Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Isu Dadah: Shah Iskandar Tidak Simpan Dendam
Pelakon Shah Iskandar tidak menyimpan perasaan dendam terhadap pihak yang menabur fitnah kononnya dia terlibat dalam penyalahgunaan dadah sehingga berat badannya menyusut secara mendadak.
Shah atau nama sebenarnya Shah Iskandar Mahfuz, 33, berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian kerana ramai pihak tidak mengetahui cerita sebenar disebalik kehilangan berat badannya memandangkan dia tidak bercakap mengenai hal itu secara terbuka sebelum ini.
"Biasalah gosip tetapi saya tidak ambil hati kerana mereka tidak tahu mengenai cerita sebenar disebalik apa yang berlaku.
"Jujurnya saya tidak menyimpan dendam pun dengan pihak yang membuat dakwaan tersebut," katanya kepada mStar Online.
Terdahulu, Shah menjelaskan penyusutan berat badannya disebabkan oleh jangkitan kuman dalam paru-paru sehingga dia terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital selama dua minggu untuk mendapatkan rawatan.
Jelasnya, kesan daripada penyakit dan pengambilan ubat-ubatan telah menjadi penyebab utama kepada penurunan berat badannya secara mendadak.
Dalam pada itu, Shah memberitahu keadaan kesihatannya kini semakin pulih dan kejadian itu telah membuka matanya untuk lebih peka terhadap penjagaan kesihatan.
Katanya, sebelum ini dia terlalu fokus kepada kerjayanya tanpa menghiraukan kesihatan dan kejadian itu memberi pengajaran kepadanya.
"Sebelum ini saya tidak begitu peka terhadap penjagaan kesihatan dan apabila sudah jatuh sakit baharulah sedar tentang betapa pentingnya nikmat itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shah berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah drama bersiri arahan Shuhaimi Lua berjudul BIB dan Nasuha.
Wan Raja Sedia Fokus Dunia Lakonan Selepas Kahwin
Pelakon Wan Raja sudah bersedia memberi tumpuan terhadap dunia seninya selepas memperlahankan kerjaya berkenaan kerana berumah tangga pada Disember lalu.
Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 38, berkata, dia rindu untuk kembali ke dunia lakonan terutamanya dalam bidang pementasan teater selepas tiga bulan meninggalkan bidang berkenaan.
"Selepas berkahwin saya memperlahankan karier seni kerana ingin memberi fokus kepada kehidupan berumah tangga.
"Saya kini mula berasa rindu terhadap bidang lakonan terutamanya teater dan sudah bersedia kembali aktif," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Terdahulu Wan Raja dan Yaya atau nama sebenarnya Rabbiati Adawiyyah, 39, selamat bernikah di Masjid Al-Redhuan Hulu Klang pada 12 Disember tahun lalu dengan sekali lafaz.
Yaya adalah kakak kepada pelakon Emma Maembong, Shikin Maembong dan Chacha Maembong.
Dalam pada itu, Wan Raja berkata dia kini masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai seorang suami namun menyedari tanggungjawab berkenaan bukannya mudah.
Katanya lagi, dia kini sudah mempunyai persefahaman yang baik bersama pasangan dalam melayari kehidupan berumah tangga.
"Saya kini dalam proses menyesuaikan diri. Perbezaanya dahulu kami tinggal seorang diri dan kini sudah tinggal bersama,"jelasnya.
Dalam perkembangan lain Wan Raja berkata, dia akan terlibat dalam pementasan teater Raja Ku Puteh yang bakal berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 10 hingga 12 April.
Hans Wong Terus 'Kunci Mulut' Tentang Tasha Shilla
Teman lelaki kepada aktres Tasha Shilla iaitu Hans Wong terus mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung status sebenar hubungannya dengan wanita berkenaan yang terus diperkatakan sejak akhir-akhir ini.
Hans, 25, ketika dihubungi berkata, dia juga tidak mahu membuat komen balas berhubung penjelasan teman wanitanya itu yang mengesahkan percintaan mereka berdua masih berjalan seperti biasa.
"Seperti yang saya beritahu sebelum ini, biarlah Tasha yang beri kenyataan dan saya tidak ada komen lanjut mengenai kenyataan terbaharunya.
"Saya harap anda semua memahami dengan pendirian saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Tasha menerusi satu kenyataan menjelaskan dia dan Hans masih pasangan kekasih dan memberitahu tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kononnya mereka sudah berpisah.
Bagaimanapun Tasha enggan mengulas dakwaan kononnya penyanyi Kaka Azraff menjadi penyebab kepada keretakan hubungan mereka.
Dalam pada itu, Hans ketika ditanya perkara sama turut memberi jawapan senada dengan Tasha dan enggan menjawab mengenai perkara itu.
Malah pemuda itu enggan berkongsi tentang apa sebenarnya berlaku dalam hubungan mereka sehingga timbulnya kekecohan tersebut.
"Saya minta maaf. Tiada komen," katanya ringkas.
Terdahulu, pasangan yang mula bercinta sejak 2013 itu dilaporkan berpisah kerana perbezaan agama sebelum nama Kaka dikaitkan sebagai punca perpisahan tersebut.
Bisnes Tidak Menjadi Punca Keretakan Rumah Tangga Boy Iman
Pelakon Boy Iman mengesahkan bakal berpisah dengan isterinya Kumala Dewi Anas seperti mana yang dilaporkan dalam ruang pojok sebuah akhbar mingguan, Ahad lalu.
Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abd Rahman, 35, berkata, punca keretakan rumah tangga yang dibina sejak tiga tahun lalu itu adalah disebabkan masalah kewangan yang sedang dihadapi mereka.
"Apa yang dilaporkan tentang keretakan rumah tangga saya itu benar, saya sudah berusaha untuk selamatkannya dan pergi ke sesi kauseling pada awal bulan Februari lalu.
"Namun, dia (isteri) tetap tidak mahu meneruskan hubungan ini dan telah memfailkan perceraian di mahkamah untuk berpisah," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Isnin.
Tambahnya, kes perceraian akan disebut pada 2 April depan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Boy dan Kumala Dewi Anas berkahwin pada 11 November 2011 dan dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Norul Emmer berusia setahun enam bulan.
Boy bersama isterinya ketika menyambut kelahiran bayi pertama mereka.
Tambah Boy Iman, dia mengakui keretakan rumah tangga tersebut adalah berpunca daripada kegagalannya menjalankan tanggungjawab sebagai suami.
Dia juga gagal memberi nafkah terutama dalam menyelesaikan beberapa urusan kewangan sejak beberapa bulan selepas bisnes Celebrity Bazaar yang dianjurkan Oktober lalu gagal mendapat pulangan.
"Perkara ini bermula sejak bisnes saya mula merosot, Celebrity Bazaar yang saya anjurkan pada 15 Oktober 2014 lalu di Dataran Underground, Dataran Merdeka gagal mendapat sambutan.
"Disebabkan perkara itu, saya terpaksa menanggung kerugian sebanyak lebih RM65,000, apabila pihak Dataran Merdeka membatalkan kontrak dari tiga bulan kepada sebulan dan saya terpaksa memulangkan semula duit kepada lebih 70 peniaga," ujarnya.
Tambahnya, lokasi perniagaan yang tidak strategik juga membuatkan kebanyakkan peniaga yang menyertai bazar tersebut menanggung kerugian.
Celebrity Bazaar yang dilancarkan oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar turut disertai oleh beberapa selebriti antaranya Afiq Muiz, Cha Cha Maembong, Sheera Iskandar dan ibunya, Aznah Hamid serta Sarah (MystarLG).
Komen Berbaur Lucah, Rohana Jalil Tegur Wak Doyok
Ibu kepada pelakon Kilafairy iaitu penyanyi Rohana Jalil menganggap tindakan selebriti Wak Doyok yang meninggalkan komen berbaur lucah pada salah satu gambar di laman sosial Instagram milik aktres itu adalah tidak wajar.
Rohana berkata, sebagai selebriti mereka perlu menjaga batasan terutamanya di media sosial kerana apa yang dilakukan boleh menimbulkan persepsi buruk masyarakat terhadap mereka.
"Dia tak patut bergurau sebegitu walaupun hubungan mereka baik seperti adik-beradik sekalipun. Ini kerana orang luar akan mentafsir dengan persepsi lain.
"Sebagai selebriti mereka perlu jaga perkara itu dan tidak boleh membawa hubungan rapat itu melebihi batasannya terutama di zaman madia sosial ini," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Rohana berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi Wak Doyok yang dianggap sebagai gila seks apabila menulis komen berbaur lucah di gambar seksi Kilafairy, Jumaat lalu.
Tambah Rohana, sebagai seorang artis era 80-an, dia juga pernah melalui pengalaman yang sama iaitu mempunyai hubungan rapat dengan rakan artis lelaki lain.
Bagaimanapun, dia sentiasa berwaspada agar pergaulan tersebut tidak dipandang serong masyarakat.
"Saya dulu pun berkawan rapat dengan rakan artis lelaki seperti Jaafar Onn tu, itu pun saya selalu diingatkan oleh emak supaya jangan pergi kemana-mana berdua kerana takut orang pandang serong.
"Bagi saya memang perlu jaga batasannya, walaupun lelaki itu lembut sekalipun dia tetap bukan muhrim," ujarnya.
Dalam pada itu, Rohana berkata, dia dan suaminya sering menasihatkan Kilafairy supaya tidak berpakaian terlalu seksi.
Perkara tersebut juga boleh menjejaskan maruah keluarga mereka di mata rakan-rakan dan ahli keluarga yang lain.
"Ayah dia dah selalu marah supaya jangan pakai seksi ketika keluar, dia tak mahu orang luar atau kawan-kawannya bertanya tentang soal pemakaian Kila.
"Namun, itulah, budak sekarang kalau tegur banyak kali nanti buat muka dan merajuk pula," ujarnya.
Tiada Liputan Media Majlis Nikah Sharifah Sakinah
Akad nikah pelakon Sharifah Sakinah dan pasangannya Aliff Adha Jamil pada 28 Mac ini dilakukan tanpa liputan media kerana kedua-dua pihak mahu melalui detik berkenaan dengan tenang.
Sakinah, 26, berkata, majlis itu terpaksa dilakukan secara tertutup kerana dia mahu saat-saat bersejarah itu hanya dikongsi bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak sahaja.
"Bukan kerana saya tidak mahu berkongsi dengan media dan peminat, cuma saya tidak mahu majlis tersebut akan jadi kelam kabut dan masa bersama keluarga serta rakan-rakan akan terjejas.
"Kalau boleh saya mahu mereka semua berada di sisi saya dan berkongsi perasaan ketika itu," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.
Namun katanya, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas majlis berkenaan berakhir.
Sakinah bakal melangsungkan pernikahan bersama Aliff Adha Jamil, 27, yang merupakan juruterbang di Hotel Shangri-La, dekat sini.
Dalam pada itu, Sakinah berkata, larangan liputan itu dilakukan selepas dia melihat pengalaman yang dilalui oleh kakaknya Sharifah Shahira dan rakan-rakan artis lain.
"Saya dah pernah lalui ketika kakak saya dan rakan artis lain yang terlalu sibuk selepas majlis akad dengan sesi temuramah media sehingga mereka tiada masa untuk keluarga dan rakan-rakan yang datang.
"Kalau boleh saya tidak mahu la jadi begitu kerana selepas akad nikah kami semua akan pergi makan bersama-sama," ujarnya.
Bagaimanapun dia tetap akan meraikan hari bahagia tersebut bersama pihak media pada majlis resepsi yang akan diadakan pada 4 April di sebuah dewan di Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Sementara itu, Sakinah berkata, majlis perkahwinan tersebut merupakan masa yang ada untuk dia berkumpul bersama rakan-rakan lain.
Jelasnya, sejak bergelar artis dan sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, dia jarang dapat meluangkan masa bersama rakan-rakannya.
"Saya adakan beberapa majlis ini juga semata-mata untuk bersama rakan-rakan kerana kami memang tiada masa untuk keluar bersama-sama lagi kerana masing-masing sibuk dengan kerja," katanya.
Sakinah turut mengadakan majlis malam berinai pada 21 Mac ini di kediamannya di Taman Melawati, dekat sini.
Dalam pada itu, berkongsi perasaan bergelar isteri, Sakinah berkata, dia sudah merasakan debaran untuk memikul tanggungjawab berkeluarga.
Dia juga yakin sudah bersedia untuk berkongsi hidup dengan bakal suaminya.
"Perasaan memang sudah berdebar-debar dan takut untuk memasuki fasa baru dalam hidup berkerluarga. Tetapi saya yakin dapat menjalankan tanggungjawab itu.
"Sekarang belum fikir banyak tentang perancangan lepas kahwin, saya hubungan ini sah dahulu sebagai suami isteri barulah fikir yang lain-lain," ujarnya.
Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 25 Oktober 2014.
Nurul Wahab Muncul Di Singapura Selepas Dua Tahun 'Hilang'
Penyanyi Nurul Wahab memilih Singapura sebagai destinasi kemunculan semulanya sempena sambutan Hari Ibu selepas dua tahun menyepi dari bidang nyanyian.
Nurul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab, 37, berkata sebelum ini dilihat kurang menonjol dalam kerjayanya kerana memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak.
"Dua tahun berdiam diri bukan bermakna saya melupakan bidang nyanyian tetapi mengambil masa itu untuk membina keluarga serta sibuk menguruskan rumah tangga.
"Selepas melahirkan anak ketiga saya kini sudah bersedia untuk kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan lebih bersemangat lagi," katanya kepada mStar Online.
Nurul berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media 'Nurul Wahab Deep Rai Hari Ibu di Singapura' di Hotel Putra Kuala Lumpur, di sini, Selasa.
Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Kerana Terluka itu berkahwin dengan Eric Daniel Depp pada 6 Jun 2012 dikurniakan dua cahaya mata iaitu Zachary Depp, dan Raphael Depp yang masing-masing berusia setahun dan dua bulan.
Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil perkahwinan terdahulu dengan komposer, Ajai.
Dalam pada itu Nurul berkata dia bersemangat untuk membuat persembahan di Singapura kerana ia adalah peluangnya untuk menghiburkan peminat yang menanti kemunculannya selama ini.
"Dua puluh tahun perjalanan karier saya dan kini masa untuk saya memberikan sesuatu yang berharga kepada peminat-peminat yang sentiasa menyokong dan menantikan kemunculan saya.
"Saya memilih Singapura kerana rindu untuk berjumpa peminat setelah hampir tiga tahun tidak membuat persembahan di negara itu" katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nurul berkata, peminat dari Malaysia dan Brunie boleh menyertai sambutan Hari Ibu yang dianjurkan dengan pekej menarik selama tiga hari dua malam.
Ia akan diadakan Royal Plaza On Scotts, Singapura pada 8 hingga 10 Mei depan.
Tiket untuk pakej tersebut berharga RM3,488 termasuk tiket persembahan, tiket penerbangan, makanan serta penginapan.
Tempahan menyaksikan persembahan berkenaan boleh dibuat dengan menghubungi IGNS Holidays di talian 017-2525684.
"Anak Beri Reaksi Positif Selepas Dengar Lagu Ketika Mengandung" - Ana Raffali
Penyanyi Ana Raffali memberitahu amalannya memperdengarkan lagu-lagu ciptaannya ketika mengandungkan anak pertamanya, Aaydeen Oumar memberi kesan positif terhadap pembesaran bayi itu selepas ia dilahirkan.
Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 29, berkata, Aaydeen kini gemar mendengar lagu nyanyiannya dan akan berhenti meragam setiap kali dia menyanyikan lagu.
"Satu perkara yang sangat manis ialah Aaydeen cukup gemar mendengar saya menyanyi malah sejak dalam kandungan, dia menemani saya sepanjang masa ketika saya berkerja, menyiapkan lagu-lagu baru di studio.
"Kini, dia kelihatan seperti menghayati lagu saya terutamanya apabila saya ingin menenangkannya. Barangkali, secara rasminya dia merupakan peminat saya yang paling muda," katanya kepada mStar Online.
Aaydeen penyeri hidup Ana dan suami.
Ana yang berkahwin dengan Ahmad Aznaim Abdullah, 33, pada 25 Februari 2012 selamat melahirkan bayi sulung mereka pada 12 Februari lalu.
Dalam pada itu, Ana berkata, sejak bergelar ibu aktiviti hariannya semakin padat dan lebih tertumpu kepada penjagaan anaknya seperti memandikan dan memberikan susu badan sepenuhnya.
Jelas Ana, menerusi cara itu dia percaya ia dapat mengeratkan hubungan ibu dan anak selain menggalakkan interaksi mereka sekeluarga.
"Perubahan yang paling ketara ialah cara pembahagian masa dan perhatian dan menyesuaikan diri dengan kehadiran orang baru dalam hidup kami suami-isteri.
"Saya lebih memahami dan menghargai pengorbanan seorang ibu. Setiap hari membawa peluang untuk saya belajar perkara baru tentang 'parenting'," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai namanya dikatakan semakin tenggelam sejak berkahwin, Ana berkata, populariti adalah sesuatu yang di luar kawalannya kerana ia mempunyai pasang surut.
Kata Ana, dia bersyukur sepanjang bergelar anak seni dia berjaya mengelak daripada sebarang kontroversi dan yakin kehadirannya dalam industri masih relevan dan di terima peminat.
"Alhamdulillah, kehadiran saya dalam industri masih lagi relevan dan diterima masyarakat seluruh negara.
"Populariti bagi saya adalah sesuatu yang di luar kawalan individu kerana ada pasang surutnya. Saya lebih cenderung memastikan karya penulisan saya, baik lagu atau buku, bermakna dan tetap diterima peminat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ana berkata, dia kini sedang giat menyiapkan album terbaharunya dari karya novel puisi tulisannya berjudul #24minggu.
Malah kata Ana, dia juga bakal kembali menerima jemputan persembahan pada April ini dan akan mula mempromosikan single terbaharunya kepada peminat.
"Selain album dan single terbaharu saya juga mempunyai beberapa projek istimewa seperti mengendalikan sebuah perniagaan 'online' 'online' bersama keluarga," katanya.
Zara Zya Tidak Anggap Ayda Jebat Rampas Populariti
Pelakon Zara Zya menganggap populariti yang diraih pelakon Ayda Jebat adalah satu lumrah yang perlu dilalui seseorang artis.
Zara, 30, berkata, dia tidak pernah berasa cemburu dengan kejayaan Ayda dan menganggap ia sebagai giliran rezeki untuk aktres itu.
"Saya dah pernah lalui apa yang dia menang itu dan populariti yang dikecapinya tahun lalu. Ia adalah lumrah artis.
"Kadang-kala kita di atas dan ada masanya di bawah. Bukan bermaksud sekarang saya sedang jatuh, tetapi tahun ini adalah rezeki dia pula," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pra kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014), di Hotel Royale Chulan, di sini, Selasa.
Zara berkata demikian ketika diminta pendapat tentang populariti pelakon Ayda Jebat yang semakin menonjol selepas memenangi kategori Pelakon Baru dan Top Top Meletop (Wanita) di Anugerah Meletop Era 2015 (AME 2015) pada 22 Februari lalu.
Anugerah sama pernah dimenangi Zara Zya pada tahun lalu.
Dalam pada itu tambah Zara, dia juga tidak menganggap wanita itu merampas populariti dan namanya dalam industri lakonan.
"Pada saya tiada isu dia gantikan tempat saya kerana ia adalah perkara biasa, tentang anugerah pula bagi kategori yang dia menang itu saya sudah memenanginya tahun lalu dan tidak mungkin pula saya bersaing dalam kategori sama iaitu pelakon baru sekali lagi.
"Masa saya menang dulu pun orang ada berkata saya gantikan pelakon itu dan ini, tetapi sebenarnya tidak ada istilah itu pun," ujarnya.
Zara berkata, dia turut gembira dengan kejayaan dan populariti Ayda dan berharap ia dapat mengekalkan namanya terus dalam industri seni tanah air.
Sementara itu, ditanya tentang popularitinya semakin merundum, pelakon itu berkata, kebanyakan drama lakonannya belum lagi ditayangkan di televisyen.
Zara berkata dia bakal keluar dengan drama berjudul Dan Calonnya Adalah yang di Tonton pada April depan dan Hidayahmu Ramadan untuk slot Samarinda sempena Ramadan nanti.
"Mereka ingat saya menyepi dan merundum kerana saya sibuk berlakon tahun ini. Orang tak nampak produk saya keluar di televisyen lagi.
"Insya-Allah bermula April ini ada beberapa buah drama saya akan keluar," katanya.
Bimbang Tanggung Risiko, Chef Wan Tangguh Buka Restoran
Chef selebriti terkenal iaitu Datuk Chef Wan terpaksa menangguhkan hasrat untuk membuka restoran '1 Market by Chef Wan' di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya dekat sini kerana keadaan ekonomi negara kurang baik.
Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, 57, berkata, rakan kongsi dan pelabur memutuskan penangguhan tersebut selepas membuat kajian selama lima bulan di pusat beli belah tersebut yang mendapati perniagaan di situ kurang memberangsangkan.
"Rakan kongsi dan pelabur Lippo Group di bawah anak syarikat mereka The Food Junction membuat keputusan untuk menangguhkan pembukaan restoran tersebut ke suatu masa selepas ekonomi negara lebih baik.
"Kajian selama lima bulan yang dibuat mendapati sambutan di IOI City Mall itu kurang baik dan tidak menggalakkan untuk operasi restoran tersebut," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Rabu.
Chef Wan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang papan tanda nama kedai miliknya di IOI City Mall, Putrajaya, yang sepatutnya sudah beroperasi telah ditanggalkan.
Tambahnya, pelabur enggan mengambil risiko tinggi dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil.
"Dengan keadaan ekonomi negara kita tak stabil tentulah pelabur luar takut untuk melabur RM11 juta untuk set up food hall ini dan tidak mahu mengambil risiko.
"Jadi mereka terpaksa lepaskan ruang perniagaan itu serta tiga bulan deposit yang sudah dibayar kepada pusat beli-belah tersebut. Memang rasa sayang tapi biarlah kita rugi sedikit daripada rugi banyak selepas membukannya nanti," ujarnya.
Bagaimanapun, Chef Wan berkata, mereka dalam perancangan untuk membuka francais yang baharu di bawah namanya di seluruh Malaysia, Singapura dan Jakarta tidak lama lagi.
Restoran 1 Market pertama milik Chef Wan telah dibuka pada tahun 2012 di Plaza Singapura, Singapura dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada rakyat negara itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
