Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Berdebar menanti 2012 - Siti Saleha
DI kalangan penonton drama televisyen (TV) dan telemovie, nama Siti Saleha memang tidak asing lagi. Tidak sampai tiga tahun dia telah berlakon lebih 30 buah drama dan telemovie.
Terbaru drama bersiri lakonannya berjudul Terlanjur Cinta arahan Erma Fatima kini ditayangkan di TV9 sebanyak 15 episod setiap Isnin dan Selasa pukul 8.30 malam.
Pada masa sama Saleha turut berlakon dalam enam buah filem berjudul Kerat 14, Bravo, Pencinta, KL Zombi, Pak Pong dan terbaru, Mamak Cupcake arahan Woo Ming Jin.
Sayangnya, semua filem lakonan pelakon berusia 22 tahun ini belum ditayangkan dan hanya akan menemui para penonton di pawagam-pawagam di seluruh negara pada tahun depan.
Menurut Saleha, dia berasa berdebar-debar menantikan tayangan filem-filem lakonannya itu kerana menganggap medium perfileman lebih memberi impak besar berbanding drama TV.
Filem dan TV tidak sama kerana saiz mediumnya bukan sahaja berbeza malah isu yang diketengahkan juga tidak sama. Biasanya cerita di filem lebih besar berbanding drama TV.
Sementara dari segi penampilan, publisiti serta promosi antara filem dan drama juga berbeza. Sebab itu, saya anggap penampilan saya di filem juga adalah sesuatu yang berbeza.
Saya juga tidak berkira soal tawaran berlakon drama TV tetapi saya hanya akan memilih watak dan cerita yang menarik sahaja untuk dilakonkan dalam filem," katanya kepada Hits baru-baru ini.
Adik kepada penyanyi kumpulan punk rock Bunkface, Sam ini meluahkan keresahannya itu sewaktu ditemui pada pelancaran filem lakonannya berjudul Mamak Cupcake.
Jelas Saleha, selain lebih teruja berlakon filem berbanding drama dia turut tidak menafikan cabaran yang lebih besar berlakon di layar perak apatah lagi bersama ramai pelakon hebat.
Sebagai contohnya, pelakon kacukan Melayu dan Inggeris ini begitu bangga sekali kerana dia digandingkan dengan pelakon terkenal, Shaheizy Sam dalam filem terbaru lakonannya itu.
Sebelum ini saya hanya kenal Sam begitu sahaja dan tidak pernah berlakon bersamanya. Tetapi filem itu telah menemukan saya dengannya yang memang seorang pelakon saya kagumi.
Sebab itu, peluang berlakon dengan pelakon hebat seperti Sam adalah suatu peluang keemasan dan saya banyak belajar berlakon daripadanya di lokasi filem tersebut.
Saya harap tahun depan kesemua filem saya itu akan ditayangkan. Kalau tidak silap filem pertama lakonan saya yang akan ditayangkan berjudul Kerat 14," ujar dalam nada tidak sabar.
Dalam filem Mamak Cupcake terbitan Grand Brilliance, Saleha melakonkan watak Juliana dan banyak menjalani penggambarannya di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.
Promosi di Facebook, Twitter
Tidak dinafikan drama TV dan filem mempunyai kalangan peminat tersendiri tetapi setiap pelakon seharusnya mempunyai inisiatif sendiri bagi menarik perhatian peminat masing-masing.
Saleha turut tidak terkecuali menggunakan pelbagai cara seperti mempromosikan apa juga drama serta filem lakonannya di laman sosial di Internet seperti Facebool dan Twitter.
Jelas anak ketiga daripada empat beradik ini, dua laman sosial itu banyak membantu mempromosikan drama dan filem lakonannya kepada para peminat tempatan.
Setakat ini, saya ada seramai 100,000 pengikut di Twitter dan lebih 250,000 peminat di Facebook. Bilangan di dua laman sosial itu semakin hari semakin bertambah.
Melalui laman sosial itu, saya akan letak status tentang aktiviti terbaru saya dalam bidang lakonan termasuklah gambar-gambar saya yang dimuat turun untuk tatapan para peminat.
Dari situ mereka tahu apa aktiviti saya dan mereka senang dapat maklumat sebelum sesebuah drama atau filem lakonan saya ditayangkan di TV atau panggung wayang.
Selepas ini, kalau boleh saya mahu memuatkan lebih banyak sedutan video lakonan saya atau video di belakang tabir dalam laman YouTube supaya lebih ramai peminat boleh lihat," jelasnya.
Tambah Saleha setakat ini antara drama lakonannya yang telah dimuatkan di YouTube berjudul 7 Hari Di Neraka iaitu sebanyak 10 hingga 15 klip daripada petikan drama tersebut.
Katanya, sambutan para penonton amat memberangsangkan termasuklah sedutan daripada drama lakonannya, Aku, Dia Dan Tong Sampai yang mendapat 3,000 status like di YouTube.
Ekoran tawaran berlakon filem yang semakin banyak diterimanya sejak akhir-akhir ini, Saleha berasa yakin medium itu mampu menyediakan prospek lebih cerah kepadanya di masa depan.
Kalau boleh pada tahun depan saya mahu memberi lebih tumpuan kepada filem tetapi itu tidak bermakna saya akan tinggalkan bidang lakonan drama yang juga saya minati.
Cuma bezanya saya akan lebih memilih watak dan jalan cerita dalam filem yang betul-betul berbaloi sebelum menerima tawaran berlakon di medium ini bagi menjaga reputasi saya," ulasnya.
Pasangan sejoli - Maya Karin dan Palarae
SUDAH beberapa kali Bront Palarae cuba memikat hati Maya Karin, 36, namun belum sekali cintanya diterima oleh aktres itu. Bagaimanapun Bront tidak pernah berputus asa.
Maya dan Bront mula menjadi rapat selepas mereka dipertemukan dalam filem Anak Halal, arahan Osman Ali pada tahun 2007. Kemudian pada tahun 2011, sekali lagi mereka dipertemukan oleh pengarah yang sama dalam filem box office Ombak Rindu.
Menerusi filem yang mendapat kutipan RM10 juta itu, Bront yang berlakon sebagai Mael sekali lagi cuba menagih cinta daripada Maya yang memegang watak Izzah, namun gadis kampung itu lebih terpesona dengan keagungan cinta Hariz, lakonan Aaron Aziz.
Mungkin sudah jodoh, Osman sekali lagi menggandingkan mereka dalam filem arahannya, Jwanita dan kali ini Maya pula menagih cinta daripada Bront. Bagaimana pun untuk filem akan datang, Sejoli, mereka menjadi pasangan.
Terbaru lakonan Maya dan Bront dapat dilihat menerusi filem Lagenda Budak Setan 2 - Katerina (LBS 2 - Katerina) arahan Sharad Sharan yang menemui penonton di pawagam bermula hari ini.
Untuk sekuel LBS itu, Maya melakonkan watak Katerina yang kecewa dengan Akshah dan bersetuju untuk berkahwin dengan Hisham, lakonan Bront asalkan ibu bapanya gembira.
Bagi Maya, Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, merupakan salah seorang artis lelaki yang rapat dengannya dan mereka bebas untuk berbual apa sahaja selain urusan kerja.
Selain Bront, seorang lagi rakan artis lelaki yang sering menjadi peneman Maya adalah heronya dalam filem Cun, Remy Ishak. Namun, akhir-akhirnya Maya akui dia jarang dapat keluar bersama Remy kerana pelakon itu terikat dengan jadual kerja filem dan drama.
"Saya tidak ramai kawan artis, kalau rapat pun dengan mereka yang pernah bekerjasama dengan saya dalam filem. Macam Farid tu, dia dah marah dengan saya sebab tidak hadir pada majlis pernikahannya.
"Selain rakan-rakan artis, saya juga mempunyai kelompok kawan-kawan baik di luar bidang ini. Kami selalu juga pergi melancong, itu pun susah nak bersama kerana masing-masing sibuk," ceritanya bila ditanya tentang persahabatan.
Bercerita lanjut tentang minatnya yang suka melancong itu, Maya berkata sewaktu penggambaran LBS di Bhutan, dia dan Farid menghadapi masalah untuk bertutur.
"Bukan kami perlu bertutur bahasa sana tapi tidak boleh bercakap sebab sejuk sampai menggigil. Apa pun saya suka berada di sana kerana pemandangannya yang indah.
"Disebabkan jatuh cinta dengan keindahan Bhutan, selepas selesai penggambaran, saya tambah lagi cuti selama empat hari. Hanya saya sahaja yang balik lambat, orang lain tidak sabar untuk terbang balik ke Malaysia, " katanya sambil ketawa.
Rupa-rupanya pengalaman di Bhutan, memberi inspirasi kepada Maya untuk mengembara ke Nepal yang dilakukannya bersama bapanya, Oktober lalu.
Menurut Maya, sejak usia 15 tahun, dia sudah menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Bhutan dan Kathmandu, Nepal kerana negara tersebut mempunyai keunikan tersendiri.
"Saya kagum melihat pemerintah Bhutan, walaupun negaranya tidaklah sekaya negara lain tapi tetap mengutamakan kebersihan alam sekitar.
"Sewaktu saya membeli buah di sana, saya lihat beg plastik yang diberi entah yang ke berapa kali sudah dipakai guna.
"Di sana mereka menggunakan beg yang dibuat khas sebab mereka tahu plastik susah untuk diluputkan. Seperti Bhutan, Nepal juga mempunyai keindahan tersendiri," jelasnya.
Lain-lain negara yang menjadi impian Maya untuk dijelajahi adalah Mesir dan Brazil. Ternyata aktres ini lebih senang melancong secara backpack daripada tidur di hotel mewah.
Kata Maya, dia tidak mahu terlalu membebankan diri dengan soal kerja dan sebab itu jugalah dia jarang berlakon drama.
"Sebagai pelakon, saya boleh berlakon filem atau drama kerana kedua-duanya memberi pendapatan kepada saya. Tapi saya tidak mahu kerana saya ada prinsip sendiri.
"Bukan saya menolak berlakon drama, kalau saya dapat skrip yang memikat hati pasti tidak menolak. Apa pun setakat ini tumpuan saya lebih kepada filem. Untuk filem pun saya memilih kerana saya tidak mahu dibebankan dengan kerja sebab saya pun nak menikmati kehidupan ini," katanya.
Mendengar jawapan Maya itu, pasti ada yang menganggap dia tidak ada masalah kewangan jadi bolehlah memilih kerja berbanding pelakon lain.
Seperti orang lain, Maya yang dilihat hidup dalam kemewahan itu tidak lupa untuk membuat perancangan dalam kehidupan bagi memastikan masa depannya terjamin.
"Saya pun ada keinginan untuk hidup mewah tapi saya selalu ukur baju di badan sendiri. Kalau orang berkereta mewah, saya pun mahu tapi saya akan tanya pada diri sendiri, 'mampukah aku untuk memiliki kereta sebegitu'. Saya tidak akan membeli sesuatu yang bakal membebankan saya di masa hadapan.
"Dalam apa jua hal, saya mesti ada perancangan B kerana kita tidak tahu apa akan berlaku. Sebagai persediaan, pendapatan hasil daripada lakonan saya simpan atau melabur untuk hartanah. Saya tidak akan keluarkan wang simpanan itu semata-mata untuk bergaya," jelasnya lagi.
Amyza Aznan Akui Laman Sosial Membantu Kerjaya
PETALING JAYA: Aktres Amyza Aznan mengakui kewujudan laman dan aplikasi sosial pada hari ini sangat membantu dirinya untuk berkongsi aktiviti kerjaya dengan khalayak.
Amyza, 37, berkata, kemudahan teknologi seperti Twitter, Facebook dan Instagram adalah medium yang bermanfaat untuk mendekati peminat walaupun dia kurang mendapat publisiti media.
“Kalau dulu, mungkin saya risau bagaimana untuk mendekati khalayak kerana publisiti mengenai saya agak kurang kerana persaingan dengan artis-artis baru.
“Kini perkara itu tidak timbul sejak kewujudan Twitter dan Facebook. Medium itu sangat membantu saya berkongsi perkembangan kerjaya dan mendekati peminat,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Pelakon yang berpengalaman selama 15 tahun itu berkata, faktor populariti dan publisiti tidak merunsingkan fikirannya selagi dia masih mendapat kepercayaan para penerbit, pengarah dan stesen televisyen.
“Alhamdulillah selepas 15 tahun, saya masih mendapat tempat di kalangan penerbit, pengarah dan stesen televisyen walaupun persaingan semakin sengit dengan generasi baru.
“Tawaran lakonan juga konsisten jadi saya perlu jaga komitmen dan kualiti kerja kerana ini (lakonan) adalah periuk nasi saya,” jelasnya.
Bercakap mengenai lakonan, Amyza berkata, dia akan memastikan setiap tawaran yang diterima seimbang di antara watak serius dan komedi.
“Saya juga tidak mahu dianggap stereotaip kerana kerap berlakon watak komedi sahaja. Sebab itu, saya perlu seimbangkan antara watak serius dan komedi.
“Sekarang saya lihat tawaran lakonan yang dijayakan lebih seimbang bagi kedua-dua genre itu,” kongsinya.
Mengenai lakonan terbarunya dalam drama bersiri Spy M, Amyza berkata, dia berpeluang untuk menjayakan cabaran baru menerusi watak perisik yang lasak dan lebih serius.
“Lima tahun lepas saya pernah terfikir adakah saya akan berpeluang menerima tawaran watak lasak seperti Angelina Jolie?
“Apabila dapat watak perisik dalam drama ini, saya sangat gembira kerana dapat cabaran baru yang berbaloi walaupun ia menguji kekuatan mental dan fizikal.
“Saya berharap orang dapat melihat kemampuan saya menjayakan watak yang lebih serius selain komedi yang begitu sinonim selama ini,” tuturnya.
Drama sebanyak 13 episod itu turut dibintangi antaranya Sharifah Shahira, Wan Sharmila, Jason Chong, Zalif Sidek dan Ahmad Danial.
Diarahkan Ramli Long, ia akan ditayangkan bermula 3 Disember ini pada setiap Isnin pukul 9 malam, dalam slot Aksi di TV3.
Khaty Bangga Anak-Anak Ikut Jejaknya Sebagai Penyanyi
PETALING JAYA: Penyanyi veteran dan evergreen Datuk Khadijah Ibrahim mengakui dia berbangga kerana memiliki keluarga yang berdarah seni dan hampir semua merekamemiliki bakat dalam bidang nyanyian dan juga muzik.
Khadijah atau lebih selesa dengan panggilan Khaty itu bagaimanapun berkata, tidak ada seorang pun daripada mereka yang benar-benar mahu menjadi penyanyi profesional sepertimana dirinya walaupun mereka berbakat.
Mereka, katanya, lebih selesa melakukan kerja-kerja nyanyian di belakang tabir.
"Dalam keluarga saya, hampir kesemuanya berbakat dalam bidang nyanyian tetapi setakat ini, yang benar-benar ke hadapan menjadikan bakat itu sebagai karier profesional, tidak ramai.
"Begitu juga dengan anak-anak saya. Hanya anak sulung saya, Hajar yang mengikuti saya ke mana-mana persembahan yang diundang menjadi penyanyi latar bersama tiga saudara mara yang lain seperti sepupu dan sebagainya tetapi dia adalah antara yang berbakat besar," kata Khaty.
Khaty memulakan karier nyanyiannya ketika berusia 19 tahun setelah mengikuti jejak langkah arwah abangnya, Latif Ibrahim dan kakak, Sophia Ibrahim dalam bidang tersebut.
Tambah penyanyi berusia 53 tahun itu lagi, walaupun Hajar enggan 'menjual' bakat suara yang dimilikinya, namun dia tidak pernah memaksa anaknya itu untuk bergelar penyanyi sepenuh masa.
Bagaimanapun, Khaty berkata Hajar tidak keberatan untuk ke pentas sebagai penyanyi undangan bagi persembahan-persembahan tertentu termasuklah seperti yang terbaru, di Konsert Gemilang, yang turut menampilkan Datuk Ahmad Nawab dan Jamal Abdillah 13 Oktober lalu.
"Mungkin ada yang beranggapan Hajar akan menyambung legasi keluarga Ibrahim menjadi penyanyi. Tetapi dia tidak mahu dan saya pula tak akan memaksa walaupun kadang-kadang membuatkan saya tertanya, sebab apa dia enggan menjadi penyanyi profesional sedangkan dia berbakat besar.
"Apa-apapun saya lebih senang bersikap terbuka dengan setiap perkara yang diinginkan oleh anak-anak saya," tuturnya.
Dalam pada itu, Hajar yang memulakan aktiviti nyanyiannya dengan membawakan lagu-lagu nasyid pula memberitahu, walaupun tidak bergelar penyanyi sepenuh masa tetapi dia berbangga kerana dapat membantu ibunya sebagai penyanyi latar.
Malah, bagi ibu kepada dua orang anak itu, menjadi penyanyi latar sebenarnya lebih mencabar daripada penyanyi utama.
"Mungkin ada yang beranggapan menyanyi latar agak mudah, tetapi sebenarnya tidak. Kita perlu sentiasa berjaga-jaga sekiranya seseorang penyanyi itu lupa lirik atau mungkin tersalah menyanyi.
"Antara sebab lain saya enggan menjadi penyanyi juga adalah kerana saya terlalu seronok apabila dapat menjadi penyanyi latar bersama ibu. Kadang-kadang, ibu akan buat kejutan secara tiba-tiba dengan memanggil saya untuk bernyanyi bersama-sama dengannya.
"Risau dengan kejutan ibu, maka saya akan pastikan untuk menghafal kesemua lagu yang akan dibawakan ibu seolah-olah saya yang akan menyanyi di depan bersamanaya," jelas Hajar.
Katty memiliki tiga orang anak iaitu Siti Hajar Aishah, 31, Mohd Khoirul Kamal, 29 dan Johan Rahman, 24.
Selain Hajar, yang mengikuti Khaty memenuhi undangan persembahan, ialah anak lelakinya Johan Rahman.
Johan memiliki kumpulan muziknya sendiri yang dinamakan Johan Rahman & Friends dan sedang mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan antarabangsa di Macquarie University, Sydney, Australia.
Yatt Hamzah Lebih Cenderung Kepada Aktiviti Dakwah
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah memberitahu lebih cenderung kepada aktiviti kerohanian dan dakwah selepas mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengenakan hijab.
Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah, 32, berkata, dia berasa seronok dapat berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai penghijrahannya kepada masyarakat terutama golongan muda supaya lebih dekat dengan agama Islam.
"Mengikuti kelas Usrah Fitrah telah banyak mengajar saya pelbagai perkara tentang Islam yang boleh saya kaitkan dengan kehidupan seharian.
"Dari situ juga saya dapat berkongsi pengetahuan dengan masyarakat semasa dijemput dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Yatt, dia juga merancang untuk menjelajah ke seluruh Institut Pengajian Tinggi Awan dan Swasta (IPTA/IPTS) bersama-sama ahli lain dalam Usrah Fitrah bagi berkongsi ilmu dan penghijrahan mereka dengan para penuntut universiti pada tahun hadapan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai bidang lakonan, Yatt berkata, dia masih lagi menerima tawaran berlakon namun meletakkan beberapa syarat bersesuaian dengan imejnya kini.
Tambah Yatt, selain soal imejnya bertudung, dia juga lebih cenderung kepada watak yang dapat memberikan ilmu dan pengajaran kepada penonton.
"Saya masih lagi minat berlakon tetapi perlu ada batasan kerana peranan atau sesuatu watak itu perlu bersesuaian dengan imej saya yang bertudung dan batas saya sebagai isteri orang," jelasnya.
Sementara itu, Yatt memberitahu, dia bersyukur kerana perjalanan hidupnya kini semakin mudah dan rezeki bertambah apabila bukan sahaja dapat berlakon dan memenuhi program kerohanian tetapi menjadi model untuk busana muslimah.
"Alhamdulillah, saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Jiwa saya rasa tenang dan hidup rasa lebih lancar. Bila kita ikhlas berhijrah, Allah akan permudahkan jalan yang kita pilih," jelasnya.
Ezad Lazim Sahkan Putus Tunang Dengan Pembantu Peribadi
PETALING JAYA: Penyanyi Ezad Lazim mengesahkan ikatan pertunangannya dengan pembantu peribadi, Asliza Abdullah, telah pun terlerai sejak seminggu yang lalu.
Ezad, 33, berkata, dia yang sepatutnya berkahwin pada Julai lalu tidak sangka percintaan yang terjalin selama empat tahun itu gagal bertahan sehingga ke jinjang pelamin, malah ia terputus seminggu sebelum dia menyambut hari lahirnya yang ke 33 tahun pada hari ini (Jumaat).
"Nak buat macam mana, mungkin kami tidak ada jodoh untuk hidup bersama. Lain yang dirancang, lain pula yang terjadi.
"Inilah kali pertama saya melalui pengalaman putus tunang dan ia bukannya mudah kerana saya begitu serius dengan pehubungan ini.
"Bagaimanapun saya masih lagi mengharapkan sesuatu yang baik terjadi antara kami, manalah tahu..," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Ezad dan Azliza telah mengikat tali pertunangan mereka pada 1 Jun lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Julai 2012.
Bagaimanapun, khabar angin mengatakan keretakan hubungan itu berpunca daripada pihak perempuan yang seolah-olah tidak bersungguh-sungguh dengan perancangan perkahwinan mereka.
Tambah bekas vokalis kumpulan Exist itu, dia enggan menuduh sesiapa pun tentang permasalahan itu dan menganggap masing-masing mempunyai kesalahan sendiri sehingga ia telah menjejaskan perhubungan yang terjalin.
"Saya harap tiada yang menuding jari kepada sesiapa tentang hal putus tunang ini. Bagi saya ia adalah satu pengajaran dan iktibar yang besar buat kami berdua.
"Bukan mudah juga untuk saya membuat kenyataan sebegini kepada pihak media kerana saya sendiri tak tahu untuk jawab apa apabila disoal tentang hal ini," tuturnya.
Dalam pada itu, Ezad turut mengakui yang dia sudah serik dalam menjalinkan perhubungan cinta, namun penyanyi itu hanya berserah kepada Tuhan tentang hal pengurusan jodohnya.
"Saya sebenarnya susah untuk menyukai seseorang dan apabila perkara begini berlaku, sukar untuk saya jelaskan apa yang terasa di hati.
"Sampaikan keluarga memberikan cadangan untuk membiarkan mereka mencarikan bakal isteri yang sesuai, tetapi saya tak nak. Serik rasanya. Biarlah, saya serahkan jodoh ini kepada Allah S.W.T.
"Dan saya ingin memberi fokus kembali terhadap karier saya selepas ini," kata Ezad yang sedang sibuk dengan rakaman single lagu terbarunya.
Tiada Kekasih Punca Wan Sharmila Tidak Berkahwin Semula
PETALING JAYA: Pelakon Wan Sharmila berkata kegagalan bertemu dengan lelaki yang sesuai menjadi penghalang untuk dia berkahwin semula selepas tiga tahun bercerai.
Pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Mohamed, 31, berkata, aspek kehidupan peribadinya masih hambar kerana dia belum mempunyai kekasih sehingga kini.
“Kehidupan peribadi (hubungan cinta) masih hambar seperti dulu. Saya masih tidak jumpa lelaki yang sesuai.
“Saya memang hendak bina keluarga dan memiliki anak-anak sendiri kerana saya suka pada kanak-kanak. Saya tidak pasti sampai bila harus menunggu?” kongsinya ketika ditemui mStar Online.
Aktres yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Spy M di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Khamis.
Wan Sharmila dan suaminya yang juga penerbit dan pemilik syarikat produksi Radius One iaitu Fazli Baharom bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru, Johor pada 23 Oktober 2009 selepas tiga tahun berkahwin.
Pelakon yang mesra disapa Lala ini berkata, kegagalan bertemu dengan lelaki baru bukan disebabkan dia bersikap cerewet tetapi ia dipengaruhi kesibukan kerja yang membataskan waktunya berkenalan dengan ramai orang.
“Memang ada ramai yang cuba mendekati tetapi tidak semudah itu saya hendak menjalin hubungan. Bukan kerana saya cerewet cuma dalam mencari pasangan kita perlukan teman yang serasi dan sesuai.
“Sebolehnya saya elakkan suami orang tetapi yang bujang pula ramai yang tak menepati kriteria. Saya tidak kisah umur dan status, asalkan saya berasa selesa dengan lelaki itu,” luahnya.
Mengenai drama komedi aksi Spy M, Lala berkata, dia tidak dapat melaksanakan aksi-aksi lagak ngeri (stunt) dalam dalam drama perisikan itu kerana baru selesai menjalani pembedahan beberapa bulan lalu akibat penyakit yang enggan didedahkan.
“Saya memegang peranan sebagai Salsabila iaitu anak kepada Milah lakonan Sharifah Shahira. Ini adalah drama aksi kedua saya selepas Apa Celop.
“Sayangnya, saya tidak dibenarkan pengarahnya Ramli Long untuk melakukan babak aksi kerana masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan akibat satu penyakit kira-kira tiga bulan lalu.
“Saya tidak boleh berlakon lasak kerana akan cepat penat dan tenaga masih kurang. Namun, saya kembali aktif berlakon cuma tidak boleh yang berat-berat,” terangnya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Debunga Lalang.
Drama Spy M yang turut dibintangi antaranya Sharifah Shahira, Amyza Aznan, Jason Chong, Zalif Sidek dan Ahmad Danial akan ditayangkan bermula 3 Disember depan pada setiap Isnin pukul 9 malam, dalam slot Aksi di TV3.
Jurey Latiff Terkilan Kematian Anak Ulangi Tragedi Kemalangan Pakcik
PETALING JAYA: Pengarah filem Libas, Jurey Latiff Rosli berkata kematian anak lelakinya dalam nahas jalan raya pada Isnin lalu mengimbau tragedi hitam yang pernah berlaku terhadap Allahyarham pakciknya kira-kira 26 tahun lalu.
Jurey berkata, kemalangan motosikal yang mengorbankan anak sulungnya Mohd Najmuddin, 16, seperti mengulangi kemalangan maut yang hampir serupa berlaku terhadap pakciknya.
"Saya reda dengan ketentuan Allah cuma saya terkilan dengan cara kematiannya akibat motosikal yang ditunggangnya. Ia mengingatkan saya pada tragedi serupa yang meragut nyawa pakcik yang paling rapat dengan saya pada 1986.
"Malah, saya namakan anak sulung bersempena nama arwah pakcik sebagai tanda mengingatinya tetapi tidak sangka pula mereka 'pergi' dengan cara yang sama," luahnya ketika dihubungi mStar Online di sini.
Dalam kejadian pada petang Isnin lalu, Mohd Najmuddin yang menunggang motosikal maut digilis sebuah lori ais dalam kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Pandan Indah, dekat sini.
Allahyarham dilaporkan mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan dalam nahas pada pukul 3.30 petang itu.
Difahamkan, Allahyarham yang tinggal bersama neneknya di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi sejak kecil sedang dalam perjalanan bertemu rakan di Ampang Point ketika kejadian berlaku.
Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) itu berkata, kemalangan itu menunjukkan risiko lebih besar dihadapi penunggang motosikal terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Apa yang berlaku kepada anak saya menunjukkan risiko dan bahaya yang lebih besar terpaksa dihadapi penunggang motosikal berbanding kenderaan lain.
"Tambahan lagi, apabila berada di atas jalan dalam keadaan hujan lebat dan cuaca yang tidak menentu sekarang.
"Saya berharap penunggang-penunggang motosikal lain terutamanya golongan muda sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya," katanya.
Allahyarham yang sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikebumikan pada pagi Selasa lalu di Tanah Perkuburan Islam Sungai Besi, dekat sini.
Yuna Bersyukur Peminat Malaysia Masih Setia
PETALING JAYA: Penyanyi Yuna bersyukur apabila peminat-peminat di Malaysia sentiasa menyokong dan setia dengannya walaupun dia kini menetap di Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan mengembangkan karier nyanyian di negara itu.
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai berkata, walaupun tidak pernah risau jika satu hari nanti peminat-peminatnya akan hilang gara-gara kesibukan diri di luar negara, namun dia harus akui, kehadiran penyanyi-penyanyi baru memberi saingan hebat buat dia untuk kekal menjadi pemuzik berkualiti.
"Jujurnya, saya tidak pernah risau jika peminat-peminat akan hilang. Bagi saya, perjuangan saya di AS juga adalah perjuangan mereka (peminat) yang sentiasa menyokong saya sejak bergelar penyanyi lagi.
"Bagaimanapun, dengan ketumbuhan penyanyi-penyanyi baru yang sangat ramai, saya perlu bersaing untuk mengekalkan kedudukan dan muzik agar sentiasa berkualiti. Ia satu persaingan yang sihat," katanya.
Tambah Yuna, kesetiaan para peminatnya itu terbukti apabila dia berjaya memenangi Popstar Award dan Wired Celebrity Award bagi Anugerah Shout Awards 2012 yang diadakan baru-baru ini dimana pencalon diundi menerusi peminat masing-masing.
Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan karier Yuna di AS, dia bersyukur apabila album pertama di negara itu iaitu Yuna, dibawah syarikat rakaman Fader Label mendapat respons yang sangat positif sepanjang enam bulan berada di pasaran.
Beritahu penyanyi berusia 26 tahun itu, dia juga telah membuat konsert jelajah selama tiga bulan dan gembira apabila dapat membina serta mengumpul peminat-peminat baru di negara itu.
"Alhamdulillah, saya gembira apabila album yang menampilkan sebanyak 13 buah lagu berjaya menarik perhatian penggemar muzik di sana.
"Jika di Malaysia kita digelar penyanyi terkenal, tetapi di AS, mereka menganggap saya seperti pemuzik profesional.
"Bagaimanapun, mereka tak adalah sampai menjadi peminat yang begitu fanatik. Sebaliknya mereka menghargai setiap muzik yang saya tonjolkan," ujarnya.
Ella Belanja RM200,000 Untuk Majlis Resepsi Perkahwinan
PETALING JAYA: Ratu rock negara, Ella telah membelanjakan sebanyak RM200,000 bagi mengadakan majlis resepsi perkahwinannya bersama suami, Azhar Ghazali, 30 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Disember ini di Kelab Darul Ehsan di Ampang, dekat sini.
Perancang perkahwinan pasangan itu, Syed Yusof Wafa memberitahu portal redcarpet.net.my majlis itu juga turut mendapat pelbagai tajaan daripada pelbagai pihak.
"Kami turut mendapatkan beberapa tajaan termasuk baju pengantin yang direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini," ujarnya.
Majlis tersebut dijangka dihadiri oleh 600 tetamu dengan warna kelabu sebagai tema utama.
Antara nama-nama yang telah mengesahkan kehadiran mereka pada majlis itu nanti adalah Fasha Sandha, Nora Danish, Datuk Ramli MS, Datin Ziela Jalil, Datuk AC Mizal, Jamal Abdillah, Misha Omar, Amy Search dan Azlan & The Typewriter.
Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut dijangka hadir sebagai tetamu khas.
Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminudin, 46, sah bergelar isteri kepada juruterbang syarikat Firefly itu dengan sekali lafaz pada 7 Julai lalu.
Pasangan itu bernikah di rumah abang kepada Ella di Teluk Gadong, Klang di sini.
Mereka telah berkenalan selama sembilan tahun sebelum mengambil keputusan untuk mengakhiri zaman solo.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
