Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Angelina Jolie seperti Elizabeth Taylor


APABILA ditawarkan peluang berlakon dalam filem The Tourist, Johnny Depp tidak perlu menunggu lama kerana dia mempunyai beberapa sebab untuk menerima tawaran itu.

Selain daripada jalan cerita yang cukup menarik perhatian, Depp mengakui tarikan utama mengapa dia bersetuju membintangi The Tourist adalah kerana Angelina Jolie.

Sementelah The Tourist merupakan filem pertama yang menggandingkan Depp dan Jolie sebagai teraju utama.

Biarpun sudah menjadi seorang aktor tersohor dunia, namun, peluang untuk dia bergandingan dengan Jolie tidak pernah kunjung tiba.

Secara jujurnya, Depp tidak pernah mengenali Jolie secara personal. Kalau ada pun hanyalah bertegur sapa secara ringkas di majlis formal mahupun anugerah.

“Saya memang sudah bertahun-tahun mengenali pasangan Jolie iaitu Brad Pitt yang merupakan salah seorang kawan karib saya.

“Begitu juga perkenalan saya dengan bapa Jolie iaitu Jon Voight yang saya kenali sudah cukup lama.

“Bayangkan, saya sendiri tidak pernah duduk secara empat mata dengan Jolie dan saya tidak tahu bagaimanakah karakternya yang sebenar.

“Saya seorang yang bukan suka menghakimi seseorang tanpa mengenalinya dahulu. Biarpun banyak kisah Jolie yang dipaparkan di media massa, ia sedikit pun tidak berupaya mempengaruhi saya,” ujar Depp ketika diminta mengulas tentang Jolie yang memainkan peranan sebagai Elise Clifton-Ward dalam filem The Tourist.

Apabila bertemu buat pertama kalinya dengan Jolie pada sesi pra produksi The Tourist, Depp tidak mampu menyembunyikan naluri lelakinya yang cukup kagum dengan keperibadian Jolie.

Walaupun secara luaran wanita itu tampak agresif dengan raut wajah yang serius, namun selepas mula mengenali Jolie, Depp dapat menyimpulkan bahawa kekasih Brad Pitt itu sebenarnya seorang yang lucu.

“Bayangkan apabila dia masuk sahaja ke dalam set penggambaran, semua orang mengagumi dan ‘cair’ melihatnya. Begitu juga dengan saya (ketawa).

“Dia memang seorang wanita hebat dan saya sendiri tidak pernah menyangka dia begitu melucukan. Memang tanpa ragu, Jolie memiliki rasa humor yang sangat tinggi.

“Bukan itu sahaja, saya memang kagum dengan tenaga yang ada dalam dirinya itu yang saya sifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa. Tenaganya itu dapat menyamai kuasa yang dimiliki oleh 300 orang! Itu memang gila,” kata aktor berusia 47 tahun yang mula mencipta nama menerusi siri televisyen 21 Jump Street sekitar lewat tahun 80-an itu lagi.

Serupa

Memang tidak habis-habis Depp memuji Jolie yang pada pandangannya merupakan seorang wanita yang menakjubkan.

Bukan mahu mengangkat tinggi wanita pujaan ramai lelaki itu, tetapi selepas mengenali Jolie, dia melihat Jolie tidak ubah seperti Elizabeth Taylor yang juga mempunyai perwatakan yang serupa.

“Saya bertuah kerana berpeluang mengenali Elizabeth Taylor dan apabila saya fikirkan kembali, saya dapat melihat kedua-dua wanita ini memiliki persamaan dari segi karakter.

“Personaliti sebenar mereka akan terserlah apabila saya dapat duduk secara empat mata dengan mereka. Daripada situ, semuanya akan keluar secara automatik dan keserasian serta keselesaan itu timbul untuk berdampingan,” ujar Depp yang cukup popular dengan watak Kapten Jack Sparrow menerusi filem trilogi, Pirates of the Caribbean itu lagi.

Seperkara lagi yang membuatkan Depp mempunyai rasa hormat terhadap pemenang Oscar itu adalah fokus dan tumpuannya tidak pernah lari biarpun sibuk dengan tugasan hariannya sebagai ibu, aktres dan duta kemanusiaan.

“Dalam pada dia sibuk dengan kerjanya sebagai seorang aktres, Jolie masih lagi mampu membesarkan anak-anaknya dengan sempurna. Dia bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya selain kerja-kerja kemanusiaan.

“Bukan semua mampu dapat melakukan perkara yang serupa seperti Jolie. Saya harus katakan ini juga, sebagai seorang aktres, dia juga cukup hebat dan profesional. Dia tahu apa yang dia lakukan,” katanya sambil merujuk kepada profesionalisme Jolie ketika di lokasi The Tourist.

Namun, Depp melahirkan rasa kasihannya terhadap Jolie dan Pitt serta anak-anak mereka yang seringkali menjadi mangsa paparazzi.

“Memang pelik kehidupan ini bukan? Dan bayangkan apabila kita bangun setiap pagi dan keluar rumah, kita sudah diekori oleh mereka yang bagaikan tidak mengerti apa yang kita mahukan iaitu privasi,” luah Depp melahirkan kekesalan terhadap penceroboh seperti paparazzi itu.

Sungguhpun begitu, jelas Depp, dia tetap mengagumi kekasihnya, Vanessa Paradis yang merupakan ibu kepada dua orang anaknya iaitu Lily-Rose Melody Depp dan John “Jack” Christopher Depp III masing-masing kini berusia 11 dan lapan tahun.

“Dia telah melunaskan tanggungjawabnya dengan baik dan saya bertuah kerana dapat memilikinya sebagai pasangan,” katanya ringkas yang sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan Winona Ryder dan Kate Moss.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails