Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kejayaan Muallaf tebus kecewa


SEDARI awal lagi, filem Muallaf yang diarahkan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad dilihat sebagai calon utama untuk mendominasi Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) yang baru sahaja melabuhkan tirainya malam Jumaat lalu.

Dengan kemenangan filem tersebut yang merangkul tiga trofi iaitu Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik (Yasmin Ahmad) dan Pelakon Filem Wanita Terbaik (Sharifah Amani), mungkin ia dapat menutup mulut beberapa pihak yang selama ini kurang senang dengan filem itu.

Pastinya, filem Muallaf dilihat sebagai penebus kekecewaan untuk filem itu sendiri yang ditolak mentah-mentah daripada menyertai Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang baru lalu.

Alasan utama yang diberikan oleh panel juri yang bijaksana ketika itu adalah apabila Muallaf dikatakan tidak layak untuk dipertandingkan atas alasan penggunaan bahasa Inggeris sebagai perantara utama filem itu.

Tidak mengapalah. Mereka pun memang cukup bijak dalam menilai karya yang dirasakan paling layak untuk diangkat sebagai yang terbaik. Muallaf pun bukannya tewas di pentas FFM23. Buktinya, menang juga sebuah trofi atas tiket Anugerah Khas Juri.

Apabila melihat filem Muallaf sebagai antara 25 buah filem yang layak bertanding dalam ASK2010, ramai melihat Muallaf sebagai peluang terbaik untuk filem itu menyerlah dalam anugerah yang dianggap paling berprestij abad ini.

Biarpun dicerca dan dihina oleh sesetengah pihak yang mungkin ada sentimen peribadi terhadap Yasmin dan juga terhadap filem Muallaf itu sendiri, sememangnya sudah ditetapkan rezeki tetap berpihak kepada arwah.

Cuma sedihnya apabila arwah tiada untuk naik ke pentas dan menerima trofi Filem dan Pengarah Filem Terbaik yang julung kalinya dimenangi olehnya.

Pernah beberapa kali tercalon sebelum ini, nampaknya, rezeki masih belum berpihak kepada Yasmin tetapi dengan kemenangan Muallaf pada tempoh hari, ia diibaratkan sebuah penutup yang begitu indah buatnya.

Ditambah pula dengan kemenangan Yasmin di pentas antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-54 baru-baru ini, melengkapkan mimpi indah itu tersemat rapi dalam diari hidup Yasmin.

Barangkali akan ada yang beranggapan, tulisan ini berbaur personal tetapi apabila difikirkan kembali kemenangan Muallaf, memang tidak syak lagi karya hebat itu memang benar layak untuk diangkat sebagai juara.

Bukanlah filem-filem lain yang tercalon dalam lima senarai terbaik iaitu Papadom, Evolusi KL Drift 2, Pisau Cukur dan Setem tidak bagus. Mungkin tahun ini barisan juri yang bertauliah memutuskan untuk mencari kelainan, pembaharuan dan keberanian dalam sesebuah karya itu.

Mungkin akan ada yang bertanya apa yang hebat sangat tentang filem Muallaf kerana ada sesetengah yang sudah menontonnnya merasakan ia tidak ubah seperti filem Yasmin yang lain iaitu Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin dan Talentime.

Kalau dikaji secara mendalam cerita yang diketengahkan dalam Muallaf, ia memang sebuah karya yang cukup mencabar minda. Benar, bukan mudah bagi masyarakat dan penonton tempatan untuk menghargai atau menikmati filem yang seberat itu.

Tetapi, setidak-tidaknya, Yasmin telah mengorak langkah dengan memperkenalkan sebuah filem bercorak seperti itu sebagai indikator bahawa sebenarnya industri perfileman kita yang masih 'bayi' ini memerlukan sebuah karya yang dapat mencabar minda masyarakat.

Mengapa perlu melihat subjek kepetahan dua beradik, Rohani (Sharifah Amani) dan Rohana (Sharifah Aleysha) yang sering membincangkan tentang agama sebagai sesuatu yang provokatif seperti yang didakwa segelintir pihak?

Mengapa tidak sahaja menyelami apa yang dituturkan itu sebenarnya merupakan tunjang utama kepada keseluruhan jalan cerita Muallaf yang membicarakan tentang kemaafan.

Tahniah kepada panel juri yang bijak membuat pilihan tepat dengan memilih Muallaf sebagai Filem Terbaik. Tetapi, kemenangan Muallaf juga sebenarnya tidak mampu untuk menutup mulut orang ramai daripada terus membuat telahan dan andaian masing-masing.

Pasti akan ada yang berkata Muallaf menang kerana TV3 yang sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan Yasmin. Dan percayalah, tidak kurang juga akan ada yang mencanang dengan mengatakan kemenangan Mullaf adalah sebagai memberi penghargaan kepada pengarahnya yang sudah pergi dan tiada lagi di muka bumi untuk meneruskan perjuangannya sebagai seorang sutradara.

Yasmin sendiri sebelum ini pernah memberitahu, dia membikin filem bukan untuk mengejar anugerah tetapi mahu berkongsi cerita dan kasih sayang yang diterapkan dalam filem-filemnya.

Kalau dia seorang yang kemaruk anugerah, pasti dia akan membuat bising seandainya setiap kali dia tewas dalam mana-mana festival filem waima di negara sendiri mahupun di luar negara.

Sampai bila masyarakat harus disogokkan dengan karya yang murah, picisan dan sekadar memberi hiburan kosong semata-mata.

Kalau diperhatikan kepada 25 buah filem yang layak bertanding dalam ASK2010, filem yang benar-benar berkualiti hanya boleh dibilang dengan jari.

Itupun bukan dalam konteks berkualiti yang dapat mencapai tahap piawaian seperti mana piawaian yang ditetapkan oleh Institut Penyelidikan Industri dan Standard Malaysia (SIRIM).

Sebetulnya matlamat utama ASK adalah untuk menghargai anak seni dalam bidang penerbitan drama tetapi apabila ASK membuka pintunya untuk karyawan filem, secara tidak langsung ia juga sesuatu yang cukup penting dan wajar diberi pembelaan selayaknya.

Itulah keunikan ASK yang tidak bersifat prejudis dan membuka pintunya kepada semua anak seni untuk sama-sama bertanding serta bersaing secara sihat di dalam industri.

Biarlah karya itu bertutur dalam pelbagai bahasa sekali pun. Tetapi jika ia sebuah karya yang berkualiti dan baik, tidak salah untuk ia diiktiraf dan dijulang sebagai juara.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails