Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dayang Noraini lari ke UK


MASIH ingat program Sinaran Pasport Kegemilangan yang pernah hangat di TV3 suatu ketika dahulu? Melalui program inilah kumpulan Senario lahir dan membuatkan anda kenal siapa itu Wahid, Lan Pet Pet, Azlee, Ilya, Hamdan termasuklah Shamsul Ghau Ghau.

Pun begitu, apabila disebut nama Dayang Noraini rasanya pasti ramai yang berkerut dahi cuba mengimbas memori, siapa wanita genit molek ini?

Lahir sebagai Juara musim keenam program tersebut pada tahun 1998, wanita yang mesra disapa Dayang ini sebenarnya bukanlah asing.

Begitu pun, kenapa baru sekarang namanya muncul kembali sedangkan zaman kehangatan program Sinaran itu sendiri sudah lama terkubur?

Dengar khabar dia juga telah membawa diri ‘lari’ ke United Kingdom (UK) sebelum kembali semula ke Malaysia. Apa sudah jadi? Merajuk ke Dayang?

Dalam bicaranya, ibu beranak tiga ini memberitahu, pemergiannya ke UK tidak selama yang difikirkan oleh sesetengah pihak. Cuma dua tahun sahaja, bermula tahun 2003 hingga 2005.

Menurut wanita ini, semuanya bermula selepas dirinya terasa dipencilkan segelintir pihak dalam industri selepas tidak lagi dianggap sebagai sebahagian daripada penyanyi yang popular ketika itu.

“Terpulang apa orang mahu kata, yang pastinya memang ada sedikit rasa kecil hati. Merajuk pun mungkin.

“Tetapi dari satu sudut, saya faham kenapa mereka bertindak demikian. Ini kerana ketika itu saya tiada material baru untuk diangkat, tiada album solo. Tak kan nak bergantung pada album kompilasi Puteri-Puteri Sinaran semata-mata?

“Tambahan pula generasi baru tentulah tidak kenal siapa Dayang, sebab sudah berlambak artis-artis baru yang ada sekarang yang juga lahir dari program realiti TV.

“Apa pun, saya terima semua ini sebagai sebahagian daripada dugaan sebab bukan senang hendak mengekalkan tapak jika kita tiada sesuatu yang baru yang segar,” katanya.

Penantian 5 tahun

Selama dua tahun meninggalkan bumi Malaysia, wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini sebenarnya sudah merancang agenda tersendiri.

Bergerak aktif bersama band Neon dan juga beberapa band lain di sekitar Newcastle, kata Dayang dia mahu melihat sejauh mana dirinya mampu berhadapan dengan penonton dan pendengar asing biarpun mengakui jiwanya hampir tumbang pada awalnya.

“Saya sendiri terkejut dengan keputusan berhijrah seketika ke UK. Memang hati saya nekad biarpun tak tahu untung nasib di sana.

“Tetapi semuanya berbaloi bila saya tengok sambutan masyarakat di sana terhadap penyanyi asing seperti saya begitu memberangsangkan. Mereka cukup sporting,” katanya.

Tutur Dayang, dia juga sempat menghasilkan sebuah lagu berjudul kelawar O kelawar ketika berada di sana.

Merupakan taruhan hits selepas Kau Tak Akan Pernah Tahu menerusi album solo yang memetik namanya sebagai judul, ternyata Dayang kini mampu tersenyum bangga selepas lima tahun penat menanti kelahiran album pertamanya itu.

“Selepas menyertai program Sinaran, saya langsung tidak pernah diberi peluang untuk memiliki album solo. Album ini dihasilkan dengan titik peluh saya sendiri. Daripada awal hingga akhir proses penerbitan, semuanya dilakukan dengan usaha sendiri.

“Tak usahlah tanya berapa kos keseluruhan sebab wang yang dibelanjakan memang banyak. Lagipun rakaman dibuat di tiga tempat, di UK, Kuala Lumpur dan Sabah.

“Tetapi Alhamdulillah, selepas menempuh pelbagai cabaran, akhirnya album ini berjaya dilancarkan pada Mac lalu, ” ujarnya yang memberitahu album tersebut berkonsepkan rock dan balad.

Wanita berusia 36 tahun ini juga ikhlas mengakui, ia merupakan hadiah buat semua peminat yang juga seperti dirinya, sabar menanti kelahiran album tersebut.

Masih bergelar Cikgu

Jangan tak tahu, selain bidang nyanyian, Dayang juga merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di tempat kelahirannya.

Telah mengendong tugas itu sejak 15 tahun lalu, Dayang mengakui tidak kekok mengendalikan dua tugas berat dalam satu masa.

“Jujurnya saya suka menjadi seorang pendidik. Tetapi saya juga tidak boleh melupakan cinta saya pada bidang nyanyian.

“Mahu tidak mahu saya teruskan kedua-duanya tetapi ia menuntut pengorbanan yang sangat tinggi terutamanya dari segi masa,” katanya.

Dayang yang merupakan menjadi guru sepenuh masa Sekolah Kebangsaan Inanam 2, Kota Kinabalu memberitahu, jika di sekolah dia terkenal sebagai seorang guru yang garang di kalangan anak muridnya.

“Saya cikgu yang garang. Tetapi garang saya bertempat. Biasalah tugas mendidik memang berat apalagi itu merupakan satu amanah besar oleh tuhan.

“Apa pun, jangan ingat saya di sekolah pun bergaya sakan macam penyanyi rock tau. Meskipun di luar pintu pagar sekolah saya ialah seorang penyanyi, saya masih menghormati kerjaya dan imej saya sebagai seorang guru.

“Sebab itu kalau di sekolah, saya akan berpakaian kemas, rambut pun akan saya warnakan gelap, cukup berbeza dengan imej saya ketika di atas pentas, ” ujarnya yang mengakui hanya ‘bertukar’ menjadi penyanyi apabila munculnya waktu cuti sekolah.

Dalam pada itu, Dayang yang pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan Pelabuhan Utara, Klang dan Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor, bagaimanapun mengakui sehingga ke hari ini dia tidak pernah terfikir untuk melupakan kerjayanya sebagai seorang pendidik.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails