Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Faktor Usia Jadi Sebab Najwa Latif Tolak Cinta

Penyanyi Najwa Latif belum bersedia untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki atas faKtor usianya yang masih muda. Najwa, 20, berkata, fokus utamanya memberi tumpuan kepada pengajian di universiti selain mengembangkan kariernya ke tahap lebih tinggi. "Tiada teman lelaki. Saya masih muda dan masih banyak perkara lain yang menjadi keutamaan terutamanya pengajian saya di universiti yang berbaki dua tahun lagi. "Kalau berkawan biasa memang ada tetapi untuk bercinta rasanya belum sampai masanya lagi," katanya kepada mStar Online. Najwa ditemui pada majlis pelancaran kempen 'Kecapi Impianku Bersama Sunsilk' di Flora Terrace Hampshire Place di sini, Selasa. Selain Najwa, kempen tersebut turut menampilkan pelakon dan pengarah, Melissa Saila dan wartawan penyiaran Khairunnisa Kasnoon sebagai mentor program berkenaan.
Dalam pada itu, Najwa berkata, dia mempunyai pelbagai impian yang harus dicapai terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cinta. Jelas Najwa, dia ingin membahagiakan keluarganya kerana mereka adalah tunjang kejayaan dia hari ini. "Selain karier dan pengajian, keluarga juga fokus saya. Mereka adalah cinta saya. "Tiada teman lelaki pun tidak mengapa kerana selagi keluarga bersama saya, ia sudah cukup membahagiakan," jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai peranannya sebagai mentor dalam kempen 'Kecapi Impianku Bersama Sunsilk', Najwa menjelaskan dia ingin berkongsi pengalamannya sebagai penyanyi dengan protoge pilihannya kelak. Kata Najwa, dia mencari seorang protoge yang mempunyai keyakinan diri selain tidak takut menjadi diri sendiri selain menpunyai impian dan misi yang jelas.
"Saya harap dapat bertemu protoge dalam bidang yang sama agar dapat saya kongsi pengalaman selama empat tahun bergelar artis. "Saya berbesar hati terpilih sebagai mentor kempen ini kerana dapat membantu rakan sebaya saya mengejar impian mereka," katanya. Dalam pada itu kempen berkenaan bertujuan memberi inspirasi kepada wanita muda berhijab dalam mengejar impian dalam bidang filem, muzik dan kewartawanan. Episod mengenai kempen berkenaan akan disiarkan sebagai segmen khas di hlive! (Astro Ria), setiap Rabu, Khami dan Jumaat pada 8.30 malam bermula 14 Oktober depan. Dalam perkembangan lain, Najwa berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya dan ia dijangka dipasarkan pada penghujung tahun ini. Single pertama daripada album berkenaan berjudul 'Satu' bakal dilancarkan pada September depan.

Hazami Terganggu Dikhabarkan Meninggal Dunia

Penyanyi Hazami meminta orang ramai agar tidak terus mempercayai khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial kononnya dia meninggal dunia. Pengurusnya Aszuad Zakaraia berkata, Hazami berasa sedikit terganggu dengan tuduhan itu selepas dia menerima banyak panggilan telefon yang ingin mengetahui kesahihan berita itu. “Hazami agak tertekan dengan tuduhan tidak benar itu dan meminta orang ramai tidak mempercayai khabar tersebut,” katanya yang dihubungi mStar Online di sini malam Rabu. Terdahulu Hazami atau atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 40, telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana di sini pada Jumaat lalu akibat mengalami pendarahan usus. Mengenai perkembangan terbaharu Hazami, Aszuad berkata, penyanyi itu telah dibenarkan keluar daripada pusat perubatan berkenaan pada tengah hari Rabu. Dia kini tinggal bersama ibunya di Gombak dekat sini dan masih dalam pemerhatian doktor. “Alhamdulillah… Hazami menunjukkan perkembanhan positif dan dia juga kelihatan agak ceria. Ketika ini doktor minta agar dia menjaga pemakanannya,” kata Aszuad.

Hubungan Uqasha Senrose & Syafiq Kyle Renggang Adakah Sebab Iqram?

Pelakon Uqasha Senrose, 22, menjelaskan hubungannya dengan aktor Syafiq Kyle mulai renggang kerana mereka terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing. Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen turut menegaskan selama ini dia tidak pernah mengesahkan bercinta dengan pelakon itu. "Dengan Syafiq pun saya kawan sahajalah, memang dulu kami rapat dan sekarang ni masing-masing sibuk dengan kerja. "Saya tidak pernah pun cakap yang saya bercinta dengan dia dan sekarang kami kawan macam biasa… cuma tidak rapat sahaja," ujarnya kepada mStar Online. Uqasha diminta mengulas hubungannya dengan pelakon itu selepas timbul gosip baharu dia menjalinkan cinta dengan Iqram Dinzly. Gosip itu tercetus apabila kedua-dua mereka dilihat sering memuat naik gambar kemesraan di laman sosial masing-masing.
Bercakap mengenai Iqram, Uqasha berkata, dia senang berkawan dengan aktor itu kerana Iqram seorang yang penyanyang dan mengambil berat. Malah pada peringkat ini hubungan mereka adalah untuk mengenali hati budi masing-masing dan menjalinkan persahabatan seperti orang lain. "Buat masa ini saya berkawan sahaja dengan dia dan boleh dikatakan masih mengenali hati budi masing-masing. Iqram seorang yang caring dan sahabat yang baik. Dia boleh dijadikan kawan rapat," ujarnya. Bagaimanapun kata Uqasha, buat masa ini dia tidak memikirkan untuk ke fasa yang lebih serius dan akan berkawan dengan sesiapa sahaja selagi belum bergelar isteri orang.
Menurutnya, dia mula berkawan dengan Iqram ketika mereka sama-sama beraya di Sarawak ketika terlibat dalam program sambutan Hari Raya Aidilfitri selama empat hari di negeri itu. "Selagi saya masih single dan belum berkahwin, saya tidak kisah berkawan dengan siapa pun," ujarnya. Dalam pada itu, Uqasha berkata, dia berasa hairan kerana sering dikaitkan bercinta dengan mana-mana lelaki, biarpun mereka sekadar teman biasa. "Saya pelik bila saya rapat dengan lelaki orang akan kata kami bercinta, walhal kami kawan sahaja. Saya lihat ada sahaja artis lain yang berkawan dengan mana-mana lelaki tetapi tidak pula digosipkan bercinta," soalnya. Sebelum ini hubungan Uqasha dengan aktor Pekin Ibrahim juga putus.

Abam (Bocey) Dapat Perhatian Selepas Gosip Bercium

Pelakon dan pelawak Abam (Bocey) mengakui mula terasa bahang populariti sebagai artis apabila setiap gerak gerinya mula diperhatikan masyarakat. Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 27, berkata, walaupun berasa rimas dengan situasi itu namun dia menerimanya dengan hati terbuka kerana sedar harga yang perlu dibayarnya apabila bergelar anak seni. "Ikutkan populariti saya tidak sehebat mana tetapi saya mula merasai kesannya terutama selepas timbulnya gosip lelaki berbadan besar bercium yang dituduh saya biarpun ia tidak benar. "Sukar untuk saya terima pada awalnya tetapi ini adalah lumrah sebagai anak seni kerana semua gerak geri saya diperhatikan," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Abam berkata, dia terkilan apabila dikatakan mula bersikap berlagak dan sombong termasuk dikalangan rakan artis. Jelas Abam, tuduhan tersebut melukakan perasaannya kerana dia sentiasa bersikap rendah diri dan mudah mesra dengan orang lain. "Ada kejadian saya dikatakan sombong oleh seorang kenalan dalam industri hanya kerana saya tidak menegurnya dan ia membuatkan saya terkilan kerana saya tidak pernah bersikap sedemikian. "Jika ada terdengar tuduhan sebegitu saya akan cuba bertanya sendiri daripada pihak berkenaan dan meminta maaf jika dia terasa dengan sikap saya yang mungkin tidak disengajakan," katanya. Sementara itu, ditanya mengenai soal kahwin, Abam berkata, buat masa ini dia masih belum mempunyai calon kerana ingin memberi tumpuan kepada karier dan membahagiakan ibunya. "Biarlah saya berbakti kepada ibu dan keluarga saya dahulu dan baharulah fikir soal kahwin," ujarnya.

Jangan Tuduh Fara Mendoza Wanita Murahan

Pelakon baharu yang dikaitkan dengan aktor Fizz Fairuz iaitu Fara Mendoza memberi amaran kepada pemilik blog hiburan di negara ini agar tidak menyebarkan gambar-gambarnya dengan tujuan mencari silap selain menduhnya sebagai wanita murahan. Fara Mendoza, 25, berkata, foto-foto kehidupan peribadinya itu tiada kaitan dengan kontroversi yang terjadi antara dia dengan Fizz Fairuz. "Gambar-gambar yang disebarkan itu adalah gambar lama saya, tipulah kalau kata saya tidak pergi tempat-tempat hiburan kerana saya seperti orang lain juga yang pernah melakukan kesilapan.
"Namun kalau menuduh saya sebagai bohsia atau gadis liar itu sudah keterlaluan kerana saya masih tahu batas-batasnya. Lagi pula gambar-gambar yang disebarkan itu gambar saya bersama kawan perempuan dan bukannya lelaki. "Pada saya gambar itu tiada kaitan dengan isu Fizz Fairuz itu," ujarnya ketika dihubungi mstar Online di sini pada Khamis. Fara diminta mengulas tentang penyebaran foto-fotonya di laman-laman blog hiburan dengan menggambarkan kehidupan peribadi dia sebagai seorang yang tidak bermoral. Sebelum ini Fara mencetuskan kontroversi selepas mendedahkan dia digoda oleh pelakon Fizz Fairuz menerusi aplikasi sosial WeChat. Fizz dilaporkan sanggup mengumpannya dengan beg berjenama atas tujuan untuk memikat. Bagaimanapun isu tersebut dinafikan oleh Fizz yang mendakwa tidak pernah mengenali siapakah Fara Mendoza. Dalam pada itu ditanya tentang tuduhan dan komen netizen dia sengaja melayan mesej Fizz Fairuz, Fara menyifatkan mereka yang berkata demikian tidak mengetahui perkara sebenar.
"Saya malas nak baca komen orang ramai di internet kerana hanya akan menyakitkan hati sahaja, biarlah mereka nak cakap apa pasal saya. Mereka pun tidak tahu perkara sebenar yang terjadi. "Cukuplah cari kesalahan saya dan jangan menilai saya menerusi gambar-gambar yang tersebar kerana ia sangat keterlaluan," katanya. Jelas Fara, dia tidak mahu memikirkan kontroversi yang berlaku dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa serta fokus terhadap kerjaya lakonan yang baru dibina.

Ada Hikmah Disebalik Berhijab - Eja

Pelakon Eja berkata, pemilihannya sebagai Pelakon Pembantu Wanita terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) adalah hikmahnya berhijab untuk filem itu, Manisnya Cinta Di Cappadocia. Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 43, berkata, ada kisah disebalik penglibatannya dalam filem arahan Bernad Chauly itu apabila dia pada mulanya menolak tawaran berkenaan selepas membuat keputusan berhijab. “Semasa saya ditawarkan berlakon filem itu, kira-kira tiga tahun lalu saya belum berhijab. Bagaimanapun ketika saya mengerjakan umrah dan memakai tudung, akhirnya saya memutuskan untuk menolak tawaran itu kerana saya fikirkan akan disuruh buka tudung jika mahu menerima tawaran berkenaan,” kata Eja kepada mStar Online. Bagaimanapun menurut Eja, dia terkejut apabila Bernard tidak menghalangnya untuk berlakon walaupun dia bertukar imej dengan alasan watak Kak Aida dalam filem berkenaan hanya sesuai untuk dilakonkan Eja. Ujar Eja lagi, keikhlasan Bernard untuk menerimanya dalam filem itu benar-benar membuatkan dia terharu apatah lagi lakonannya mendapat pengiktirafan juri sehingga dicalonkan dalam FFM 27 yang bakal berlangsung pada 5 September depan. “Saya lihat Bernard benar-benar ikhlas mahukan saya berlakon dalam karyanya walaupun dia bukan Islam yang melihat perubahan imej saya ketika itu tidak menggugat karyanya,” ujar Eja. Tambah Eja pencalonan dalam top 5 festival berkenaan juga adalah satu rahmat dan rezeki mungkin kerana berkat perubahannya berhijab dalam filem berkenaan. Katanya, walaupun terpaksa bersaing dengan empat lagi pelakon iaitu Izara Aishah (Sejoli), Fazura (Kami Histeria), Ayu Raudhah (Lagenda Budak Setan 3) dan Nadiya Nissa (Terbaik Dari Langit), Eja menyerahkan segalanya kepada takdir. Walaupun pernah memenangi Pelakon Filem Wanita Terbaik menerusi filem Janin pada tahun 2011, ia bukan bermakna pesaing-pesaingnya yang lebih muda tidak hebat. “Semua pencabar-pencabar saya dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik adalah pelakon yang hebat-hebat belaka. Saya menyerahkan kepada rezeki kepada Allah untuk FFM kali ini,” katanya. Malam Perasmian FFM 27 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 September depan manakala acara kemuncaknya pula pada 5 September 2015 di lokasi yang sama. Ia akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria bermula puku 8.30 malam dan siaran tertunda menerusi RTM. Sebanyak 24 kategori dipertandingkan dalam FFM 27 kali ini yang membawa tema Sehati Sejiwa.

Johan As'ari Pilih Korea Selatan Teruskan Kembara Ilmu

Pelakon Johan As'ari berhasrat untuk meneruskan kembara ilmu secara solonya ke Korea Selatan pada masa hadapan dalam misi mengenali agama Islam di luar negara. Johan, 29, berkata, selepas mengembara ke India dan Bangladesh selama dua bulan baru-baru ini dia tertarik untuk melawat negara yang terkenal dengan K-Pop itu pula bagi mengikuti budaya masyarakat Islam di sana. "Kembara ke India dan Bangladesh sebelum ini banyak membuka mata saya tentang pelbagai perkara selain dapat mendalami ilmu tentang Islam dan komuniti Muslim di sana. "Perancangan saya selepas ini, Insya-Allah akan ke Korea Selatan untuk mengenali masyarakat Islam di negara itu," katanya kepada mStar Online. Johan ditemui di set penggambaran telefilem berjudul Wan Embong arahan Amie Maziah terbitan Zeel Production di Taman Botani Bukit Cerakah di sini, Khamis.
Selain Johan, ia turut dibintangi oleh Faizal Hussien, Vanidah Imran, Izreen Azminda dan Neelofa. Ia bakal disiarkan di slot Cerekarama TV3 pada September depan bersempena Hari Malaysia. Dalam pada itu, Johan berkata, mengembara secara solo memberi kepuasan berbeza kerana ia mengajarnya erti berdikari dan tidak hanya bergantung harap kepada orang lain. Bagaimanapun kata Johan, dia bersyukur kerana kembaranya ke India dipermudahkan dan dipertemukan dengan insan yang sering membantunya. "Ketika ke India saya bersama seorang teman namun selepas itu saya bergerak solo menaiki kereta api dan bas untuk ke sesuatu kawasan. "Biarpun rasa takut juga kerana di negara orang tetapi Alhamdulillah saya banyak bertemu dengan individu yang turut menggembara secara solo atau kumpulan yang akhirnya kami menjadi kawan," jelasnya. Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Johan berkata, dia bersyukur kerana sejurus selepas pulang dari luar negara dia mendapat tiga tawaran lakonan termasuk telefilem Wan Embong. Kata Johan, dia tertarik dengan projek berkenaan kerana pernah berlakon disamping semua pelakon yang terbabit dalam drama tersebut. "Selain jalan cerita dan skrip yang kuat, kesemua pelakon terlibat saya pernah bekerjasama dan ia seperti perjumpaan semula. "Saya bersemangat hendak memegang watak sebagai Ali dan bertemu dengan semua rakan-rakan," ujarnya.

Neelofa Sangkal Gosip Cinta Pemuda Inggeris

Pelakon Neelofa menyangkal dakwaan kononnya dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pemuda Inggeris dikenali sebagai Craig Smith. Noor Neelofa Mohd Noor, 25, sebaliknya menekankan dia masih solo dan tidak berhasrat untuk menjalinkan hubungan cinta dengan sesiapa buat masa ini. "Saya tiada teman lelaki dan lelaki berkenaan hanyalah sekadar rakan biasa dan tidak lebih daripada itu. "Malah saya tidak berminat untuk bercinta buat masa ini dan lebih selesa hidup solo," katanya kepada mStar Online. Neelofa ditemui di set penggambaran telefilem berjudul Wan Embong arahan Amie Maziah terbitan Zeel Production di Taman Botani Bukit Cerakah di sini, Khamis. Selain Neelofa, drama ini turut dibintangi Faizal Hussien, Vanidah Imran, Izreen Azminda dan Johan As'ari.
Ia bakal disiarkan di slot Cerekarama TV3 pada September depan bersempena Hari Malaysia. Dalam pada itu mengulas tindakannya memuat naik gambar bersama Craig ketika bercuti di London Neelofa berkata, mereka berdua adalah kawan. "Saya sebenarnya sudah mengenali Craig agak lama sebelum ini malah kami juga pernah bekerjasama memandangkan dia juga seorang usahawan. "Ketika bercuti di London kebetulan kami bertemu dan meluangkan masa bersama dengan rakan-rakan lain," jelasnya. Dalam pada itu, Neelofa berkata, buat masa ini dia ingin bermuhasabah diri dengan mengikhlaskan hatinya sendiri sebelum menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya. Jelasnya, jika dia bercinta kelak dia berharap dapat bertemu dengan seorang lelaki yang mempunyai hala tujuan dalam hubungan dibina. "Saya tiada cirri-ciri tertentu yang dicari dalam diri seorang lelaki tetapi mestilah ada keserasian dan hubungan tersebut menuju ke alam perkahwinan. "Sebab itu buat masa ini saya selesa sendiri dan ikhlaskan hati sendiri terlebih dahulu sebelum benar-benar bersedia untuk kembali bercinta," jelasnya. Neelofa bagaimanapun tidak menafikan ada lelaki yang cuba mendekatinya namun dia segera memberi tindak balas tidak berminat kerana bimbang menimbulkan salah faham. Dalam perkembangan lain, bercakap mengenai penglibatannya dalam telefilem Wan Embong, Neelofa berkata, ia adalah drama keduanya sejak kembali aktif dalam bidang lakonan awal tahun ini. Dia juga teruja berlakon dalam drama berkenaan kerana watak sebagai Wan Embong sangat mencabar yang memerlukannya bermain dengan emosi. "Wan Embong adalah kisah cinta epik dan dalam cerita ini skrip saya tidak banyak tetapi perlu bermain dengan ekspresi wajah dan emosi. "Selain itu barisan pelakon yang hebat membuatkan saya terima untuk sama-sama menjayakan projek ini," ujarnya.

Bengang Kawan Sendiri, Along (Cham) Tegur Azrul Zaidi Agar 'Jaga Mulut'

Pelawak Along (Cham) meminta rakan seperjuangannya Azrul Zaidi tidak terus mengeluarkan kenyataan yang menyalahkan dia sebagai punca tiada tawaran dengan mana-mana majlis atau program televisyen. Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 32, berkata, perkara itu hanya akan menimbulkan persepsi negatif masyarakat biarpun dakwaan yang dibuat Azrul itu tidak tepat. "Dia selalu keluarkan kenyataan terkilan dan merajuk dengan saya dan mempertikaikan kenapa saya buat sesuatu job itu dengan orang lain? Dia sepatutnya tahu sesebuah undangan itu dibuat oleh penganjur. "Kadang-kala saya ambil tawaran menjadi pengacara majlis atas kapasiti bayaran harga 'kawan-kawan' dan tiada bayaran. Itu pun dia pertikaikan. Sampaikan saya masuk MIG dulu pun dia tidak puas hati. "Saya hairan kenapa dia berbuat demikian sedangkan job dia lebih banyak dan saya tidak pernah pertikaikan," katanya kepada mStar Online. Along diminta mengulas tentang hubungannya dengan Azrul yang renggang apabila Azrul dikatakan pernah mendedahkan berasa terkilan terhadap Along kerana tidak dipanggil terlibat dalam beberapa program televisyen.
Kumpulan Cham yang dianggotai oleh Along dan Azrul menduduki tempat kedua dalam program realiti Raja Lawak musim kedua pada 2008. Sementara itu, Along menjelaskan hubungan mereka dingin sejak berakhirnya pertandingan Raja Lawak akibat beberapa salah faham yang tidak diselesaikan. Kataya, situasi tersebut berlanjutan sehingga ke hari ini apabila Azrul sering menyuarakan rasa tidak puas hati tanpa bersemuka dengannya. "Hubungun kami memang sudah lama dingin dan kami tidak berhubung sejak tahun 2009 kerana ada beberapa salah faham. Saya pun tidak tahu apa sebenarnya punca ia terjadi. Apa yang sampai ke telinga dia lain dan sampai kepada saya lain pula. "Saya ada cuba untuk berbaik, namun entah kenapa sampai sekarang gagal," ujarnya. Dalam pada itu, Along berkata, dia menjelaskan perkara ini berikutan tidak mahu orang ramai salah faham yang boleh menjejaskan reputasinya pada mata masyarakat. Kata Along mereka masing-masing sudah dewasa dan boleh memikirkan apa yang terbaik untuk keluarga. "Saya berdiam diri selama ini kerana saya tidak mahu panjangkan cerita dan orang akan gelakkan sahaja. Periuk nasi pun boleh terjejas. "Cukuplah saya katakan pada dia bahawa apa yang saya ada sekarang adalah cukup untuk dapur saya berasap sahaja tidak mewah seperti yang dia sangkakan," ujarnya.

Pelakon Baharu Fara Mendoza Dedah Digoda Fizz Fairuz

Gara-gara tidak tahan dengan sikap pelakon Fizz Fairuz, aktres baharu Fara Mendoza tekad mendedahkan sikap Fizz yang cuba memikatnya menerusi perbualan menerusi aplikasi sosial WeChat. Fara Mendoza, 25, berkata, niat sebenar dia mendedahkan perbualan tersebut supaya aktor itu sedar dan berhenti daripada terus mengumpannya dengan wang ringgit dengan tujuan yang tidak baik. "Saya berkongsi perbualan itu di WeChat dengan tujuan supaya dia berhenti menganggu saya lagi. Saya tidak mahu dia terus mengumpan saya dengan tujuan untuk mengajak saya keluar. "Dia juga ada mengambil gambar akaun bank peribadinya yang memaparkan sejumlah wang semata-mata ingin meyakinkan saya yang dia benar-benar mahu membelikan beg berjenama untuk saya dengan tujuan memikat hati saya," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Fara berkata demikian ketika diminta mengulas tentang paparan skrin perbualannya bersama aktor Fizz Fairuz yang menjadi viral di blog-blog hiburan dan laman sosial pagi Selasa. Bagaimanapun, Farah menyedari tindakannya itu sebagai satu kesilapan selepas diberitahu oleh rakannya Emma Maembong selang beberapa minit dia memuat naik statis berkenaan di WeChat. "Saya muat naik sekejap sahaja di WeChat dan selepas itu kawan saya Emma Maembong hubungi saya suruh buang kerana akan menimbulkan kontroversi. "Selepas itu saya padam gambar dan status tersebut dan saya tidak ada muat naik di mana-mana Instagram seperti yang dikatakan di dalam gosip itu," ujarnya. Ketika ditanya tentang perkenalannya dengan aktor itu, Fara berkata, dia mengenali Fizz ketika menemani Emma Maembong di lokasi penggambaran drama Hantu Rumah Sakit Jiwa. Kata Fara, dia sendiri tidak tahu bagaimana pelakon lelaki itu mendapatkan akaun WeChat miliknya. "Saya kenal dia ketika menemani Emma Maembong di set penggambaran Hantu Rumah Sakit Jiwa arahan Micheal Ang. Fizz Fairuz juga berlakon dalam drama tersebut. "Selepas pulang itu, dia tiba-tiba add saya di WeChat dan cuba menghantar pelbagai mesej. Tetapi selepas saya muat naik gambar perbualan itu, dia ada hubungi saya dan minta saya buang segera status itu dan selepas itu tiada hubungi saya lagi," ujarnya. Fara sebelum ini ada membintangi beberapa filem dan telefilem antaranya Stiletto Merah, Projek Memikat Suami dan Suamiku Encik Sotong. Fizz Fairuz sebelum ini pernah mengejutkan dunia hiburan selepas bertunang dengan individu yang dipercayai isteri orang sebelum dia mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Almy Nadia. Sementara itu, mStar Online cuba menghubungi Fizz Fairuz untuk mendapatkan penjelasan dan dia meminta untuk menghubunginya kemudian.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails