Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Zed mahu Seniman lebih garang
PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) sudah berusia 38 tahun dan minggu lalu, persatuan tertua yang ditubuhkan untuk membela nasib anak seni Malaysia itu mendapat kepimpinan baharu.
Dalam mesyuarat agung tahunan yang dihadiri lebih 200 ahli Seniman, Zed Zaidi dipilih untuk menerajui persatuan yang ditubuhkan pada 1974 itu dengan majoriti 152 undi. Dia dicabar Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang mendapat 9 undi manakala Zulkifli Ismail dengan 8 undi.
Kemenangan Zed menjadikan dia presiden termuda dalam sejarah Seniman. Presiden pertama persatuan itu ialah Zainuddin Zimbo. Antara pemimpin Seniman ialah Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki), Abu Bakar Kassim, Datuk Ismail Hudson, Datuk Aziz Singah, Datuk Mustapha Maarof dan Harun Salim Bachik.
Sensasi Bintang: Jawatan tertinggi dalam Seniman sudah ada dalam genggaman kalian. Jadi benarlah selama ini ada agenda untuk rebut jawatan?
ZED ZAIDI (ZZ): Bagi saya ini bukanlah perjuangan peribadi atau individu tapi perjuangan untuk semua ahli Seniman. Orang ingat, saya bukan berjuang main-main atau sekerat jalan. Saya dilantik atas kepercayaan ramai.
ELYAS ISKANDAR (EI): Kalau nak cakap pasal perjuangan, saya sudah ada dalam industri sejak 1995 lagi, saya mula aktif dalam Seniman sejak 2004. Saya anggap pelantikan saya sebagai Timbalan Presiden Seniman juga atas kepercayaan. Bagi saya, inilah satu-satunya persatuan yang akan saya bela dan boleh bela nasib artis.
ZZ: Saja saya nak menambah. Kita tak pentingkan nama untuk buat kerja persatuan, kalau ada nama tapi tak boleh buat kerja pun tak guna juga. Untuk pasukan Seniman yang baharu ini, saya bukan lantik orang popular tapi lantik orang yang praktikal.
Jadi apa agenda nombor satu Seniman dengan jawatankuasa yang baru dilantik?
ZZ: Nombor satu, Seniman kena berani berubah untuk transformasi dan saya dalam proses untuk membentuk Pelan Tindakan Memperkasakan Seniman. Untuk seminggu yang pertama, jawatankuasa baharu selesaikan urusan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Persatuan Malaysia (ROS). Saya kena selesai masalah dalaman dalam Seniman itu sendiri. Sistem pangkalan data kami sangat lemah, itu yang harus diperkemaskan supaya gerak kerja lebih mantap.
EI: Kita juga ada tubuhkan beberapa biro baharu yang sebelum ini tidak diberikan perhatian dalam agenda Seniman terdahulu. Biro tersebut termasuklah Biro Perpaduan, Biro Komunikasi dan Media Baharu, Biro Kelab Penyokong Seniman dan dan Biro Pelapis.
Kalian lihat, adakah golongan artis sendiri cukup bersatu?
ZZ: Sebab itulah persatuan harus mainkan peranan. Sebelum ini saya tengok, kalau satu kelompok artis yang yang buat majlis, artis yang hadir hanya daripada kelompok berkenaan sahaja dan perkara itu berlanjutan sejak 15 tahun dahulu. Langsung tiada perubahan. Sekarang ialah masa untuk saya jenamakan semula Seniman, tukar logo, tagline serta laman web Seniman supaya lebih kontemporari. Sudah 38 tahun Seniman bawa logo yang lama itu. Objektif Seniman sendiri kena jelas.
EI: Dikecam itu lumrah. Sekarang kami perlukan buktikan kredibiliti kami berdasarkan hasil kerja. Ini kerja bukan sehari-dua dan memang sukar untuk puaskan hati semua pihak.
Dengarnya mesyuarat tahunan baru-baru ini juga kecoh. Apa cerita?
ZZ: Ramai yang ingat, siapa sahaja yang ambil alih kuasa dalam Seniman akan gunakan dana Seniman yang berjumlah hampir RM1 juta yang ada dalam simpanan Amanah Raya Berhad. Itu isu lama sengaja diusulkan semula. Ada juga isu tentang tuntutan royalti artis yang diperjuangkan. Perkara itu melibatkan bahagian-bahagian teknikal yang ambil masa untuk diselesaikan.
EI: Masalah timbul jika ada parasit dalam persatuan. Masalahnya cuma itu. Siapa parasit itu tidak perlulah saya maklumkan.
Cabaran paling besar?
ZZ: Bila pegang jawatan presiden ini seumpama sebelah kaki sudah ada dalam lokap. Apa-apa hal, mudah sahaja saya akan dipersalahkan.
EI: Cabaran untuk puaskan hati semua pihak.
Jawatankuasa Seniman kini diisi tenaga muda. Mampukah Seniman berdepan isu besar nanti?
ZZ: Orang muda akan kerja kuat dan selalu dahagakan kejayaan.
EI: Belajar pun kena belajar sewaktu masih muda. Saya pun bukanlah muda sangat, sudah banyak pengalaman dalam persatuan, bab bertekak tak payah cakaplah, semuanya isu yang sama. Yang penting, kami sangat neutral. Kami mahukan perubahan dan setiap tindakan harus dibuat tanpa unsur serangan peribadi. Saya sendiri bukan lalang, dalam Seniman sendiri, saya sudah ada tiga orang presiden terdahulu.
Bagaimana kalian melihat barisan kepimpinan Seniman terdahulu?
ZZ: Barisan kepimpinan Seniman terdahulu tak begitu pentingkan penglibatan artis muda. Artis muda penting sebab artis muda yang bayar yuran keahlian, lebih popular dan besar pengaruh tapi artis muda dipinggirkan dalam persatuan. Biro Seniman Muda pun baru ditubuhkan semasa Harun Salim Bachik dan impak artis muda itu besar. Paling ketara semasa AGM baru-baru ini. Itulah AGM terbesar dan kali pertama dihadiri ramai artis muda. Kalau tidak bertindih dengan acara Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya, lebih ramai artis muda yang hadir.
EI: Dahulu Seniman pernah dicap sebagai persatuan untuk artis veteran. Bagi saya, Seniman hanya mencapai keseimbangan pada zaman Harun Salim Bachik sebab hanya ketika itu Biro Seniman Muda ditubuhkan.
Zed terkenal dengan kelantangan dan nada keras menyuarakan isu membabitkan kepentingan artis tempatan, adakan kini anda semakin bertaring?
ZZ: Saya tetap perjuang isu kawalan artis luar itu sampai mati. Biarlah apa orang mahu kecam atau bencikan saya, mungkin bila saya mati nanti baru orang sedar tujuan isu itu diperjuangkan. Dahulu saya bercakap atas dasar saya sebagai timbalan, sekarang saya sudah jadi presiden. Atas kuasa persatuan, saya akan buat kunjungan hormat ke Jabatan Imigresen Malaysia mahupun kewujudan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal). Menerusi persatuan, keadaan boleh dibendung sebelum dirawat. Saya kena ambil tanggungjawab itu untuk perjuangkan hak artis negara saya. Bila artis luar datang ke Malaysia, dia kena ikut undang-undang negara kita. Saya akan membuat kunjungan hormat berjumpa Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan memberi cadangan cara mengatasi masalah ini. Kena buat pemeriksaan terhadap setiap artis luar sama ada mereka mengikut prosedur betul atau tidak. Kalau ada permit kerja sekali pun, kena tahu permit itu daripada kementerian atau agensi mana yang mereka pakai. Kalau berani tunjuk permit!
Kalau saya mahu bertindak, saya boleh persoalkan Astro tentang jumlah hadiah yang diberikan kepada Ahmad Dhani dalam Mania. Adakah jumlah RM300,000 yang dibawa pulang oleh Dhani itu sudah ditolak dengan cukai atau sebaliknya?
Tugas kami ialah jadi pendesak, Finas sendiri harus didesak tentang garis panduan.
EI: Produksi dan stesen televisyen kita sendiri yang suka agungkan artis luar. Bayaran untuk artis luar sendiri bezanya berlipat kali ganda dengan bayaran untuk artis tempatan.
Misi kalian sangat patriotik?
ZZ: Saya kena jadi patriotik. Saya tidak boleh berdiam diri. Ibaratnya, bila rumah saya diceroboh dan harta-benda saya dicuri, takkan lah saya hanya mahu berdiam diri sedangkan saya diberi mandat untuk bersuara dan bela rumah dan harta saya. Bukannya Seniman tiada toleransi, saya cukup tak boleh tahan bila orang tunjuk lagak dan mempermain-mainkan undang-undang negara saya.
EI: Kalau tiada kawalan, lama-lama nanti, bila artis luar sudah ramai, mereka akan jadi kuat. Macam apa yang berlaku dengan kes pembantu rumah, macam-macam yang diminta sampai majikan pening kepala.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]