Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Zareef Yusof pelengkap kehidupan'-Eizlan Yusof


Eizlan teruja dikurniakan anak lelaki, Jumaat lalu

TERUJA dan ceria sungguh suara lelaki ini ketika menyampaikan khabar gembira ini menerusi telefon. Mana tidaknya, selepas sembilan bulan menanti dengan penuh kesabaran akhirnya 'orang baru' yang ditunggu-tunggu itu kini berada di depan mata. Bukan saja teruja kerana kehadiran anggota baru dalam keluarganya tetapi dia juga tidak sabar untuk menimang cahaya mata lelaki yang sememangnya diimpikan selama ini.

Apatah lagi sebelum ini dia sudah pun dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Vie Zaara.

Kelahiran Zareef Yusof pada pagi Jumaat lalu disambut dengan penuh kesyukuran oleh pelakon Eizlan Yusof serta isterinya, Vie Shantie.

"Selepas mengadu sakit sekitar jam 2 pagi tadi, saya pun membawa isteri saya ke Hospital Umra, Shah Alam. Alhamdulillah, bayi seberat 2.87 kilogram itu selamat dilahirkan secara normal pagi tadi. Kedua-duanya selamat dan kini sedang berehat," cerita Eizlan ketika dihubungi Hip petang Jumaat lalu.

Biarpun ini bukan pengalaman pertamanya bergelar bapa kerana dia sudah pun mempunyai cahaya mata sebelum ini, namun jelas pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Jaguh Jaguh ini, dia tetap seronok dengan kehadiran bayi comel itu.

"Kehadiran Zareef melengkapkan lagi kehidupan kami sekeluarga. Saya memang seronok kerana mempunyai sepasang cahaya mata yang comel dan ini menambahkan keazaman saya untuk bekerja dengan lebih kuat untuk memberikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna buat kami semua.
"Dan dengan kelahiran Zareef ini, nampaknya perancangan untuk menambah ahli keluarga terpaksa direhatkan buat seketika memandangkan kami sudah pun mempunyai sepasang cahaya mata," ujar Eizlan separuh berseloroh.

Ditanya apakah dia sendiri yang akan menjaga isterinya ketika berada di dalam pantang, Eizlan berkata perkara itu akan diuruskan oleh keluarga mentuanya.

"Saya hanya bercuti untuk beberapa hari saja kerana terpaksa ke Jakarta untuk menguruskan perniagaan di sana. Lagipun, saya juga akan kembali ke lokasi untuk menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Duyung.

"Bagaimanapun, sewaktu dalam pantang, isteri saya akan dijaga ibunya yang memang sudah berada di sini sejak awal lagi. Ini pun ramai keluarga sebelah mentua saya datang ke hospital untuk melawat Vie dan Zareef. Namun, saya juga akan membantunya jika ada kesempatan," kata Eizlan.

Mengenai penerimaan Zaara dengan kehadiran adiknya itu, Eizlan berkata hal itu sedikit merisaukannya kerana anak sulungnya itu memang rapat dengan ibunya.

"Maklum sajalah, sebagai cucu pertama dalam keluarga sebelah mentua, Zaara memang dimanjakan. Dan dia juga memang rapat dengan ibunya. Inipun, dia tinggal dengan pembantu dan selepas ini saya mahu mengambilnya untuk di bawa ke hospital. Saya harap dia boleh menerima adiknya itu dan menjadi temannya untuk bermain," katanya sambil tertawa kecil.

Seperti juga bapa lain, Eizlan mempunyai impian tersendiri untuk membesarkan dua orang anaknya itu.

"Dalam urusan membesarkan anak-anak, saya lebih menumpukan kepada soal pendidikan agama. Hanya dengan agama saja seseorang itu dapat menghindar dari melakukan perkara yang tidak baik. Pun begitu, pelajaran juga tidak akan diabaikan.

"Mengenai masa depan mereka, saya lebih suka jika mereka memilih sendiri bidang apa yang mereka inginkan. Kami cukup fleksibel dalam soal ini. Jika mereka ingin menceburi bidang seni, terpulang kepada mereka. Cuma mereka harus menamatkan terlebih dulu pengajian mereka dan tidak mengabaikan ilmu agama pada masa yang sama," tegasnya.

Sebagai tanda kesyukuran, Eizlan turut merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat sempena kelahiran cahaya mata keduanya itu.

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya juga bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran. Saya mahu berkongsi keseronokan ini bersama mereka yang rapat dengan saya," ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails