Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Sampai hati doakan bercerai'


Juara Mari Menari anggap pesaing lain sebagai saudara

HANYA kerana program realiti tarian Mari Menari dicetuskan daripada program Sehati Berdansa yang dikatakan membawa ‘badi’ perceraian kepada pesertanya, ada yang mendoakan nasib sama turut menimpa pasangan Razif Abd Rahman, 26, dan isteri Alia Nadira Ahmad Zuhir, 25, yang dinobatkan sebagai juara Sabtu lalu. Mereka yang mendoakan supaya pasangan itu bercerai bukanlah pesaing Razif dan Alia dalam Mari Menari, sebaliknya peminat peserta lain yang tidak puas hati dengan pencapaian cemerlang pasangan suami isteri itu sepanjang 10 minggu berada dalam program berkenaan. Razif dan Alia turut menegaskan, mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan peserta lain, bahkan hubungan mereka sepanjang pertandingan ini umpama sebuah keluarga yang besar.

“Ramai yang memperkatakan perkara buruk mengenai kami. Ada tergamak mendoakan supaya kami terkena badi Sehati Berdansa. Janganlah sampai macam itu sekali. Tapi kami sedaya upaya berdoa minta perkara itu dijauhkan.

“Doa itu bukan dipinta oleh rakan-rakan dalam Mari Menari. Kami tidak ada masalah atau pertelagahan sesama sendiri, malah hubungan kami bagaikan saudara. Bagaimanapun sepanjang berada dalam program ini, kami tidak mahu memikirkan perkara yang buruk.

“Saya juga berpegang pada prinsip, untuk membentuk diri menjadi seorang yang tenang,” kata Razif.
Razif dan Alia yang bekerja di Pak Ngah Production sebagai penyelaras kostum dan penari sambilan menyangkal dakwaan pengalaman dalam bidang tarian memberi kelebihan kepada mereka.

“Kebolehan menari tarian tradisional memang memberi kelebihan. Tapi masuk genre latin, hip hop dan sebagainya, kami juga terpinga-pinga, sama dengan peserta yang lain. Cuma apabila berada dalam pertandingan ini, kami cuba menampilkan persembahan sebaik mungkin.

“Saya terharu bila melihat abah serta keluarga datang dari Batu Pahat, Johor setiap minggu semata-mata untuk memberikan sokongan kepada kami. Sebagai membalas budi mereka itu, saya dan isteri sentiasa berlatih dengan bersungguh-sungguh,” kata pasangan itu yang memenangi hadiah sebuah kondominium mewah bernilai RM350,000 di Ipoh, Perak serta trofi.

Mereka turut menerima hadiah bonus iaitu pakej percutian ke Bali.

Pada peringkat akhir yang berlangsung di Studio 1, Astro, pasangan Razif dan Alia memperoleh 52 peratus undi untuk mengatasi pemenang tempat kedua iaitu pasangan Ariz iaitu Fariz Raeza Mohd. Nizam, 23, dan isteri Siti Rasyikah Zolkifli, 22, yang meraih 48 peratus undi.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi berkata, jumlah undi keseluruhan untuk Mari Menari mencecah lebih 900,000 undian malah angka itu juga katanya melebihi program Sehati Berdansa yang disertai golongan selebriti.

Selain pasangan Razif dan Ariz, pada rancangan episod akhir itu, dua lagi pasangan yang berjaya ke peringkat akhir Zulfahmi Marzuki, 34, dan isteri Norazlin Zakaria, 32, serta pasangan Zulhafiz Che’ Chim, 27, dan isteri Nurul Husna Alias, 29 tahun.

Turut kempen sokong Razif

SEMENTARA itu, bagi penasihat pasangan Razif iaitu aktres terkenal Lisdawaty yang juga juara Sehati Berdansa (SB) musim kedua berkata, segala panduan yang dikongsikan kepada protegenya sepanjang dia menyertai SB amat berbaloi apabila anak didiknya turut bergelar juara.

“Semua tips yang dapat daripada Linda Jasmine saya kongsi dengan pasangan Razif hinggalah sebelum tibanya malam terakhir. Saya juga beri panduan kepada mereka supaya sentiasa berkomunikasi dengan peminat menerusi laman facebook.

“Malah saya sendiri turut berkempen di facebook meminta supaya peminat menyokong mereka. Saya katakan pada peminat, jika mereka mahu melihat saya gembira, mereka perlu mengundi pasangan Razif.

“Selain itu, saya juga sentiasa tekankan kepada Razif dan Alia, apa pun orang ingin memperkatakan mengenai mereka hatta memulaukan mereka sekalipun, mereka tidak perlu peduli apa yang orang ingin perkatakan. Sebaliknya berikan saja tumpuan kepada persembahan, senyum dan banyak bersabar,” kata Lisda.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails