SABAN tahun, kalau berbicara mengenai sambutan hari raya, bagi mereka yang mampu, seakan tidak lengkap kalau tidak mengadakan rumah terbuka.
Namun, semakin Syawal tiba di penghujungnya, semakin banyak pula jemputan ke rumah terbuka diterima.
Makin meriahlah orang kata!
Kemeriahan melayari hari-hari di penghujung Syawal turut tidak dilepaskan warga Kumpulan Utusan.
Ia dapat disaksikan menerusi penganjuran Majlis Jamuan Aidilfitri Kurnia Utusan yang diadakan di perkarangan ibu pejabat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur Khamis lalu.
Majlis yang dimulakan pada pukul 2 petang itu bagaikan tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu jemputan selain turut sama diraikan oleh seluruh warga kerja yang selama ini berdiri teguh menyokong keutuhan organisasi akhbar yang sudah pun berusia 72 tahun itu.
Pendek kata, berduyun-duyunlah tetamu yang datang.
Tabik juga kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudi hadir memeriahkan suasana rumah terbuka ini.
Kedatangan Datuk Ismail telah disambut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak selaku tuan rumah.
Majlis juga diserikan dengan kunjungan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza yang hadir bersama suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa.
Selain tetamu terhormat, rakan-rakan media, pegawai-pegawai perhubungan, majlis juga turut mendapat kunjungan artis-artis popular tempatan,
Antaranya Jamal Abdillah, Maya Matahari, Haiza, Shila Hamzah, Azza Elite, Iqa Mentor, kumpulan Forteen, Comell Fana, Enot, Fazli Zainal, Marsha, Neelofa dan ramai lagi.
Tidak ketinggalan, selebriti terkenal Datuk Chef Wan, Dang Suria serta komposer Julfekar.
Suasana juga dikecohkan dengan celoteh pengacara dan pelawak Roslan Shah dan Didie Alias yang pada awalnya dijemput sebagai tetamu.
Agaknya memang susah mereka nak lepaskan peluang bila setiap kali terpandang mikrofon di depan mata.
Tapi tak mengapa. Sekurang-kurangnya mereka berjaya mencipta suasana hari raya yang cukup hangat menerusi jenaka mereka yang tentunya membuatkan semua tetamu tak kering gusi.
Dalam pada itu, Kumpulan Utusan juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kurnia Insurans (Malaysia) Bhd atas tajaan juadah raya yang enak-enak belaka. Juga kepada Boh Plantations.
Diharapkan, penganjuran rumah terbuka sebagai penutup tirai Syawal kali ini mampu meningkatkan semangat dan penyatuan semua masyarakat dari pelbagai kaum dalam suasana yang harmoni.