Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya Masih Rindukan Azizah' - A Rahman Hassan

Selepas kira-kira dua minggu pemergian Datin Azizah Mohamad, suaminya, penyanyi 60-an iaitu Datuk A Rahman Hassan mengakui masih lagi rindu mengenangkan saat-saat manis mereka berdua sepanjang 44 tahun mendirikan rumah tangga. A Rahman berkata, beliau juga tidak dapat memadam memori bagaimana Allahyarham sentiasa menemaninya untuk makan di luar bersama sejak dua tahun lalu kerana Azizah tidak boleh memasak akibat penyakit yang dihidapinya. "Selama dua tahun setiap hari kami akan makan bersama di luar kerana keadaan kesihatannya yang mula merosot dan tidak boleh memasak ketika itu. "Peluang itu juga kami gunakan untuk berbual mengenai pelbagai perkara dan sekarang saya masih meneruskan rutin untuk makan di restoran tetapi tidak bersamanya lagi. Suasana itu kini berbeza," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Azizah menghembuskan nafas terakhir 26 April lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 11.26 malam, akibat menghidap kanser pangkal rahim tahap akhir, selain penyakit darah tinggi dan kencing manis. Allahyarham meninggalkan tiga orang cahaya mata iaitu Khir, 40, Ilmi, 39 dan Azmi, 35 selain enam orang cucu. Dalam pada itu, A Rahman berkata, beliau kini banyak menghabiskan masanya dengan anak bongsunya, Azmi yang tinggal bersamanya di rumah mereka di Ampang, Kuala Lumpur. "Walaupun rasa kehilangan, hidup masih perlu diteruskan dan saya bersyukur kerana anak bongsu tinggal bersama saya dan tidaklah terlalu berasa sunyi. "Tambahan pula saudara mara dan adik-beradik sering bertandang ke rumah dan kehidupan lebih terisi," jelasnya. Bagaimanapun kata A Rahman, beliau terkilan apabila isterinya tidak sempat untuk melihat Azmi menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hati. "Arwah selalu beritahu nak tengok anak bongsunya berkahwin namun tiada rezekinya berbuat demikian," katanya. Sementara itu, A Rahman memberitahu, walaupun tiada pembantu rumah, setiap hari beliau akan melakukan kerja-kerja rumah sendiri seperi mengemas, membasuh baju dan sebagainya. Beliau juga tidak mempunyai masalah membuat kerja-kerja tersebut kerana telah terbiasa membantu arwah isteri sebelum ini. "Kini saya buat semua sendiri kerja-kerja di rumah dan sekurang-kurangnya dapat saya bergerak aktif dan bersenam selain dapat menghilangkan rasa bosan," katanya. Dalam perkembangan lain, A Rahman berkata, beliau akan meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi dan akan memenuhi undangan sekiranya ada walaupun kali ini tanpa isterinya lagi di atas pentas.

Jimmy Shanley Dituduh Tidak Ikhlas Jaga Anak

Bekas isteri kepada Jimmy Shanley iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy mendakwa pengacara itu tidak ikhlas dalam menjaga anak tunggal mereka, Zahrah Rania kerana tidak pernah mengambil berat terhadap anak itu. Nursuhaila, 27, berkata, Jimmy juga tidak pernah bertanya khabar sama ada menerusi panggilan telefon atau pun khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai perkembangan anak mereka itu. "Saya mahu proses menjaga Zahrah secara bersama dilakukan dengan ikhlas demi kebajikannya kerana tetapi saya merasakan Jimmy tidak ikhlas menjaga anak kami dan tidak pernah bertanya khabar tentangnya. "Malah apabila saya maklumkan anak dimasukkan ke hospital pada 16 April lalu dia langsung tidak datang atau bertanya tentang kesihatan Zahrah. "Tetapi sebaliknya dia boleh menghantar SMS marah-marah dan tidak menghiraukan mesej yang saya sampaikan mengenai tarikh hari lahir anak kami," jelasnya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini pada Khamis. Nursuhaila mengulas mengenai tindakan Jimmy yang memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakannya atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka, Zahrah Rania yang berusia hampir dua tahun. Pada 8 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan hak penjagaan anak perempuan pasangan itu diberikan kepada Nursuhaila manakala Jimmy memperoleh hak lawatan dan bermalam selama tiga hari dalam seminggu selain dibenarkan menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha secara bergilir-gilir. Bagaimanapun, Nursuhaila pada 19 April lalu telah memfailkan permohonan ubah perintah serta penggantungan perintah mahkamah dan Hakim Syarie, Mawardi Che Man yang mendengar kes itu pada Khamis (semalam) mengarahkan permohonan dipinda semula kerana ia tidak jelas dan mengelirukan. Dalam pada itu, Nursuhaila berkata, dia tidak pernah berniat untuk mengingkari perintah mahkamah dengan sengaja mahupun memisahkan seorang anak dengan bapa kandungnya. Nursuhaila sebaliknya berkata, dia berharap anaknya itu dapat mengenali dan mendapat kasih sayang daripada Jimmy sebagai bapa. "Saya membuat permohonan agar hak bermalam dengan Jimmy ditangguhkan hanya semata-mata kerana kesihatan dan kebajikan Zahrah. "Malah perintah itu bukan dibuat secara kekal sebaliknya hanya sementara dia menguruskan dirinya memandangkan umurnya baru setahun 11 bulan. "Tambahan pula Jimmy tinggal seorang diri dan dia selalu tiada di rumah. Malah keadaan rumahnya yang tidak terurus menyebabkan saya bimbang keselamatan anak," jelasnya. Tambah Nursuhaila, Zahrah tidak pernah tinggal bersendirian dengan Jimmy lebih daripada setengah jam dan dia bimbang emosi Zahrah terganggu. Sementara itu, Nursuhaila berkata, dia berharap selepas ini Jimmy tidak lagi menghebohkan tentang pergolakan hubungan mereka di akhbar demi menjaga hubungan kekeluargaan iaitu mereka sebagai ibu dan bapa Zahrah. "Saya harap dia tidak menghebohkan mengenai perkara yang dia sendiri tidak boleh buktikan di mahkamah kepada masyarakat termasuk hak lawatan kerana ia sedang diadili di mahkamah," katanya. Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini. Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai secara tebus talak dengan bayaran RM1 pada 10 Oktober 2012.

Sherry Ibrahim Minta Tidak Dikaitkan Dengan Ashraf Muslim

Pelakon Sherry Ibrahim berharap namanya tidak lagi dikaitkan dengan aktor Ashraf Muslim, 32, lebih-lebih lagi kedua-dua mereka tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan sejak putus cinta kira-kira empat tahun lalu. Sherry, 30, berkata, dia juga enggan dikaitkan dengan kontroversi yang mendakwa Ashraf yang juga pengamal perubatan Islam itu akan berkahwin lagi memandangkan urusan itu tiada kaitan dengan dirinya. "Jujurnya, saya tidak membaca gosip-gosip di media dan saya tidak mahu mengambil tahu tentang perkara itu. "Apabila pihak media meminta saya komen tentang isu Ashraf mahu kahwin dua, saya tak boleh nak komen sebab ia tiada kaitan dengan diri saya. "Lagipun itu hal adalah urusan rumah tangga dia yang saya rasa ia tidak elok untuk saya memberi sebarang pandangan," katanya. Sherry ditemui pada pelancaran drama arahannya iaitu Teduhan Kasih di Sri Pentas TV3 di sini, Rabu. Baru-baru ini, Ashraf dikatakan telah ke mahkamah Syariah untuk mengambil borang permohonan berpoligami. Bagaimanapun Ashraf enggan memberi komen tentang hal tersebut tetapi sebuah akhbar pada Rabu melaporkan seorang wanita bernama Sakinah telah mendedahkan bahawa isteri pelakon tersebut iaitu Noor Dayana Lokman, 26, sudi untuk bermadu. Ashraf telah bernikah dengan Noor Dayana pada 30 Ogos 2011 di Mekah, Arab Saudi.Tambah Sherry, dia berharap tidak dikaitkan lagi dengan aktor itu lebih-lebih lagi dia kini sudah pun memiliki kekasih. Katanya, kekasihnya itu merupakan seorang lelaki Mauritius yang dikenalinya ketika bertugas sebagai pramugari sejak setahun lalu di syarikat penerbangan Qatar Airways. "Saya sudah ada kekasih dan kami telah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu. "Bagaimanapun saya tak boleh nak ceritakan siapa dia. Cukuplah yang orang tahu saya sudah berpunya," tuturnya.

Sharifah Aini Berubah Wajah Kerana Steroid

Penyanyi Datuk Sharifah Aini menolak dakwaan kononnya beliau melakukan teknik kecantikan ataupun suntikan botoks ekoran keadaan wajahnya yang kelihatan semakin berbeza. Sharifah, 59, sebaliknya berkata, perubahan itu adalah disebabkan kesan terhadap pengambilan steroid secara berterusan ekoran mengalami jangkitan paru-paru enam bulan lalu. "Memang muka Kak Pah kelihatan berisi dan mengembung kerana kesan daripada pengambilan steroid yang akan menyebabkan muka jadi ‘sembab’ dan bukannya kerana membuat apa-apa suntikan botoks ataupun lain-lain. "Sebelum ini keadaan muka Kak Pah kelihatan lebih bengkak berbanding sekarang kerana pengambilan hampir 80 miligram steroid tetapi ia sudah beransur surut kerana pengambilan ubat tersebut telah dikurangkan kepada 5 miligram sahaja," jelasnya ketika ditemui pada sidang media Malam Amal Bersama 3 Diva di Restoran Khadijah's Kitchen di sini, Rabu. Sharifah yang lebih mesra disapa Kak Pah diminta mengulas mengenai perubahan wajahnya yang jauh berbeza berbanding sebelum ini terutama pada bahagian pipi, dagu dan bibir. Tambah Sharifah, wajahnya kelihatan jauh lebih muda daripada usianya kerana beliau telah mengamalkan penjagaan kulit sejak berusia 18 tahun. "Orang mungkin mempertikaikan perkara itu tetapi amalan saya yang menjaga wajah sejak muda banyak membantu dan memberi kesan kepada usia sekarang," ujarnya. Dalam pada itu, Sharifah berkata, beliau kecewa apabila ada pihak yang cuba memfitnahnya dengan menyebarkan berita tidak benar tentang perubahan wajahnya itu dan berharap tiada lagi pihak yang akan buruk sangka dengan pendedahan berkenaan. "Orang tidak tahu cerita, mereka mula menuduh perkara yang mereka sendiri tidak tahu keadaan sebenar. Tidak baik buruk sangka terhadap orang lain," jelasnya. Sementara itu, Sharifah berkata, beliau teruja untuk mengadakan persembahan bersama Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid pada malam amal berkenaan yang akan diadakan pada 12 Jun depan di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. "Ini adalah kelainan persembahan ini dan tidak sabar rasanya untuk tampil di pentas bersama mereka," katanya. Sharifah turut memberitahu beliau berbesar hati dapat bersama-sama membantu dalam menjayakan misi itu untuk kebajikan ibu tunggal.

Bekas Isteri Jimmy Diarah Ubah Permohonan

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis memerintahkan peguam syarie, Saadiah Din yang mewakili Nursuhaila Eliani Suhaimy supaya meminda semula permohonan ubah perintah serta penggantungan perintah mahkamah mengenai hak bermalam kepada pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley terhadap anak mereka, Zahrah Rania. Hakim Syarie, Mawardi Che Man berkata, permohonan Suhaila selaku plaintif yang dibuat pada 19 April lalu itu tidak jelas dan mengelirukan selain akan menimbulkan masalah lain terhadap perintah asal yang dibuat mahkamah pada 8 April lalu. "Dalam permohonan yang dibuat pihak plaintif, tidak jelas dan seolah-olah mahu menggantung hak lawatan dan bermalam defendan (Jimmy) terhadap anak (Zahrah). "Malah jika penggantungan hak bermalam itu dilakukan ia akan menimbulkan masalah lain kepada keputusan yang dibuat mahkamah sebelum ini," jelasnya. Pada 8 April lalu, Mawardi memutuskan hak penjagaan anak perempuan pasangan itu diberikan kepada Nursuhaila manakala Jimmy memperoleh hak lawatan dan bermalam selama tiga hari dalam seminggu. Jimmy mendapat hak untuk bersama anaknya bermula pada pukul 10 pagi bermula hari Selasa sehingga Khamis, pukul 6 petang setiap minggu selain dibenarkan menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha secara bergilir-gilir. Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Jimmy iaitu Mohd Noor Raizan memberitahu mahkamah, anak guamnya masih belum mendapat hak lawatan dan bermalam sejak mahkamah memutuskan perintah tersebut. Mohd Noor menjelaskan permohonan Nursuhaila mengelirukan dan pihaknya memohon mahkamah supaya menangguhkan kes itu kepada satu tarikh lain supaya plaintif dapat meminda afidavit yang dibuat. Mawardi memerintahkan peguam syarie, Saadiah Din supaya meminda semula afidavit berkenaan kepada mahkamah pada 13 Mei ini sebelum dibalas oleh pihak defendan pada 27 Mei depan. Beliau juga menetapkan 6 Jun sebagai tarikh untuk kedua-dua belah pihak membuat soal balas terhadap balasan afidavit tersebut sebelum penghujahan dibuat pada 11 Jun berikutnya. Sementara itu, Saadiah ketika ditemui berkata, pihaknya membuat permohonan itu kerana keadaan kesihatan Zahrah yang tidak sihat dan faktor kanak-kanak itu masih kecil. Menurutnya, permohonan penggantungan sebahagian perintah itu hanya untuk sementara dan bukannya secara kekal terhadap Jimmy. "Zahrah masih kecil dan dia mempunyai masalah lelah. Kami berpendapat tidak sesuai buat masa ini Jimmy bermalam kerana keadaan Zahrah yang masih boleh belum menguruskan dirinya. "Permohonan penggantungan perintah itu hanya buat sementara dan bukannya untuk menidakkan hak Jimmy sebagai seorang bapa," jelasnya. Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh. Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai secara tebus talak dengan bayaran RM1 pada 10 Oktober 2012.

Kejayaan Amy Mastura Kerana Bijak Urus Kerjaya, Rumah Tangga

Penyanyi Amy Mastura menyifatkan pengurusan jadual kerja yang baik amat penting buat dalam mengendalikan jadual kerja dan juga hal rumah tangga. Amy atau nama penuhnya Amy Mastura Suhaimi, 42, berkata, sebagai seorang isteri, ibu, penyanyi dan pelakon, dia perlu bijak membahagikan masa agar kesemua tanggungjawab itu berjalan dengan lancar. "Sebagai seorang wanita, kita mempunyai tanggungjawab besar dalam hal pengurusan rumah tangga lebih-lebih lagi berkaitan anak-anak. "Memandangkan saya juga mempunyai karier sendiri, jadi pengurusan kerja yang baik amat penting. "Pada mulanya mungkin agak sukar untuk membahagikan masa, tetapi lama-lama ia sangat mudah dan kita sudah boleh mengagak dan merancang masa dalam setiap perkara yang ingin dilakukan," katanya. Bagaimanapun tambah Amy yang kini popular dengan lagu Tapi Itu Dulu, keluarga akan menjadi keutamaa dalam setiap keputusan yang dilakukan. Sementara itu, beritahu Amy , dia juga tidak menghalang anaknya untuk berkecimpung dalam dunia seni lebih-lebih lagi apabila melihat anak keduanya iaitu Adalia, 7, meminati bidang lakonan. "Saya tak pernah menghalang minat anak-anak. Andai kata mereka ingin mengikuti jejak langkah saya dalam dunia seni, saya benarkan. "Asalkan mereka tidak buat benda-benda yang tidak elok sudah cukup. "Setakat ini apa yang saya nampak, Adalia begitu bersemangat dalam hal-hal berkaitan lakonan. Dia juga sebelum ini pernah membintangi teater Gamat bersama-sama dengan saya," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Amy bakal muncul dengan teater Nyonya & The Gang yang bakal dipentaskan bermula 14 hingga 20 Jun depan. Nyonya & The Gang yang merupakan sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu pementasan turut menampilkan barisan pelakon Mardiana Alwi, Misha Omar, Rozita Che Wan, Taiyuddin Bakar dan Fara Fauzana. "Ini merupakan penglibatan teater 'berat' pertama saya bawakan. Selama ini saya hanya berlakon teater berkonsepkan kanak-kanak. "Harap-harap lakonan saya berkesan dalam teater ini," katanya.

Aliff Aziz Mengaku Cepat Jatuh Cinta

Penyanyi Aliff Aziz menjelaskan dia seorang yang cepat jatuh cinta apatah lagi jika berkenalan dengan mana-mana wanita yang serasi dengannya. Bagaimanapun Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 22, berkata, perasaan itu tidak akan terjadi jika dia sudah mempunyai kekasih kerana dia merupakan seorang yang benar-benar setia dalam perhubungan. "Dalam ramalan mengenai sifat diri saya yang Aquarius, saya seorang lelaki jenis yang mudah jatuh cinta tetapi akan setia pada yang satu. "Apabila membaca ramalan itu, saya terasa ia benar-benar berkaitan dengan diri saya," katanya. Tambah Aliff, dia juga senang apabila berada di samping wanita yang dicintai yang mampu memberikan sokongan tatkala dilanda susah dan senang. Sementara itu, Alif memberitahu, dia seorang yang sangat terbuka dalam berkongsi hal peribadi menerusi laman sosial agar peminat-peminat dapat mengenalinya dengan rapat. "Saya seorang yang jujur apabila menceritakan hal peribadi dan sangat terbuka tentang perkara itu. "Tetapi keterbukaan itu hanya dilakukan dalam laman sosial seperti di Twitter dan Instagram sahaja. Ia ibarat sebuah diari untuk kita meluahkan rasa sedih dan gembira," tuturnya. Bagaimanapun, kata penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Sayang ini, perkongsian yang dibuat itu bukan kerana ingin mencari publisiti murahan.

'Aeril Zafrel Tipu Saya, Akan Dapat Balasan' - David Teo

Penerbit David Teo memberitahu pelakon Aeril Zafrel memperdayakannya dengan mendakwa ingin mempelajari ilmu agama sehingga mendorong dia menamatkan kontrak pengurusan artis di bawah syarikatnya iaitu Metrowealth International Group (MIG) lebih awal. David yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, MIG berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati niat pelakon itu yang mahu mendalami Islam tetapi dia mengkhianati janjinya dengan membintangi produksi lain termasuklah syarikat dari Hollywood. "Mula-mula Aeril kata mahu belajar agama dan kerana itu dia meminta saya untuk tamatkan kontrak lebih awal. Saya ni kalau bab-bab agama agak sensitif. "Dan sebab itulah saya memenuhi permintaannya kerana menyokong langkah yang hendak diambilnya untuk melakukan sesuatu ke arah kebaikan. "Tiba-tiba saya mendapat tahu dia membintangi sebuah filem di Hollywood pula. Dia sudah tidak memenuhi apa yang dikatakannya sebelum ini," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa. Tambah David, dia mendapat tahu mengenai kerja lakonan Aeril di Hollywood pada akhir tahun lalu. Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 26, sebelum ini mengesahkan dia tidak lagi bernaung di bawah syarikat pengurusan MIG selepas mempertimbangkan beberapa perkara yang disifatkannya sangat peribadi. Aeril juga mengesahkan sudah mendapat tawaran berlakon bersama produksi di Hollywood dengan bintang Christina Ricci dan Sharon Stone. Selain merasakan dirinya diaibkan dengan pelbagai tohmahan dan ‘cakap-cakap belakang’, Aeril dilaporkan berkecil hati dan tidak menyenangi ‘budaya’ kerja yang diamalkan MIG. Dalam pada itu walaupun Aeril mengkritik MIG menerusi beberapa laporan media, David tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan dengan kenyataan-kenyataan itu termasuklah perbuatannya menipu mengenai sebab-sebab ingin menamatkan kontrak. Beritahu David, dia percaya, setiap perkara yang berlaku terdapat hikmahnya dan individu yang menipu pasti akan mendapat balasan tanpa perlu mengambil sebarang tindakan. "Dia mahu tamatkan kontrak, saya sudah tunaikan janji saya. Walaupun saya diperdaya, tidak apa, balasannya akan datang kemudian. "Saya pun tidak rugi apa-apa. Saya sudah biasa dengan artis-artis di bawah naungan MIG seperti kata pepatah 'kacang lupakan kulit'. "Dalam pada itu, ramai juga artis yang mengikut konsep kami bekerja telah pun berjaya dalam karier lakonan masing-masing," ujarnya. Antara artis-artis popular di bawah naungan MIG ialah Yana Samsudin, Wawa Zainal, Farid Kamil, Angah (Raja Lawak), Along Cham, Nora Danish dan Shaheizy Sam.

Jimmy Shanley Mohon Penjara Bekas Isteri

Pelakon dan pengacara Jimmy Shanley memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimi atas dakwaan ingkar terhadap perintah mahkamah berhubung hak penjagaan anak mereka, Zahrah Rania. Akhbar Kosmo! melaporkan Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 32, memfailkan permohonan itu melalui peguam syarie, Mohd Noor Azian Md. Idrus di kaunter Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada Selasa. Mahkamah Tinggi pada 8 April lalu memutuskan Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu dengan anaknya. Jimmy bagaimanapun memberitahu masih gagal mendapat hak tersebut dan kecewa apabila tiga kali cubaannya mengambil anak tunggalnya itu untuk bermalam bersama tidak mendapat kerjasama daripada Nursuhaila. "Apabila saya hendak ambil anak ada sahaja alasan yang diberikan oleh bekas isteri termasuk alasan berada di luar negara. "Saya juga telah membuat tiga laporan polis berhubung perkara itu," katanya. Mohd Noor Azian turut memberitahu, Nursuhaila telah menfailkan permohonan untuk menggantung perintah mahkamah dan kes itu akan disebut pada Khamis (esok). Pada 8 April lalu, Hakim Syarie Mawardi Che Man membuat keputusan memberikan hak penjagaan penuh anak perempuan tunggal mereka itu kepada Nursuhaila. Nursuhaila selaku plaintif memfailkan hadanah (hak jagaan anak) pada 18 Oktober 2011 namun Jimmy mengemukakan bantahan berhubung kelayakan bekas isterinya itu untuk menjaga anak mereka. Jimmy dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh. Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah sebelum bercerai pada 10 Oktober 2012.

Jehan Miskin Bakal Kahwin Gadis Korea

Pelakon Jehan Miskin akan mengakhiri zaman bujangnya pada Sabtu ini bersama seorang gadis yang berasal dari Korea. Harian Metro pada Rabu melaporkan, Jehan dan gadis yang menetap di Kuala Lumpur itu telah berkenalan selama lima tahun. "Buat masa sekarang saya tidak mahu bercerita lanjut mengenai percintaan saya, siapa gadis itu, di mana saya berkenalan dan sebagainya. "Saya akan ceritakan segalanya nantio selepas selesai majlis pernikahan," ujarnya. Dalam pada itu, Jehan berkata, majlis berkenaan akan dibuat secara ringkas di Carcosa Seri Negara dan hanya menjemput 100 tetamu termasuk keluarga dan teman rapat. Malah kata Jehan, majlis akan dibuat sekali sahaja untuk kedua-dua belah keluarga. "Keluarga bakal mentua saya bakal datang dari Korea, ibu dan kakak saya yang menetap di Amerika Syarikat juga akan turut meraikan perkahwinan saya ini," katanya. Jelas Jehan, majlis yang bermula pada pukul 2 petang itu akan dimulakan dengan acara akad nikah, bersanding diikuti majlis minum petang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails