Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hans Isaac Tidak Guna Gosip Cinta Untuk Promosi Filem

Pengarah dan pelakon Hans Isaac berharap tiada pihak yang cuba mengaitkan gosip cintanya dengan aktres Neelofa dalam filem baharu arahannya iaitu Lemak Kampung Pisang. Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 42, berkata, langkah menjaja cerita cinta bertujuan untuk mempromosikan sesebuah karya filem bukanlah caranya bagi meraih sokongan ramai walaupun Neelofa turut berlakon dalam filem itu. "Memang saya mula kenal Lofa (Neelofa) sejak berlakon bersama dalam filem ini. Tetapi bukan ini (gosip cinta) cara saya promosi filem. "Saya sedih dan terkilan sekiranya ada yang cuba mengaitkan kisah cinta kami sebagai satu taktik untuk mempromosikan Lemak kampung Santan. Itu bukan filem namanya," katanya. Gosip hubungan Neelofa dan Hans mula diperkatakan sejak mereka bekerjasama bagi filem berkenaan dua tahun lalu. Namun sehingga kini, tiada sebarang kenyataan jelas mengenai kesahihan hubungan mereka itu.
Sementara itu, filem Lemak Kampung Santan bakal ditayangkan pada sambutan Hari Raya pertama iaitu pada 8 Ogos depan. Ia akan bersaing dengan filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) iaitu Adnan Sempit 3. Bagaimanapun, Hans tidak menganggap ia sebagai satu persaingan kerana yakin setiap filem mempunyai keistimewaan dan tarikan yang tersendiri. "Saya tidak ada masalah jika masyarakat mahu menonton filem itu kerana saya percaya mereka boleh menyaksikan satu atau dua filem dalam satu masa. "Malah saya tidak tercabar dengan kehadiran Adnan Sempit 3 dan saya tak tengok pun filem itu sebelum ini. "Cuma saya percaya orang boleh membeli satu atau dua tiket mahupun tiga tiket pelbagai filem dalam satu masa. Itu adalah normal. Jadi tidak perlu risau untuk itu. Setiap filem memiliki daya tarikan masing-masing," ujarnya. Tambah Hans, kekuatan jalan cerita filem Lemak Kampung Santan juga pasti akan menarik perhatian penonton untuk menonton semula filem itu. Dalam hal lain pula, Hans berkata, dia tidak akan mengikut jejak penerbit lain menjual filem tersebut kepada mana-mana pihak stesen televisyen selepas ia selesai ditayangkan di pawagam walaupun pihaknya perlu berdepan dengan risiko mendapat keuntungan rendah. Lemak Kampung Santan merupakan taruhan terbaharu Hans selepas filem Cuci pada tahun 2007. Karya terbaharu itu mengisahkan tentang seorang pemuda bandar, Ridzuan (Hans Isaac), yang jatuh cinta dengan seorang gadis kampung bernama Tiqa (Neelofa). Ridzuan merupakan seorang pereka binaan untuk sebuah syarikat Terkemuka manakala Tiqa pula seorang penjual nasi lemak di Kampung Santan. Pertemuan pertama mereka berlaku tanpa diduga di Kampung Santan di mana gadis itu tidak tahu Ridzuan merupakan ketua projek yang akan membina sebuah resort selain memaksa semua penduduk Kampung Santan untuk berpindah.

Serina tak menang tangan

KETIKA bertemu dengan pelakon Serina Redzuawan pada majlis berbuka puasa anjuran Aquilla Emas dan Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini, ternyata dia kelihatan sedikit kurus berbanding beberapa bulan lalu. Berkesempatan menemuinya selepas majlis berakhir, Serina mengakui yang berat badannya kini sudah menyusut sebanyak 12 kilogram sejak tiga bulan lalu berbanding 80 kilogram sebelum ini. “Secara jujurnya saya tidak melakukan sebarang diet memandangkan saya seorang yang kuat makan. Namun begitu, saya cuma mengamalkan pengambilan makanan tambahan daripada produk kecantikan keluaran sendiri iaitu Anggun Serina. “Sebagai seorang selebriti pastinya penampilan perlu dijaga dan diutamakan dan sudah tentu saya risau apabila berat badan naik. Kini saya berasa lega kerana mampu menurunkan semula berat badan yang ideal,” ujarnya. Bagaimanapun, anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu mendedahkan, faktor lain yang menyebabkan berat badannya susut disebabkan jadualnya yang terlalu sibuk sebagai pelakon, penerbit drama dan ahli perniagaan. Ujarnya, kini dia sedang sibuk menguruskan syarikat produksi miliknya iaitu YKS Film Makers Sdn. Bhd. yang memang aktif menerbitkan drama bersiri dan telemovie. “Sebelum ini saya cuma sekadar bergelar seorang pelakon sahaja tetapi kini saya turut bertindak sebagai seorang penerbit. Sekarang ini barulah saya dapat merasai sendiri pengalaman untuk menghasilkan sesebuah program. “Kalau boleh saya memang tidak mahu mengharapkan sesebuah projek itu datang sendiri. Sebaliknya, saya sendiri yang akan menghasilkan kertas kerja dan turun padang berjumpa dengan pihak stesen televisyen,” jelasnya. Selektif pilih tawaran Selain sibuk sebagai seorang penerbit, Serina turut memberi fokus kepada perniagaannya setelah membuka sebuah farmasi Cosway yang terletak di Kota Damansara. Ujarnya, setelah hampir setahun membuka farmasi berkenaan, sambutan daripada para pelanggan sangat memuaskan. Namun begitu, dia bernasib baik kerana perniagaan tersebut dikongsi bersama rakannya yang bertindak sebagai pengurus. “Dalam masa terdekat ini juga saya bakal membuka sebuah restoran khusus untuk makanan char kuetiau. Restoran yang diberi nama Char Kueh Teow Simply Delicious Penang Mai dibuka berhampiran dengan farmasi saya,” ujarnya. Melihat kepada kesibukannya dalam menjalankan pelbagai bentuk perniagaan, Serina turut ditanya sama ada dia masih lagi aktif berlakon atau sebaliknya memandangkan kelibatnya di kaca televisyen semakin berkurangan. Tidak menafikan dia kini memang semakin kurang bergiat aktif dalam bidang lakonan, Serina menjelaskan bahawa sekarang dia terpaksa lebih selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima. “Kalau melihat kepada jadual harian saya, memang tak menang tangan dibuatnya. Jadi, itu yang menyebabkan aktiviti lakonan saya menjadi terhad dan saya akan menerima skrip dan watak yang sesuai sahaja,” jelasnya. Tidak abai Memandangkan jadual hariannya yang begitu padat, timbul persoalan tentang bagaimana dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tristen Tareef, 3, dan Isabella Saffiya, 2. Tegas Serina, meskipun mengakui mempunyai masa yang terhad dalam menjalani kehidupan seharian tetapi dia tidak mengabaikan peranannya sebagai ibu dan isteri kepada Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar. “Tidak dinafikan dengan kesibukan saya sepanjang hari pastinya akan membuatkan diri berasa letih. Namun begitu, keletihan itu akan hilang sekiranya berada di samping anak-anak tercinta. “Biasanya dalam seminggu saya akan mengambil masa dua hari untuk bercuti. Waktu tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk meluangkan masa bersama suami dan anak di rumah atau keluar berjalan-jalan bersama mereka,” jelasnya. Menurutnya, dia juga agak beruntung kerana mempunyai seorang suami yang cukup memahami kerjayanya sekarang dan memberi kebebasan buat dirinya untuk bekerja kuat. “Suami memang mengizinkan saya untuk melakukan apa sahaja yang digemari. Cuma, dia ada berpesan supaya saya tidak sesekali melupakan peranan dalam kehidupan berumah tangga,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Sudah jumpa bakal suami - Fiza Elite

BARU-BARU ini, kami di Hits telah menyiarkan cerita tentang penyanyi dan pelakon, Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim atau lebih dikenali sebagai Fiza Elite tentang perkahwinan tidak menjadinya pada Jun lalu. Sepatutnya kata Fiza, sekarang ini dia sudah menjadi isteri orang, tetapi sebab tak ada jodoh, dia masih lagi solo dan selesa dengan gelaran sebagai ibu tunggal. Tetapi itu cerita dua minggu lepas. Hari Selasa lalu, kami bertemu Fiza lagi dan ada kisah menarik yang dikongsikan. Tidak mahu mengingati kisah duka tersebut, Fiza yang kini berusia 32 tahun memberitahu dia sudah bertemu dengan bakal suami baharu. Menariknya, mereka kini sedang merancang untuk mendirikan rumah tangga dalam masa beberapa bulan selepas ini. "Tidak dinafikan perancangan untuk kembali berumah tangga itu sentiasa ada. Insya-Allah, calonnya juga sudah ada sekarang ini. Sekiranya semuanya berjalan lancar, kami bakal melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun ini," katanya yang tidak mahu mendedahkan siapakah lelaki yang berjaya menambat hatinya itu. Namun begitu menurut Fiza, usia perkenalan antara dirinya dengan jejaka misteri tersebut masih baru kerana hubungan mereka menjadi rapat dalam kedatangan bulan Ramadan tahun ini. "Kami berkenalan sudah lama juga, tetapi hubungan antara saya dan dirinya menjadi lebih rapat dalam bulan puasa ini. "Saya yakin semua perkara yang berlaku dalam hidup ini mempunyai hikmah yang tersendiri dan saya berharap masyarakat diluar sentiasa mendoakan yang terbaik buat diri saya," katanya yang memiliki dua orang anak melalui perkahwinan terdahulu. Fiza ditemui sewaktu majlis Pratonton Rancangan TV AlHijrah, Syawal Satu Kemenangan yang diadakan, baru-baru ini. Tambah Fiza yang merancang untuk membawa kedua orang tuanya untuk menyambut perayaan bersama-sama di ibu kota tahun ini, individu terbabit merupakan seseorang yang juga berada dalam industri. Hmm, tuah orang cantik. Putus cinta hari ini, esok sudah ketemu yang baru. Fiza memang mantap! Bercakap tentang imej barunya, menurut Fiza, setiap individu pasti mempunyai pengalaman tersendir untuk menjadi seorang insan yang lebih sempurna, apatah lagi dengan kedatangan bulan puasa ini. "Walaupun saya masih baru sahaja mengenakan hijab iaitu pada 6 Jun lalu, tetapi saya bersyukur kerana semua perkara kelihatan tenang dan mudah berbanding waktu-waktu sebelum ini. "Walaupun beberapa tawaran berlakon terpaksa dibatalkan pada saat akhir dan kurang tawaran baru, saya masih terus mendapat peluang bekerja bagi menggantikan projek yang lalu. "Apatah lagi dengan kedatangan Ramadan tahun ini, saya berasa lebih tenang dalam meraikannya tidak seperti tahun-tahun sebelum ini," kata Fiza lebih lanjut. Tambah Fiza lagi, setelah berhijab, dia berasa kekok sekiranya perlu mengenakan sebarang pakaian yang agak ketat dan disebabkan itu, pakaian pilihannya kini adalah baju kurung selain berjubah. "Memang saya baru sahaja bertudung, tetapi saya nekad tidak mahu mengenakan sebarang pakaian yang menampakkan bentuk tubuh badan lagi selepas ini. Lagipun sekiranya berpakaian sedemikian, perasaan kekok dan tidak selesa itu akan timbul dengan sendirinya," tambah Fiza yang telah mengurangkan aktiviti seni dalam bulan Ramadan ini untuk meningkatkan amalan ibadah.

Memey teruja sambut Syawal

KEHADIRAN Ramadan pastinya memberi seribu kebaikan kepada setiap insan. Begitu juga bagi pelakon Suhaiza Suhaimi, 25, atau lebih dikenali dengan nama Memey. Memey memberitahu .com, tahun ini merupakan tahun penuh bermakna buat dirinya. Selain dapat berkumpul dan menjalani ibadah bersama keluarga sepanjang Ramadan, dia juga bakal menyambut kedatangan Syawal dengan 'orang baharu'. Kehadiran orang baharu itu membuatkan Ramadan kali ini begitu bermakna buat Memey dan suaminya, Norman Hakim. Menurutnya, orang baharu yang dimaksudkan itu adalah anak sulungnya, Mohamed Darwisz yang dilahirkan pada Februari lalu. Katanya, dia begitu teruja menjalani ibadah berpuasa dan menyambut Syawal pada tahun ini kerana ia merupakan puasa dan raya pertama Memey bergelar seorang ibu. Ketika ditemui .com dalam majlis berbuka puasa anjuran The Royale Bintang Damansara, Memey memberitahu kehadiran Muhamed Darwisz telah melengkapkan kehidupannya sebagai seorang wanita. "Memang teruja sangat, lebih-lebih lagi inilah kali pertama saya membeli-belah keperluan raya untuk anak," katanya yang mengakui gemar membeli-belah pada saat akhir. "Selalunya saya akan keluar membeli-belah seminggu sebelum Syawal. Bukan sebab tak ada masa, tetapi sebab saya seronok merasai kemeriahan malam menjelang raya ketika membeli-belah," katanya. Sementara itu, Norman berkata, kelahiran Mohamed Darwisz bagaikan azimat yang menambahkan lagi kebahagiaan hidup bersama isteri tercinta. "Dengan kelahiran anak baru ini, saya kini mempunyai dua anak lelaki dan dua anak perempuan," ujarnya. Tiga daripada anak Norman itu adalah daripada hasil perkahwinannya dengan pelakon Abby Abadi. "Insya-Allah pada hari raya tahun ini, kami akan berkumpul bersama. Malah, bekas isteri saya, Abby pun akan menyertai sambutan Syawal bersama kami," katanya yang bersyukur kerana sejak setahun kebelakangan ini hubungannya dengan bekas isteri lebih rapat demi kebajikan anak-anak. Dalam majlis itu, Memey dan Norman turut beramah mesra bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Turut memeriahkan majlis tersebut ialah beberapa rakan artis yang lain. - SYAHRIL/AIZZUL A. MAJID

Sedia kahwin bila-bila masa - Fizo Omar

TIDAK ada apa yang boleh membuat saya tersenyum saat melihat ahli keluarga saya bangga dengan kejayaan diri ini. Paling tidak dalam usia sebegini saya sudah boleh membahagiakan mereka dengan kasih sayang tak berbelah bahagi dan sedikit kesenangan," kata Fizo Omar. Menginjak usia 28 tahun pada 19 Julai yang lalu, Fizo cukup teruja dengan sambutan yang diterima daripada peminat yang tidak putus-putus mendoakan dirinya untuk terus berjaya. Baginya apa yang berlaku hari ini merupakan pengorbanan masa lalu. Jerih perih saat kali pertama mahu menempatkan diri sebagai anak seni sukar untuk dilupakan. Meskipun tidak ramai yang tahu apa yang berlaku ketika itu, Fizo yakin kesukaran itulah yang membuat dirinya kekal bertahan sementelah ramai yang tertewas di pertengahan jalan. "Saya tak boleh lupa diri dan alpa dengan apa yang saya dapat hari ini. Masa mula nak naik dahulu bukan senang. Macam-macam peristiwa yang berlaku yang akhirnya membuatkan saya belajar banyak perkara. "Paling tidak dalam usia 28 tahun ini saya mampu tersenyum melihat kejayaan sendiri. Saya bersyukur kerana dikurniakan pekerjaan yang baik, keluarga yang bahagia dan ketenangan jiwa yang sukar untuk digambarkan," ceritanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa anjuran kelab peminatnya di ibu kota baru-baru ini. Majlis yang dianjurkan oleh SuperF120 Family itu bukan sekadar dihadiri ahli kelab peminat malah turut disertai keluarga terdekat, rakan niaga Hot Burger dan anak-anak yatim yang dijemput khas untuk menghadiri acara berkenaan. Selain berbuka mereka juga meraikan hari lahir pelakon ini yang kebetulan jatuh sehari sebelum majlis itu. Majlis yang pertama kali dianjurkan itu turut dihadiri ibunya, Hasnah Jidin, 53 tahun. Bagi Fizo biarpun pernah ditimpa dengan kes penipuan berjuta-juta ringgit, perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan. "Saya tak menolak untuk terus terlibat dalam bidang seni. Cuma saya hanya mengembangkan bisnes untuk membuktikan yang saya juga boleh berjaya macam mereka. "Nampaknya melalui rangkaian Hot Burger pun saya boleh tersenyum lebar apabila jenama berkenaan semakin dikenali dan menjadi pilihan orang ramai. Ini semua rezeki daripada Allah. "Saya hanya berusaha dan Dia yang menentukan. Kalau kita ikhlas dalam perjuangan apa pun, insya-Allah kita akan berjaya," luahnya satu persatu. Bercerita mengenai kisah peribadi pula, pelakon yang pernah popular dengan filem Minyak Dagu ini mengakui sering diasak dengan pertanyaan mengenai isu perkahwinan. "Saya sedar dalam usia begini orang nak tahu pula bila saya nak kahwin. Jemu sebenarnya nak jawab soalan yang sama daripada peminat. Tapi saya faham soalan tu tak akan berhenti selagi saya tidak mendirikan rumah tangga. "Perkara macam ini memang selalu berlaku. Saya dah bersedia dari segala segi tapi calon pula tak ada. Nak tak nak saya kena tunggu dulu sampailah saya berjumpa dengan wanita yang benar-benar sesuai. "Perkahwinan bukan kerja main-main yang boleh dicuba-cuba. Sebab itu saya reda andai kata jodoh saya lewat sedikit asalkan saya berjumpa dengan orang yang betul," katanya sambil tersenyum. Seperti biasa setiap kali bulan Ramadan dia tidak akan melepaskan peluang untuk berniaga serunding di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Peminat yang ingin mendapatkan serunding tersebut boleh juga membeli di cawangan Hot Burger atau menghubungi talian 010-9099191 untuk tempahan.

Zoey tak kecil hati

SEJAK drama Demi Dia ditayangkan ramai yang merungut pada Syed pasal drama berkenaan. Macam-macam orang yang melahirkan rasa tak puas hati terhadap drama itu terutama membabitkan watak dua watak utama lakonan Zoey Rahman dan Elfira Loy. Kata mereka gandingan antara kedua-dua pelakon ini tak kena dan tak menjadi. Sebab itu banyak persatuan makcik-makcik kaki drama tak puas hati dengan drama yang mereka anggap tak menarik perhatian langsung berbanding drama sebelum ini. Ada sahaja SMS dan panggilan telefon yang Syed terima semata-mata nak mengata drama ini. Tapi teruk sangat ke Demi Dia ini? Bukan apa Demi Dia ini drama pasal perkahwinan muda. Dah tentulah orang yang berlakon pun kena muda dan sesuai pada watak yang dicipta. Tak mungkin perlu letak pelakon hebat yang dah tua untuk drama tersebut. Tak boleh juga nak salahkan Zoey mahupun Elfira dalam hal macam ni. Sudah tentu keputusan untuk menggandingkan mereka dibuat oleh pihak produksi yang dipersetujui oleh stesen televisyen. Syed ada berjumpa Zoey baru-baru ini dan bertanyakan perkara berkenaan. "Saya tahu ramai yang tak berkenan dengan cerita tersebut. Memang dari awal lagi saya dengar orang merungut macam-macam kata saya dan Elfira tak sesuai untuk watak berkenaan. "Kena ingat Demi Dia ini merupakan cerita tentang kahwin muda. Mungkin kahwin muda ini jarang berlaku pada orang kita tetapi masih berlaku sehingga hari ini. "Apa-apa pun saya hanya mengikut arahan abang Aziz M. Osman. Dia yang menentukan hala tuju drama ini untuk jadi apa. Insya-Allah saya harap orang akan dapat terima kalau mereka ikuti drama berkenaan sampai habis. "Kalau tengok trend pun memang orang tak suka pada awal tapi bila pada fasa pertengahan barulah mereka suka dan ikut. Bila orang kritik kita itu bermakna orang melihat. Saya ambil teguran ini sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dalam bidang ini," jelasnya pada Syed. Tak mengapalah Zoey, kalau ada kesungguhan mesti ada jalan untuk berjaya. Mana kritikan yang baik itu boleh diambil untuk kebaikan, yang buruk buang jauh-jauh.

Tania Hudson tak berkawan?

SELEPAS daripada kontroversi Tania Hudson yang dikatakan lari dari lokasi pengambaran sebelum ini, ada orang mengadu pada Miss J yang pelakon itu sekarang dah tak ada kawan. Dengarnya dia sentiasa menyendiri. Tak bergaul dengan orang ramai. Miss J tertanya-tanya juga tentang kebenaran cerita ini sebab takut berlaku kekeliruan yang boleh mencetuskan kontroversi lagi. Tapi teman yang mengadu pada Miss J tentang perihal Tania itu beria-ia memberitahu dia sendiri kasihan melihat pelakon itu di satu set lokasi pengambaran yang dibintanginya baru-baru ini. Makan seorang diri dan membawa diri ke sana ke mari tanpa mempedulikan orang sekeliling. Jadi teman Miss J membuat kesimpulan mungkin Tania sedang dilanda masalah. Sebab melalui raut wajahnya kelihatan seperti sedang berfikir. Mukanya agak cemas dan jarang tersenyum. Entahlah... Miss J kena tanya kebenaran cerita ini kepada empunya diri dulu. Miss J tak boleh buat kesimpulan dan andaian sendiri. Tak baik menuduh lebih-lebih lagi masa bulan puasa ini!

Biar masa menentukan - Elly Mazlein

TOPIK walimatulurus paling digemari buat wanita bujang kerana rata-rata mempunyai impian tersendiri. Begitu juga dengan pelakon dan penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Elly Mazlein, 32. Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini mempunyai keinginan untuk menjadikan hari bersejarah itu sebagai saat terindah dalam hidupnya. Malah sejak bertunang dengan pengarah Azmi Hatta, 38, dua tahun lalu, Elly sudah mula merencana sesuatu yang indah untuk meraikan penyatuan dengan belahan hatinya itu. Pun begitu sebagai manusia biasa Elly pasrah apabila harapannya itu masih belum terlaksana. Lebih malang apabila hasrat tersebut kemudiannya dipertikaikan dan menjadi buah mulut orang. Semuanya bermula selepas perancangan asal untuk mendirikan rumah tangga dengan Azmi pada penghujung tahun lalu tidak menjadi kenyataan. Ironinya dia dihujani spekulasi demi spekulasi. Status Elly sama ada masih tunangan Azmi kemudiannya menjadi tanda tanya. Lebih buruk apabila penafian yang dibuat daripada kedua-dua pihak itu dikaburi oleh cakap-cakap orang luar yang seolah-olah mengiyakan cerita Elly sudah putus tunang. Mengesahkan dirinya masih tunangan kepada Azmi, Elly juga menyatakan rasa kesal apabila kisah pertunangannya itu menjadi bahan perbualan ramai. "Elly tahu ada segelintir orang yang lebih arif tentang cerita peribadi Elly berbanding diri Elly sendiri. Dan Elly sedar spekulasi membabitkan cerita (pertunangan) Elly ini tidak akan berhenti melainkan Elly naik pelamin. "Terus terang Elly sendiri tak berani untuk berbicara secara terbuka tentang soal pertunangan ini. Sebab perkara ini di luar bidang kuasa Elly dan sehingga kini masih belum ada kata putus (mengenai urusan perkahwinan). "Dan Elly minta maaf sebab tak boleh cakap lebih-lebih. Perkara pertunangan ini membabitkan keluarga Elly dan juga pihak Azmi. Elly tak nak mendahului mereka. Takut juga ada perkataan yang menyebabkan mana-mana pihak terasa. "Biarlah orang nak kata Elly sengaja nak berteka-teki atau nak berdolak-dalih. Sebab Elly hanya akan mengkhabarkan perkara yang sudah ada jawapan pasti," katanya penuh makna pada pertemuan petang Selasa lalu. Cincin tunangDesas desus keretakan hubungan Elly dengan Azmi mula diperkatakan selepas penyanyi ini tidak memakai cincin pertunangan sewaktu hadir di pelancaran filem Awan Dania The Movie pada Oktober tahun lalu. Bertitik tolak dari situ, Elly yang mengikat tali pertunangan dengan Azmi pada 29 Mei 2011 kemudiannya dihujani dengan spekulasi putus tunang. Apatah lagi selepas perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada penghujung tahun lalu terpaksa ditunda atas alasan tuntutan kerja. Sengaja mengusik tentang tarikh sebenar perkahwinan menyebabkan dia menarik nafas panjang. Anak kelahiran Slim River, Perak ini kemudiannya mengaku tidak punya tarikh spesifik untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Azmi. Sebaliknya Elly menyerahkan urusan jodoh tersebut kepada takdir dan waktu. "Elly minta beri sedikit ruang kepada Elly untuk menyelesaikan perkara ini. Pada masa yang sama Elly tak boleh menghalang pihak media untuk tidak memaparkan cerita kurang enak tentang pertunangan Elly. "Memanglah Elly boleh cakap yang Elly kuat untuk melayan spekulasi sebegitu. Tapi lama kelamaan pasti akan bosan sebab cerita lapuk sebegini tidak ada kesudahan. "Jadi kesimpulannya tunggu saja. Nanti kalau sudah ada masa yang sesuai pasti Elly akan mengkhabarkan berita gembira," katanya yang mengaku lebih senang berkongsi berita gembira berbanding cerita negatif kepada khalayak. Berahsia soal hatiElly turut menegaskan sikap semulajadinya yang gemar berahsia terutama berkaitan soal hati. Percayalah dia tidak akan membuka mulut kerana hanya itu 'bahagian' yang tinggal untuk dirinya. "Elly memilih untuk merahsiakan soal hati. Tak manis seorang wanita sewenang-wenangnya bercerita tentang kisah isi hatinya kepada khalayak. Nanti mengundang spekulasi lagi. "Jadi lebih baik kalau Elly simpan diam-diam luahan perasaan Elly itu dan hanya luahkan pada lagu saja," kata penyanyi yang semakin popular dengan lagu Sabarlah Hati.. Lagu ciptaan Manusia Putih itu dikatakan berkait rapat dengan keadaan yang sedang dialami Elly apabila menyerlahkan bait-bait yang menyusuk jiwa. Kata Elly, seperti orang lain dia juga mahu mencintai dan dicintai dan sebagai seorang artis, tiada apa lain yang tinggal selain sekelumit ruang untuk dirinya. Justeru dia tidak akan berkompromi dengan soal yang satu itu.

Saya Kahwin Sebab Nak Kahwin - Ashraf Muslim

Lebih lama beliau berdiam diri, lebih banyak spekulasi yang timbul sekaligus mengaibkan dirinya, isteri-isterinya serta keluarganya juga kedua-kedua keluarga mertuanya. Justeru, hari ni pelakon dan pengamal perubatan Islam, Ashraf Muslim tampil menjelaskan segala-galanya dan berterus terang mengapa beliau mengambil keputusan untuk berpoligami. Ashraf telah telah mencetuskan kontroversi sekaligus mengejutkan banyak pihak apabila beliau bernikah dengan Sakinah atau nama sebenarnya Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai lalu di Pattalung, Selatan Thailand. Sebelum ini beliau berkahwin dengan Noor Dayana Lokman pada 30 Ogos 2011 di Mekah. "Alhamdulillah, saya dan Dayana (isteri pertama) tiada masalah. Dengan Sakinah (isteri kedua) pun tak ada masalah. Dengan keluarga mertua pun tiada masalah. Cuma ada yang marah tapi saya percaya lambat laun semuanya akan kembali pulih", katanya pada sidang media khas yang diadakan sekitar jam 4 petang tadi di Marakesh, Medan Mara Kuala Lumpur. Sambil itu, Ashraf memaklumkan ketika sidang media dijalankan, kedua-dua isterinya sedang keluar bersama-sama - sesi woman talk di tempat lain. Jelas Ashraf, keputusan untuk mengahwini Sakinah bukan kerana isu zuriat atau masalah keluarga tetapi hatinya tiba-tiba terdetik untuk memperisterikan gadis itu.
"Saya mengenali Sakinah sebelum saya mengahwini Dayana lagi. Kami bermula sebagai kawan biasa tetapi lama-kelamaan timbul satu perasaan seperti secret admirer. Saya mula rasa nak kahwin dengan dia. Jadi, saya kahwin sebab saya rasa nak kahwin", katanya. Ditanya mengapa beliau memilih untuk bernikah di luar negara sebelum menerima kebenaran mahkamah, jawabnya, "Itu satu keputusan yang susah untuk saya buat. Beribu kali saya berfikir. Saya rujuk dahulu pada ustaz dan pakar kaunseling. Saya bagitau pada Dayana dan keluarga mertua. "Tetapi dalam tempoh itu, timbul pula perkara-perkara diluar jangkaan. Itu yang menyebabkan saya buat keputusan berkahwin di Thailand. "Dayana tidak tahu yang saya berkahwin di sana. Saya rancang nak beritahu dia pada keesokan harinya. Tapi belum sempat saya beritahu, dia sudah tahu dahulu kerana dia menjumpai tiket penerbangan saya. Apa nak buat... Tuhan nak tunjuk. "Saya tahu dia sedih dan terluka. Saya minta maaf banyak-banyak pada dia", ujar Ashraf dengan nada kesal.
Bagaimanapun kata Ashraf, beliau sudah bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan yang berlaku pada ketika itu. Dalam pada itu Ashraf cukup berharap kedua-dua isterinya dapat segera menerima antara satu sama lain. "Buat masa ini mereka masih lagi in progress (menerima antara satu sama lain). Sakinah juga tertekan apabila banyak pihak menyalahkan dirinya dan melemparkan tomahan padanya. Tapi saya nasihatkan kepada kedua-dua isteri saya supaya bersabar dan ikut cakap saya kalau mereka nak bahagia. "Saya juga ada perancangan untuk isteri-isteri saya. Saya tahu apabila berpoligami bukan mudah untuk kita berlaku adil. "Saya juga ingin memohon maaf kepada kedua-dua belah pihak keluarga. Kepada keluarga saya. Kepada para media dan peminat-peminat saya. Tapi saya terkejut juga bila ramai peminat yang datang kepada saya dan ucapkan tahniah kepada saya. Saya juga berharap agar semua dapat mendoakan yang baik-baik. Saya tak pernah mengaibkan orang, jadi saya harap orang tidak mengaibkan saya ada keluarga saya", katanya. Ashraf juga memberitahu beliau akan mengadakan kenduri kesyukuran apabila keadaan sudah benar-benar pulih. Malah beliau merancang untuk membawa Dayana dan Sakinah menunaikan umrah, kelak. -mD

'Single' Selagi Belum Bertunang

Sebelum ini ada laporan menyebut, pelakon Johan As'ari sedang mengenali hati budi seorang gadis. Masih terus merahsiakan identiti gadis yang berjaya menambat hatinya namun begitu Johan memberitahu dia sebetulnya belum membuat kata putus perihal hubungan mereka. Walaubagaimanapun, kata Johan jika jodohnya ditakdirkan dengan gadis tersebut, dia merancang mahu mengikat tali pertunangan selama dua bulan sebelum mendirikan rumah tangga. “Saya masih 'single' tapi jodoh itu rahsia Allah. Saya bukan kaki perempuan. Saya ingin fokus kepada kerjaya. Jika wanita itu adalah pilihan yang tepat, maka saya akan buktikan rasa cinta saya melalui adat resam. Saya rancang nak bertunang selama dua bulan. Dalam tempoh itu sebenaranya adalah proses untuk kami lebih berkenalan dengan pihak ahli keluarga masing-masing,” “Kalau boleh saya ingin mengikat tali pertunangan sebelum berangkat ke Dubai pada Disember ni, tapi buat masa ni kami masih mengenali hati budi masing-masing. Kalau kami ada jodoh, InsyaAllah,” katanya yang bakal ke Dubai pada bulan Disember ini untuk penggambaran sebuah drama terbitan RTM. Belajar dari pengalaman cinta lalu, ujar Johan lagi, dia kini memilih untuk lebih berhati-hati membicarakan soal cinta. Dalam masa sama dia meletakkan sasaran untuk bertunang di usia 26 tahun sebagai peringatan untuk dirinya agar dia lebih kuat bekerja dan fokus pada persediaan dan pada apa yang ingin dikecapi sebelum berumah tangga kelak. - mD
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails