Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Diperangkap rakan sendiri - Que Haidar

MELIHAT kepada barisan pelakon lelaki yang sedia ada dalam industri hiburan tempatan, pelakon Que Haidar atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 34, merupakan satu nama yang cukup besar. Memulakan karier sebagai pelakon menerusi drama Toll Gate Girl pada tahun 2001, Que muncul di layar perak buat kali pertama empat tahun kemudian menerusi filem sulungnya iaitu KL Menjerit 1. Selepas itu, Que tidak lagi menoleh ke belakang apabila kerap menjadi pilihan pengarah. Sehingga kini dia telah berlakon sebanyak 20 buah filem. Ketika namanya sedang di kemuncak, Que yang merupakan suami kepada guru tari Linda Jasmine Hashim ini tiba-tiba membuat keputusan mengundurkan diri daripada dunia lakonan. Namun begitu, dengan darah seni yang sudah mengalir dalam dirinya sejak sekian lama sehingga meletakkan dirinya sebaris dengan pelakon hebat lain, Que akhirnya kembali berlakon dalam filem Rock Oo! yang akan ditayangkan pada 28 Februari ini. Rock Oo! merupakan sekuel kepada filem Rock (2005) yang telah menampilkan Que untuk watak Amy Mat Piah. Menyentuh tentang pembabitan kembali dalam bidang lakonan, Que yang ditemui semasa sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini mendedahkan ada cerita menarik di sebaliknya. Menurut Que, detik awal pembabitannya dalam Rock Oo! bermula apabila dia dihubungi rakan baiknya iaitu pelakon Khir Rahman yang mengajaknya lepak bersama-sama kira-kira dua tahun lalu di Istana Budaya. "Tanpa sebarang prasangka saya pun bersetuju memandangkan sudah lama tidak berjumpa. Kemudian apabila saya tiba di Istana Budaya, rupa-rupanya Mamat Khalid dan Pekin Ibrahim turut ada di situ. "Akhirnya, barulah saya tahu yang mereka sedang berbincang untuk membuat sambungan filem Rock dan Mamat sendiri yang telah menyuruh Khir menghubungi saya. Jadi, saya rasa seolah-olah seperti diperangkap pula," jelasnya sambil ketawa mengenangkan peristiwa tersebut. Biarpun dia telah ditawarkan oleh Mamat selaku pengarah untuk membintangi filem berkenaan, namun Que tidak terus memberikan persetujuan dan meminta untuk melihat skripnya terlebih dahulu. Ujarnya, apabila diberikan skrip filem itu beberapa hari kemudian, dia lantas tertarik dengan jalan ceritanya dan akhirnya dia bersetuju untuk kembali melakonkan watak sebagai Amy Mat Piah. "Bagi saya, filem Rock sesuatu yang cukup istimewa kerana kali pertama saya membawakan watak komedi. Lagipun ia merupakan antara filem terbaik yang pernah saya berlakon sepanjang menjadi anak seni. "Selain tertarik dengan skrip dan jalan cerita, antara faktor yang menyebabkan teruja membintangi Rock Oo! kerana rakan-rakan lama seperti Khir, Pekin dan Soffi Jikan turut berlakon," ujarnya. Berpeluang membintangi filem yang memaparkan kisah mengenai kumpulan rock sekitar era 80-an, pelakon itu meluahkan rasa bangga kerana dia sendiri memang meminati muzik rock. "Mungkin ramai yang tidak tahu saya sebenarnya agak rapat dengan Amy Search. Jadi, saya memang meletakkan harapan yang cukup tinggi agar dia dapat menonton filem ini nanti," ujarnya sambil yakin filem yang akan mula ditayangkan pada 28 Februari ini mendapat sambutan baik penonton. Tolak banyak tawaran Sebelum ini terdapat gosip yang mengatakan bahawa salah satu sebab Que mengambil keputusan untuk bersara daripada dunia lakonan ekoran tindakan isterinya, Linda Jasmine yang menghalangnya berlakon. Ketika diminta komen mengenai perkara tersebut, pelakon itu enggan mengulas panjang dan menyatakan semua gosip yang timbul itu sesuatu yang sangat mengarut. "Saya tidak mahu lagi komen mengenainya kerana ia langsung tidak benar. Selama ini, isteri saya memang memberikan sokongan untuk saya meneruskan kerjaya sebagai pelakon. "Ketika saya memberitahu kepadanya tentang tawaran lakonan dalam filem Rock Oo! ini, dia yang memberi dorongan kepada saya supaya menerimanya," jelasnya dengan nada serius. Menurut Que, sehingga kini dia masih lagi mendapat tawaran berlakon, namun dia terpaksa menolaknya kerana merasakan tawaran yang diterima itu tidak mampu membuka pintu hatinya. Ujarnya, kebanyakan tawaran memerlukan dia membawakan watak yang pernah dibawakannya sebelum ini, sedangkan dia seboleh-bolehnya mahukan watak yang berbeza supaya menampakkan kelainan dalam lakonannya. "Sebagai seorang bekas pelajar Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara), saya mengimpikan untuk berlakon dalam filem seni seperti Pasir Berbisik," ujar bekas penuntut dalam bidang teater itu. Bengkel lakonan Bercerita lebih lanjut mengenai aktivitinya sepanjang tidak berlakon, Que memberitahu jadual hariannya lebih banyak dihabiskan untuk bengkel lakonan yang dilakukannya. Ujarnya, sekitar tahun 2010 dia juga pernah menjadi tenaga pengajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) cawangan Bandar Sunway, Damansara, Petaling Jaya, Selangor selama setahun. "Walaupun orang ramai terutamanya peminat sudah jarang melihat saya berlakon, tetapi saya tidaklah meninggalkan terus dunia lakonan yang memang saya minati sejak dahulu lagi. "Sekarang ini saya kerap menganjurkan bengkel lakonan yang khusus kepada mereka yang mahu mendalami ilmu lakonan. Malah, saya sudah mempunyai perancangan untuk menganjurkannya di setiap negeri," ujarnya. Selain itu, Que menyatakan dia juga turut mempunyai perancangan lain iaitu menjalankan perniagaan dengan membuka sebuah kedai pakaian yang akan bermula dalam tempoh terdekat ini. "Sebenarnya perancangan ini sudah lama saya fikirkan, tetapi memandangkan saya tiada pengalaman berniaga banyak perkara yang harus dilakukan serta perlu mencari tapak kedai yang sesuai," jelasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails