Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Vee teruja, gementar gementar Vanidah


BERPERWATAKAN menarik, mempunyai ciri-ciri kemelayuan, fasih berkata-kata dan tidak kekok berhadapan dengan kamera antara faktor utama pelakon cantik, Vanidah Imran, 37, terpilih sebagai pengacara program majalah, Nona untuk tahun depan.

Seiring pengalaman yang diciptanya di lapangan seni selama hampir 20 tahun, Vanidah bukan sahaja major dalam bidang lakonan malah, bakatnya turut menyerlah dalam bidang peragaan, tarian serta pengacaraan.

Barangkali, kerana pengalaman itu jugalah pelakon filem The Red Kebaya itu disenarai pendek bersama beberapa lagi selebriti tempatan untuk mengendalikan Nona bermula 2 Januari ini.

Rancangan itu kini dikendalikan oleh pelakon, Maya Karin dengan rating purata 1.5 juta penonton.

Bertemu si jelita yang pernah menyandang gelaran Miss Selangor (1993/94) pada majlis khas yang diadakan di Cruise Tasik, Putrajaya baru-baru ini, jelasnya, tawaran tersebut membuka sebuah lagi lembaran baru dalam profil kerjaya seninya.

Sungguhpun pernah mengendalikan banyak program televisyen sebelum ini, namun jelas Vanidah yang cukup mesra dipanggil Vee ini, Nona antara rancangan kegemarannya sejak di bangku sekolah.

Antara rancangan yang pernah dihoskan oleh Vanidah sebelum ini ialah VJ RIM Chart Show (1997), Kenali Siapa Pasangan Anda (2002), You Asked For it (2003 hingga 2005) dan Kuiz Siapa Boleh? (2006).

Pernah suatu ketika dahulu dia mengimpikan untuk menjadi seperti pengacara popular, Datin Seri Normala Shamsudin yang bijak dan versatil dalam mengendalikan rancangan tersebut.

"Ibarat mimpi jadi nyata. Alhamdulillah ini rezeki buat saya dan tawaran ini saya kira tiba tepat pada waktunya.

"Di samping kerjaya lakonan saya ingin mencuba sesuatu yang berlainan.

"Saya agak gementar dan teruja menjadi pengacara untuk rancangan ini. Saya tidak pernah menyangka diberi peluang mengendalikan rancangan ini," ringkas jawapan yang diberikan Vee tentang tawaran yang diterimanya.

Akui Vee, perasaan risau dan bimbang mula menerjah diri tatkala berteka-teki tentang penerimaan penonton terhadap dirinya.

Apatah lagi, andai kelak ada pihak yang mula membanding-bandingkan corak pengendaliannya dengan pengacara-pengacara yang pernah terlibat dengan Nona sebelum ini.

"Memang saya risau. Betul ke saya terpilih dan mampukah saya membawa rancangan ini sebaik pengacara-pengacara terdahulu?.

"Mujur penerbit eksekutif, Siti Hatija banyak memberi panduan buat saya dan menerangkan tentang kehendak mereka dan tuntutan yang perlu ada untuk Nona.

"Mungkin orang akan tertanya-tanya bolehkah saya menaikkan semula kegemilangan Nona seperti dahulu namun bagi saya itu sesuatu yang sukar untuk diramal. Apa yang penting saya akan cuba yang terbaik dan menggalas tanggungjawab ini sebagai satu cabaran," katanya.

Nona merupakan sebuah rancangan yang mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Malah, tahun ini genaplah tahun ke-25 penerbitannya dan tentu sahaja dari segi aspek pemilihan pengacara, kandungan serta corak persembahannya diperhalusi semahunya oleh penonton setianya.

Dan melangkah ke tahun yang ke-26 pada tahun depan, segmen-segmen menarik yang bakal menggamit perhatian penonton ialah Fesyen, Kecantikan, Rahsia Lelaki, Masakan, Koleksi Kegemaran, Perkahwinan dan segmen interaktif iaitu Video Pilihan.

Pembaharuan yang dilakukan terhadap kandungan pelbagai segmen rancangan itu ditambah pula dengan kendalian pengacara baru mampukah rating Nona melonjak naik melebihi purata 1.5 juta penonton yang diperolehi kini?

Bagi Vee, peningkatan serta penyusutan rating sesebuah rancangan adalah tanggungjawab bersama dan tidak harus dibebankan di bahu pengacara semata-mata.

"Memang besar tanggungjawab ini. Saya sudah tengok cara kendalian Maya Karin malah, dia melakukan yang terbaik dalam mengacarakan rancangan ini. Cuma mungkin jadual seninya tidak selari dengan tuntutan masa yang diperlukan oleh Nona.

"Dan saya pula sudah aturkan jadual sehingga bulan April tahun depan dan Insya-Allah saya akan turun ke beberapa lokasi untuk pengambaran Nona.

"Apa yang saya harapkan penonton dapat menerima kehadiran saya. Ini baru permulaan dan payah untuk saya bayangkan apa yang bakal berlaku kelak. Bagaimanapun saya akan cuba yang terbaik untuk program ini," kata Vanidah berkeyakinan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails