Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Foto : Fasha Sandha Beraya Bersama Mentua, Sangkal Dakwaan Tidak Rapat
Kalau kenyataan dari Fasha Sandha sendiri anda katakan hanya sekadar propa, disini terdapat beberapa keping gambar yang menunjukkan Fasha Sandha pulang berhari raya di rumah keluarga suaminya, Jejai.
Memang sebelum ini terdapat bermacam-macam spekulasi yang tidak menarik mengenai hubungan Fasha Sandha bersama keluarga Jejai. Tapi biasalah, mulut orang siapa boleh tutup kan? 3 keping foto ini membuktikan Fasha bahagia bersama mentuanya.
Menurut Beautifulnara, Fasha Sandha dan Jejai pulang berhari raya lewat kerana Jejai yang sibuk dengan perlumbaan kereta di China. Biar lambat macam mana pun, yang penting kita tidak lupakan ibu bapa kita kan?
Perompak ‘Beraya’ Di Rumah Imuda, Rugi RM7,000
Ketika semua orang sedang sibuk menyambut kemeriahan Aidilfitri di kampung, rumah pelakon dan pelawak, Imuda telah dimasuki perompak. Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mereka sekeluarga telah pun pulang ke kampung pada 17 Ogos lepas.
Menerusi laporan Harian Metro hari ini, Imuda memberitahu, perompak tersebut bukan sahaja mengambil barang-barang berharga, malah kumpulan itu juga seolah-seolah datang ‘beraya’ apabila mereka sempat menjamah biskut raya dan air sirap.
“Perompak itu sempat menjamah biskut raya dan minum air sirap dalam peti ais seolah-olah beraya dalam rumah kami pula. Malah, mereka sempat meletakkan tiga gelas air itu dalam sinki. Mereka lakukan itu kerana tahu kami tiada di rumah,” ujar Imuda.
Antara barang-barang berharga yang telah dicuri dari rumah Imuda termasuklah komputer riba, dua telefon bimbit dan empat jam tangan berjenama.
Dalam pada itu, Imuda yang juga merupakan seorang pelukis dan juga penyanyi ini memberitahu, isterinya juga pernah hampir diragut dikawasan tempat mereka tinggal namun penyamun tersebut gagal meragut kerana terkejut dengan jeritan jiran mereka.
Rabecca tak sabar beli baju bayi
PERKARA yang paling menggembirakan buat setiap wanita yang bergelar isteri sudah tentu apabila disahkan mengandung anak sulung. Nyata, perasaan itu kini dialami pelakon Rabecca Nur Al-Islam Ahmad apabila disahkan mengandung buat kali ketiga selepas dua kandungan terdahulunya gugur.
Melayari bahtera rumah tangga bersama ahli perniagaan, Nor Azam Sulaiman sejak mengikat tali pernikahan pada 14 Januari tahun lepas, kini dia sedang mengandung bayi pertamanya dari darah dagingnya sendiri dan dia dijangka melahirkan bayi perempuan pada awal November ini.
Pelakon filem Keramat yang lebih mesra dengan panggilan Becca itu kini sudah tidak sabar-sabar lagi untuk membeli kelengkapan bayinya itu, namun dia akur dengan pantang larang orang-orang tua supaya membeli kelengkapan ketika kandungan berusia lapan bulan ke atas.
Disebabkan dia sudah ada pengalaman duka bayi terdahulu yang dikandungnya gugur ketika berusia beberapa minggu, Becca kini agak fobia dan mengamalkan pantang larang orang tua bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Ketika ditemui di rumahnya di Sering Ukay Perdana, luah Becca: “Saya kena tunggu kandungan berusia lapan bulan dahulu. Orang tua-tua cakap tak elok beli barangan bayi pada awal kandungan, saya ikut pesanan itu sebagai langkah berjaga-jaga.”
Beritahunya yang kini mempunyai seorang anak berusia empat tahun iaitu Nor Adam Daniel, perasaan tidak sabar untuk membeli barang seperti katil, kereta sorong dan baju bayi itu amat luar biasa sekali dirasakannya.
Rahsiakan nama anak
Sungguhpun sudah mempunyai dua anak tiri, Nor Arif Qayyum, 16, dan Nor Khaiyrin Sofiya Nor Azam, 10, selain Adam, Becca bagaimanapun berjanji untuk memberikan kasih sayang yang sama rata tanpa mengira sama ada mereka anak kandungnya atau tidak.
“Adam sendiri sekarang bukan main lagi apabila perut saya sudah kelihatan, dia selalu cium perut saya dan sangat cemburu dan marah apabila papanya (Nor Azam) buat perkara yang sama kerana bagi Adam dia seorang yang boleh cium baby,” katanya.
Begitu juga dengan Nor Arif dan Nor Khaiyrin, kata Becca, mereka juga teruja untuk mendapat adik baharu dan sering mengajaknya untuk membeli barangan bayi.
Tambah Becca, sepanjang mengandung, dia tidak mempunyai sebarang kesukaran yang ketara kecuali mual ketika kandungan berusia dua dan tiga bulan.
“Sekarang sudah okey, cuma sepanjang bulan puasa, saya tidak tahan lapar kerana bayi mesti menendang-nendang jika lapar,” jelasnya yang ingin merahsiakan nama yang dipilih kepada bayinya itu.
Dia memberitahu lagi, perubahan dirinya ketika mengandung tidak ada yang sangat ketara melainkan kulitnya yang kelihatan lebih gelap dari kebiasaan.
“Syukur saya tidak alami masalah macam sesetengah ibu mengandung lain, cuma kulit saya macam gelap sikit, orang tua cakap kalau mengandung bayi perempuan dia akan ambil seri ibunya,” kata yang pernah berlaku drama bersiri Dejavu Di Kinabalu.
Becca turut memberitahu, anaknya Adam turut menunjukkan sikap yang agak lasak dari kebiasaan ketika dirinya disahkan mengandung.
“Dia jadi kanak-kanak yang hiperaktif. Mungkin dia mahu perhatian saya dengan selalu melakukan perkara yang di luar jangkaan. Saya pernah dengar cerita kalau budak mahu dapat adik selalunya begitu, jadi saya akur dan tidak terlalu tegas dengan perangainya itu,” jelasnya.
Beraya di Johor
Selain mengandung anak sulung, Becca turut teruja untuk menyambut Aidilfitri, apabila tahun ini adalah giliran mereka sekeluarga beraya di kampung halaman Becca di Johor Bahru, Johor.
Jika tahun lepas Becca sekeluarga telah pulang ke kampung keluarga suaminya di Sarawak, kali ini giliran beraya di Johor pula.
“Kami sekeluarga pulang dua hari sebelum Aidilfitri selama seminggu,” ujarnya yang menggemari semua jenis masakan yang berasal dari kampung halamannya.
Dia memberitahu, keseronokan dapat pulang ke Johor apabila dapat bertemu adik-beradiknya dan kemeriahan menyambut Aidilfitri cukup dirasai kerana dia mempunyai saudara yang rama di sana.
“Saya ada lapan adik-beradik, itu tidak termasuk 15 orang anak buah lagi, memang meriah dan seronok sangat,” jelasnya yang sudah tentu menikmati lontong Johor sebagai juadah wajib hari raya.
Elfira mahu terbang tinggi
MERAIH populariti dan mempunyai pendapatan sendiri dalam usia yang masih mudah bukanlah tiket untuk tiga pelakon remaja yang juga adik-beradik Elfira, 18, Ezlisa, 16, dan Ezzrin Loy, 15, hidup berbeza daripada remaja seusia mereka.
Sebaliknya anak-anak kepada Filzah Yusoff, 47, yang telah 14 tahun bergelar ibu tunggal itu masih menjalani kehidupan remaja normal cuma jadual waktu mereka sangat ketat dan harus disusun sebaik mungkin supaya tidak bertembung dengan jadual persekolahan.
"Kami pergi sekolah, kelas tuisyen, kena buat kerja sekolah dan keluar dengan kawan-kawan macam orang lain juga tidak ada bezanya.
"Kami juga kena marah kalau buat salah, tidak ada yang istimewa hanya kerana bergelar pelakon pada usia yang muda. Malah, ibu hanya beri belanja sekolah RM3 sehari walaupun kami ada pendapatan sendiri," balas Elfira yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik.
Elfira yang sedang menuntut di peringkat diploma di Kolej Damansara Utama dalam pengkhususan kesenian hiburan memberitahu pelajaran tetap diutamakan meskipun kerjayanya semakin stabil.
"Saya bukanlah jenis orang yang suka merancang sebaliknya hanya ikut rentak keadaan. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk sambung belajar tetapi niat itu muncul seiring dengan peluang yang datang secara kebetulan.
"Jadual saya semakin padat bila sambung belajar tetapi saya bukanlah jenis ulat buku dan akan ambil cuti daripada lakonan untuk ulang kaji pelajaran menjelang minggu peperiksaan sahaja," tutur Elfira dalam tawa yang juga duta produk Maybeline.
Tegas pelakon telefilem popular Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu, meskipun jadual hariannya dipantau ibunya yang merangkap pengurus peribadinya, segala keputusan berhubung kerjaya ibunya tidak pernah masuk campur.
"Ibu tidak pernah menghalang atau mengawal saya dalam bidang lakonan. Segala keputusan berhubung pemilihan watak diserahkan bulat-bulat kepada saya.
"Ibu cuma pesan jaga perangai dan jangan abaikan pelajaran walaupun sibuk berlakon, harus pandai bahagikan masa. Setakat hari ini Alhamdulillah, nama saya masih bersih.
"Rasanya tidak ada apa cerita panas tentang saya yang boleh ditulis sebab saya bukannya jenis keluar malam. Rutin harian saya, bangun pagi pergi kuliah, pergi ke set penggambaran dan balik rumah, semuanya ditemani ibu sebab saya tidak boleh memandu," kata Elfira sambil dipersetujui oleh ibunya.
Ezlisa mahu buka restoran
Elfira dan dua adiknya mengaku selain minat, mereka terlibat dalam bidang lakonan kerana pulangan yang cukup lumayan.
Bagaimanapun, ibunya langsung tidak memaksa mereka bertiga untuk bekerja sebaliknya keinginan untuk berlakon terbit daripada hati mereka sendiri.
"Berlakon memang dapat kumpul duit, terpulang kepada seseorang pelakon itu menguruskan kewangan mereka. Macam saya mempunyai simpanan sendiri dan wang kegunaan harian dipantau ibu supaya saya tidak terlebih belanja.
"Namun, jika ada barang berjenama mewah yang saya diingini, saya akan beli tetapi tidak banyak. Bagi saya barang jenama mewah perlu untuk tingkatkan nilai komersial seseorang terutamanya kerjaya saya sebagai aktres.
"Bukan untuk bermegah-megah tetapi memiliki barangan mewah meletakkan saya pada suatu standard yang tersendiri, apa salahnya memuaskan hati sedikit daripada hasil titik peluh sendiri, cuma beli barang yang perlu sahaja," kata Elfira bersungguh-sungguh.
Adik Elfira, Ezlisa pula berkata, dia lebih suka pergi ke sekolah dan kelas tuisyen daripada berada di set penggambaran kerana minatnya lebih terarah kepada bidang masakan daripada lakonan.
"Cita-cita saya untuk menjadi seorang tukang masak dan membuka restoran sendiri suatu hari nanti, malah, selepas tamat sekolah saya merancang untuk memasuki sekolah kulinari.
"Lakonan tempat untuk saya mencari duit, sebenarnya antara kami bertiga saya yang paling tidak aktif berlakon. Saya hanya berlakon jika saya mahu membeli sesuatu seperti telefon bimbit atau pakaian," kata Ezlisa yang mengambil jurusan sains tulen di sekolah.
Ezzrin berdikari
Anak bongsu keluarga seni, Ezzrin Loy mula berlakon sejak berusia sembilan tahun dalam teater Ali Baba bersama kakaknya Elfira.
Sungguhpun semakin popular, namun Ezzrin yang cukup manja dengan ibunya berkata perjalanan kehidupannya masih panjang, oleh itu dia sendiri tidak tahu tentang masa depannya sendiri.
"Saya belum memutuskan untuk terus terlibat dalam lakonan atau terlibat dalam bidang lain apabila dewasa kelak.
"Buat masa ini saya hanya mengikut perjalanan yang telah diaturkan. Saya suka berlakon kerana boleh beli barangan yang saya ingin tanpa minta duit ibu atau kakak, tetapi selalunya kakak akan marah jika saya beli barang yang bukan-bukan," ujar Ezzrin yang sehingga kini sudah membeli empat buah motosikal.
Tutur ibu mereka, dalam tiga orang anak itu, anak bongsunya paling berdikari. Ibunya juga jarang-jarang menemani Ezzrin di lokasi penggambaran berbanding dua anak perempuannya itu.
"Adik (panggilan untuk Ezzrin) campak di mana pun dia boleh hidup sebab itu saya tidak risau sangat. Cuma sebagai ibu saya tetap kawal jadual hariannya," kata ibunya.
Akui pernah tersilap - Gambit Saifullah
KONTROVERSI demi kontroversi membelenggu sebaik melangkah ke dunia seni. Bermula dengan sikap dirinya yang dikatakan sombong dan bongkak, dia juga dianggap sebagai seorang artis yang bermulut lepas.
Pun begitu puncak segala kontroversi mengenai diri sang pelakon bernama Gambit Saifullah ini tentunya perihal video klip penyanyi Prema Yin, Marilah yang diarahkannya yang dikatakan berunsur lucah sehingga menimbulkan kemarahan khalayak.
Sejak tercetusnya isu panas itu kira-kira dua tahun lalu, pelbagai pihak mengecam pelakon tersebut hingga akhirnya nama Gambit itu sendiri lenyap dari dunia seni.
Biar sudah memohon maaf atas keterlanjuran itu, empunya badan sendiri juga seakan-akan menyepikan diri dan kemudian 'hilang' dari arus seni.
Tetapi hari ini, dia kembali. Kembali dengan semangat dan tekad baru.
"Ya! Saya mahu berubah. Berubah ke arah yang lebih baik, sudah tentu," katanya kepada Hits lewat pertemuan dengan aktor muda itu baru-baru ini.
Mungkin semakin matang mengharungi kehidupan sebagai anak seni, Gambit yang kini berusia 27 tahun merendah diri memberitahu dia berharap diterima peminat seada dan selayak dirinya.
"Saya hanya mahu menjadi diri saya. Cuma saya tak tahu nak jadi macam mana? Bila saya terlalu berterus terang, orang kata saya lantang. Tapi kalau saya tak suarakan apa yang terbuku, akan memakan diri saya pula.
"Saya tidak mahu jadi hipokrit," tegasnya.
Mengakui mungkin sikap dirinya itu tidak boleh diterima sesetengah pihak namun dalam masa yang sama Gambit juga berusaha untuk memperbetulkan pelbagai persepsi negatif terhadap dirinya.
"Jujur dan berterus terang. Itu adalah saya. Saya tak ada niat jahat. Bagi saya setiap orang ada tanggungjawab terhadap apa yang dilakukan," katanya.
Sebab itu tegasnya, biar bergelar pelakon, dia tidak mengejar glamor dan kemasyhuran sebaliknya cuba memberikan yang terbaik untuk masyarakat, mahu berbuat sesuatu yang memberi impak kepada khalayak.
Biarpun mengakui bahawa kedua-dua aspek itu perlu bagi seorang pelakon namun katanya, dia lebih mengimpikan kepuasan diri.
"Kalau diberi pilihan, antara tawaran yang lumayan tetapi melakonkan perkara yang saya tidak suka, saya lebih rela bergaji rendah tetapi watak saya memberikan kepuasan kepada diri dan memberi impak kepada masyarakat," ujarnya.
Menjadi lebih baik
"Saya mahu orang melihat sisi baik saya. Malang sekali mereka melihat sebaliknya," kata Gambit atau nama sebenarnya Saifullah Rosli.
Dia beranggapan mungkin dengan pelbagai isu panas yang mengaitkan dirinya, dia tidak menanganinya dengan berhemah menyebabkan banyak pihak yang salah faham.
"Dulu saya mungkin rebel. Cakap direct. Malah saya akui ketika tercetusnya isu klip video itu adalah masa paling drastik dalam hidup saya. Ia kemuncak segala kontroversi yang melanda," katanya.
Namun segala-galanya berubah selepas pulang dari mengerjakan umrah kira-kira dua tahun lepas. Katanya, banyak perkara yang diperoleh dalam pengembaraannya ke Tanah Suci itu.
Malah dia menganggap ia satu perjalanan yang membuka hatinya kepada banyak perkara berkaitan kehidupan.
"Perjalanan itu menyedarkan saya bahawa hidup kita bukan tentang materialistik semata-mata," katanya.
Menegaskan bahawa dia seorang lelaki yang berpegang teguh pada prinsip, pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni juga mematangkan diri.
Dan pada ketika dia melalui saat-saat sukar dan keliru, ketika itulah juga tawaran berlakon datang mencurah-curah.
"Saya kecewa, keliru dan gundah dengan segala kontroversi. Saya fikir, biar saya relaks dulu. Pada masa yang sama, saya pergi mengembara. Dari situ, saya kemudiannya menerbitkan program televisyen.
"Saya beruntung dan bersyukur kerana bertemu dengan pasukan kerja yang betul yang membuatkan saya ingin terus berada dalam dunia ini. Mereka membuatkan saya kuat dan bersemangat," katanya.
Kini lebih senang menumpukan perhatian kepada bidang penerbitan namun tegas Gambit, dia juga tidak melupakan bidang lakonan yang menjadi minatnya.
"Saya mahu orang nampak apa yang saya buat dan dapat membawa masyarakat ke arah yang lebih baik tidak kira dari segi lakonan mahupun penerbitan," katanya lagi.
Debaran raya Asmidar
BAGI Asmidar, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini cukup bermakna dan berbeza buat dirinya. Ini kerana, tahun ini merupakan kali pertama dia beraya sebagai artis selepas menjuarai pertandingan nyanyian anjuran TV3, Vokal - Bukan Sekadar Rupa pada tahun lalu.
Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad bukan setakat beraya bersama sanak saudara dan handai taulan tetapi juga para peminatnya.
Untuk itu, dia juga tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Lebaran seperti tahun-tahun sebelumnya pada tahun ini, cuma kali ini turut dirai bersama peminat.
Justeru, kata penyanyi berusia 26 tahun ini, dia merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka pada minggu ketiga Aidilfitri nanti.
Menariknya, penyanyi berasal dari Kuala Lumpur ini akan menyediakan sendiri masakan pada majlis tersebut.
"Sebelum menjadi penyanyi pun saya dan keluarga saya sudah pernah mengadakan rumah terbuka sempena tibanya bulan Syawal.
"Tetapi saya berasa berdebar-debar juga apabila sedang merancang untuk mengadakan rumah terbuka yang pertama selepas bergelar artis pada tahun ini.
"Saya akan mengadakan majlis rumah terbuka bersama keluarga saya di rumah kami di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada minggu ketiga dalam bulan Syawal ini.
"Kalau boleh saya mahu memasak sendiri menu pada majlis itu nanti. Kalau setakat masak murtabak saya tiada masalah," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Berniaga makanan
Menurut Asmidar, dia tiada masalah untuk menyediakan juadah untuk majlis seperti rumah terbuka yang dianjurkannya itu. Ini kerana, dia sudah biasa berniaga makanan terutamanya setiap kali tibanya bulan Ramadan dan menjualnya dalam kuantiti yang agak besar.
Bagaimanapun dia yang menggondol hadiah berupa wang tunai berjumlah RM50,000 selepas menjuarai Vokal itu bagaimanapun mengakui berdebar-debar untuk menanti kunjungan tetamu pada majlis rumah terbuka yang akan diadakannya itu kelak.
Debaran Asmidar itu ada asasnya kerana dia belum pasti berapa ramai tetamu yang akan hadir pada majlis tersebut.
"Saya memang sudah biasa memasak sendiri dan menjual murtabak di bazar Ramadan di Wangsa Maju pada hampir setiap tahun. Malah selain itu saya juga memasak roti canai dan membantu ibu saya menjualnya di Wangsa Maju pada setiap tahun dari pagi hingga tengah hari.
"Bagaimanapun, menyediakan makanan dan menjualnya kepada orang ramai tidak sama dengan mengadakan rumah terbuka.
"Saya kena bersedia dari sekarang dan harap makanan akan cukup sepanjang majlis itu diadakan nanti. Apa pun saya seronok kerana ini adalah cara saya beraya dengan semua orang termasuklah peminat saya," ujarnya.
Malah penyanyi bersuara lantang yang menyanyikan lagu berjudul My Way dan Biar Sampai Ke Bintang pada final Vokal pada 25 Disember tahun lalu itu juga mengakui tidak malu untuk terus membantu ibu bapanya berniaga murtabak dan roti canai meskipun sudah bergelar artis.
Remy Ishak Tolak Tawaran Berlakon Untuk Pulih Emosi
PETALING JAYA: Pelakon kacak, Remy Ishak mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon gara-gara terbawa-bawa watak Budi menerusi filem terbarunya berjudul 29 Februari.
Remy berkata, perkara itu terjadi selama sebulan selepas penggambaran tamat dan terpaksa berehat sepanjang tempoh itu bagi memulihkan emosi.
"Saya tidak tahu mengapa watak Budi begitu memberi kesan kepada saya sehingga tidak mampu melepaskannya sehingga terbawa-bawa ke alam realiti saya walaupun telah selesai menjalani penggambaran.
"Bagaimanapun perkara tersebut hanya berlarutan selama sebulan dan ia kembali seperti sedia kala selepas itu," ujarnya ketika ditemui semasa pra-tonton filem terbitan KRU Studios itu di sini pada malam Selasa.
Tambah Remy, kejadian mungkin berlaku kerana semasa penggambaran dia sentiasa berperang dengan watak tersebut yang memerlukan dia menukar 'mood' lakonan beberapa kali dalam sehari mengikut perjalanan cerita yang berubah mengikut tahun.
"Sebagai contoh, pada waktu pagi saya perlu berlakon untuk watak ketika zaman 1950-an, sebelah tengah hari untuk watak tahun 2012 manakala pada waktu petang pula kembali ke era 1970-an.
"Ia kelihatan mudah pada orang lain tetapi realitinya ia sukar kerana saya perlu bijak membezakan gaya dan cara mengikut zaman-zaman tertentu," katanya.
Dalam pada itu, Remy tidak menafikan berlakon dalam filem arahan Edry Abdul Halim itu turut memberikan pengalaman berbeza kepadanya sebagai seorang pelakon.
Menurut Remy, walaupun telah bergelar sebagai pelakon untuk beberapa tahun dia mendapati masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan menerusi 29 Februaribanyak pengetahuan telah dikutip.
"Selepas mengharungi watak Budi yang penuh dengan karakter berbeza mengikut zaman, saya lebih yakin dengan teknik menjiwai sesuatu watak yang diberikan.
"Tambahan pula saya perlu menyanyi dalam filem ini dan ia menambah lagi keyakinan diri saya sebagai seorang pelakon kerana ia bukan mudah untuk dilakukan," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai gandingannya dalam filem tersebut iaitu Jojo Goh, Remy memberitahu kagum dengan pelakon berbangsa Cina itu kerana dia sangat profesional ketika berada di set penggambaran.
"Saya kagum dengannya kerana walaupun telah banyak pengalaman bergelar sebagai pelakon dia telah merendah diri bertanya tentang perkara yang dia tidak pasti.
"Malah dia tidak lokek berkongsi pengalamannya yang pernah berlakon dalam produksi filem di Hong Kong sebelum ini," katanya.
Selain Remy dan Jojo, 29 Februari turut dilakonkan oleh Izzue Islam, Fizz Fairuz, Dian P. Ramlee, Muniff dan Namron.
Ia bakal ditayangkan kepada umum bermula 30 Ogos ini dalam tiga format berbeza iaitu 3D, 2D dan 35mm secara serentak di 79 buah pawagam di seluruh negara.
Norish Tidak Dicemuh Kerana Kontroversi Anak Keempat
PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman berkata pendedahan mengenai status bayi lelakinya yang dikatakan anak luar nikah di sebuah akhbar harian pada minggu lalu tidak mengundang cemuhan masyarakat.
Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman, 38, berkata, dia mendapat sokongan peminat sejak pendedahan secara terbuka mengenai anak keempat tersebut iaitu Muhammad Haq Lutfie Alexander (Haq) yang berusia 11 bulan.
“Tiada cemuhan atau penghinaan daripada peminat dan masyarakat yang saya terima sejak pendedahan (mengenai bayi lelaki) di akhbar baru-baru ini.
“Sebaliknya, peminat memahami kesulitan yang saya hadapi dan menyatakan sokongan, kasih sayang dan perangsang di laman Facebook kepada saya dan keluarga,” katanya yang melahirkan anak itu pada 24 September tahun lalu.
Aktres dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya program Wanita Hari Ini di perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini, petang Rabu.
Norish berkata, dia juga tidak kesal atau terkilan apabila gambar-gambar dan tuduhan berkenaan tersebar di Internet sejak beberapa bulan lalu.
“Tiada apa yang perlu saya kesalkan apabila cerita itu timbul dan diperkatakan secara meluas. Saya terimanya dengan reda kerana ini adalah ketentuan Allah.
“Orang yang tidak tahu apa-apa lebih baik jangan buka mulut dan menyebarkan cerita yang mereka tidak tahu kesahihannya,” katanya.
Ditanya mengenai tindakannya berdiam diri seperti mahu melarikan diri sebelum ini, Norish berkata, dia tidak berniat untuk mengelak tetapi menunggu waktu terbaik untuk membuka mulut.
“Pada asalnya saya mahu berkongsi mengenai kemunculan Haq dalam keluarga kami pada sambutan hari lahirnya yang pertama pada September depan. Apabila cerita itu timbul awal dan tersebar saya terpaksa hadapinya dengan tenang, bijak dan matang.
“Jujurnya, saya malas hendak layan dan merunsingkan fikiran. Saya terima kontroversi ini sebagai takdir yang membuatkan saya lebih popular biarpun secara negatif,” katanya.
Mengenai zuriat itu, Norish berkata dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang tidak banyak ragam serta dilimpahi kasih sayang keluarga di sebalik cerita-cerita negatif yang timbul.
Terbaru, pelakon filem Sayang Salmah ini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Psikologi dan Sains Sosial di sebuah institusi yang dirahsiakan, selain tumpuan pada kerjaya lakonan, nyanyian dan penceramah motivasi.
Norish turut memiliki tiga anak hasil pernikahan pertamanya iaitu Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd Hardy Amieran, 9 dan Nur Hanyz Amanda, 8.
Bunga-bunga cinta - Misha
STATUS selebriti yang dipegangnya hampir sedekad tidak pernah mengaburi mata wanita ini untuk hidup di dalam dunia angan-angan.
Cukup matang melontarkan setiap pendapat, bagi ibu angkat kepada Muhammad Adam Emir berusia enam dia percaya definasi kehidupan itu sentiasa berubah. Sudahpun mengikat tali pertunangan dengan seorang juruterbang, Firos Ezzwan Rossly, 30, menurut Misha Omar,30, dia kini sudah bersedia untuk melangkah ke fasa baru kehidupannya.
Menyentuh soal perkahwinan, Misha memberitahu masih belum ada tarikh pasti bila dia dan si jantung hati akan disatukan. Bagaimanapun dia berjanji apabila semuanya sudah di tetapkan perkongsian berita gembira ini pasti dikhabarkan kepada seluruh peminatnya.
Semuanya masih kabur lagi (tarikh kahwin).
Bagaimanapun saya dan Firos sudah membuat perancangan untuk menyelesaikan semuanya pada tahun ini juga," jelasnya ketika ditanya tarikh perkahwinan.
Berkongsi impian tema perkahwinannya, bagi Misha dia bukanlah seorang yang terlalu taksub untuk mengadakan perkahwinan secara besar-besaran. Cukuplah sekadar sederhana tetapi amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
Kalau boleh saya nak buat secara sederhana sahaja.
Rasanya tidak perlu sebuah majlis yang besar, ini kerana perkongsian hari bahagia ini lebih penting dengan kehadiran orang tersayang dan doa mereka semua," katanya.
Membuktikan dia sudah mampu menjadi seorang ibu yang baik selama enam tahun lamanya, menurut Misha debaran menjadi isteri itu sebenarnya sudah terasa sejak awal lagi. Namun bagi wanita matang ini tiada apa yang perlu dirisaukan kerana ini adalah satu proses normal untuk setiap wanita yang akan melangkah ke alam rumah tangga.
Memandangkan tahun depan merupakan kali pertama kami akan menyambut lebaran sebagai suami isteri, saya akan menyambutnya di rumah belah mertua dahulu.
Perasaan takut itu mesti ada, namun sebagai seorang wanita saya pasti ia merupakan suatu proses yang normal untuk memulakan satu kehidupan baru," katanya.
Bercerita mengenai keluarga yang bakal dibina, Misha memberitahu sudah menjadi impiannya untuk mempunyai sebuah keluarga yang besar. Selain sebagai penyambung zuriat, Misha dan Firos juga tidak mempunyai masalah untuk mengambil lebih ramai anak angkat di dalam memeriahkan keluarganya.
Kami berdua memang suka untuk mempunyai sebuah keluarga yang besar.
Dan pada masa hadapan rasanya tidak ada masalah untuk kami berdua meneruskan usaha untuk mengambil anak angkat juga," katanya.
Kerjaya
Bersyukur dengan segala kurniaan, bagi Misha sokongan yang akan diberikan bakal suaminya memberi satu sebab untuk dia terus berjuang di dalam dunia seni. Lantaran dari itu Misha turut ingin satu berkongsi berita gembira dengan peminatnya.
Saya bukan menghilang cuma sibuk dengan beberapa urusan.
Dan hujung tahun ini mungkin saya akan muncul dengan album terbaru yang juga album keempat saya," katanya.
Tidak dilupakan kerjaya lakonannya, secara jujurnya Misha memberitahu dia memang sudah lama jatuh cinta dengan bidang lakonan. Dan kini masih lagi belajar di dalam memantapkan mutu lakonannya.
Saya memang suka berlakon, dan harapan saya kini adalah untuk terus memperbaiki mutu lakonan saya.
Saya tahu selama beberapa tahun dikenali sebagai pelakon ada yang masih kurang berpuas hari dengan lakonan saya, namun akan saya pastikan ia akan terus dimantapkan demi kesinambungan kerjaya ini," katanya.
Soal kahwin beri tekanan - Aliff Aziz dan Anne
PERKENALAN tanpa diduga menyatukan mereka sebagai pasangan kekasih, sedar tidak sedar sudah lapan bulan kini mereka menyemai kasih bersama.
Tidak menolak untuk meneruskan episod bahagia ini ke jinjang pelamin suatu hari nanti bagi Aliff Aziz, 21 dan Anne Ngasri, 28 biarlah perjanjian suci itu tidak terlalu di hebahkan dahulu kerana takut memberi tekanan buat mereka.
Biarlah cinta yang bersemi berjalan seadanya mengikut rentak dan melodi yang sepatutnya, bukan untuk terlalu dipaksa.
Aliff Aziz Ikhlas
Mula di himpit kontroversi sejak hubungan mereka di sahkan, bagi Aliff niatnya hanya satu iaitu untuk berlaku jujur dengan para peminatnya. Walaupun menerima pelbagai khabar menyakitkan namun Aliff percaya cintanya terhadap ibu tunggal itu ikhlas.
"Jujur saya katakan saya ikhlas dalam hubungan ini.
"Namun saya percaya bukan mudah untuk puaskan hati semua orang. Bagi mereka yang tidak menyokong hubungan ini saya tidak mampu lakukan apa-apa selain meminta mereka berhenti berbicara buruk mengenai kami," katanya ketika menghadiri sesi fotografi di Studio Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menyentuh soal umur yang jauh lebih muda dari pasangannya, bagi Aliff kematangan tidak seharusnya diukur melalui angka. Menurut jejaka yang berasal dari Singpaura ini melewati pelbagai peristiwa perit di dalam hidupnya sedikit sebanyak mengajarnya untuk lebih menghargai apa yang terbentang di hadapannya.
"Soal umur memang saya akui kami jauh berbeza, namun itu tidak pernah merunsingkan kami sebenarnya.
"Bagi saya hubungan ini seimbang, Saya punyai kelemahan dan Anne membantu saya mengatasi, begitu juga sebaliknya. Sepertinya kami melengkapi kekurangan masing-masing," katanya yang kini sedang sibuk menyiapkan drama bertajuk Tiara bersama penyanyi Adira.
Lupakan hukuman lampau
Norma manusia biasa, sesiapa sahaja pasti akan melakukan kesalahan. Menurut Aliff dia pernah khilaf sebelum ini namun itu bukan bermakna dia tidak layak untuk mendampingi wanita seperti Anne.
"Saya pernah buat silap dan ingin saya katakan disini itu bukan diri saya lagi.
"Perubahan yang berlaku ke atas diri saya ini banyak dibantu Anne dan masa juga," kata penyanyi lagu Sayang-sayang.
Melangkah ke dalam industri dengan bantuan orang paling penting di dalam hidupnya, Aliff memberitahu ibunya tidak pernah membantah hubungan yang terjalin ini.
"Saya pernah membawa ummi bertemu dengan bekas teman wanita saya sebelum ini, dan nyata agak sukar untuk mendapat kepercayaannya. Ummi seperti tidak memberi sepenuh restu.
"Bagaimanapun apabila dia (ummi) bertemu dengan Anne, seperti terdapat kesinambungan di dalam hubungan itu. Saya sangat yakin ummi tidak mempunyai masalah untuk menerima Anne," katanya yang memanggil Anne dengan gelaran "sayang".
Sedia tahu status yang dipegang wanita yang dicintainya ini, bagi Aliff umur dan status tidak pernah menjadi penghalang buat dirinya untuk meneruskan hubungan yang semakin mekar ini.
Rapat dengan ketiga-tiga anak teman wanitanya ini menurut Aliff kehadiran Abdul Warits Abdul Wafi, 6, Abdul Wafri, 4, dan Nazhakah Afroza, 1, seperti memberi satu lagi sebab untuk dia meneruskan hubungan ini.
"Ia sesuatu yang sangat indah untuk melihat kami semua keluar bersama seperti sebuah keluarga.
"Soal terlalu awal tidak pernah menjadi masalah untuk saya memikul tanggungjawab sebagai seorang ayah ini kerana saya selesa dengan mereka," katanya yakin.
Semakin ligat mencipta nama di dalam bidang lakonan, menurut Aliff sebagai orang baru dia mahu mencuba segala peluang yang di bentangkan. Bukan terlalu taksub mengejar populariti baginya ini merupakan antara laluan untuk dirinya mengembangkan bakat yang dimilikinya.
"Memandangkan kini banyak masa saya di Malaysia jadi saya ambil peluang yang datang.
"Bagaimanapun tumpuan utama saya masih lagi di dalam bidang nyanyian, dan di dalam mengimbangi hala tuju karier nyanyian, saya mengidamkan sebuah album yang lebih matang pada masa hadapan," katanya yang popular kini dengan lagu Jangan Ganggu Pacar Ku.
Anne Ngasri tak serik
Tidak memilih untuk terus meratapi episod sedih di dalam hidupnya bagi Anne ketentuan yang telah berlaku ini merupakan antara dugaan Allah buat hambanya. Menemui cinta baru disaat hati masih lagi berbelah bahagi mencari kebahagiaan bagi Anne dia pasti Aliff merupakan lelaki yang jujur dengan keputusannya.
"Saya tidak pernah serik dengan apa yang berlaku. Bagi saya Allah sudah merencanakan sesuatu untuk saya.
"Dan kehadiran Aliff juga merupakan antara sebahagian darinya," katanya manis tersenyum.
Mempunyai wajah yang tenang, janda kepada tiga anak ini memberitahu, walaupun hubungan ini dilihat berlaku terlalu pantas, namun tiada siapa yang tahu isi sebenar hatinya.
"Saya pernah mengalami kegagalan rumah tangga. Secara jujurnya perasaan untuk mempercayai lelaki itu masih lagi menjadi isu besar buat saya.
"Namun melihat keluarga yang terus memberi sokongan buat hubungan ini serta Aliff sendiri yang bersungguh-sungguh membuatkan saya percaya akan keikhlasannya," katanya sambil mengerling manja ke arah Aliff.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
