Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Kehilangan' Once sukar diganti


KHABAR yang bertiup kencang mengatakan vokalis utama Dewa 19, Once menarik diri daripada kumpulan itu telah pun disahkan sendiri oleh ketuanya, Ahmad Dhani.

Kehadiran Ahmad Dhani ke Malaysia atas tiket untuk menjayakan Konsert Ria 2010 di I-City, Shah Alam baru-baru ini sememangnya dinantikan media tempatan untuk mendapatkan kepastiannya selaku ketua Dewa 19.

Bagaimana pun, pengunduran penyanyi lagu Dealova itu atau nama sebenarnya Elfondra Mekel tidaklah begitu mengejutkannya malah ia disambut dengan senyuman penuh makna.

Ditanya adakah berlaku perselisihan faham antara Once dengan anggota Dewa 19 yang lain, Ahmad Dhani cuma membalas soalan itu dengan gelengan kepalanya. Tiada satu pun kata-kata yang menafikannya mahupun mengiyakannya.

Seolah-olah, bekas suami kepada Maia itu tidak mahu berkongsi apakah masalah sebenar yang berlaku di sebalik berita eksklusif yang diterima oleh media Malaysia itu.

Menurut Dhani, dalam kandungan surat perletakan jawatan tersebut, Once hanya menyatakan bahawa dia agak jenuh dengan kumpulan tersebut dan ingin fokus dengan projek solonya selepas ini.

"Itu sahaja yang boleh saya beritahu. Selain itu, biarlah saya sendiri dan anggota kumpulan saya yang tahu.

"Kami harap dia berjaya di masa akan datang. Lagipun, album solonya sebelum ini sukses," katanya ringkas mengenai hal itu.

Bagaimana pun, Ahmad Dhani tetap meluahkan rasa kecewanya kerana memikirkan untuk mencari pengganti kepada Once.

Jujur katanya, dia pasti ada peminat yang kecewa dengan hal ini dan kredibiliti Once selaku pemuzik cukup susah untuk dicari ganti.

"Kami sedang mengadakan sesi uji bakat untuk mencari pemuzik persis Once sejak awal tahun lalu.

"Sehingga sekarang, masih belum ada lagi yang mampu menyaingi bakat Once. Saya akui, dia memang hebat.

"Memandangkan Once sudah menarik diri secara rasminya, Dewa 19 merancang untuk bekerjasama dengan stesen televisyen Indonesia untuk menerbitkan sebuah program realiti yang mencungkil bakat-bakat pemuzik tempatan.

"Saya harap, program itu nanti dapat membantu kami untuk mencari pengganti Once," terangnya dalam satu sidang akhbar yang diadakan sebelum dia muncul menghiburkan 25,000 pengunjung konsert itu.

Sebelum menamatkan sesi sidang akhbar tersebut, akhirnya Ahmad Dhani terbuka untuk berkongsi sedikit hal yang berlaku antara Once dan Dewa 19.

"Sebenarnya sudah lapan bulan kami tidak bercakap dan kali terakhir kami membuat persembahan bersama ialah pada Ogos lalu.

"Sepanjang lapan bulan itu, kami sekadar bekerja secara profesional di mana bila di belakang pentas, kami duduk berasingan, tetapi bila di atas pentas, kami membuat persembahan bersama," cerita Ahmad Dhani kepada pemberita.

Dalam pada itu, tambah Dhani, dia tidak kisah dengan kekurangan dan penambahan ahli dalam kumpulan itu kerana menganggap Dewa 19 sebagai tempat untuk ahli-ahlinya berhibur.

Terang Ahmad Dhani, kumpulan itu bukanlah platform buat anggotanya untuk mencari pendapatan tetap memandangkan masing-masing mempunyai projek tersendiri termasuklah dirinya yang juga mempunyai band sendiri iaitu TRIAD (The Rock Indonesia Ahmad Dhani).

Pada malam Konsert Ria 2010 itu, selain membuat persembahan bersama TRIAD, Ahmad Dhani turut tampil bersama anak-anaknya, kumpulan The Lucky Laki menerusi lagu Munajat Cinta.

Manakala bersama TRIAD pula, penyanyi itu membawakan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi, Madu Tiga, Pangeran Cinta, Sedang Ingin Bercinta, Aku Cinta Kau dan Selir Hati.

Selain Ahmad Dhani, konsert yang berlangsung selepas hujan berhenti itu turut membabitkan ramai artis tempatan demi meraikan penonton setia rangkaian Astro terutamanya saluran Ria.

Antara artis yang turut menjayakannya ialah Black, Meet Uncle Hussein, M. Nasir, Misha Omar, Datuk David Arumumugam, Anuar Zain, One Nation Emcees, Mawi, Aril, Stacy, Hafiz, Azlan & The Typewriter, Aizat, Tilu dan ramai lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails