Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Isu Dipinggirkan, Indah Ruhaila Tidak Salahkan Sesiapa
Penyanyi Indah Ruhaila tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila isu kononnya dia dipinggirkan oleh syarikat pengurusannya iaitu Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) terus diperkatakan biarpun pernah menyangkal mengenai perkara itu.
Indah, atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein, 27, berkata, dia juga tidak berhasrat untuk meninggalkan AESB kerana selesa dan berpuas hati dengan cara kerjayanya diuruskan oleh pihak tersebut.
"Saya sebenarnya masih cuba untuk memahami apa sebenarnya masalah yang dikatakan berlaku diantara pihak saya dan AESB kerana setakat ini tidak ada sebarang masalah.
"Saya masih berada dibawah naungan AESB dan semua gosip yang diperkatakan adalah tidak benar," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun Indah berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan kerana menghormati pihak pengurusannya selain bimbang akan menimbulkan isu lain selepas ini.
"Saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai perkara ini dan adalah lebih baik saya fokus kepada langkah seterusnya dalam karier saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Indah berkata, dia bersyukur kerana para peminatnya sentiasa memberi kata-kata semangat di laman sosial sejak namanya dikaitkan dengan beberapa kontroversi.
Jelas Indah, sokongan yang diterimanya adalah pemangkin semangat untuk dia meneruskan kerjaya seninya biarpun kadang-kala berasa terganggu dengan cakap-cakap serong mengenainya.
"Saya bertuah dan berterima kasih kerana mempunyai peminat yang cukup memahami dan sentiasa berada di belakang saya dalam apa juga keadaan.
"Keperihatinan itulah membuatkan saya kuat menghadapi semua cabaran dan sentiasa bersemangat untuk terus memperbaiki diri," katanya.
Dalam perkembangan lain, Indah berkata, dia bakal melancarkan single terbaharunya dalam masa terdekat ini selain semakin sibuk dengan undangan nyanyian.
Hafiz Suip Hakis Sikap Boros Selepas Bertunang
Penyanyi Hafiz Suip menjelaskan dia kini lebih banyak bermuhasabah diri tentang pelbagai aspek dalam kehidupannya semenjak mengikat tali pertunangan dengan Nureffy Hasreel Abdullah, 22 pada 27 Februari lalu.
Hafiz, 25, berkata, pada tahap sekarang dia perlu memikirkan secara serius tentang kehidupannya selain meninggalkan sifat buruk yang ada pada dirinya sebelum bergelar suami.
"Semenjak bertunang saya banyak bermuhasabah diri dan ingin menjadi seorang insan yang lebih bertanggungjawab terutama kepada diri sendiri sebagai persediaan melangkah ke alam perkahwinan," katanya kepada mStar Online.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Sophie Secret di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa.
Pasangan itu melangsungkan pertunangan di Hotel Pullman, Kuching, Sarawak dan akan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh setahun.
Terdahulu, majlis merisik telah diadakan di rumah wanita tersebut di Kuching, Sarawak pada 21 Disember tahun lalu.
Dalam pada itu, Hafiz mengakui sukar menghakis sikap boros dan minatnya kereta namun menyedari bahawa dia perlu mula menabung demi masa depannya selepas berumah tangga.
Malah kata Haifz, ibu dan tunangnya banyak menasihatinya agar lebih beringat dalam berbelanja dan mendahulukan perkara yang lebih penting berbanding kemahuannya.
"Saya sebenarnya seorang yang boros dan begitu meminati kereta dan pada usia sekarang macam-macam perkara yang ingin saya lakukan.
"Tetapi saya sedar bahawa sudah sampai masanya untuk saya berubah dan bersikap matang," katanya.
Sementara itu, Hafiz berkata, dia masih belum menetapkan tarikh untuk melangsungkan perkahwinan dengan Nureffy kerana ingin menunggu wanita berkenaan menamatkan pengajiannya terlebih dahulu.
Bagaimanapun kata Hafiz, dia bercadang untuk disatukan dengan Nureffy pada ulangtahun wanita berkenaan pada Mei tahun hadapan.
"Saya sebenarnya seorang pelupa dan atas sebab itu juga saya memilih tarikh hari jadi saya untuk mengikat tali pertunangan agar mudah untuk mengingati hari istimewa itu.
"Barangkali saya patut pilih tarikh hari jadi Nureffy untuk melangsungkan perkahwinan kami tetapi itu hanya perancangan saya," katanya.
Bercakap mengenai pelantikannya sebagai duta produk Sophie Secret, Hafiz berkata, dia bersetuju menerima tawaran tersebut kerana ingin menjelaskan bahawa kaum lelaki juga menitikberatkan soal kesihatan dan kecantikan.
Malah kata Hafiz, dia sendiri telah mencuba dua produk keluaran jenama itu dan mendapati perubahan ketara kepadanya hanya dalam masa singkat.
"Saya faham, sebelum ini lebih banyak selebriti wanita diambil menjadi duta produk kesihatan dan kecantikan namun pemilihan saya adalah bukti produk ini sesuai untuk lelaki dan wanita.
"Sebelum bersetuju saya sendiri telah mencuba dan Alhamdulillah ia memberi kesan ketara terutamanya pada stamina saya," katanya.
Saya Anggap Dia Sebagai Seorang Kakak - Zizan Razak
Pelakon Zizan Razak menjelaskan tiada sebarang hubungan istimewa antara dia dengan Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin seperti khabar angin yang tersebar.
Zizan, 31, berkata, hubungan rapat tersebut hanya berkaitan dengan urusan kerja semata-mata, malah telah menganggap wanita itu sebagai kakaknya sendiri.
"Saya tidak tahu bagaimana gosip seperti jni boleh tersebar dan saya anggap ia sebagai sesuatu yang mengarut dan kelakar.
"Hubungan kami hanya atas dasar kerja kerana dia pengurus dan bos saya sahaja, malah, juga saya anggap dia sebagai seorang kakak," ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Cicakman 3 di Cathay Cineleisure, di sini, malam Selasa.
Zizan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang khabar angin mempunyai hubungan istimewa dengan wanita tersebut.
Sementara itu, Zizan berkata, perkara tersebut merupkan fitnah yang membuatkan dia agak tertekan untuk berhadapan dengan media.
Jelasnya, kemesraan mereka telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.
"Saya tidak tahu ini fitnah jenis apa dan saya tidak mahu ia diperbesarkan lagi. Saya juga harap pihak media memberi saya bernafas untuk menjawab isu ini," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang hubungan dengan kekasihnya Emma Maembong, Zizan berkata, dia tidak mahu membuat sebarang kenyataan tentang itu.
Sementara itu, ditanya tentang kegagalannya untuk hadir di tayangan media filem Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh pada 26 Februari lalu, Zizan berkata isu itu sudah diselesaikan.
Katanya, dia sudah bertemu dan meminta maaf kepada pengarah Mamat Khalid tentang perkara yang berlaku itu.
"Perkara itu sudah selesai dan saya sudah bertemu dengan Mamat Khalid untuk meminta maaf kerana tidak dapat hadir pada tayangan itu.
"Saya bukan segaja untuk berbuat demikian terutama dalam mempromosi filem lakonan saya sendiri. Ini sahaja sumber rezeki saya dan saya perlu buat yang terbaik.
"Bagaimanapun, tentang alasan itu biar saya dan dia sahaja yang tahu," ujarnya.
Ada Gerakan Jatuhkan Zizan Razak - Norman
Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim merasakan terdapat gerakan yang cuba menjatuhkan imej dan reputasi pelawak Zizan Razak, 31.
Norman berkata, perkara itu disedarinya sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila nama pelawak itu sering dikaitkan dengan beberapa berita buruk.
"Saya perhatikan sepanjang beberapa bulan ini seperti ada satu gerakan yang cuba untuk menjatuhkan Zizan.
"Bagaimanapun, saya tidak tahu siapa di belakang dia atau mungkin ada orang tidak suka pada dia, itu saya tidak tahu," ujarnya ketika sidang media selepas majlis tayangan perdana filem Cicakman 3 yang diadakan di Cathay Cineplax, di sini, malam Selasa.
Norman berkata demikian dalam memberi pandangan terhadap isu-isu negatif yang timbul terhadap Zizan sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.
Selain itu, katanya, kontroversi bercinta dengan Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin itu juga merupakan perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan.
"Saya dengar tentang kisah cinta dia, saya tergelak, dan bila saya tahu siapa wanita itu, lagilah saya tergelak. Tidak payah beratkan isu ini.
"Bila orang cari salah dia itu akan membuatkan dia tertekan dan sentiasa melarikan diri. Saya pernah lalui apa yang dia lalui sekarang. Kadang-kadang kontroversi itu berat sangat sampai kita tidak mahu berhadapan dengan orang ramai," ujarnya.
Tambahnya, jika perkara buruk itu berlarutan ia mampu menyekat bakat pelawak tersebut sebagai seorang pelakon yang baik.
"Saya kenal dia sudah lama dan menganggapnya sebagai sahabat, bagi saya jika perkara remeh ini diperbesarkan ia akan menyekat bakat dia.
"Sayang bakat yang dia ada, dia bukan sahaja boleh melawak, tetapi boleh juga berlakon dengan baik dan saya berharap kita tidak membesarkan isu-isu remeh itu," ujarnya.
Sementara itu, Zizan ketika minta mengulas tentang gerakan menjatuhkannya, dia menganggap itu merupakan persepsi orang luar yang melihat perkembangan kerjayanya.
Katanya, ia adalah perkara negatif itu sebagai satu dugaan yang perlu dilaluinya.
"Saya tidak tahu tentang itu, pada saya itu adalah persepsi orang lebih profesional yang nampak apa berlaku kepada saya.
"Semakin saya buat perkara yang positik, semakin banyak pula perkara negatif yang datang. Ini semua adalah dugaan dalam hidup," ujarnya.
Disamakan Dengan Lembu, Kaka Anggap Komen Paling Jahat
Penyanyi Kaka Azraff menyifatkan komen yang menyamakannya dengan seekor lembu gara-gara mengenakan cincin hidung dalam satu sesi fotografi berkonsepkan Bollywood sebagai tidak adil dan bersifat jahat.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 26, bagaimanapun berkata, dia tidak mengambil hati terhadap komen tersebut kerana masyarakat tidak mengetahui cerita sebenar dia memakai aksesori itu.
"Biarpun saya merasakan komen menyamakan saya seperti lembu itu adalah yang paling jahat tetapi saya tidak ambil hati kerana mereka tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.
"Tambahan pula saya tidak menjelaskan apa sebabnya saya berpakaian sedemikian sehingga mereka sanggup berkata sebegitu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Kaka berkata, gambar berkenaan diambil ketika menjayakan sebuah sesi fotografi seorang penuntut universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang sedang menyiapkan projek akhirnya.
Jelas Kaka, dia memakai cincin hidung itu bagi menyesuaikan konsep yang diketengahkan oleh pelajar berkenaan iaitu Bollywood dan sebagai seorang model dia hanya mengikut tema yang ingin dilakukan.
"Saya setuju menjayakan projek itu kerana tidak sebelum ini tidak pernah menjayakan tema Bollywood selain ingin menyokong pelajar berkenaan yang ingin menggunakan selebriti untuk projek mereka.
"Hendak salahkan 'keyboard Warrior' yang menghentam saya pun tidak boleh juga kerana sebelum ini saya tidak pernah menjelaskan mengapa saya berpakaian dan menggunakan aksesori sedemikian sehingga timbul salah faham," katanya.
Tambah Kaka lagi, dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk menjayakan konsep tersebut dan menyerahkan kepada pelajar berkenaan kerana itu adalah projeknya.
"Saya tidak boleh masuk campur urusan konsep yang hendak disampaikan kerana itu projek mereka dan saya sebagai model hanya ikut sahaja," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kaka berkata, dia bakal melancarkan single terbaharunya yang turut menampilkan kumpulan Sleeq iaitu Bukan Hal Aku dalam sebuah majlis pada 24 Mac ini.
Fad (Bocey) Nikah Nur Syahirah 14 Mac
Pelawak Fad (Bocey) bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya yang merupakan seorang pelajar dikenali sebagai Nur Syahirah A.Rahman, 21, pada 14 Mac ini.
Fad atau nama sebenarnya Fadzlie Nizam, 24, berkata, majlis pernikahan tersebut akan berlangsung di kediaman wanita tersebut di Jitra, Kedah.
"Saya akan melangsungkan perkahwinan pada 14 Mac ini dengan kekasih saya iaitu Nur Syahirah di kediamannya di Jitra, Kedah.
"Insya-Allah semua persiapan berjalan lancar dan pada majlis tersebut kami akan bertunang di sebelah pagi dan akad nikah berlangsung pada sebelah petangnya," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Khamis.
Sementara itu, Fad berkata, majlis resepsi akan diadakan di Dewan Tun Rahah, dekat sini pada 23 Mei depan.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang wanita istimewa itu, Fad berkata, berkenalan sejak dua tahun lalu ketika menyertai pertandingan Maharaja Lawak 2013 lalu.
Katanya, Nur Syahirah sering hadir ke program tersebut bagi menemani kakak angkatnya yang juga pelawak Jihan Musa.
"Kami kenal sudah dua tahun iaitu ketika dalam MLM2013, dia selalu datang ke program MLM2013 untuk menemani Jihan Musa dan daripada situ saya sudah mula terpikat.
"Namun, proses berkenalan itu agak susah juga kerana dia seorang yang sukar untuk didekati sehinggalah saya beberapa kali berusaha menawan hatinya dan melamar dia pada hari jadinya 21 Oktober tahun lalu," ujarnya.
Jelas Fad, dia menganggap wanita tersebut seorang yang memahami dan medah untuk berkomunikasi kerana mempunyai pendapat yang sama.
Katanya, dia tidak mahu mengambil masa yang lama untuk bercinta dan mahu hubungan tersebut berjalan secara sah sebagai suami isteri.
"Kami bercinta baru sahaja lima bulan bercinta tetapi ketika mula dia terima, saya terus fikir untuk berkahwin segera.
"Lepas jumpa ibu bapa dia di Kedah, mereka juga merestui hubungan kami dan menggalakkan kami untuk berkahwin," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang berkahwin dlama usia muda, Fad berkata, dia percaya kepada jodoh yang ditetapkan oleh Allah.
Katanya, dia memerlukan seorang teman hidup yang mampu menjaganya di sini.
"Saya sudah berjauhan dengan keluarga saya di Johor, jadi kalau boleh saya mahu ada orang yang menjaga makan dan minum saya di sini.
"Malah, saya lihat kehidupan orang berkeluarga ini nampak lebih baik dan teratur seperti Achey dan isterinya," ujarnya.
ZAIN SAIDIN & CHE TA DI TANAH SUCI
Sebagaimana Zahiril Adzim dan isterinya Shera Aiyob yang merindui anak mereka ketika di tanah suci Mekah, begitu jugalah halnya dengan Zain Saidin dan Che Ta yang kini turut berada di Mekah untuk menunaikan umrah.
Kerinduan pada puteri sulung mereka, Aaisyah Dhia Rana yang tidak ikut serta terserlah apabila mereka meluahkan rindu tersebut di laman sosial.
"Rindunyaaaaaa sayang mummy ni," demikian luah Che Ta melalui IGnya.
Apa-apapun, doa kita semoga Zain dan Che Ta mendapat umrah yang mabrur. Paling penting, harap-harap pintu hati Che Ta terbuka untuk berhijab kekal. Amin.
Itu fitnah – Jep Sepahtu
MENERUSI ruangan pojok sebuah akhbar tempatan beberapa minggu lalu, nama pelawak Jep Sepahtu sekali lagi hangat dek dakwaan konon-kononnya dia mengamuk selepas tidak diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM2014).
Menurut dakwaan tersebut, Jep dikatakan bertindak memaki-hamun kru yang berada di belakang pentas sebaik sahaja nama Zero diumumkan sebagai juara MLM2014.
Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 30, juga bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati atas kemenangan kumpulan lawak yang dianggotai oleh tiga orang anak muda dari Sabah itu.
Tuduhan lain terhadap Jep turut menyebut bahawa pelawak yang berasal dari Johor itu mengugut akan mencari orang yang bertanggungjawab menjatuhkan Sepahtu sehingga dia dan Shuib tewas pada malam final MLM2014.
Berkesempatan bertemu dengan lelaki itu pada Majlis Anugerah MeleTOP Era yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini, Jep menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Ujarnya, cerita yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut merupakan fitnah. Tambah Jep, apa yang dinyatakan dalam ruangan pojok tersebut ternyata bertentangan dengan situasi sebenar pada malam berkenaan. Ekoran itu, Jep juga telah mendapatkan nasihat peguam untuk sebarang tindakan lanjut.
Kosmo!: Jep, bolehkah anda memberi pencerahan mengenai dakwaan anda mengamuk di belakang pentas MLM2014 selepas tewas di tangan Zero baru-baru ini?
JEP: Apa yang ditulis di ruangan pojok itu adalah fitnah semata-mata. Ia bertentangan dengan apa yang berlaku pada malam tersebut. Kami gembira dengan kemenangan Zero dan pada masa yang sama bersyukur dengan kemenangan kami.
Apakah tindakan anda berhubung dengan dakwaan tersebut?
Saya telah meminta nasihat peguam tentang perkara ini dan peguam saya telah menghantar surat kepada pihak akhbar itu sebagai tindakan awal.
Mengapakah anda berbuat demikian?
Saya berbuat demikian untuk menyelesaikan isu ini. Saya tidak mahu nama saya terus disebut-sebut melakukan perkara yang tidak benar. Biasanya, saya hanya berdiam diri, namun kali ini, saya anggap ia keterlaluan.
Apakah reaksi pihak akhbar berkenaan tentang isu tersebut?
Saya hanya diberitahu akhbar terbabit sudah menerima surat tersebut. Selebihnya, saya serahkan pada peguam saya.
Boleh terangkan apakah sebenarnya yang berlaku di belakang pentas pada malam tersebut?
Tamat sahaja MLM2014, saya dan Shuib terus dibawa oleh dua kakitangan Astro ke bilik sidang akhbar. Sepanjang perjalanan ke sana, tiada apa-apa pun yang berlaku. Tambahan pula, dua individu yang mengiringi kami itu menjadi saksi bahawa saya tidak mengamuk pun pada malam tersebut.
Pada pendapat anda, mengapakah anda dilibatkan dengan dakwaan sebegitu?
Saya sendiri tidak pasti. Jika ada orang yang tidak berpuas hati dengan saya, mengapa mereka perlu bercakap perkara yang tidak benar? Lebih baik berterus-terang daripada mereka-reka cerita. Ini fitnah.
Adakah kontroversi demi kontroversi yang melanda menjejaskan karier anda sebagai pelawak dan pelakon?
Sudah beberapa kali saya terlibat dengan perkara seperti ini. Bagaimanapun, saya jujur dengan karier saya. Alhamdulillah, saya masih di sini.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya sedang bersiap untuk menjalani penggambaran sebuah telemovie yang akan disiarkan di TV3 menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. Jujurnya, kami memang agak selektif mengenai tawaran lakonan. Sepahtu akan bersetuju dengan tawaran yang diberikan mengikut kesesuaian karakter saya dan Shuib sahaja.
Berhijrah itu sukar – Fara Fauzana
BERJANJI untuk bertemu dalam satu sesi fotografi dan temu bual santai pada 11 Februari lalu, pengacara dan penyampai radio popular Fara Fauzana langsung memberikan reaksi positif dengan permintaan Kosmo!.
Sudah lama rasanya tidak bertemu dengan personaliti popular berusia 35 tahun itu. Peluang tersebut disambut baik, sementelah kepadatan jadual yang memungkinkan tiada tarikh lain untuk berjanji temu.
Seperti yang dijanjikan, pada pukul 3 petang, penulis buat pertama kali bertemu wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu. Laju sahaja sapaan mesra dihulurkan empunya badan bersulam kuntuman senyum yang mesra di tubir bibirnya.
Meskipun pada pertemuan itu Fara sebenarnya kurang sihat kerana demam panas, namun kerana komitmen yang tinggi terhadap temu janji yang telah diatur membuatkan wanita itu gagah melangkah ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Dengan suara yang serak basah dan terkadang diselangi batuk, sesi fotografi dan temu bual santai berlangsung lancar, meskipun dalam hati penulis perasaan gusar menusuk laju memikirkan keadaan kesihatan Fara.
“Minta maaf ya kerana sedikit lewat. Saya pergi ke klinik dahulu sebelum datang ke sini. Maaflah kalau kita berjumpa hari ini dengan suara saya yang agak garau,” seloroh Fara yang hadir santai berbaju kemeja dan sehelai selendang putih bercorak biru melitupi kepalanya.
Nilai sehelai hijab
Pada awal perbualan, kami hanya rancak melontarkan omong kosong dalam keadaan santai dan ceria. Perlahan-lahan, barulah sesi perbualan itu bertukar menjadi profesional. Sedikit demi sedikit penulis menyelak sisi kehidupan seorang wanita bernama Farah Fauzana Mohd. Fadzil dari segi hidup, perspektif hijab, karier dan jodoh. Dia tenang melantunkan dan mengatur baik jawapan yang diberinya.
“Kalau dulu, saya akui memang sedikit pelik dengan sesetengah wanita yang masih menyarung sarung tangan sedangkan lengan baju yang dipakai sudah cukup menutup pergelangan tangan. Namun selepas berhijab, barulah saya mengerti tentang semua itu dan ia membuatkan saya lebih tenang mendepani hari-hari mendatang sebagai seorang muslimah,” tuturnya membuka bicara saat dituju perihal kehidupannya kini yang melangkaui fasa seorang wanita berhijab.
Bekas hos Nona itu kemudian menyambung: “Islam itu indah dan hijab itu menenangkan saya. Saya akui, hijab ada kuasa yang tersendiri dalam mempengaruhi orang di sekeliling saya lebih-lebih lagi saya bekerja dalam ruang lingkungan yang memerlukan saya menghabiskan masa berjam-jam di set lokasi.
“Seperti contoh, sebelum memakai hijab, pihak produksi akan sentiasa peka dengan keperluan saya untuk menunaikan solat. Sampai waktu solat, mereka akan beri ruang kepada saya untuk menunaikan perintah wajib tersebut.
“Apabila sudah berhijab kini, kepekaan dan sikap ambil berat mereka semakin tinggi walaupun kebanyakan orang produksi tersebut bukanlah seorang Muslim. Perkara sebegini membuatkan saya begitu terharu dan sebak memikirkan betapa hebatnya agama Islam.”
Bercerita lanjut, Fara mengakui proses penghijrahannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Walaupun tidak sekuat mana halangan yang menimpa, namun terkadang sedikit ujian kecil itu membuatkan dirinya tercuit jua.
Ceritanya, pada tempoh awal perubahan dahulu, wujud beberapa perkara yang membuatkannya berasa penghijrahan yang dilakukan seakan membawa masalah kepada seorang selebriti seperti dirinya untuk melakukan tugas seperti biasa.
“Tidak perlu saya beritahu pihak mana atau siapa, tetapi cukuplah sekadar berkongsi pengalaman bahawa negara kita sebuah negara Islam. Mengapa perlu memandang soal hijab dan aurat sebagai satu masalah untuk selebriti tampil di kaca televisyen.
“Alhamdulillah saya tidak memandang semua perkara itu sebagai perkara besar memandangkan sebagai seorang yang tegas dengan pendirian, saya harus berani menegakkan kebenaran. Insya-Allah mungkin selepas ini masalah seperti itu tidak akan timbul lagi kepada mana-mana artis atau selebriti wanita kita,” ujar Fara optimis.
Tolak beri ceramah
Terhambur tawa kecil dari bibir Fara ketika penulis mengajukan soalan jika ada mana-mana pihak yang menawarkan dirinya untuk menyampaikan satu sesi ceramah berbentuk keagamaan.
Bukan lucu, tetapi tawa kecil itu terkeluar sementelah mengenang kemampuan diri yang tidak sampai ke tahap tersebut membuatkan Fara menolak dari awal semua jenis tawaran yang berkaitan.
“Banyak lagi surah saya belum mahir, inikan pula mahu beri ceramah kepada orang ramai. Memang sampai bila-bila saya tidak akan terima tawaran seperti itu. Bukan tidak berminat, tetapi saya tidak layak untuk diberi penghargaan mengemudikan sebuah program ceramah berbentuk Islamik.
“Macam mana saya mahu ceramahkan orang sedangkan diri sendiri masih tidak cukup yakin. Tidak semestinya sebagai seorang selebriti, apabila sudah berhijab saya mesti mengemudikan program berbentuk keagamaan.
“Saya percaya masih ramai pengacara dan pakar motivasi di luar sana yang juga punya pengikut tersendiri. Jadi tidak ada alasan untuk menggunakan selebriti semata-mata bagi menarik minat penonton mendengar program ceramah agama,” ujar Fara tersenyum lebar sambil memberitahu tidak akan menolak sekiranya mendapat tawaran menjadi moderator atau perantara untuk mana-mana ceramah agama selepas ini.
“Lagi pula baru-baru ini saya pernah beberapa kali dijemput menjadi moderator dalam rancangan Prof. Dr. Muhaya di saluran Astro Oasis. Kalau bab itu (moderator) saya memang tiada masalah langsung untuk terima tawaran,” ujarnya sambil ketawa ceria mengusik.
Belum jodoh
Mungkin berbunyi agak klise jika acap kali bertemu penghujung bicara, soal hidup atau lebih tepatnya soal jodoh menjadi penutup perbualan. Namun dibalas dengan jawapan selamat, Fara hanya meletakkan soal ketentuan jodohnya kepada Yang Maha Esa, tetapi dalam masa sama percaya jodohnya tetap ada.
“Kali ini biar saya jawab dengan jawapan yang tidak nampak terlalu klise. Selalunya kalau dicucuk dengan soalan jodoh, orang ramai akan ambil pendekatan menyelamatkan diri dengan memberi jawapan belum sampai masanya.
“Jujurnya, saya percaya jodoh itu ada. Ada. Memang ada. Saya percaya dan masih percaya meskipun sehingga ke hari ini saya belum bertemu dengannya (jodoh).
“Sebagai manusia, apa yang harus kita lakukan adalah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Sang Pencipta yang telah menentukan atur letaknya takdir kita. Bukan saya tidak berusaha tetapi saya percaya, sampai masanya nanti jodoh itu akan datang juga. Cuma ia akan datang dalam masa yang cepat atau lambat, itu sahaja.
“Pada saya, biarlah Tuhan yang tentukan segalanya kerana Dia lebih mengetahui yang terbaik. Apabila saya masih percaya, ia bermakna saya masih belum mengalah untuk menunggu,” ujar Fara penuh makna.
Karier
Susur galur perjalanan wanita ini terhampar elok dengan pelbagai kejayaan dalam bidang yang diceburi. Nama Fara begitu gah sebagai penyampai radio popular, malah bidang pengacaraan pula semakin menghimpit dirinya ke puncak sementelah bakat dan tuah seiring mengekori perjalanan hidupnya sehingga kini.
Merendah diri menyatakan itu semua adalah rezeki, Fara tidak meletakkan tanda nama popular sebagai bahan untuk dirinya meninggi diri. Tutur Fara dalam nada luhur, dia mahu kekal sebagai seorang manusia biasa yang punya hati nurani untuk berubah ke arah lebih baik.
“Kalau boleh saya tidak mahu bercakap soal populariti. Ia sangat klise bagi saya. Tidak penting pun soal popular atau tidak kerana apa yang membuatkan manusia itu berjaya adalah usaha kerasnya, bukan kerana nama semata-mata.
“Alhamdulillah selain sibuk dengan tugas di konti radio, pengalaman mengendalikan rancangan televisyen sangat memberi erti kepada saya. Jika dulu sewaktu mengemudi Nona, semuanya nampak formal dan mengikut peraturan skrip. Namun sekarang apabila bertukar mengendalikan sebuah rancangan televisyen lain yang bersifat lebih santai, perasaan lain datang menerpa.
“Mungkin kerana sudah lama tidak mengendalikan program televisyen secara langsung, sebab itu saya agak sedikit kekok. Maklumlah, dalam konti radio, orang hanya mampu dengar suara sahaja, berbeza dengan di kaca televisyen pergerakan, muka dan percakapan semuanya menjadi perhatian orang,” ujar Fara ceria bercerita tentang tugasnya.
Fizz Fairuz Mula Faham Tanggung Jawab Seorang Bapa
Pelakon Fizz Fairuz mengakui dia mula memahami maksud pengorbanan seorang insan bergelar bapa selepas menerima cahaya mata sulung bersama isteri, aktres Almy Nadia pada 16 Februari lalu.
Fizz, 36, berkata, dia sendiri terkejut dengan perubahan dirinya apabila lebih mengutamakan bayi perempuannya berbanding perkara lain selain sanggup berjaga malam untuk menjaga anaknya itu.
"Baru saya faham maksud pengorbanan seorang bapa apabila saya sendiri sanggup berjaga malam sehingga tidak cukup tidur kerana ingin menjaga bayi saya.
"Biarpun penat tetapi saya puas hati kerana dapat melakukan tugas itu dan perasaan letih hilang apabila melihat dia tersenyum dan wajahnya yang tenang ketika tidur," katanya kepada mStar Online.
Almy, 29, melahirkan bayinya di Hospital Columbia Setapak dekat sini pada pukul 6.49 petang.
Bagaimanapun bayi seberat 3.25 kilogram itu masih belum diberikan nama.
Almy dan Fizz masih belum memberikan nama kepada bayi perempuan mereka.
Dalam pada itu, Fizz juga memberitahu, sejak mempunyai anak dia tidak lagi menghabiskan masa dengan melepak bersama rakan-rakan selepas selesai menjalani penggambaran.
"Kebiasaannya selepas tamat penggambaran saya suka melepak di kedai mamak dengan kawan-kawan sebelum pulang ke rumah.
"Namun sekarang hati sentiasa teringatkan anak yang berada di rumah dan akan terus pulang untuk bersamanya selepas selesai kerja," katanya.
Sementara itu, Fizz berkata, Almy akan pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk menjalani tempoh berpantang ekoran kesibukannya dengan penggambaran beberapa buah drama dan filem.
"Ikutkan hati saya ingin mengambil cuti bagi menemani anak dan isteri tetapi ini satu lagi pengorbanan yang perlu saya lakukan demi mereka.
"Alhamdulillah, keadaan Almy juga baik dan dia akan menjalani tempoh berpantang di kampungnya," katanya.
Tambah Fizz, dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Kasih Jasmin selain bakal memasuki set filem Mat Tudung 2.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]








