Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Haiza Hamil Empat Bulan Selepas Lima Tahun Berkahwin
PETALING JAYA: Selepas lima tahun menanti, penyanyi Haiza amat bersyukur kerana disahkan mengandung yang mana usia kandungannya sudah mencecah empat bulan.
Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, berkata, dia tidak mengalami sebarang alahan atau gangguan terhadap kandungannya selepas disahkan hamil.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi sebarang gangguan atau alahan yang serius. Boleh dikatakan, semuanya berjalan dengan lancar dan baik.
“Malah, saya sendiri pun berasa pelik apabila berbadan dua kerana pergerakan dan kesihatan saya berada pada tahap baik dan langsung tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Khamis.
Haiza bernikah dengan Norhanapfe Omar di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007.
Ditanya mengenai pengalaman menarik sejak hamil, penyanyi lagu Dag Dig Dug itu berkata, dia tidak mengidam atau meminta perkara yang pelik-pelik seperti yang berlaku kepada kebanyakan wanita hamil lain.
“Buat masa ini memang saya tidak minat atau teringin benda yang pelik-pelik. Mungkin juga kandungan masih terlalu awal, saya tidak pasti tetapi saya bersyukur kerana keinginan saya berada dalam keadaan terkawal.
“Kalau pun ada, saya pantang menonton iklan makanan di televisyen, pasti saya akan teringin dengan serta-merta.
“Baru-baru ini, saya terlihat iklan makanan segera Subway. Suami pula baru keluar dan saya terpaksa ajak kakak dan anak buah yang kebetulan tinggal berdekatan menemani saya ke restoran itu,” katanya.
Diminta berkongsi mengenai perasaan hamil selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, Haiza melihat banyak hikmah dengan ketentuan tersebut.
“Saya akui pernah terdetik dalam hati perasaan bimbang jika memang ditakdirkan saya tidak akan mendapat zuriat sendiri tetapi suami selalu tegur dan tidak mahu kami berputus asa dan berusaha.
“Alhamdulillah, kini selepas hampir lima tahun berkahwin, rezeki ini datang kepada kami. Cepat atau lambat (dapat anak), saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya mengakhiri perbualan.
Scha Bimbang Tak Laku Selepas Jadi Isteri
PETALING JAYA: Pelakon Scha Al-Yahya,29, mengakui berasa risau sekiranya dia semakin kurang menerima tawaran berlakon selepas bergelar isteri kepada pengacara Awal Ashaari, 31, pada Mei ini.
Scha berkata, perasaan itu mula wujud ketika dia sibuk membuat persiapan perkahwinannya namun percaya bahawa rezeki itu akan berada di mana-mana sekiranya seseorang itu berusaha.
"Saya pernah juga terfikir, adakah saya masih diterima oleh para penerbit dan peminat-peminat selepas berkahwin nanti atau mungkin dah tak laku?
"Tetapi saya percaya rezeki itu akan sentiasa ada sekiranya bakat dan kualiti kerja kita seiring," katanya.
Tambah pelakon filem Aku Bukan Tomboy ini, hal tersebut tidak menjadi satu masalah untuknya apabila bergelar isteri nanti selepas melihat rakan-rakan seangkatannya yang masih lagi menerima tawaran berlakon.
Scha dan Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari akan melangsungkan pernikahan mereka pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Mei 2012.
Ditanya adakah Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir sudah merasai 'debaran pengantin', dia masih belum merasai perasaan itu.
"Setakat ini, saya belum merasai debarannya lagi walaupun ramai yang berkata perasaan itu akan muncul buat mana-mana wanita apabila masa untuk menjadi suami isteri itu semakin dekat.
"Bagaimanapun, harap-harap saya tenang melalui peristiwa bersejarah itu," ujarnya.
Sementara itu Scha dan Awal turut berkongsi tip dan kesibukan menguruskan persiapan perkahwinan mereka menerusi program Seia Sekata yang disiarkan selama setengah jam pada setiap hari Jumaat, pukul 9.30 malam bermula 13 April lalu menerusi saluran Astro Ria.
Program selama enam episod itu memaparkan detik manis beliau bersama bakal isteri melakukan persiapan sehingga pada hari pernikahan.
Linda Jasmine Selamat Melahirkan Tengku Cleopatra
PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon Que Haidar iaitu Linda Jasmine selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.8 kilogram pada pukul 1.28 petang, Khamis.
Linda berkata, bayi yang diberi nama Tengku Cleopatra Haidar itu dilahirkan secara pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
"Alhamdulillah semuanya telah selamat dan paling penting Cleo (panggilan manja untuk Cleopatra) dalam keadaan sihat dan sempurna.
"Bagaimanapun saya masih mengalami kesakitan kerana tidak boleh mengambil pil tahan sakit disebabkan alergi," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Tambah Linda, dia sengaja memilih untuk melahirkan Cleo pada 26 April kerana dua anaknya lain turut dilahirkan pada tanggal 26 hari bulan.
Anak pertama Linda bersama suami terdahulu iaitu Qalif Khan yang kini berusia 12 tahun lahir pada 26 Januari 2000 sementara Tengku Ratu Haidar, 2, yang lahir atas perkongsian hidupnya dengan Que Haidar pula lahir pada 26 Oktober 2009.
Linda pada mulanya dijangka melahirkan Cleo pada awal bulan Mei tetapi mengambil pendekatan untuk mempercepatkan proses itu dengan kaedah perubatan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai pemilihan nama anaknya itu, Linda berkata ia dipilih bagi melengkapi nama anak perempuan sulungnya, Tengku Ratu Haidar.
Linda memberitahu, walaupun ada beberapa pilihan nama lain tetapi dia dan suaminya sepakat memilih nama tersebut.
"Nama Ratu cukup kuat menggambarkan dirinya dan sebab itu kami memilih Cleopatra yang juga nama seorang ratu di Mesir cukup terkenal dengan kisahnya sebagai seorang pemimpin wanita," katanya.
Bercerita lanjut mengenai bayinya, Linda berkata, Cleopatra mempunyai kulit yang lebih putih berbanding dua anaknya yang lain selain mata yang jernih.
Linda memberitahu, wajah anaknya itu lebih mirip kepada wajahnya. Bagaimanapun, Linda enggan mendedahkan wajah anaknya itu buat masa ini.
"Sukar saya gambarkan kegembiraan dengan kelahiran Cleo kerana setiap kali jururawat membawanya masuk perasaan sayu dan gembira bercampur baur. Dia bakal memeriahkan keluarga kami selepas ini," katanya.
Linda dan Que itu berkahwin pada 14 Februari 2009.
Anggap Sudah Tua, Normala Enggan Jadi Pengacara
KUALA LUMPUR: Bekas personaliti TV3, Datin Seri Normala Samsuddin nekad meninggalkan terus dunia glamor dan enggan bergelar seorang pengacara jika ditawarkan oleh mana-mana pihak.
Normala berkata, beliau merasakan zamannya sudah berakhir dan ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga dan keluarga.
"Saya sudah tua dan rasanya tak payah la lagi muncul sebagai pengacara. Beri pula kepada muka-muka baru.
"Tambahan pula saya kini gembira dengan kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan nenek. Ia adalah perkara terbaik dan terpenting dalam hidup saya kini," ujarnya kepada mStar Online pada majlis memperkenalkan 20 Finalis Program On Air di sini pada Rabu.
Ujarnya, komitmen yang diperlukan sebagai seorang pengacara adalah antara faktor beliau enggan kembali menjadi pengacara walaupun banyak tawaran diberikan kepadanya.
"Saya bukannya seorang wanita muda yang boleh bergerak ke sana ke mari dengan pantas kerana bidang ini memerlukan komitmen yang tinggi.
"Daripada menimbulkan masalah kemudian hari lebih baik kita elakkan," ujarnya.
Dalam pada itu, Normala menolak dakwaan beliau tidak mahu untuk muncul dalam dunia penyiaran kerana dihalang oleh suaminya, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitariaitu, Datuk Seri Azmi Khalid.
"Suami tidak pernah menghalang cuma tidak begitu menggalakkan saya untuk terus tampil di televisyen. Bagaimanapun keputusan ini saya buat atas pilihan sendiri dengan panduan daripada suami," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya sebagai juri tetap program On Air, Normala memberitahu, Aznil Nawawi telah memintanya menjadi sebahagian daripada individu untuk terlibat dalam rancangan realiti itu selepas menjadi juri jemputan pada uji bakat sebelum ini.
Normala berkata, dia bersetuju untuk menyertai selepas mendapat keizinan daripada suaminya.
"Suami setuju saya terlibat kerana saya menjadi juri dan bukannya menghoskan program itu.
"Saya bagaimanapun teruja untuk berkongsi pengalaman bersama-sama peserta terpilih nanti, katanya.
Normala akan muncul dalam program Studio On Air pada setiap hari Ahad pukul 10 malam bermula 27 Mei ini di saluran Astro Ria.
Sheila Majid Tidak Ambil Botoks Kerana Haram
KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Datuk Sheila Majid mengakui tidak pernah mengamalkan pengambilan botoks untuk kelihatan cantik kerana cara itu adalah salah dan haram di sisi agama Islam.
Sheila,47, berkata, suntikan botoks mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh memberi kesan sampingan kepada semua wanita yang mengambilnya.
“Kalau kita ambil botoks, kita tidak tahu apa akan jadi kepada wajah kita pada 20 tahun akan datang. Saya menasihati kepada anda semua tidak menggunakan botoks,” katanya.
Sheila berkata demikian apabila ditanya oleh seorang peminat adakah beliau mengambil suntikan botoks untuk kelihatan cantik pada majlis Minggu Setiausaha yang diadakan di Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, di sini, Rabu.
Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis makan tengah hari itu yang dikendalikan oleh pengacara Dee.
Dalam masa yang sama penyanyi itu turut berkongsi petua untuk kelihatan cergas dengan melakukan senaman serta memilih makanan berkhasiat setiap hari.
Katanya, langkah itu bukan sahaja perlu diterap kepada diri sendiri tetapi juga kepada anak-anak.
“Saya mengajar anak-anak saya supaya mengambil makanan yang berkhasiat agar mereka membesar dengan sihat,” ujarnya.
Terdahulu beliau muncul dengan lagu Dia membuka tirai persembahannya bagi menghiburkan para setiausaha yang hadir bersama bos masing-masing.
Selain lagu itu, Sheila turut menyanyikan lagu Ku Mohon, Can’t Take My Eyes, Legenda, Antara Ayer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran dan Warna.
Persembahan Sheila berjaya memikat hati kerana keupayaan beliau berkomunikasi dengan para peminatnya.
Putus Tunang Bukan Penyebab Akma (AF3) Segerakan Pernikahan
PETALING JAYA: Bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga, Akma berkata langkah untuk menyegerakan pernikahannya yang dijadualkan pada hujung Jun depan bukan kerana serik akibat pernah putus tunang.
Akma atau nama sebenarnya Asiahtunakma Abdullah, 27, berkata keputusan itu dibuat kerana segala perancangan dan persiapan ke arah itu dilihat berjalan dengan lancar.
“Saya mahu menyegerakan majlis pernikahan pada hujung Jun depan bukan sebab saya berasa serik apabila perancangan untuk bertunang sebelum ini pernah terbatal.
“Secara kebetulan, perjalanan majlis merisik pada Mac lalu berjalan dengan baik sehingga kami memutuskan untuk bertunang pada 6 Mei ini dan bernikah pula pada hujung Jun depan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, petang Rabu.
Akma mengenali lelaki bernama Farih Hamshi, 28, kira-kira lima tahun lalu. Hubungan mereka mula rapat sejak lelaki itu pulang dari Melbourne, Australia selepas menamatkan pengajian di negara tersebut kira-kira setahun yang lalu.
Berkongsi mengenai bakal tunangnya yang bekerja sebagai eksekutif di Petronas itu Akma berkata, faktor usia yang hanya berbeza setahun tidak menjadi masalah buatnya kerana kematangan dan sikap bertanggungjawab lelaki itu.
“Walaupun jarak usia kami hanya berselang setahun, saya dapati dia (Farih) seorang yang matang melebihi umurnya. Sifatnya yang rapat dengan keluarga memberikan keyakinan untuk saya memilih dia sebagai calon suami.
“Menariknya, dia juga seorang yang kelakar dan bijak mengambil hati keluarga saya,” katanya yang mendapat tajaan ketiga-tiga majlis itu daripada Butik Chantik.
Ditanya mengenai perkembangan terbaru, Akma kini mengajar kursus vokal di One Music Academy Malaysia di Subang sejak tiga bulan lalu.
“Saya mengajar secara separuh masa kerana memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah vokal. Naluri saya memang suka mengajar.
“Pendapatan saya mengajar ini dapat menambahkan lagi sumber kewangan saya,” katanya yang kini terlibat dalam Karnival Mesra Belia Satu Felda Satu Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada setiap hujung minggu.
Dunia Hiburan Banyak Kerenah, Maulana Bawa Diri Ke U.K
PETALING JAYA: Penyanyi Maulana (AF8) mahu membawa diri ke United Kingdom (U.K) pada tahun ini selepas kecewa dengan kerenah industri hiburan tempatan.
Penyanyi lagu RSVP ini berkata, keputusan itu sudah lama dipertimbangkan sejak dia mula menyedari kedudukannya sebagai penyanyi yang tidak stabil dan terumbang-ambing.
“Saya berasa terkilan apabila melihat keadaan industri muzik tempatan yang terlalu banyak kerenah tetapi kurang menyokong perkembangan bakat-bakat pelapis.
“Realitinya, amalan kronisme di kalangan penggiat dan penganjur acara hiburan kita hanya memberikan peluang kepada muka-muka yang sama. Sekalipun artis berkenaan kurang berbakat tetapi atas dasar hubungan akrab, mereka akan dapat tawaran demi tawaran.
“Saya tidak mempertikaikan peluang yang diterima artis-artis lain kerana itu adalah rezeki masing-masing tetapi saya sendiri berasa seperti disisihkan dan sukar untuk berkembang dalam keadaan yang positif dalam industri sendiri,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, baru-baru ini.
Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, dia mahu mencabar dirinya dengan mencari peluang di negara berkenaan selepas pernah terpilih dalam peringkat pertama uji bakat program nyanyian X Factorpada hujung Januari lalu.
“Saya mahu menguji pasaran dan penerimaan orang luar terhadap bakat saya. Kejayaan saya apabila layak mara ke peringkat kedua uji bakat program X Factor di U.K pada Januari lalu membuktikan saya mungkin berpeluang untuk mengembangkan bakat negara itu.
“Namun, saya terpaksa lepaskan peluang tersebut kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk berulang-alik ke sana. Secara kebetulan juga saya mempunyai saudara-mara dan kenalan untuk saya menumpang bagi membolehkan saya mencari peluang untuk memulakan karier nyanyian,” katanya.
Maulana menambah, selain hasrat itu, dia turut merancang untuk memulakan perniagaan restoran makanan Melayu di U.K.
“Alang-alang hendak mencari peluang nyanyian di sana, saya dan keluarga merancang untuk memulakan perniagaan restoran. Secara kebetulan, saya mempunyai pakcik dan beberapa kenalan yang boleh membantu,” katanya.
Ahli Parlimen Ampang Sudah Terima Surat Saman Zahida
PETALING JAYA: Pelakon Zahida Mohamed Rafik, 37, yang dituduh menerima wang sebanyak RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menghantar surat saman kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Surat yang dihantar melalui peguam Datuk Seri Shafee Abdullah bertarikh 23 April 2012 itu antara lain menuntut Zuraida yang juga Ketua Wanita Keadilan berhenti membuat kenyataan media, menarik balik kenyataan terdahulu serta memohon maaf dalam masa tujuh hari.
“Kita tak sebodoh untuk keluarkan kenyataan tanpa bukti dan biar orang saman kita. Kita tunggu dalam masa terdekat.
“Kita akan bawa hal ini ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Di sana akan menyaksikan lebih banyak rahsia terbongkar,” katanya mengesahkan penerimaan surat saman itu seperti yang dilaporkan portal Laman KL-Today
Laporan itu juga menyebut Zuraida tidak gentar dengan saman berkenaan kerana pihaknya mempunyai bukti bagi setiap tuduhan yang dibangkitkan.
Zuraida sebelum ini mendedahkan kepada pihak media di lobi Parlimen dengan mendakwa seorang pemandu pelakon tersebut iaitu Noor Azman Azemi membuat laporan polis bertarikh 13 Mac 2012 mengatakan Zahida telah menerima wang berjumlah RM1.5 juta daripada Mohd Shafie.
Sementara itu kebanyakan akhbar pada Khamis melaporkan Zahida menafikan telah berkahwin dengan Mohd Shafie dan menganggap tuduhan itu adalah fitnah semata-mata.
Dia juga menegaskan bahawa sehingga kini dirinya masih solo dan tidak berkahwin dengan mana-mana lelaki termasuklah dengan menteri berkenaan.
“Sebelum ini, saya pernah terserempak dengan beliau (Mohd Shafie) ketika hadir ke beberapa buah majlis, tetapi saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Saya cuma tahu beliau seorang menteri.
“Lagipun desas-desus yang mengatakan saya sudah berumah tangga dengan beliau juga tidak benar kerana sampai sekarang saya masih solo. Saya anggap apa yang berlaku ini cuma gosip yang menjadi lumrah kepada kehidupan seorang artis,” ujarnya seperti laporan Kosmo! pada Khamis.
Pelakon itu ditemui pada majlis pelancaran aksesori Nur Of Alexandria dekat sini Rabu dan ia adalah penampilan pertamanya sejak isu panas itu diperkatakan sepanjang minggu lalu.
Zahida menambah apa yang menyebabkan dia mengambil masa yang lama untuk menjelaskan isu kontroversi tersebut kerana perlu mendapat nasihat peguam.
Zahida Tidak Stres Dengan Tuduhan Terima Wang RM1.5 Juta
PETALING JAYA: Kontroversi tuduhan menerima wang RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal sedikit pun tidak mendatangkan stres kepada Zahida Rafik.
Pelakon itu berkata demikian ketika berkomunikasi dengan pengikut laman sosial Twitter miliknya pada Selasa malam.
“Terima kasih sayang. Tak stres pun. Akak cool,” katanya dalam entri kira-kira pukul 8.33 malam Selasa yang dikirim menerusi telefon Blackberry miliknya.
Dia juga turut mengatakan dirinya kuat untuk menempuh tuduhan yang melanda dan meminta peminat mendoakan kesejahteraannya.
Kebanyakan pengikut Twiter pelakon itu pada Selasa menghantar pesanan kepada Zahida untuk memberi kata-kata semangat dan perangsang.
Bagaimanapun terdapat satu pesanan kiriman Miss Lola pada pukul 10.46 pagi Selasa menempelak Zahida dengan mendakwa apa yang berlaku itu adalah balasan Tuhan terhadap perbuatannya.
“Bila dah kantoi tau plak nak ingat Tuhan… tapi bila pakai seksi tak pulak kau nak ingat Tuhan. Ni la balasannya,” kata pengirim itu.
Bagi persoalan tersebut Zahida hanya ketawa dengan menjawab; “hahahaha...gud day my dear!! Cheers!”
Sebuah portal dalam talian pada 18 April lalu melaporkan pemandu Zahida iaitu Noor Azman Azemi telah membuat laporan polis mendakwa pelakon itu telah menerima wang tunai sebanyak RM1.5 juta dari seorang menteri dalam jangka masa empat bulan.
Ketua Wanita, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin telah mendedahkan laporan polis itu kepada pihak media.
Dalam laporan polis tersebut, Noor Azman mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktober tahun lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini.
Jimmy Shanley Nafi Sindir Ibu Mertua Dalam 'Tanah Kubur'
PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley menolak tuduhan kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya yang juga usahawan Datin Muniroh Kassim dalam episod terbaru drama bersiri Tanah Kubur yang ditayangkan di Astro Oasis pada Jumaat lalu.
Pemilik nama sebenar Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 32, itu berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana watak gigolo yang dilakonkannya itu mengikut skrip yang dihasilkan syarikat produksi Opera Klasik Sdn Bhd.
“Dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas langsung. Saya hanya pelakon yang memainkan watak seperti dikehendaki dalam skrip pengarahnya Rashid Sibir.
“Drama itu adalah cerita rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan kehidupan peribadi saya atau orang lain,” katanya kepada mStar Online, di sini, petang Selasa.
Jimmy berkata demikian bagi mengulas dakwaan terbaru kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya apabila wujud watak Datin Iroh, seakan-akan singkatan nama pemilik produk kecantikan Natasya itu yang dilakonkan oleh Rozita Rohaizat.
Ditanya mengenai dakwaan hubungannya dingin dengan keluarga mertua dan berkelakuan tidak manis apabila memanggil ibunya itu dengan nama Datin, bekas pengacara Trek Selebriti itu berkata dia tidak pernah mendengar tuduhan tersebut.
“Saya jarang berkomunikasi dengan ibu mertua. Kami sibuk dengan kehidupan masing-masing. Tiada apa pun yang keruh atau dingin berlaku antara kami.
“Saya tidak mahu komen lebih, buat masa ini saya lebih selesa menumpukan pada kehidupan sendiri sahaja,” katanya.
Jimmy yang kini berjinak-jinak dalam bidang lakonan memberitahu, selepas pelbagai kecelaruan timbul dalam kehidupannya, dia tidak mahu lagi untuk bercerita mengenai soal privasi.
“Saya tidak mahu lagi untuk ulas apa-apa melainkan keadaan memerlukan untuk saya bercakap. Sebelum ini, sudah terlalu banyak hal peribadi dan rumah tangga saya diperkatakan.
“Kini, saya mahu melangkah ke hadapan dan serahkan sahaja kepada pihak mahkamah bagi menentukan hal rumah tangga kerana mereka lebih arif,” katanya.
Keputusan hak penjagaan ke atas anak perempuannya Zahrah Shanley hasil perkahwinan dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy akan diumumkan pada 30 April ini.
Sebelum ini, Jimmy pernah memfailkan perintah kembali taat terhadap isterinya pada 3 Januari 2011 diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari tahun yang sama.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
