Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zarina Anjoulie Sedia Dikurung Di 'Bilik 7'


PETALING JAYA: Pelakon kontroversi Zarina Anjoulie percaya pendedahan dan pengakuan selebriti mengenai cerita-cerita sensasi mereka dalam program terbaru Bilik 7 di ntv7 adalah hidangan yang dinantikan oleh peminat hiburan tanah air.

Zarina berkata ia disebabkan mentaliti dan sikap semula jadi masyarakat khususnya penonton Melayu sememangnya menggemari dan teruja untuk mengetahui kisah-kisah panas artis.

"Sebab itu saya yakin Bilik 7 akan menawarkan satu bentuk hiburan yang digemari oleh masyarakat kita.

"Sama ada kita mahu terima atau tidak, cerita panas artis adalah bahan yang mendapat respons yang baik daripada khalayak.

"Apatah lagi pendekatan program ini mendedahkan pengakuan jujur artis dalam menjawab sesuatu isu yang berkaitan," katanya.

Zarina merupakan salah seorang daripada 13 selebriti yang bakal dipaparkan dalam program tersebut.

Bilik 7 yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan mula ditayangkan pada 5 April depan pada setiap Khamis bermula pukul 9 malam di ntv7.

Mengulas lanjut, Zarina berkata dia tidak melihat konsep program itu sebagai sesuatu yang mengaibkan golongan artis, sebaliknya ia adalah ruang terbaik untuk membuat pendedahan daripada mulut artis itu sendiri.

"Ia bukan membuka pekung atau memburukkan nama artis. Bagi saya, Bilik 7 memberikan pengalaman dan peluang yang baik kepada artis untuk meluahkan sesuatu kebenaran terhadap kontroversi yang tercetus.

"Saya melihat program ini sebagai platform yang telus dan berani buat artis mendedahkan kebenaran bagi sesuatu kontroversi itu daripada mulut kami secara rela dan ikhlas," katanya.

Dalam pada itu, penerbitnya Engku Azmin Engku Zaini berkata program tersebut mampu menarik minat dan tumpuan penonton kerana kelainan pada konsep dan paparannya.

"Kami bukan mahu mengambil kesempatan daripada golongan artis dengan menjadikan kontroversi mereka untuk tarik penonton.

"Sebaliknya, Bilik 7 wajar dilihat sebagai pengajaran dan mesej kepada penonton daripada kisah atau kesilapan yang didedahkan oleh artis itu sendiri," katanya.

Selain Zarina, 12 lagi selebriti yang bakal berkongsi pendedahan mereka bersama hos Richie Rachman adalah Azwan Ali, Radhi OAG, Lisdawati, Raja Azmi, Pian (Cecupak), Johan Asa'ri, Melia Aimiellia, Mawi, Natasha Hudson, Ayu Damit dan Gambit Saifullah.

Episod mingguan Bilik 7 juga boleh ditonton di laman www.tonton.com.my, bagi yang terlepas tayangan di televisyen.

Daus (AF8) Dituduh Nikah Pegawai Bank Dalam Diam


PETALING JAYA: Penyanyi yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus, menganggap tuduhan kononnya dia telah bernikah secara sembunyi di selatan Thailand dengan seorang pegawai bank pada bulan lalu adalah satu fitnah.

Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 24, berkata perkara itu benar-benar mengejutkannya.

"Ia adalah tuduhan yang tidak betul. Saya sendiri terkejut kerana pertama kali mendengar cerita ini.

"Tak mungkin saya akan bernikah senyap-senyap kerana sumber kewangan dan kerjaya saya sendiri pun masih belum kukuh.

"Lagipun urusan nikah kahwin adalah perkara besar dan baik. Saya ini artis takkan hendak rahsiakan atau membelakangkan keluarga dan masyarakat dalam hal ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Penyanyi lagu Kenapa itu berkata dakwaan seumpama itu sangat mengecewakan bagi artis baru sepertinya yang selama ini bersih daripada kontroversi.

"Saya berasa sedih dan kecewa dengan tuduhan ini. Bukan sahaja ia memalukan malah akan mengecilkan hati banyak pihak juga.

"Selama dua tahun jadi artis, ini kali pertama saya dikaitkan dengan kontroversi yang besar. Saya tak tahu nak cakap apa lagi," katanya.

Daus menambah, dia tidak menolak kemungkinan tuduhan itu disebarkan oleh individu yang iri hati atau marah kepadanya.

"Saya bukan hendak tuduh sesiapa tapi apabila perkara ini tersebar, ia mungkin dilakukan oleh orang yang pernah rapat dengan saya.

"Mungkin juga bekas kekasih yang marah kepada saya sehingga menyebarkan cerita ini. Ia tidak mustahil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Daus kini sedang giat menyiapkan rakaman album mini pertamanya di bawah KRU Studios.

Album berkonsepkan muzik gipsi itu dijangka memuatkan enam buah lagu dan bakal keluar dalam masa terdekat.

Awal Tidak Benarkan Scha Peluk Lelaki Lepas Kahwin


KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al Yahya, 29, tidak dibenarkan memeluk lelaki dalam apa jua adegan selepas bergelar isteri kepada Awal Ashaari, 31.

Ia adalah syarat yang dikenakan oleh Awal untuk memastikan rumah tangga yang bakal mereka bina pada 4 Mei depan berjalan dalam keadaan harmoni.

"Apabila bergelar isteri, semestinya dia (Scha) perlu menjaga nama baik suami dan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Jadi, terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti iaitu biarlah tawaran watak yang diterima sesuai dengan status isteri yang dibawanya.

"Kalau boleh saya tak mahu dia berpelukan dengan lelaki lain, nampak kurang manis," katanya selepas sidang media pengumuman tarikh perkahwinan mereka di Ampwalk, Jalan Ampang di sini, Selasa.

Selain itu tambah Awal, dia mengikut nasihat ibunya bahawa suami isteri perlu tidur bersama dalam apa sahaja keadaan.

Kerana itu Scha juga perlu pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam.

"Berdasarkan pesanan-pesanan daripada rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan orang tua-tua, mereka memberitahu, jika suami isteri tidur bersama akan menguatkan lagi mahligai perkahwinan.

"Sibuk dan gaduh besar macam mana sekalipun, ibu berpesan, tidur mestilah sekali. Ia merupakan salah satu tip kebahagiaan dalam rumah tangga," ujar Awal.

Scha yang baru sahaja mengetahui syarat itu agak terkejut selepas ditanya oleh pihak media.

Bagaimanapun, pelakon Aku Bukan Tomboy ini tidak kisah dengan syarat itu memandangkan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi kata suami.

"Hahaha! Saya pun tak tahu yang dia mahu saya lebih memilih watak selepas berkahwin nanti. Bagaimanapun itu bukannya satu masalah pun.

"Sebagai isteri, saya perlu mengikut kata-katanya nanti. Cuma saya harap, Awal dapat menjaga saya seperti mana dia menjaga keluarganya," tutur Scha sambil memberikan senyuman kepada bakal suaminya itu.

Pasangan tersebut akan melangsungkan pernikahan mereka pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Mei 2012.

Abby Abadi Bertudung Selepas Balik Umrah


PETALING JAYA: Kunjungan pelakon Abby Abadi ke Mekah untuk menunaikan umrah pada 15 hingga 26 Mac lalu telah melancarkan niat sucinya untuk bertudung.

Menurut laporan akhbar Berita Harian pada Rabu, pelakon berusia 34 tahun itu hasrat memakai tudung telah lama dipendam kerana enggan penghijrahannya itu dianggap sebagai mempersendakan agama.

“Takut juga kalau terjadi senario sekejap pakai dan sekejap buka tudung. Alhamdulillah, dua hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur, di depan Kaabah saya nekad untuk bertudung sekali gus berdoa semoga Tuhan tetapkan iman saya untuk kekal begini.

“Saya juga berharap perubahan ini tidak akan menjadi masalah atau beban buat orang sekeliling. Apatah lagi hal bertudung ini sering diperkotak-katikkan, terutama apabila ia membabitkan individu yang memilih kerjaya seni untuk mencari rezeki,” katanya sambil menjelaskan karier seni tetap berjalan seperti biasa.

Bercakap mengenai pengalamannya menunaikan ibadat umrah buat kali pertama, Abby berkata dia bersyukur kerana segala urusan sepanjang berada di sana berjalan dengan lancar. Bahkan, Abby memberitahu dia ke sana kerana membawa hatinya yang lara.

“Namun, syukurlah, kali pertama menjadi tetamu Allah kesihatan saya sentiasa baik. Saya juga sempat menunaikan umrah sebanyak tiga kali, mencium batu Hajarul Aswad dua kali, dapat menyentuh Kaabah, memasuki Raudhah dan banyak lagi.

“Saya juga tidak terkilan sekalipun sebelum ke sana, tawaran berlakon datang mencanak. Hampir lima ke enam tawaran berlakon saya terima, tetapi terpaksa ditolak secara baik kerana pihak produksi tidak dapat menunggu tetapi saya tidak ralat kerana percaya rezeki tetapi ada,” katanya.

Abby juga berkata perpisahannya dengan pelakon Zul Ariffin juga barangkali menjadi faktor yang mempercepatkan agendanya ke sana.

“Saya ke sana pula bukan atas alasan membawa hati yang kecewa. Sebaliknya, sebagai umat Islam mengerjakan umrah menjadi tuntutan buat kita,” katanya.

Radhi OAG Mohon Jangan Sentuh Kisah Peribadi


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan OAG, Radhi merayu agar kisah peribadi terutamanya yang berkaitan cerita bekas isteri atau kekasihnya tidak diperkatakan secara meluas seperti sebelum ini.

Ini kerana, ujar penyanyi berusia 34 tahun itu, liputan dan pendedahan yang berleluasa mengenai isu keretakan rumah tangga bersama bekas isteri Shazlin Sharif sejak lima tahun lalu meninggalkan perasaan trauma kepadanya.

“Saya mohon kepada semua agar tidak lagi menyentuh atau bercakap mengenai hal peribadi saya terutama yang berkaitan kes rumah tangga atau dengan siapa saya berkawan.

“Liputan yang keterlaluan mengenai hal privasi saya sebelum ini selama lima tahun sangat mengganggu diri dan emosi saya. Saya menjadi trauma, sedih dan terkilan dengan apa yang terjadi,” katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Ditanya adakah tindakannya merayu itu dipengaruhi oleh rasa kesal dan jelik dengan kesilapannya sebelum ini seperti penagihan dadah dan perceraian, Radhi berkata dia lebih senang menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

“Tiada apa yang perlu dikesalkan atau berasa jijik dengan kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Setiap perkara yang berlaku sebenarnya menjadikan saya insan yang lebih baik dan mendekatkan lagi diri ini kepada Allah,” katanya.

Ringkas mengenai perkembangan kerjaya, Radhi berkata OAG akan muncul dengan album baru yang memuatkan 10 buah lagu seperti Di Bawah Satu Tanah Air, Ambisi, Limbo dan Tears Park pada tahun ini juga.

“Kini saya sedang menunggu beberapa draf kontrak rakaman daripada dua atau tiga syarikat rakaman yang berminat.

"Apabila semuanya sudah diputuskan nanti, OAG akan kembali ke industri muzik,” jelasnya yang semakin sihat sejak tinggal di Pengasih.

Amran Ismail Terkejut Tuduhan Dibela Seseorang


PETALING JAYA: Pelakon Amran Ismail,27, terkejut dengan tuduhan kononnya dibela oleh seseorang selepas dia dilihat memandu sebuah kereta Honda Accord edisi baru dan Pajero di beberapa lokasi penggambaran sebuah drama.

Amran berkata, dua buah kereta itu tidak ditaja tetapi miliknya sendiri yang dibayar hasil wang dalam bidang lakonan.

“Saya terkejut apabila ada pihak menuduh kononnya saya ni dibela oleh seseorang. Puncanya apabila saya memandu kereta Honda Accord yang baru saya beli beberapa bulan lalu di lokasi penggambaran.

“Selain kereta itu saya juga mempunyai sebuah kereta pacuan empat roda itu Pajero,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Amran menjelaskan, kereta Pajero yang dipandunya sebelum ini milik bapanya iaitu Ismail Naim,60, yang diberikan sejak Amran berusia 19 tahun lagi dan akan habis bayaran ansurannya pada bulan Julai depan.

Berikutan itu kata Amran, ibunya Hasnah Fahly,59, mahu menghadiahkan sebuah kereta Honda Accord sebagai menunaikan nazarnya terhadap Amran yang pernah diluahkan beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini lesen saya pernah kena gantung kerana saya melakukan kesalahan lalu lintas. Emak kata kalau lesen saya dah okey, dia nak hadiahkan saya kereta.

“Baru-baru ni emak tunaikan hasrat itu dan saya pilih kereta Honda Accord edisi baru. Tapi kereta itu emak hanya berikan wang pendahuluan sahaja. Ansuran bulanan saya yang bayarkan,” katanya.

Menurut Amran dia kecewa dengan tuduhan tersebut dan berharap masyarakat terutamanya mereka yang berada dalam dunia hiburan tidak menyalahtafsirkan setiap kali melihat seseorang artis itu memiliki kenderaan baru.

Katanya, selama tujuh tahun terlibat dalam dunia seni, adalah tidak salah untuk dia menggunakan wang sendiri bagi membeli apa-apa perkara untuk kepentingan diri.

“Saya sentiasa mendengar nasihat ibu dan bapa saya kerana pada awalnya mereka melarang saya untuk aktif dalam bidang seni. Apabila mereka memberi kepercayaan, saya harus pegang kepercayaan itu. Janganlah buat tuduhan sembarangan,” katanya.

Sementara itu Amran memberitahu dia amat gembira apabila drama bersiri terbaru lakonannya iaitu Cinta Buat Emelda akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 bermula Isnin (semalam).

Ia menemui penonton pada setiap Selasa hingga Khamis selama sejam bermula pukul 7 malam.

Ujar Amran, drama tersebut amat terkesan pada dirinya kerana dia perlu melakonkan pelbagai karakter berbeza berbanding dram-drama terdahulu.

“Drama ini mengisahkan konflik kekeluargaan yang beraku dalam keluarga saya bersama dua orang kakak kembar. Saya tidak mengiktiraf hubungan dengan salah seorang kakak kembar saya kerana menganggap dia mempunyai seorang anak luar niklah,” ujarnya.

Tambah Amran, karya tersebut telah menguji kemampuannya untuk menangis selain perlu membawa watak romantik dan juga menjadi seorang yang tegas. Dia turut berlakon bersama Almy Nadia dan Diana Amir.

Dalam perkembangan lain Amran banyak menghabiskan masa lapangnya dengan melakukan aktiviti mengayuh basikal di sekitar kawasan ibu kota untuk menguatkan stamina.

Rozita Jawab Gosip Hendak Kahwin Datuk Punca Anak Lari


PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan hanya ketawa apabila timbul tuduhan anaknya, Aniq Ezra Azuar Effendy,14, lari dari rumah kerana merajuk selepas dia dikatakan membuat keputusan untuk menjadi isteri kepada seorang bergelar Datuk.

Rozita,39, berkata, dia menganggap gosip terbaru itu sebagai sesuatu perkara lucu yang sering dilaluinya sejak menjadi seorang selebriti.

“Haa... haa... kalau betul saya nak kahwin Datuk, mestilah anak saya suka. Datuk mestilah kaya,” jawab Rozita berseloroh kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Pada 17 Mac lalu Rozita membuat laporan polis selepas anak keduanya itu didapati hilang dari rumah dan ditemui beberapa jam kemudian di rumah rakannya di Subang Jaya dekat sini tidak jauh dari rumah mereka.

Semasa memberi keterangan kepada pihak polis, Aniq Ezra dikatakan merajuk kerana berkecil hati dengan sikap Rozita yang dilihat terlalu melebih-lebihkan abangya iaitu Ammar Effendi yang berusia 15 tahun.

Rozita menambah dia tidak ambil pusing dengan gosip itu kerana tuduhan tersebut dianggapnya sebagai sesuatu perkara yang remeh.

Kata Rozita sebelum ini dia pernah dikaitkan mempunyai hubungan dengan individu dan VIP tertentu tetapi perkara tersebut ternyata tidak benar.

Malah dia juga turut menghadapi tuduhan kerana dikatakan meletakkan bayaran tinggi untuk sesebuah tawaran berlakon selain isu persaraannya dalam dunia seni yang ditarik balik.

“Saya sudah melalui macam-macam kontroversi tetapi itu semua tidak menjejaskan kedudukan saya pun. Sama juga dengan isu terbaru ini (kahwin Datuk),” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai sebuah ruangan pojok dalam akhbar mingguan Ahad lalu memuji kelangsingannya Rozita berkata, dia menjaga kesihatan untuk memastikan tubuh badan menjadi sihat.

Selain menikmati nasi hanya dua kali sehari, Rozita juga aktif bersukan dan sering bermain futsal serta badminton setiap kali mempunyai kelapangan.

“Saya elak mengambil minuman bergas kerana takut perut buncit. Saya pun kuat juga bersukan. Kalau balik rumah pukul 12 malam, saya pergi main futsal dulu sampai pukul 2 pagi. Lepas tu baru tidur,” jelasnya.

Mengenai perancangan yang dilakukan selepas tersenarai antara lima terbaik dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), Rozita memberitahu dia menyerahkan kepada peminat untuk membuat pilihan.

Bagaimanapun dia sudah menyiapkan pakaian rekaan Riezman Ruzaini untuk digayakan pada majlis tersebut di Genting Highlands pada 8 April depan.

“Saya bersaing dengan mereka yang mempunyai nama kuat dalam industri seperti Fasha Sandha, Tiz Zaqyah, Scha Al-Yahya dan Nora Danish. Dalam hal ini biarlah peminat yang menentukannya,” jelas Rozita.

Tambahnya, sehari selepas acara itu dia bersama keluarga termasuk Lan Pet Pet dan Ayu Raudhah akan berangkat ke Switzerland dan beberapa buah negara lain untuk bercuti selama dua minggu.

Mawi Cerita Detik Cemas Perompak Acu Pisau


PETALING JAYA: Penyanyi Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani tidak dapat melupakan pengalaman ngeri apabila rumah banglo miliknya di Bangi Golf Resort di pecah masuk perompak pada Isnin sehingga mengancam nyawanya dan keluarga.

Mawi, 31, berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 4 pagi dan mengambil masa hanya 20 minit itu membuatkan dia cemas dan risau dengan keadaan keluarganya lebih-lebih lagi apabila wajahnya telah ditutup dengan baju selepas tangan diikat.

"Saya baru nak lelapkan mata selepas pulang dari Johor Baru bagi menjayakan siri jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang bakal berlangsung tak lama lagi.

"Tiba-tiba saya terjaga apabila pintu bilik diketuk kuat dan Ekin yang membuka pintu itu kerana menyangka pembantu rumah kami yang berbuat demikian.

"Kemudian, Ekin terus ditolak ke atas katil dan seramai tiga daripada empat perompak yang berpakaian serba hitam mengikat tangannya dan saya. Lebih mencemaskan ialah apabila wajah saya ditutup dengan baju," katanya.

Tambah Mawi, suspek turut mengacukan pisau ke leher isterinya dan meminta barang kemas dan mula menggeledah bilik mereka sebelum melarikan rantai, wang, serta empat buah telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000.

Selain Mawi dan Ekin atau Nora’asikin Rahmat, ibu mertuanya, Fatimah Saad, 55, neneknya, Salmah Sehan, 77, anak mereka, Cahaya Malaika dan seorang pembantu rumah turut berada dalam kejadian di mana mereka telah dibawa ke tingkat atas dan diikat.

Menurut bekas juara Akademi Fantasia musim ke-3 (AF3) itu lagi, dia percaya keempat-empat perompak tersebut memecah masuk ke rumahnya menggunakan tangga aluminium yang diambil dari tapak pembinaan perumahan berdekatan untuk memanjat tembok rumah lima bilik itu sebelum mengumpil tingkap di dapur.

"Selepas mereka (perompak) keluar dari rumah, saya membuka ikatan menggunakan gigi lalu menyelamatkan isteri, ibu mertua dan nenek lalu membuat laporan polis dengan segera," ujarnya.

Sebelum ini, kejadian rompakan pernah terjadi di rumah keluarga Mawi di Felda Taib Andak, Kulai, Johor Bahru pada 25 Julai 2009.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab Wahab memberitahu, pihaknya telah menahan tiga pekerja buruh tapak pembinaan di sebelah kediaman Mawi tiga jam selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dan rompakan dengan senjata.

Awal & Scha Sahkan Bakal Bernikah Pada 4 Mei Depan


KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon Awal Ashaari,31, akan melangsungkan pernikahannya dengan Scha Al Yahya,29, pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.

Berita itu diumumkan oleh kedua-dua pihak dalam satu sidang media khas yang diadakan di Ampwalk, Jalan Ampang di sini kira-kira pukul 3.30 petang Selasa.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Mei 2012.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, dia gembira kerana akhirnya dapat memperisterikan Scha selepas menjalinkan hubungan cinta selama dua tahun enam bulan.

"Sebenarnya saya dan keluarga telah merisik Scha pada 30 Mei tahun lalu. Pada mulanya kami telah merancang untuk melangsungkan perkahwinan kami lebih awal, cuma jadual kerja yang padat dan masalah tempahan dewan membuatkan kami melewatkan sedikit tarikhnya," katanya.

Scha atau Sharifah Norazean Syed Mahadzir pula memberitahu, dia juga bersyukur apabila ada beberapa pihak yang sudi menaja perkahwinan mereka.

Terdahulu menerusi siaran Propaganza di Astro Ria Ahad lalu, Awal mengumumkan secara terbuka untuk melamar Scha ketika pelakon wanita itu sedang mengendalikan rancangan tersebut sebagai pengacara jemputan.

Bagaimanapun, jelas Awal, lamaran yang dilakukan secara terbuka itu bukanlah gimik tetapi sekadar ingin menunaikan hasrat Scha yang pernah bertanya bilakah dia ingin dilamar seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang.

"Walaupun permintaan Scha sekadar gurauan, saya tetap mahu menunaikan permintaannya. Bagaimanapun saya harap, pihak di luar sana tidaklah menganggap saya mahu mengikut budaya barat apabila melakukan tindakan itu," ujarnya.

Sayang Salma...


PENDATANG baru ini mengakui bahawa keperitan untuk memuaskan hati semua pihak lebih rumit berbanding kesakitan dek penyakit misteri yang dialaminya sejak hujung tahun lalu. Penyanyi berasal dari Tawau, Sabah ini merujuk kenyataannya itu kepada tindakan segelintir pihak yang melabelnya seorang besar kepala selepas bergelar Juara Mentor Musim Kelima pada Mei 2011.

Salma didakwa menumpang tuah Erra Fazira, penjaganya dalam rancangan realiti itu yang banyak memberi tunjuk ajar sebelum berubah sikap sehingga ada pihak yang kurang senang nekad ‘menjatuhkannya’.

“Bila orang terus cakap saya besar kepala, saya geleng kepala sebab saya tak tahu bila masa saya cari gaduh. Jadi, saya anggap bahawa orang fikir buruk tentang saya itu adalah orang yang salah faham sebenarnya.

“Tak baik cakap saya tumpang populariti Kak Erra sedangkan dia banyak bagi tunjuk ajar, cara nak kukuhkan karier dan macam-macam pertolongan tanpa berkira.

“Tapi bila saya sakit, orang cakap itu disebabkan perangai buruk saya sebelum ini’ sedangkan orang yang cakap tu tak tahu macam mana sakit yang saya alami,” luah Salma.

Kenapa Salma bersikap defensif menguraikan gosip tentang dirinya sedangkan belum satu pun dakwaan tersebut itu benar? Menjawab pertanyaan ini, penyanyi lagu Aku Pertama ini menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab: “Saya kena jawab apa orang cakap tentang saya. Saya tahu bukan mudah nak berada di puncak. Jadi saya perlu buat penjelasan, bersihkan nama supaya orang dah tak salah anggap tentang saya.

“Memang saya tak boleh layan semua gosip, kalau dilayan boleh jadi gila, tapi jangan melampau sangat. Kenapa nak kaitkan penyakit yang saya alami dengan unsur mistik atau balasan dosa lampau?” soalnya kembali.

Mengulas terperinci penyakit misteri yang dialaminya itu membuatkan emosi Salma boleh berubah sekelip mata, peminat jus lobak ini diam seketika.

“Perkara ini terlalu sukar nak disahkan sama ada buatan orang atau tidak. Saya tak boleh cakap sangat,” ringkasnya berhemat tanpa mahu menyalahkan mana-mana individu.

Ditanya adakah Salma menyesal bergelar penyanyi, wanita yang bakal menyambut hari jadi ke-22 tahun pada 9 April ini berkata: “Saya tidak akan mengeluh jadi anak seni. Sekarang waktu fokus kerja, saya berazam nak kerja kuat demi keluarga.”

Rindu anak

PENYANYI berbintang Aries ini turut menyatakan kerinduan mendalam terhadap Puteri Nurul Huda, cahaya mata kesayangan berusia empat tahun yang berada jauh di kampung halamannya.

“Sebab anak saya kena kerja kuat demi masa depannya. Tak apalah walaupun sakit sikit untuk cari rezeki asalkan dia bahagia nanti. Wajah comel dia umpama penyembuh luka paling mujarab dalam situasi apa pun.

“Memang rindu bila anak jauh di mata, sebab itu saya kena balik Sabah sebulan sekali jumpa dia. Nak cium dan peluk dia kuat-kuat,” katanya penuh makna di hujung perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails