Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

“Kritikan saya jujur” - Chef Wan


RAMAI yang kata Chef Wan sekarang semakin kuat mengkritik. Kadang-kadang dengar macam berleter pun ada. Apa komen Chef Wan?

Kita ni suka berterus-terang. Sebagai orang lama dalam industri, saya ni dah terlebih dahulu makan garam. Saya ikhlas memberi teguran yang boleh mendatangkan kebaikan. Jadi rasanya tak salah kalau saya mengkritik.

Tetapi ada yang kata kritikan Chef Wan sekarang boleh tahan pedasnya. Macam mana Chef Wan melihat situasi ini?

Kritikan pedas membuktikan saya jujur ketika melontarkan pandangan. Benda yang baik, benda yang betul, memang orang susah nak terima. Sampai bila kita nak hipokrit dan simpan semua keburukan di bawah karpet? Tegur bererti kita nak betulkan keadaan dan saya akui memang susah nak didik masyarakat kita dalam bab ini. Benda yang saya rasa betul, saya tak takut untuk suarakan. Itulah diri saya dari dulu sampai sekarang. Saya berani kerana benar dan tak perlu cium punggung orang untuk sorok segala benda negatif. Sebenarnya terpulang kepada mereka macam mana mereka terima satu-satu teguran itu.

Chef Wan juga dilihat turut menjadikan laman sosial Facebook sebagai tempat untuk meluahkan rasa, perlu ke?

Bagi saya senang saja. Kalau tak suka, benci, jangan buka Facebook dan baca apa yang saya tulis. Facebook tu dah jadi macam journal harian dan saya akan kongsi apa sahaja yang saya tulis bersama peminat. Kalu rasa sakit hati, jangan baca. Nanti dah baca sakit jantung pula. Lagipun, terang-terang namanya laman peminat (fanpage). Saya tulis dan berkongsi pengalaman saya. Kadang-kadang mereka jadikan kata-kata saya sebagai inspirasi harian mereka. Dari situ saya salurkan tenaga positif kepada mereka.

Dalam program MLM misalnya, selepas beri komen pedas-pedas, apa yang Chef Wan harapkan daripada peserta?

Biar ada adab. Macam baru-baru ini, ada peserta yang buat lawak berunsur lucah dan mengaibkan sesetengah pihak, saya bangkang. Sebab buat lawak sebenarnya tak perlu cara aib, lucah dan nampak bodoh. Bidang komedi di Malaysia boleh berkembang maju dan sihat walau tanpa benda-benda macam ini. Peserta perlu sedar bahawa, program itu turut ditonton oleh budak-budak. Apa contoh yang dapat kita bagi kalau mereka tengok peserta buat lawak sebegitu?

Susah sangat ke jadi juri untuk program sebegitu?

Bukan senang tahu jadi juri ni. Sampaikan saya, setiap kali masuk program itu untuk menilai persembahan mereka, saya minta doa pada Allah S.W.T supaya saya dapat mengadili mereka dengan baik dan saksama. Penonton pun kadang-kadang ada yang tak hormat juri. Bayangkan, juri pun kena booo. Dimana rasa hormat mereka? Kalau masuk dalam mahkamah, beranikah kita untuk booo kan hakim? Ingat saya ni suka dimalukan dan diboo begitu? Budaya apa tu? Walhal saya ikhlas beri pandangan saya.

Adakah sebarang kemungkinan, penonton pun tak suka dengan komen terlalu pedas?

Bagi saya kalau mereka nak terima teguran, Alhamdulillah. Kalau tak mahu dengar, sudah. Kalau lawak ada isi dan ia berjaya buat saya dan penonton gelak, maka mereka berjayalah. Kalau tak, maka saya kata taklah. Ingat saya ni bodoh sangat ke sampai tak tahu nak beza mana lawak, mana tidak, hanya kerana saya ni seorang chef? Fikirlah sikit.

Bagaimana Chef Wan melihat generasi artis muda sekarang yang dilihat begitu pantang ditegur, susah terima kritikan?

Kena ajar dan nasihat dari awal supaya hormat orang tua. Budak-budak sekarang ramai yang biadap dan kurang ajar. Kita kena ingat, generasi muda sekarang inilah yang akan memimpin dunia pada masa akan datang. Kalau tak dididik dengan cara yang betul, mereka ini tak akan sedar.

Saya buat ni semua demi masyarakat, agama, bangsa dan negara. Kadang-kadang saya sedih bila segelintir masyarakat kita suka meniru ke arah kebaratan sangat. Biadap dan sebagainya. Buat apa nak tiru barat? Tengok mereka sekarang, negara pun dah nak lingkup, kita nak jadi macam merekakah? Perkara yang baik bolehlah ikut. Habis, kalau mereka terjun longkang, kita pun nak terjun longkang jugalah? Ini sebagai sumbangan untuk mendidik masyarakat, bukan aibkan sesiapa. Anggaplah teguran ini daripada seorang bapa menegur anak-anak. Kalau baik, jadikan contoh tauladan, kalau tak mahu terima, terpulanglah.

Maya dilambung Ombak Rindu


PERNAH satu ketika dahulu, dia dipertikaikan kerana diberi watak perempuan kampung naif, peran utama filem Ombak Rindu. Izzah ialah watak seorang anak yatim piatu diberi nama Izzah yang

diduga dengan pelbagai halangan dan dibuang oleh keluarga bapa

saudaranya, Taha kerana dikatakan pembawa malang.

Sebaliknya, pelakon Maya Karin secara realitinya seorang wanita moden dan banyak menghabiskan masa di bandar ternyata berbeza dengan apa yang digambarkan dalam naskah karektor ciptaan novelis Fauziah Ashaari yang cukup menyentuh hati itu.

Menanyakan persoalan tersebut kepada pelakon kelahiran Bayreuth, Jerman ini, dia memang ada alasan tersendiri untuk membawakan watak berkenaan.

“Memang saya tak ada ketulusan Melayu (seperti dalam watak Izzah yang sebenar) sebab saya berdarah campuran. Itu sebab saya cabar diri saya untuk mencari pengertian sebenar jiwa Melayu itu.

“Menerusi bimbingan daripada orang yang lebih Melayu termasuk Ellie Suriaty, saya dapatkan apa yang dikehendaki dalam filem itu selain mendengar banyak lagu-lagu tradisional sepanjang penggambaran.

“Memang dahulu memang saya jauh (dengan Melayu) tapi sebab jadi artis, sekarang ini semakin hari semakin dekat. Seperti kebanyakan artis yang duduk di bandar tapi itu tak bermakna saya tak mampu membawakan watak Izzah,” jelasnya.

Filem Ombak Rindu adalah terbitan Astro Shao dengan kerjasama Tarantella Pictures mula ditayangkan pada 1 Disember lalu. Selain Maya, Aaron Aziz dan Lisa Surihani, Ombak Rindu turut dibintangi Bront Palarae, Normah Damanhuri, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Delimawati, Julia Ziegler dan Kamarool Yusof.

Mengusik Maya yang persoalan bagaimana dia mendapatkan konsentrasi penjiwaan Melayu sedangkan sewaktu penggambaran itu dia berdepan dengan konflik rumah tangga sebelum ini, wanita ini tersenyum.

“Saya memang dahulu lagi memang mudah mendapatkan fokus kalau melibatkan soal kerja. Sesukar macam mana pun, saya kena lakukan kerja saya dengan sempurna.

“Kena bahagikan (soal peribadi dan kerja) dan bijak mengawal kedua perkara itu. Susah sebenarnya nak terangkan tapi saya nak berikan fokus sepenuhnya sewaktu penggambaran Ombak Rindu selama dua bulan,” dedahnya.

Ini merupakan kali ketiga Maya bekerja di bawah pengarah Osman Ali selepas Anak Halal dan Cun bersama pasukan produksi yang sama. Lantaran itu, tugas Maya lebih mudah kerana tumpuan diberikan hanya kepada permainan emosi.

Selain itu, anak sulung dari tiga beradik ini turut menyatakan rasa teruja kerana gandingan pertama kali dengan Lisa Surihani dan Aaron Aziz memberikan impak yang menarik.

“Dalam filem ini, saya tak berpeluang untuk mendapatkan banyak masa bersama Aaron sebab dia sibuk dengan penggambaran filem lain. Ombak Rindu memberi banyak pengalaman buat diri saya.

“Buat pertama kali juga saya memakai tudung dalam filem kerana mahukan kelainan walaupun tidak ada dalam skrip. Saya mahu semuanya gembira dengan naskah ini dan berharap orang terhibur,” katanya.

Janganlah marah sangat Hattan


AMBOI sejak minggu lalu Joyah tengok ramai betul yang bercerita perihal Hattan yang naik hantu dengan seorang orang media.

Dalam banyak blog, Hattan mengeluarkan kata-kata pedas termasuklah mengatakan wartawan berkenaan pendek, muka tak kacak macam Anuar Zain dan sebagainya. Amboi, kenapa naik hantu sampai macam sekali Hattan? Rileks-rileks sudahlah.

Joyah tak berpihak pada mana-mana, walaupun wartawan tu kawan Joyah dan Hattan pun Joyah kenal juga, selain minat lagu-lagu dia. Tapi setahu Joyah gosip yang ditulis oleh wartawan tu langsung tak ada menyebut nama mana-mana artis, kenapa pula ada yang hendak bising-bising? Jauh sekali nak sebut nama Hattan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga buat kali kedua tu. Jadi, sesiapa sahaja boleh jadi artis yang ditulis tu, bukan Hattan semata-mata tau.

Tapi nampaknya penyanyi Bisa Bonar tu memang marah. Katanya gosip tu memang ditujukan pada dirinya walaupun tak sebut nama.

Orang kata, siapa makan cili dia yang terasa pedas. Kalau Hattan hangat pijar dengan gosip tu, soalan soal Joyah ialah, kenapa?

Kalau Hattan bahagia dengan isteri barunya, baik jangan ambil pot dengan cerita tu, buat tidak peduli saja, itu bukan awak pun. Tutup kes, habislah cerita.

Hattan pun dah ada orang baru dalam hidupnya. Joyah harap sangat penyakit ‘marah-marah’ Hattan segera hilang kerana tak ‘macho’ lah bang, kalau tak pandai kawal emosi.

Cuba romantis sikit, barulah seronok dalam situasi diri sedang berbulan madu. Tak gitu Hattan?

Penyebaran Terancang Gambar Khairul Fahmi Che Mat: Satu Konspirasi?


Apek dilihat bersama gadis lain: Khairul Fahmi Che Mat, 22, dikatakan dilihat bersama seorang gadis yang bukan tunangnya. Gadis itu dikatakan lebih cantik dan ‘hot’ dari tunangnya, Armie Harmelia atau Elia, 22, dan ini mula menimbulkan spekulasi orang ramai tentang status pertunangan mereka. Pada masa yang sama, Elia telah membuat satu entri di blognya, Jejari Runcing, tentang doa dan harapannya untuk seorang kekasih.

Gambar Dalia Teck tersebar: Gambar gadis yang dikatakan keluar dengan Khairul Fahmi mula tersebar. Beliau dikatakan bernama Dalia Teck (nama skrin twitter dan Facebook) dan merupakan seorang model berusia 18 tahun. Sebaik sahaja ini tersebar, Dalia terus menyahaktifkan akaun Twitter dan Facebooknya. Elia membuat kenyataan di Facebook peribadi yang Khairul Fahmi telah meninggikan suara pada ibunya.

Umum putus tunang: Khairul Fahmi membuat pengumuman yang pertunangannya sudah putus melalui Metro Ahad, selepas perlawanan perlawanan bolasepak dengan Singapura yang berakhir dengan Singapura memenangi perlawanan. Khairul Fahmi menyatakan dia ada hubungan dengan Dalia seperti abang dan adik tetapi Dalia bukan orang ketiga dalam perhubungan mereka. Dia berkata dia memutuskan pertunangan kerana merasakan itu adalah keputusan terbaik. Dia juga menyatakan yang dia hanya berbincang dengan ibu Elia dan tidak menengking seperti yang didakwa.

Elia tidak tahu: Elia menyatakan yang dia tidak tahu Khairul Fahmi ingin memutuskan pertunangan dan mendakwa tidak diberitahu oleh Khairul Fahmi. Beliau juga mendakwa Khairul fahmi mengelak untuk berjumpanya dan berkata dia mempunyai bukti ada orang ketiga dalam perhubungan mereka.

Kenyataan bekas teman lelaki Elia: Seorang lelaki yang mengaku dia adalah bekas teman lelaki Elia telah muncul memberikan komen di Forum Cari yang dia tidak terkejut dengan keputusan Khairul Fahmi dan berkata dia berharap Elia akan berubah ke arah manusia yang lebih baik. Kesahihan cerita lelaki ini, yang dikatakan akan menyambung pelajaran peringkat PhD ke Universiti Princeton, Amerika Syarikat, tidak dapat dipastikan.

Apek dihantar gadis misteri: Khairul Fahmi dilihat dihantar oleh seorang gadis yang mempunyai susuk tubuh seperti Dalia Teck untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.

Apek minta maaf: Khairul Fahmi meminta maaf kepada orang ramai melalui Murai, berkata dia tidak dapat menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku dan menafikan dia adalah seorang ‘kaki perempuan’. Dia berkata keluarganya akan memulangkan cincin pertunangan kepada Elia secara rasmi dalam masa terdekat. Dia juga mendakwa sudah memberitahu Elia akan keputusan untuk memutuskan pertunangan tetapi Elia tidak memberi reaksi.

Gambar Khairul Fahmi dan Dalia diSingapura disebarkan oleh individu tertentu ke OhBulan! Ini menimbulkan pelbagai reaksi dari orang ramai.

Refleksi gadis di kaca mata hitam Apek: Seorang bernama Nureen menghantar e-mel memberitahu kepada BeautifulNara yang dia merupakan seorang pekerja Palace Of The Golden Horses. Dia turut mendakwa nama Khairul Fahmi tersenarai dalam senarai penginap hotel pada 17 Julai 2011, selepas perlawanan dengan pasukan Arsenal dan sebelum perlawanan menentang Liverpool. Beliau turut menghantar satu gambar di mana terdapat refleksi seorang gadis mengambil gambar di bilik hotel pada kaca mata Khairul Fahmi.

Kemunculan Shida Harmi: Seorang gadis bernama Shida Harmi dikatakan mendedahkan dia mempunyai hubungan dengan Khairul Fahmi sebelum ini. Sebaik saja berita ini tersebar, Shida Harmi (yang juga aktif membuat kenyataan tentang Khairul Fahmi sebelum ini melalui Twitter) telah menyahaktifkan akaun Twitternya. Gambar Khairul Fahmi berkaca mata hitam ini dikatakan sesetengah pihak berasal dari telefon bimbitnya.

Pertolongan Tengku Mahkota Pahang: Khairul Fahmi dikatakan sedang berada di Slovakia dan Harian Metro hari ini melaporkan yang Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk membantu Khairul Fahmi meyelesaikan masalah beliau tentang putus tunang ini sekiranya Khairul Fahmi berjumpanya.

Pengakuan Dalia tentang hubungan dengan Khairul Fahmi Che Mat. Dalia mengesahkan yang mereka sedang bercinta dengan persetujuan Khairul Fahmi.

Isu ini sejuk seketika, bagaimanapun isu ini hangat kembali apabila gambar-gambar Khairul Fahmi Che Mat dengan kekasihnya Dalia sedang menyambut hari lahir di sebuah restoran Itali di Bukit Bintang dihantar oleh individu tertentu ke BeautifulNara. Disebabkan terdapat gambar arak di meja, Kharul Fahmi menerima pelbagai kritikan, walau pun begitu dia menafikan dia telah minum arak. Nur Dalia yang dihubungi oleh pihak kami juga mendakwa dia tidak minum, sebaliknya hanya menyambut hari lahir di sana. Seorang saksi juga telah muncul memberitahu kami dia ada di restoran itu sewaktu sambutan hari lahir Dalia dan mengakui Khairul Fahmi tidak minum arak. Beri perhatian yang gambar-gambar ini dihantar pada masa Khairul Fahmi sedang membuat persiapan dan menumpukan konsentrasi pada Sukan SEA. Penghantar gambar meminta untuk dirahsiakan, dan carian kami mendapati tiada keputusan carian di Google melalui e-mel tersebut. Kami menyimpulkan yang e-mel ini memang direka untuk menghantar gambar-gambar tersebut dengan tujuan tertentu. Pasukan Malaysia, walau bagaimanapun berjaya meraih Pingat emas Sukan SEA, dan Khairul Fahmi adalah antara penyumbang kejayaan tersebut.

Khairul Fahmi Che Mat dikatakan telah menghubungi bekas tunangnya untuk meminta bantuan berkenaan penyebaran gambar sambutan hari lahir Dalia, tetapi ini dinafikan oleh Khairul Fahmi yang mendakwa dia hanya menghubungi ibu bapa dan kekasihnya sebelum ke Indonesia. Menyifatkan gosip baru itu sebagai tuduhan tak berasas, Khairul Fahmi turut membuat kenyataan tentang pihak yang hendak membuatnya jatuh dan tidak gembira, tetapi dia juga berkata dia tak akan mempedulikan semua itu. Dia turut meminta orang ramai agar berhenti memperkatakan tentang kisah peribadinya kerana fokus yang lebih penting ialah tugasnya sebagai pemain kebangsaan yang berusaha membantu negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011

Menjelang perlawanan penentuan kelayakan Pra-Olimpik, gambar-gambar mesra Khairul Fahmi dengan Shida Harmi telah disebarkan ke Rotikaya. Carian melalui Google menunjukkan e-mel tersebut juga tiada keputusan carian, memberi kesimpulan ia memang direka untuk menyebarkan gambar tersebut. Khairul Fahmi dan Shida Harmi bagaimanapun telah tampil mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini, menyatakan mereka hanya bergambar dan bukti cakupan skrin SMS tentang mereka pernah ‘tidur bersama’ telah dipalsukan. Shida Harmi juga telah mengeluarkan kenyataan di Harian Metro hari ini dan berkata dia akan berkahwin dua minggu lagi dan akan mengambil tindakan undang-undang untuk mengelakkan perkara ini berlarutan.

Persoalan yang berbangkit di sini ialah:-

1) Penyebaran gambar yang memang dikumpul oleh seseorang individu/individu-individu dengan tujuan yang sama.

2) Penyebaran yang dilakukan sebelum perlawanan-perlawanan bola sepak yang penting.

3) Terdapat individu-individu yang sememangnya menyimpan gambar-gambar dan menunggu masa yang sesuai untuk diedarkan, dan disebabkan ia disebarkan sebelum perlawanan-perlawanan penting, kami menyimpulkan ia disebarkan untuk mengganggu konsentrasi Khairul Fahmi.

Pada Khairul Fahmi, kami nasihatkan, berhati-hati dan muhasabah diri. Sememangnya ada insan di luar sana yang ingin melihat anda jatuh, dan masih belum terlewat untuk berubah ke arah lebih baik. Walaupun anda bukan artis, tetapi anda tetap seorang selebriti, dan kisah peribadi anda akan menjadi perhatian orang ramai. Semoga anda akan menjadi insan dan ahli sukan yang lebih baik pada masa akan datang.

“Terpulang Pada Mata Masing-Masing & Ya, Saya Selesa Bersamanya” – Shila Hamzah Respon


“Setiap orang ada perspektif tersendiri. Macam saya sendiri kalau dikalangan peminat atau kawan-kawan saya, saya dianggap seorang yang terlebih peramah. tapi dikalangan mata orang-orang yang tidak mengenali saya, mereka menganggap sikap peramah saya dianggap satu kegedikan bagi mereka, jadi itu terpulang pada mata masing-masing” ujar Shila Hamzah menjawab isu dan kritikan segelintir pihak yang melabelkan dirinya ‘gedik’.

Tambahnya lagi, meskipun menerima kritikan pedas dek sikap ‘gedik’ yang diluahkan oleh segelintir pihak di laman Twitter-nya, Shila menjadikan kritikan tersebut sebagai pengajaran dan iktibar buat dirinya.

“Orang-orang yang mengkritik ini sebenarnya sayang pada saya. Kalau peminat tegur saya, mereka akan tegur saya dengan cara yang baik. Mereka sukakan saya, saya peramah, saya selalu layan diorang kan? Tapi kalau orang yang tidak menyukai saya, mereka mendidik saya dengan cara berbeza, mungkin menggunakan kata-kata yang kasar, but that just the way they are,”

“Secara jujurnya, saya memang sedih. Tapi bila saya pandang di sudut positif pula, saya sedar orang yang tidak menyukai saya rupa-rupanya mengambil tahu tentang saya, jadi saya rasa benda ini sebagai kelebihan pada saya. Tuhan tidak bagi semua. Alhamdulillah hidup saya best. Kalau semua orang suka suka saya, “alamak, rasa macam dah bagus pula”, jadi bila ada benda macam ini baguslah, kerana ia membuatkan saya sentiasa beringat dan mematangkan saya mengendalikan hal-hal sebegini,”

Menyentuh soal hubungannya dengan aktor baru, Sharnaaz Ahmad yang sekarang ini dikatakan sedang bermain-main cinta, gadis berusia 21 tahun ini tampil menjelaskan status perhubungan mereka.

“Orang banyak cakap, dah tak payahlah sorok-sorok. Kalau dah bercinta, cakap sajalah. Tapi masalahnya sekarang, kami masih belum di tahap bercinta lagi,” ujar Shila.

Namun apabila pihak media berseloroh mengatakan dia dan Sharnaaz nampak seperti pasangan kekasih bukan seperti ‘kawan’ seperti yang dikatakannya, Shila menjawab;

“So far, kami memang selesa bersama, barangkali itu istilah yang lebih tepat berbanding mengatakan kami bercinta. Cakap ‘I Love You’ pun belum lagi,” terang Shila berseloroh.

Ditanya tentang keistimewaan Sharnaaz yang membuatkan hatinya tertarik, Shila menyatakan dia melihat Sharnaaz sebagai cermin dirinya.

“Kami sama-sama gila, dan masing-masing tidak pandai cover cun. Saya dah jumpa ramai orang, ramai kawan lelaki begitu juga sebaliknya dengan Sharnaaz. Dan kebanyakan kawan lelaki saya, walaupun dah selalu jumpa masih lagi control macho. Tapi macam Sharnaaz, dia seorang yang very let go, dia seorang yang fun,”cerita Shila penuh gembira mengenai Sharnaaz yang mulai berkawan rapat sejak pembikinan klip video ‘Patah Seribu’,”

“Saya tak berani nak cakap banyak kerana orang selalu salah anggap dengan saya, bila saya kawan dengan orang ini, orang tu orang cakap saya bercinta. Lepas tu orang cakap saya player pula,” ujar Shila lagi ketika ditemui di sidang media Konsert Semangat Inspirasi di One World Hotel, petang semalam.

Ketika diajukan soalan bila agaknya dia mengakhiri zaman bujang, Shila memberi tempoh empat tahun lagi untuk menuju ke alam berumah tangga.

“Insyaallah, kalau tidak ada aral melintang, mungkin dalam empat tahun lagi. kalau ada jodoh. Tak tahulah siapa jodoh saya. Belum tentu saya berkahwin dengan orang yang saya berkawan sekarang kan? Saya berserah pada jodoh saja,” jelas Shila mengakhiri perbualan.

Senjata Rahsia Syafinaz Kekal Langsing & Mengancam!


“Kesibukan dek jadual yang padat antara faktor yang membuatkan tubuh saya ini maintain macam ini saja dari dulu lagi. Bila sudah sibuk, kadang-kadang jadual makan tidak menentu. Tapi apa yang bagusnya, bila kita sibuk, berkejar ke sana ke mari, dalam masa yang sama tubuh kita aktif bergerak,”

“Lagi satu, mungkin juga saya ini tergolong dalam kategori mereka yang memiliki metabolisma tinggi, jadi makanlah apa saja pun, tetap macam ini,” ujar penyanyi bersuara Soprano, Syafinaz Selamat ketika ditanya rahsia tubuhnya kekal langsing meskipun usianya menginjak 30-an.

Tambahnya lagi, dia tidak mengamalkan apa-apa petua ‘luar biasa’ untuk mengekalkan ukuran tubuhnya selain memastikan tidur yang mencukupi, mengambil suplemen tambahan dan hanya memakan nasi dalam kuantiti yang kecil.

“Saya jarang makan nasi, kalau makan pun hanya sesenduk dua dan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dalam makanan. Saya tidak suka minuman berkarbonat, mujurlah saya ini ‘hantu’ air suam. Kalau ada masa terluang, barulah saya melakukan sedikit senaman Pilates, yang ini pun agak jarang dilakukan kerana jadual seharian memang sibuk,”

“Tapi saya ada kelemahannya juga, kerana selain dari ‘hantu’ air suam, saya ini memang penggemar fanatik makanan-makanan manis seperti kek dan coklat. Memang favourite, tapi saya still makan dengan kadar sederhana,” ujar Syafinaz lagi.

Selain dari kecantikan tubuh, penjagaan wajah dan kulit turut menjadi keutamaan Syafinaz.

“Sebagai seorang public figure, saya kena kelihatan menarik di depan umum, suka atau tidak ini sebahagian harga yang perlu dibayar. Saya kena buat sedikit pelaburan untuk kelihatan menarik dan cantik,”

Ditanya apakah produk penjagaan kulit yang menjadi pilihan Syafinaz, Syafinaz tanpa berselindung mengakui merupakan pengguna tegar rangkaian produk Shieseido.

“Saya ni pengguna setia Shiseido dari dulu lagi. Kalau dari segi minyak wangi pula, saya suka bauan daripada jenama Hermes kerana baunya yang unik dan segar.

Siti Nurhaliza Dedah Rahsia Sendir


PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bakal mendedahkan perihal dirinya secara eksklusif menerusi dokumentari khas bertajuk Siti Nurhaliza yang bakal disiarkan di saluran History (ASTRO 555) pada 11 Januari 2012, bersempena ulangtahun kelahiran ke 32 penyanyi itu.

Penyanyi ini juga bakal berkongsi rahsianya yang masih lagi belum diketahui umum, termasuklah peminat-peminat fanatiknya.

Bukan sahaja tentang rahsia peribadi diri, dokumentari tersebut mengimbas kembali kerja keras penyanyi tersohor itu lebih-lebih lagi ketika di zaman kecilnya menjual kuih muih sehinggalah menaruh masa depan sebagai seorang anak seni sebelum meraih kejayaan sebagai penyanyi berprolifik tinggi.

Menurut Siti, selain menyusur perjalanan karier, dokumentari sepanjang satu jam itu akan mendekatkan lagi sisi lain penyanyi yang popular dengan lagu Fallling In Love kepada peminat-peminat setianya.

"Selalunya, dokumentari biografi akan dirakam untuk mengingati pencapaian tokoh kenamaan mahu pun individu yang banyak berjasa dan sudah meninggal dunia. Ini satu penghargaan besar dan sangat bermakna buat saya.

"Dan saya lebih awal mendapat peluang ini untuk menceritakan kisah perjalanan seni saya sepanjang 16 tahun berkecimpun dalam industri hiburan tempatan," katanya.

Antara 'orang penting' yang diwawancarakan ialah Rozi Abdul Razak yang juga pengurus dan kakak ipar kepada penyanyi itu, Jennifer Thompson (penerbit malam AIM), Zainal Alam Kadir (wartawan), Adnan Abu Hassan (komposer), Nurul Shukor (jurusolek) dan Michael Ong (pereka fesyen terkenal).

Menarik lagi, personaliti televisyen terkemuka, Najip Ali turut berkongsi pengalaman mengenali penyanyi tersohor itu dan mendedahkan bahawa Siti pernah menghadiri ujibakat program pertandingan nyanyian, Asia Bagus di Singapura sewaktu berusia 14 tahun.

Dokumentari Siti Nurhaliza diterbitkan oleh Red Communications Sdn. Bhd dan penerbit filem Pisau Cukur, Lina Tan dan pengarah filem tersebut, Bernard Chauly turut bertindak selaku penerbit eksekutif dan pengarah dokumentari berkenaan.

Erin Malek Azam Tak Nak Buat Masalah


PETALING JAYA: Pelakon remaja yang sering terkait dengan kontroversi, Erin Malek berazam untuk tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencetuskan kontroversi bagi dirinya.

Dia yang pernah dihimpit dengan kontroversi keluarga turut dilabelkan sebagai remaja bermasalah itu mengakui akan lebih menjaga tingkah lakunya.

"Saya tidak mahu lagi dikatakan remaja bermasalah, saya tak mahu buat perkara-perkara yang akan menjejaskan imej saya.

"Ya, saya mengakui mungkin tindakan saya dulu satu kesilapan kerana terlalu mengikut rakan-rakan dan meniru-niru gaya artis luar," katanya ketika ditemui pada satu sidang media pelancaran drama Klik, baru-baru ini.

Sebelum ini, Erin pernah mencetuskan kontroversi apabila mengaku bertindik lidah dalam sebuah rancangan hiburan.

"Saya mengaku apa yang saya buat itu salah dan saya tidak nafikan bahawa saya buat itu semua kerana rasa ingin tahu sebagai seorang ramaja.

"Tapi bila kontroversi berlaku, hidup saya sangat tidak senang. Sebagai remaja saya mengakui saya sukar untuk mengawal keadaan berhadapan dengan masalah.

"Saya lebih suka duduk bersendirian dan tidak pulang ke rumah. Oleh itu saya berazam tidak mahu terlibat atau menimbulkan perkara-perkara sebegitu lagi," katanya.

Dalam pada itu, Erin yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata dia akan menumpukan perhatian kepada bidang lakonan sepenuhnya pada tahun depan.

"Saya berehat sepanjang tahun ini dan menolak banyak tawaran berlakon kerana ingin menumpukan perhatian pada pelajaran.

"Selepas habis kertas terakhir pada minggu depan, saya ingin fokus pada kerja pula," katanya yang bakal membintangi drama Aishiteru yang bakal ditayangkan di TV9.

Ditanya tentang perancangan hidup, Erin berkata dia merancang untuk menyambung pelajaran di luar negara dalam bidang pengarahan filem.

"Impian saya untuk belajar dalam bidang pengarahan di luar negara. Tapi saya mahu belajar dengan duit hasil titik peluh saya sendiri," katanya.

Johan enggan komen


TIADA angin tiada ribut tiba-tiba Johan Raja Lawak, 27, dikejutkan dengan berita Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy ingin menyamannya kerana terguris dengan kata-kata yang berbaur penghinaan yang dilemparkan Johan ke atas dirinya dan kedua-dua ibu bapanya pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) pada 20 November lalu.

Umum mengetahui Ogy dan Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz merupakan pengacara pada malam FFM24.

Walaupun, penonton melihat senario gurauan kedua- dua pengacara serba boleh itu menjadi di atas pentas, namun apabila majlis tersebut tamat ada amarah yang tersimpan di benak Ogy kepada Johan sehingga bekas isteri kepada pelakon Eman Manan itu bertindak untuk menyaman Johan.

Ogy dalam dakwaannya menerusi sebuah akhbar sebelum ini menegaskan Johan sememangnya kurang ajar, bukan setakat bakat dirinya malah arwah ibu bapanya, Datuk Ahmad Daud dan seniwati Saadiah turut dipersendakan sesuka hati.

Namun kata Ogy, apa yang paling dia terkilan apabila Johan boleh mempersenda Tahun Gajah iaitu tahun kelahiran Nabi Muhammad!

Kosmo! berpeluang menghubungi Johan untuk mendapatkan maklum balas pelawak itu mengenai hal saman tersebut.

Johan mengakui terkejut dan hanya mengetahui perkara saman itu melalui sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan tentang perkara itu baru-baru ini.

Malah, dia tidak menyangka tentang isu tersebut kerana dia ada memohon maaf kepada Ogy selepas FFM 24 tamat jika kata-katanya ada mengguris hati Ogy.

Bagaimanapun Johan enggan mengulas lanjut mengenai hal saman itu selagi surat saman tersebut tidak sampai kepadanya.

“Saya terkejut dan hanya mengetahui perkara ini melalui sebuah akhbar yang mengatakan Kak Ogy nak menyaman saya.

“Sewaktu FFM 24 tamat saya ada minta maaf kepadanya jika ada kata-kata yang menyinggung perasaannya. To be fair saya sebenarnya tidak mahu ulas perkara ini lebih lanjut selagi surat saman itu tidak sampai kepada saya.

“Tunggulah jika perkara ini masih berlanjutan saya akan bercakap mengenainya kepada semua,” tegas Johan.

Dilanda kekecewaan

Di sebalik senyuman dan telatah yang dibinanya di kaca TV sebanarnya terselit kekecewaan besar pada diri Johan apabila menerima dua kali berita isterinya Rozlinawaty Ismail, 30, atau Ozlynn mengalami keguguran.

Lebih kecewa keguguran yang berlaku dikatakan Johan berpunca daripada aktiviti senaman di gimnasium yang sering dilakukan mereka suami isteri.

“Dalam tahun ini sahaja sudah dua kali Ozlynn mengalami keguguran kerana terlalu aktif membuat senaman di gim. Masa pertama kali gugur saya masih boleh terima tetapi bila masuk dua kali gugur saya jadi kecewa dan sedih.

“Sudah tentu saya sangat sedih sebab memang impian saya ingin memiliki anak yang ramai seperti adik beradik saya,” kata Johan yang memiliki 12 orang adik-beradik.

Menurut Johan, selepas pulang daripada melakukan aktiviti di gimnasium, Ozlynn mengalami pendarahan yang banyak dan daripada situ baru dia mendapat tahu isterinya hamil dan mengalami keguguran.

Memang dia dan Ozlynn tidak pernah merancang untuk menimang cahaya mata.

Namun, Johan percaya segala yang berlaku ada hikmat di sebaliknya. Baginya, mungkin belum rezeki dia dan Ozlynn menimang cahaya mata selepas memperoleh anak pertama, Ahmad Sodiq Hainana, 2. Apa yang penting buat masa sekarang kata pemenang tempat kedua Maharaja Lawak itu adalah sabar dan berusaha untuk memperoleh cahaya mata lagi.

“Anak adalah harta yang paling berharga. Namun, saya percaya belum ada rezeki untuk kami tambah cahaya mata,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran drama Astro Ceria saluran 611 terkini, Elly dan Epit.

Di sebalik kekecewaan Johan, tawaran dalam bidang seni datang mencurah bak air di daun keladi.

Terbaharu, pelawak dari Ampang, Selangor itu bakal menyiapkan diri untuk dua filem arahan Mamat Khalid dengan Syamsul Yusof.

Bercerita tentang filem Syamsul Yusof bertajuk KL Tak Gangster itu, ia akan memulakan penggambaran pada bulan Februari tahun depan.

“Dalam cerita ini saya dengan Shaheizy Sam akan berlakon bersama. Cerita dia lebih kepada cerita aksi, komedi manakala untuk filem Mamat Khalid juga akan menjalani penggambaran pada awal tahun depan. Tajuk filem itu belum diberitahu lagi tetapi saya sudah setuju untuk terima tawaran tersebut,” kata Johan lagi.

Bukan itu sahaja, Johan juga terlibat sebagai penyampai radio Era untuk segmen hujung minggu Era setiap hari Sabtu dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi. Malah, selepas habis drama Elly dan Epit, Johan juga mempunyai komitmen lain iaitu Edisi Khas musim baharu dan Superlawak.

Tidak tamak

Melihat kepada jadualnya yang padat, timbul pertanyaan adakah dia tamak menerima semua tawaran di depan mata? Bagaimana dia membahagikan masa bersama keluarga?

Bagi Johan, tiada istilah tamak apabila dia menerima tawaran-tawaran tersebut. Masa bersama keluarga tetap ada dan kerja yang diambil bukan datang dalam masa yang sama.

“Bukan saya tamak menerima semua tawaran yang datang. Saya tak ambil job serentak. Saya juga memilih setiap tawaran yang dapat sama ada ia sesuai dengan masa yang saya ada. Jika saya tidak dapat buat saya tidak terima.

“Saya paling suka menghabiskan masa lapang dengan keluarga. Memang masa saya agak terhad. Tidur pukul 10 malam dan bangun pada pukul 4 pagi tapi saya tetap akan luangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Johan juga tidak memperuntukkan berapa banyak kerja yang perlu dilakukan dalam masa sebulan atau setahun. Paling penting, baginya, adalah kualiti sesuatu kerja yang dilakukannya.

Mengulas mengenai wataknya di dalam drama Elly dan Epit, kata Johan, dia menerima drama itu kerana pihak produksi dapat mengikut jadualnya. Dia juga tidak mahu menghampakan pihak produksi dan juga watak yang diterimanya.

“Saya terima cerita ini sebab masa penggambaran tidak bertindih dengan jadual kerja saya. Lagipun, saya suka berlakon dengan kanak-kanak. Ia mendisiplinkan saya untuk berlakon mengikut skrip.

“Kanak-kanak ini berlakon mengikut skrip. Jika saya cakap

Saya memang anak emak - Zizan Raja Lawak


KALAU dihitung jumlah tahun pembabitan Zizan dalam bidang seni, memang boleh dikatakan masih baru dan hijau.

Tetapi, populariti yang dikecapi dalam tempoh lima tahun yang dilaluinya sebagai anak seni sememangnya cukup membanggakan.

Sehinggakan ada yang berbisik dan mengkhabarkan bahawa Zizan kini merupakan salah seorang pelawak yang semakin tinggi nilainya.

Apa yang membanggakan, Zizan juga sudah mampu berdiri setanding dengan pelawak senior yang lain.

Namun, bagi diri anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, dia tidak pernah melihat dirinya dalam kedudukan tertinggi.

Sebaliknya, dengan penuh rendah diri Zizan memberitahu dia sentiasa berpijak di bumi nyata kerana sedar bahawa apa yang dimilikinya hari ini sebenarnya juga sebahagian daripada ujian Allah SWT.

“Biarpun orang melihat saya sebagai seorang yang popular, tetapi jauh di sudut hati saya ini, hakikatnya saya masih Zizan yang sama.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip hidup saya untuk tidak menjadi seorang yang bermegah-megah dengan kejayaan hari ini.

“Apa yang saya lalui selama hari ini semuanya tidak pernah datang bergolek. Ia adalah hasil daripada usaha dan kerja keras saya.

“Apa yang penting juga, saya tidak akan sesekali melupakan semua pesanan dan nasihat ibu saya yang merupakan azimat untuk saya meneruskan kehidupan,” jelas anak muda berusia 27 tahun itu dalam nada bersungguh.

Naib juara Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007 itu berkata demikian sewaktu ditemui di lokasi penggambaran filem terbarunya, Mael Lambong di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Zizan atau nama sebenarnya, Mohd. Razizan Abdul Razak mengakui, cabaran dan dugaan sebagai seorang artis cukup besar terutama untuk seorang pelawak sepertinya.

Katanya lagi, jika tidak dikuatkan iman, tidak mustahil dirinya mampu tersasar jauh dari landasan dan pegangan hidup.

Mendengarkan kata-katanya itu, Hits terus mengajukan soalan kepada Zizan apakah pernah terdetik di hatinya untuk menjadi seorang ‘budak nakal’ dengan statusnya sebagai artis popular itu.

Semangat ibu

“Saya tahu setiap kali apabila memperkatakan tentang dunia hiburan, konotasi negatif itu memang tidak dapat lari seperti kaki perempuan, kaki botol, kaki disko, dadah dan lain-lain lagi.

“Seperti mana yang saya katakan tadi, kalau iman kita tidak kuat, memang kita mampu menjebakkan diri melakukan perkara-perkara yang tidak elok.

“Saya tidak malu untuk mengaku yang saya ini memang anak emak. Apa saja yang saya lakukan, saya akan memikirkan emak saya kerana dia merupakan tulang belakang kepada kejayaan saya hari ini.

“Di kala saya sedih dan berduka, ibu saya menaikkan semangat saya dengan kata-kata perangsang. Apa saja berita saya keluar di akhbar, dia akan menelefon dan memberi nasihat.

“Ada kala saya dipermainkan oleh teman-teman lain kerana dikatakan mahu menjadi seorang yang cuba hendak tunjuk baik. Tetapi, saya tidak dapat membohong diri saya kerana ini adalah diri saya yang sebenar,” jelas Zizan yang dilahirkan pada 15 April 1982 itu panjang lebar.

Dengan penuh terbuka juga, bintang filem KL Gangster dan Hantu Bonceng itu mengaku, dia tidak pernah melibatkan dirinya melakukan perkara yang mampu merosakkan reputasinya seperti bersantai di kelab malam dan berpeleseran tanpa hala tuju.

Pernah juga dia mencuba menghabiskan masa di kelab malam untuk berhibur. Tetapi terus terang dia mengatakan jiwanya bukan ke arah itu.

Kalau ada waktu senggang sekalipun, Zizan lebih selesa berehat di rumah sambil ditemani kucing peliharaannya.

“Saya memang suka menari dan pernah ke kelab malam untuk sekadar melepaskan tekanan. Tetapi, saya tidak boleh lama di situ kerana sesak nafas saya dibuatnya (ketawa).

“Bukan itu sahaja, demi menjaga kesihatan juga, saya sendiri sudah berhenti merokok hampir dua tahun lalu. Seandainya ada yang tidak percaya dengan kisah saya ini, saya tidak boleh berbuat apa-apa,” ujar pemilik trofi Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular 2010 ini tanpa selindung.

Tidak menyesal

Barangkali ramai yang tidak tahu bahawa bukan mudah sebenarnya untuk menjadi seorang anak seni kerana ia memerlukan pengorbanan yang besar. Apatah lagi yang popular dan ternama seperti Zizan.

Dalam pertemuan itu juga, penulis sempat bertanyakan kepadanya, apakah pernah terbit rasa menyesal di hatinya apabila memilih jalan seni sebagai punca pendapatannya?

Diam seketika sebelum memberikan jawapan, Zizan menjelaskan, penyesalan tidak pernah ada dalam dirinya sepanjang lima tahun menjadi seorang anak seni.

“Saya sendiri memilih untuk menjadi seorang artis dan maka itu, saya harus bersiap-sedia menghadapi segala kemungkinan. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan saya juga begitu menjaga kehidupan privasi saya.

“Peminat dan penyokong saya telah meletakkan saya di tahap seperti mana hari ini dan saya mencuba sedaya-upaya untuk memuaskan hati mereka.

“Walaupun ada ketika saya sedang berehat atau makan di luar, mereka akan datang kepada saya untuk bergambar. Tetapi, saya akan meminta secara baik untuk diberi masa sehingga saya menghabiskan apa yang sepatutnya.

“Saya percaya kalau kita berdiplomasi dengan peminat mereka akan faham dan menghormati kita. Artis juga sama seperti orang lain kerana mereka mempunyai kehidupan sendiri,” ujar Zizan yang juga selesa digelar Zizan Razak selain Zizan Raja Lawak.

Dalam masa yang sama, Zizan juga menafikan dirinya sudah sah menjadi wajah eksklusif Astro bersama sahabatnya, Johan.

Namun begitu, Zizan tidak menafikan bahawa stesen berbayar itu ada menyuarakan hasrat untuk berbincang soal tersebut tetapi tiada perkembangan lanjut.

“Kalau benarlah perkara ini terjadi, saya mahu melihat prospek kerjaya saya dalam konteks yang lebih luas lagi. Saya tidak mahu terikat hanya sebagai pelakon tetapi juga cabang seni lain,” kata Zizan yang juga pengacara Raja Lawak selain berbakat dalam menyanyi atau lebih tepat, rapping.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails