernah popular dengan lagu Samseng, Angguk Angguk Geleng Geleng dan 2 Kali Lima ini secara rasminya sudah ternoktah tahun ini. Tidak lagi menoleh ke belakang, keputusan nekad sudah dibuat tiga anggotanya, Dali, DJ Cza dan Mawar Berduri biar pun agak berat sebenarnya untuk direalisasikan.

Lalu apa yang tertinggal, tidak lagi dikesali. Mereka akhirnya mengikuti jejak pengunduran Samsol Nahar Sibenget atau dikenali dengan jolokan nama Tukang Kata yang lebih dulu meninggalkan kumpulan itu sejak penghujung tahun lalu.
Menurut Dali atau nama sebenarnya Fadali Mohd Darif, dia sendiri tidak menjangka akhirnya keputusan sepakat dibuat bagi memilih haluan masing-masing. Semuanya terjadi secara tidak sengaja dan keputusan itu diambil dua bulan lalu.

“Kami tak rancang. Masa itu, saya dapat tahu Mawar mengandung sebulan lebih. Lalu, kami memberitahu syarikat rakaman mengenai agenda pembubaran Ahli Fiqir biarpun baki kontrak kami bersama Warner Music masih tinggal dua tahun. Selepas berbincang bersama-sama, akhirnya kata sepakat diambil,” katanya yang akan terus menulis dan menggubah lagu termasuk mempertimbangkan hasrat untuk tampil secara solo di bawah bumbung Warner Music.

Ironinya di sebalik apa yang terjadi, Dali terlebih dulu mencipta lagu Jangan Pergi Mawar sebagai single ketiga kumpulan ini yang dipetik daripada album ketiga mereka berjudul Irama Berima. Lagu itu menyusul selepas lagu Fikir-Fikir dan Derita Merindu.
“Saya sendiri tidak menjangka perpecahan kami akan jadi sebegitu pantas. Saya bikin lagu itu sebagai persediaan seandainya Mawar Berduri meninggalkan kami. Ia dirakamkan tahun lalu,” kata Dali.

Bagi Mawar Berduri atau nama sebenarnya Nurhidayati Mohd Yusop pula, dia mengakui keputusan yang sudah dibuat itu bukan mudah. Tetapi atas dasar tidak mementingkan diri sendiri memandangkan keadaannya yang kini sudah lima bulan mengandung anak keduanya, dia perlu membuat sesuatu.

“Bayangkan kalau saya berehat panjang untuk memberikan tumpuan kepada keluarga dan bayi yang dikandung ini, bagaimana pula dengan anggota lain yang perlu mencari makan. Andai kami terikat, akan menimbulkan masalah pula kemudian hari,” katanya yang kini sedang berehat panjang.

Ditanya apakah akan ada kemungkinan penyatuan semula Ahli Fiqir pada masa mendatang, Mawar Berduri mewakili temannya yang lain tidak mampu memberi jawapan pasti. Sambil merenung Dali dan DJ Cza, Mawar Berduri berkata, mereka tidak mampu menjangkakan apa yang bakal terjadi.

“Kami tak boleh berjanji tapi Insya-Allah siapa tahu jika ada kesempatan untuk bergabung di kemudian hari, mungkin ia boleh dipertimbangkan. Kami menyerah kepada takdir. Sekalipun ada usaha untuk bersatu, mungkin ia tidak akan sama seperti awal kemunculan kami. Usia kami pun pastinya akan terus bertambah,” kata Mawar Berduri yang sewaktu enam bulan mengandungkan anak sulungnya, Adam Harris Imran, dia masih rancak menari di pentas.

Mawar sempat menambah, selain berehat di negara kelahirannya, Singapura, dia juga akan kembali melakukan kerja sampingannya sebagai jurusolek. Malah, katanya, dia mungkin akan mengikuti jejak Dali untuk muncul sebagai penyanyi solo tetapi bukan buat masa sekarang.

Sementara itu, DJ Cza atau nama sebenarnya Ceza Mutyara pula akan terus memastikan darah seni yang mengalir tidak dipersiakan. Lelaki kacak berusia 27 tahun kelahiran Medan, Indonesia ini sebenarnya bekerja sebagai pemutar muzik di sebuah kelab popular di ibu kota.

“Saya akan terus membabitkan diri dalam bidang ini sekalipun tidak berada dalam barisan hadapan (kelompok popular dan diperhatikan masyarakat). Dalam pada itu, saya juga akan menguruskan perniagaan baru yang diusahakan keluarga.

“Sekalipun nama Ahli Fiqir sudah tiada atau berkubur, ia tidak bererti yang ukhuwah kami akan turut terhenti begitu saja. Kami akan terus menjadi ahli keluarga yang berkongsi minat yang sama. Sejujurnya, saya mengharapkan keajaiban untuk melihat Ahli Fiqir bersatu kembali,” katanya sambil tersenyum.

INFO: Ahli Fiqir


•Hadir dalam bentuk muzik hip hop moden, Ahli Fiqir berjaya menerajui tiga album dan beberapa pengiktirafan, termasuk Artis Singapura Terbaik dan Album Singapura Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2006.


•Album pertama mereka berjudul Hari Ini Dalam Sejarah diikuti album kedua, Rap Untuk Rakyat.

Fobia selepas kena 'boo'?


Mawi berfikiran positif, anggap semua dugaan ini asam garam dalam dunia hiburan

KEJADIAN dicemuh penonton sewaktu menghadiri acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH_) awal bulan ini benar-benar mengejutkan penyanyi ini serta pelbagai pihak yang turut berada di lokasi kejadian. Siapa sangka bekas pemenang anugerah kategori Bintang Paling Popular selama tiga kali berturut-turut, Asmawi Ani atau lebih akrab disapa Mawi boleh dimalukan sebegitu rupa.

Apa sebenarnya yang berlaku sehingga membuatkan penonton tergamak untuk melakukan perkara mengaibkan itu kepada penyanyi popular ini. Adakah ia satu hukuman kepada penyanyi yang pernah popular dengan lagu Aduh! Saliha ini ataupun ia menandakan empayar Mawi yang cukup kukuh sejak empat tahun lalu kini sedang menuju ke zaman kejatuhan.

Biar apapun telahan serta spekulasi yang ditebarkan, Mawi ketika diminta mengulas hal ini berfikiran positif serta tidak menganggap perkara itu sedemikian. Sebaliknya dia mendakwa masih mempunyai peminat yang setia menyokong kerjaya seninya. Buktinya, sewaktu bertemu peminat di kawasan luar bandar khususnya, popularitinya masih bertahan di kalangan mereka.

Pun begitu, menyedari dunia hiburan sebenarnya boleh diumpamakan sebagai roda yang berputar, Mawi mengakui yang dia memang sudah lama bersedia untuk berdepan dengan zaman suramnya. Bukan hendak mendabik dada atau cuba bersikap berpura-pura apabila berkata demikian, tetapi Mawi lebih bersikap realistik dan sedar akan pasang dan surutnya populariti seseorang artis itu.

Hip: Apa perasaan Mawi apabila diboo penonton sewaktu ABPBH tempoh hari?

Mawi: Sebenarnya saya sendiri tertanya-tanya bagaimana boleh jadi sebegitu? Iyalah, tentunya saya tertanya-tanya juga apakah salah saya sehingga menyebabkan penonton bertindak sebegitu. Tapi apabila menyedari yang di dalam dewan itu dipenuhi dengan penyokong penyanyi lain juga jadi saya anggap perkara itu adalah normal. Tak semua orang minat kita dan tak semua orang benci kita. Kalau dulu sewaktu orang melaung dan menjerit nama saya, saya sendiri tertanya-tanya, jadi bila ada yang boo, saya juga memberikan reaksi yang serupa. Ia jelas tindakan di luar kawalan dan saya tidak salahkan penganjur dalam hal ini.
Tapi Mawi rasa tak yang ia bagaikan satu petanda yang populariti Mawi seakan merosot?

Saya tak rasakan sebegitu kerana bila saya terbabit dengan persembahan di luar bandar, sambutan yang saya terima tetap di luar dugaan. Buktinya baru-baru ini sewaktu saya berkunjung di kawasan Felda, mereka masih meminati saya. Bagaimanapun, saya sedar yang populariti seseorang artis itu takkan mampu bertahan lama. Tiba masa ada ramai pelapis yang sedia mengganti. Jadi disebabkan itu saya sudah lama menanam dalam hati supaya sentiasa bersedia menerima zaman kejatuhan saya.

Bagaimana dengan reaksi pihak yang menjadikan Mawi jurucakap produk mereka? Adakah perbuatan itu memberi impak kepada mereka?

Terdapat dua produk yang menjadikan saya jurucakap mereka iaitu Marrybrown dan Silky Men. Setakat ini mereka tidak memberi sebarang komen mereka berhubung insiden itu.

Apakah selepas ini Mawi serik untuk menghadiri mana-mana acara anugerah bimbang insiden yang sama berulang kembali?

Seperti yang saya katakan tadi, saya tak menyalahkan sesiapa apabila insiden seperti ini berlaku. Saya tak mempunyai kuasa untuk memaksa peminat menyukai saya. Saya juga tidak menyalahkan penganjur kerana perkara itu berlaku di luar kawalan mereka. Jika saya diundang, saya tetap akan datang. Cuma saya harap, mereka (penonton) akan lebih ras]sional dalam hal ini. Kita datang atas dasar memenuhi undangan tuan rumah serta memeriahkan acara. Jadi jangan keruhkan keadaan dengan perbuatan seperti itu (menyorak).

Baru-baru ini telemovie terbitan syarikat produksi Mawi berjudul Jiwa Kacau ditayangkan di kaca televisyen. Ada yang mendakwa drama itu dibuat secara tangkap muat. Komen sikit.

Saya nafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan drama ini dibuat secara tangkap muat. Saya pantau pembikinan drama ini dari mula sampai habis. Malah sewaktu sesi penyuntingan, saya tetap turun padang. Begitu juga dengan soal skrip, kami mempunyai lima orang panel yang terbabit untuk memilih skrip mana yang terbaik. Bukan hendak membanggakan diri, tetapi telemovie terbabit turut mendapat pujian Astro. Produksi saya memang tidak pernah berkompromi dengan soal kualiti. Dan disebabkan itulah kami masih diberi peluang untuk bekerjasama dengan Astro pada masa akan datang. Buat masa ini produksi saya masih sibuk dengan pembikinan drama bersiri berjudul Hikmah Seruan Nami yang 80 peratus penggambarannya dijalankan di Pulau Nami, Korea. Dalam drama ini pembabitan saya hanyalah menyanyikan lagu temanya saja yang berjudul Menanti Hikmah, hasil ciptaan komposer Cina, Hudson dan lirik oleh Mata.

Ramai yang melihat Mawi semakin aktif mengacara dan berlakon, bagaimana pula dengan karier nyanyian? Bila album Idola akan dipasarkan?

Saya masih lagi menyanyi tetapi tidaklah seaktif dulu. Tak dinafikan, sejak kebelakangan ini, tawaran untuk membuat persembahan, walaupun ada tapi tidaklah sekencang dulu. Jika dulu saya boleh dapat dalam 10 tawaran sebulan, kini adalah dalam dia, tiga tawaran sebulan. Namun, undangan itu masih ada walaupun tak banyak.Mengenai album Idola, ia memang sudah lama siap dan menunggu masa untuk dipasarkan. Tapi mengikut syarikat rakaman iaitu Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), pengedaran album itu terpaksa ditangguhkan dulu memandangkan pasaran album yang tidak memberangsangkan ketika ini.Saya tak kecewa dan saya memahami situasi ini.Jadi saya akan terus menunggu.Tapi jika kontrak saya tamat pertengahan tahun depan, barulah saya bercadang untuk memasarkannya sendiri.

Ada yang bertanya sampai bila Mawi mahu terus dikenali dengan imej botak? Tak bimbang peminat jemu dengan penampilan yang sama?

Saya lebih selesa dengan imej botak seperti ini. Saya memeng tak boleh simpan rambut panjang. Kalau rambut tumbuh panjang saja, saya akan pening kepala. Jadi biarlah saya kekal imej sebegini, sampai bila-bila.

Anang Ingin Lepas Status Duda


PARA peminat berharap pasangan duet antara Anang Hermansyah dan Syahrini berkahwin. Lebih-lebih lagi, Anang ketika ini memang sedang mencari pasangan hidup yang baru selepas bercerai dengan Krisdayanti.

Bagaimanapun, pelantun lagu 'Jangan Memilih Aku' ini lebih memilih untuk bersabar dan tidak ingin gagal lagi dalam perkahwinan.

"Saya ingin mencari orang yang memahami saya. Saya tidak ingin gagal lagi," ujar Anang.

Meskipun banyak pihak yang mendorong mereka berdua untuk hidup bersama, Anang tetap menyerahkan semuanya kepada Yang Esa.

"Kalau jodoh kehendak Allah, saya tidak akan dapat menolaknya," katanya.

Visi Cinta Baru Wan Sharmila


AKTRES genit ini pernah dirundung duka ekoran keruntuhan mahligai cintanya. Namun, dia tidak sekali-kali mempersoalkan ketentuan yang tersurat. Sebaliknya, Wan Sharmila Wan Mohamed atau lebih mesra disapa Wan lebih terbuka menelan kenyataan itu dan tidak pula gentar untuk bercinta lagi.

Kini, dia punya visi baru dalam mendefinasikan cinta yang lebih bererti, katanya. Bukan cinta lelaki yg didambakan tika ini, itu pengakuannya yang selesa bergerak solo, tapi cinta pada karier seni yang kian berkembang.

Bagai bertepatan dengan konsep yg dipadankan, memetik inspirasi diva antarabangsa Mariah Carey di era kemasyhuran lagu Vision of Love, Wan juga senang berkongsi visi cinta barunya itu bersama Mingguan mStar.

Buktinya, Wan makin ligat mengisi hati tidak berpenghuni itu dengan pelbagai tawaran lakonan.

Bukan sekadar sibuk berlakon, aktres dari selatan tanah air ini juga makin dihujani tawaran watak yang lebih variasi dan matang, seiring dengan visinya yang ingin 'bercinta' dengan pelbagai watak.

"Memang saya ingin bercinta. Malah, kini saya sedang mengenali cinta baru ini dengan lebih dekat dan mendalam.

"Cinta saya hari ini adalah kepada karier lakonan. Hari ini, saya telah mula menerima tawaran watak-watak yang berbeza dan lebih matang.

"Jika sebelum ini saya sinonim dengan watak-watak remaja dan ringan, tapi hari ini saya mula menerima watak-watak baru yang lebih mencabar dan matang.

"Semua tawaran baru ini hadir berkat daripada peluang membintangi drama Tari Tirana. Dalam drama itu, saya melakonkan watak yang lebih berat melibatkan emosi.

"Mungkin daripada situ, karyawan kita mula nampak kemampuan saya dan memberi peluang untuk menjayakan watak-watak yang lebih mencabar," katanya.

Bercerita lanjut, Wan berkata sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan, dia selalu berangan-angan untuk membintangi drama atau filem bermutu tinggi yang meninggalkan impak kepada penonton.

Dia mengakui alangkah bertuahnya jika disambar berlakon dalam karya berkualiti seperti sentuhan pengarah Kabir Bhatia dan Erma Fatima.

Katanya, penglibatan dalam karya bermutu adalah medium terbaik untuk orang baru sepertinya meningkatkan mutu lakonan dan meraih populariti.

"Saya selalu berangan berlakon dalam drama atau filem berbeza daripada aspek skrip dan jalan cerita kerana saya percaya jika membintangi karya istimewa seperti itu ia akan membantu meningkatkan mutu lakonan.

"Ramai pengarah hebat seperti Erma Fatima dan Kabir Bhatia yang menghasilkan baik drama mahupun filem berkualiti.

"Kalaulah saya dapat berlakon dalam karya arahan pengarah berkualiti ini tentu saya dapat belajar banyak perkara dalam aspek lakonan.

"Malah, sebagai bonus ia mungkin membantu melonjakkan reputasi saya ke tahap lebih tinggi sebagai pelakon," katanya yang mengidamkan watak yang boleh menyentuh perasaan penonton.

Umie Aida 'Parasailing' Lepas Bersanding


USAI sahaja majlis persandingannya di kediaman pengantin lelaki malam kelmarin, aktres jelita Datin Paduka Umie Aida menghilangkan tekanan dan kepenatannya dengan melakukan aktiviti parasail di pantai Batu Ferringhi bersama suami tersayang, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan semalam.

Ketika dihubungi, Umie yang sedang bersiap sedia untuk bermain parasail meminta agar menghubunginya semula.

"Saya sedang bersiap sedia untuk melakukan parasail. Minta hubungi saya sejam kemudian ya. Terima kasih," katanya ringkas.

Genap sejam berlalu, aktres jelita itu dihubungi semula. Nada suaranya di corong telefon selepas itu membayangkan keterujaannya bermain parasailing.

"Memang best. Saya seperti burung yang terbang bebas di ruang angkasa," kata Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi filem Embun ini, penuh riang.

Pengalaman parasailing kali ini pastinya lebih bermakna dan lebih manis dengan kehadiran Khairuddin di sisi.

Katanya, Khairuddin memberikan kata-kata semangat kepadanya sebelum dia 'terbang' ditarik bot laju.

Pasangan bahagia itu kini sedang bercuti selepas majlis persandingan di kampung halaman Khairuddin di Bukit Mertajam, Seberang Perai Pulau Pinang, malam Sabtu lalu.

Diajak berbicara tentang persandingan itu, Umie mengakui, buat pertama kalinya dia dapat merasakan suasana perkampungan pada majlis persandingannya itu.

"Lebih 6,000 orang kampung, kenalan, sahabat-handai serta saudara-mara datang memeriahkan majlis persandingan kami," katanya yang tidak menyangka resepsi itu mendapat sambutan luar biasa.

Terdahulu, pasangan bahagia itu mengadakan majlis resepsi di One World Hotel pada 28 Mac lalu.

Jika dalam persandingan terdahulu, Umie memakai persalinan 'kontroversi' berwarna merah cili rekaan Jovian Mandagie. Untuk majlis di Pulau Pinang pula, aktres itu bergaun merah jambu rekaan Bill Keith dan bertudung.

Umie dan Khairuddin akan berbulan madu di negara-negara Eropah termasuk Switzerland dan Venice, Itali pada bulan Mei ini.

Sekembalinya ke tanah air, Umie akan mula bekerja. Tugasan pertamanya ialah sebagai Duta kepada Marie France.

Selain itu, adik kepada aktres dan pengarah tersohor Erma Fatima ini juga bakal kembali ke lokasi penggambaran tidak lama lagi.

Umie Aida dan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, diijabkabulkan di Masjidil Haram, Mekah pada 14 Mac lalu.

Atilia Rugi RM30,000 Selepas Rumah Diceroboh


PENYANYI jazz kontemporari Raja Putri Atilia Raja Haron atau lebih dikenali sebagai Atilia kerugian hampir RM30,000 setelah kondominiumnya di Metropolitan SQ, Damansara Perdana diceroboh pencuri empat hari lalu.

Anak kepada penyanyi versatil 1980-an Salamiah Hassan itu mendakwa, sebuah komputer riba, 10 utas jam tangan dan sebuah kamera digital lesap setelah pintu rumahnya dipecah masuk.

Semasa insiden tersebut, dia tiada di rumah dan menyedari rumahnya dipecah masuk setelah pulang pada sebelah malamnya.

Dia mengesyaki rumahnya dipecah masuk oleh individu yang dikenalinya.

“Apabila saya pulang ke rumah kira-kira pukul 8 malam itu, saya tengok keadaan rumah berselerak. Selepas itu, terus saya membuat laporan polis dan pihak pengurusan kondominium itu.

“Sekarang, saya serahkan semua urusan untuk mencari pencuri itu kepada pihak polis dan pengurusan kerana saya sedang sibuk untuk menyiapkan album terbarunya yang akan dilancarkan pada pertengahan Mei ini,” kata Atilia semalam.

Biarpun reda dengan apa yang berlaku, namun Atilia tetap bersedih ekoran 10 jam tangan kesayangannya dicuri.

“Semua jam yang dicuri itu berharga buat saya kerana bukan sahaja berjenama malah ia juga merupakan hadiah. Saya rasa sedih lebih-lebih lagi bila jam Raymond Weil saya dicuri.

“Nasib baik pencuri itu tidak mengambil duit dan barang berharga lain. Susah saya nak luahkan tentang insiden yang berlaku ini. Mungkin sudah ditakdirkan nasib saya kurang baik pada hari itu. Tambahan pula ia pertama kali berlaku kepada saya.

“Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan sukar untuk mempercayai orang lain,” beritahunya.

Bagaimanapun, dia tidak mungkin akan keluar dan berpindah daripada rumah itu.

Katanya, dia sayang untuk membiarkan rumah yang didudukinya sejak tiga tahun lalu itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails