Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Izzat yakini solo

MUNGKIN ada yang perasan, wajah Izzat Mahadi pernah tampil dalam kumpulan nasyid Mirwana yang popular dengan lagu Aku Tanpa Cinta-Mu. Namun, setelah 13 tahun menduga bakat dalam industri nasyid bersama grup tersebut, pemilik nama penuh Syed Muhammad Izzat Syed Mahadi itu akur bahawa rezekinya lebih berpihak untuk bergerak solo. Dia meninggalkan kumpulan Mirwana pada tahun 2006 manakala tempatnya diambil alih oleh adiknya sendiri, Ikram. Sejurus melepaskan gelaran ahli grup itu, kelibat Izzat tiba-tiba tenggelam apabila membawa diri ke Britain untuk menimba pengalaman selama beberapa tahun. Kini, dia kembali ke tanah air dengan membawa semangat baharu apabila berjaya menerbitkan sebuah album solo di bawah seliaan komposer dan penyanyi nasyid berjaya, Hafiz Hamidun. Tampil dengan album penuh berjudul Garisan-Mu, Izzat meneruskan turun naik kronologi karier seninya dengan mempertaruhkan lapan buah lagu menerusi album itu. Antara judul yang terkandung termasuklah Garisan-Mu, Dari Kejauhan, Bawa Ke Syurga, Di Sana Nanti dan Aku Tanpa Cinta-Mu yang diberikan nafas baharu. Saat diajukan soalan klise tentang hala tuju yang ingin dicapai menerusi sebuah album penuh, Izzat punyai jawapan yang bernas. Katanya, tidak salah untuk mencuba sekiranya ada keyakinan, biarpun situasi penjualan album pada masa kini seolah-olah menafikan hal tersebut. "Ramai berpendapat bahawa masa sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk menghasilkan album penuh, tatapi saya tetap meletakkan keyakinan. "Bahkan penerbit (Hafiz Hamidun) juga percaya bahawa ini masanya untuk saya tampil dengan album solo pertama. Tiada siapa yang boleh memberikan jawapan tepat bila pasaran akan kembali okey. Atas faktor itu, kami cuba berbuat sesuatu dan hasilnya sama-sama kita nantikan," kata Izzat. Dalam usaha mencapai sasaran dalam bergerak sendiri, Izzat meneruskan juga hasrat mempopularkan lagu yang pernah menaikkan nama grup lamanya. Justeru lagu Aku Tanpa Cinta-Mu versi baharu diperkenalkan semula. "Lagu itu begitu istimewa kerana ia pernah menaikkan nama Mirwana di persada muzik. Ia pernah memenangi lagu nasyid terbaik dalam anugerah Era pada 2005. "Ia diberi nafas baharu dan disampaikan dengan cara saya sendiri," kata Izzat yang turut berbangga apabila lagu Garisan-Mu tersenarai sebagai finalis bagi kategori lagu nasyid dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 2012. Pertaruhan judul Garisan-Mu seolah-olah menjadi langkah awal buat Izzat untuk terus berjaya dalam usahanya bergerak solo. Lagu itu berjaya mendapat tempat teratas dalam carta nasyid radio IKIM.fm beberapa minggu berturut-turut sehingga kini. Keyakinan usahanya bergerak sendiri sewajarnya diberi perhatian sementelah nama-nama popular menjadi penyumbang dalam menghasilkan lagu terbaik termasuklah komposer Yasin Sulaiman dan Hafiz Hamidun.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails