
SEKIAN lama menidakkan hubungan cinta mereka, akhirnya baru-baru ini beberapa keping gambar yang dilemparkan melalui laman Instagram Aliff Aziz memberi gambaran jelas apa sebenarnya yang berlaku antara dia dan penyanyi Adira. Cuba memujuk Adira memberitahu kedudukan sebenar hubungannya dengan Aliff, ternyata gadis yang berasal dari Sabah ini memilih untuk berselindung. Susah benar wartawan AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN mencari jawapan dari mulut si jelita ini sebenarnya.
hits: Kita boleh membuat kesimpulan, Adira memang sedang dilamun cinta dengan Aliff Aziz, betul tak?
Ia hanya gambar. Sekadar gambar. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai hubungan antara kami.
Adira: Memanglah Adira pernah menafikan sebelum ini, tetapi gambar mesra sudah tersebar pun, masih mahu sembunyikan ke?
Sudah saya katakan tadi, ia hanya gambar. Saya tidak cuba membohongi sesiapa. Apa yang saya cuba lakukan adalah untuk tidak terlalu bercerita tentang kisah peribadi kepada orang lain. Saya sebenarnya lebih suka peminat tahu mengenai karier saya sahaja.
Adira lebih senang membiarkan peminat membuat kesimpulan sendiri, tertanya-tanya, begitu?
Pada saya ia tidak terlalu penting. Iya, saya akan biarkan mereka di luar sana membuat kesimpulan sendiri, terpulanglah kepada mereka.
Baiklah, boleh Adira beritahu kedudukan sebenar hubungan Adira dengan Aliff?
Saya dan Aliff hanya berkawan rapat. Kami rapat sebagai kawan, itu sahaja yang boleh saya katakan sekarang.
Melalui drama Tiara, ramai yang berpendapat Adira boleh melangkah lebih jauh lagi didalam bidang lakonan, mungkin tahun ini peminat akan melihat lebih banyak lagi drama lakonan Adira.
Oh, tidak saya memang tidak mengambil tawaran lakonan lagi buat masa ini. Pada pertengahan tahun ini saya akan melancarkan album jadi saya mahu memberi lebih tumpuan kepada karier nyanyian. Sejak dahulu lagi saya mahu jadi penyanyi, jadi fokus utama saya adalah untuk menjadi penyanyi yang baik.
Hai, nampak macam tak seronok saja berlakon, kenapa ni?
Bukan macam tu. Mengenai bidang lakonan, saya akan teruskan juga, jika kena dengan keadaan. Cuma ketika ini, saya tidak mahu terlalu serius lagi. Biarlah tumpuan saya kepada dunia nyanyian, itu yang lebih penting.