SELEPAS enam bulan menyulam cinta dan mengenali diri masing-masing, heroin filem Mantra, Ana Dahlia kini selamat bergelar tunangan kepada Mohd. Nadzri Redzuawan atau lebih dikenali sebagai Chef Riz.
Dalam persalinan serba indah rekaan Syarikim, Ana kelihatan anggun sekali di sebalik kecantikan semula jadi yang dimilikinya.
Biarlah apa pun yang mahu dikatakan orang berhubung status janda yang dipegangnya sebelum ini, pada Ana, itu semua sudah berlalu. Apa yang penting kini dia sudah menjadi tunangan orang.
Umpama satu bonus, Ana juga bertuah kerana mempunyai keluarga bakal mentua yang pastinya dicemburui kebanyakan orang.
Iyalah, dapat pula menjadi sebahagian daripada keluarga selebriti terkenal seperti Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, siapa yang tak cemburu bukan?
Sudahlah ramah-tamah, tak pernah lokek dengan senyuman dan kemesraan, keluarga Chef Wan memang happening. Pendek kata memang beruntunglah Ana.
Bak kata Ana sendiri ketika ditemu bual oleh Pancaindera, dia teramat bersyukur kerana dijodohkan bukan sahaja dengan Chef Riz, tetapi dengan sebuah keluarga yang baik seperti keluarga Chef Wan.
“Saya gembira sebab baik Riz mahupun keluarganya menerima saya seadanya terutama baik dan buruk diri ini.
“Macam Chef Wan, saya kagum sebenarnya sebab dia adalah seorang individu yang tidak mementingkan darjat dan status saya.
“Walaupun saya tahu dia ni tegas dan cerewet sikit, tapi dia berhati mulia dan baik,” katanya yang terselit nada bahagia di hujung bicara.
Dalam rendah hati, sebagaimana wanita lain, kata Ana dia juga punya perasaan gementar apabila mahu menemukan keluarganya dengan keluarga Chef Wan.
Apatah lagi merasakan keluarganya cuma sekadar orang kampung dan pastinya dia bimbang jika mereka sedikit kekok apabila bercakap mengenai darjat.
Namun, kata Ana, dia tidak menyangka, Chef Wan dan seluruh ahli keluarga memberi layanan yang cukup baik kepada keluarganya sebaik menjejakkan kaki ke kampung halamannya di Changkat Jering, Taiping, Perak tempoh hari.
“Bagi saya, segala hilai tawa, senyuman ibu, ayah dan adik-beradik saya setiap kali disapa oleh keluarga Riz, itulah istilah bahagia pada diri saya.
“Chef Wan beri layanan yang cukup mesra pada seluruh ahli keluarga saya dan itu menunjukkan dia tidak fikir soal darjat walaupun dia punya nama besar bukan sahaja dalam negara tapi di luar
negara.
“Pelbagai bangsa baik Melayu, Cina, India, semuanya kenal siapa Chef Wan. Saya pun tak tahu macam mana nak ucapkan terima kasih pada dia. Apa pun saya bersyukur di atas kurniaan Alah S.W.T ini,” katanya.
Ada tempoh sebulan
Tarikh 11 Disember 2011 telah pun dipilih sebagai tarikh untuk merpati dua sejoli ini melangsungkan perkahwinan.
Ini bermakna, Ana dan Riz hanya mempunyai tempoh sebulan untuk membuat persiapan perkahwinan mereka.
Diaju mengenai perkara ini, Ana ternyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gementarnya apabila mengenangkan tiada satu pun lagi persiapan dilakukan.
“Memang kelam-kabut sebab saya ada tanya-tanya pada orang untuk buat tempahan dewan, tapi semuanya dah ditempah untuk perkahwinan hujung tahun ini.
“Itu yang saya risau sikit tu. Riz pun tengah sibuk dengan program Master Chef dan hanya akan betul-betul ada masa pada 30 November ini.
“Kalau ikutkan memang saya dan dia belum merancang untuk buat apa-apa mengenai majlis perkahwinan kami nanti.
“Tapi tak mengapa. Saya akan fikir positif. Benda baik Tuhan akan tolong. Saya akan fikirkan alternatif lain untuk persiapan kami ini. InsyaAllah, majlis itu akan berlangsung dalam suasana yang sederhana sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan dia dan Riz akan menganjak majlis perkahwinan mereka ke tahun hadapan, pintas Ana, dia tidak pasti sama ada itu adalah satu keputusan yang tepat.
“Bukan apa, keluarga kami sudah bincang, mereka tidak mahu kami lama-lama sangat bertunang. Iyalah bimbang perkara yang tak elok terjadi.
“Tapi walau apa pun, kami mohon doa agar segalanya dipermudahkan, InsyaAllah,” katanya lagi.
