Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lisa sempurnakan Yusry

BIARPUN fasa perkahwinan mereka bakal memasuki tahun kedua pada tanggal 23 Februari depan, namun seri pengantin masih berbaki di wajah Lisa Surihani dan suaminya, Yusry Abdul Halim. Mesra mereka bukan lakonan di hadapan lensa, bahkan kedua-duanya tampak saling melengkapi sepanjang masa. Biarpun Lisa dilihat lebih kerap ditemani ibunya, Siti Amira Ahmad ketika menghadiri beberapa majlis di luar pada bulan Ramadan lalu, namun, pasangan itu lebih selesa menghabiskan masa bersama di teratak mereka yang terletak di Country Heights, Kajang, Selangor. "Saya memang jenis yang suka duduk di rumah jika tidak bekerja. Pada bulan puasa lalu pun, hanya sekali saya berkesempatan untuk hadir bersama isteri dalam majlis berbuka puasa anjuran KRU. Selebihnya, Lisa akan pergi bersendirian. "Ketika berbuka juga saya lebih gemar berbuka di rumah berbanding bersesak ketika berbuka puasa secara bufet di luar. Walaupun Lisa sibuk, kami pasti berbuka bersama jika dia tidak bekerja," getus Yusry ketika ditemui baru-baru ini. Biarpun Syawal sudah memasuki hari ke-11 pada hari ini, namun belum terlambat buat mereka untuk berkongsi kenangan meraikan hari raya bersama. Jelas Lisa, Aidilfitri menjadi lebih bermakna apabila dia yang berasal dari ibu kota berpeluang merasai pengalaman balik kampung selain berada dalam tahun kedua meraikannya sebagai seorang isteri. Pada 3 Syawal lalu, Lisa, 27, dan Yusry, 40, berpeluang pulang ke Gopeng, Perak bagi menziarahi nenek Yusry yang dipanggil opah. biarpun tidak bermalam di kampung, suasana perjalanan jauh sambil mengenakan baju raya memberi pengalaman yang berbeza buat Lisa. "Gembira apabila berpeluang balik kampung kerana dapat merasai pengalaman melakukan aktiviti di sana walaupun waktunya singkat. Tahun ini merupakan kali kedua kami balik kampung bersama-sama," ujar Lisa dalam nada teruja.
Kopi O pagi raya Pada tanggal pagi raya, pulut kuning dan rendang ayam menjadi hidangan pertama yang akan dijamah Lisa. Selain itu nasi beriani Arab turut menjadi makanan wajib yang dihidangkan di rumah mereka apabila tibanya Syawal. Bagi Yusry pula, tiada hidangan istimewa yang ditunggu-tunggu pada hari kemenangan umat Islam itu selain menghirup kopi sebagai hidangan sarapan pagi. "Saya tidak kisah soal makanan kerana kopi O itu wajib di pagi hari raya kerana saya penggemar kopi. Selalunya kopi O menjadi minuman rutin ketika bersarapan, tetapi setelah sebulan tidak merasainya, pastinya hari raya saat-saat yang ditunggu untuk menghirupnya pada awal pagi," kata Yusry berseloroh. Jika Yusry gemar bersahur pada pukul 1 pagi, Lisa pula lebih selesa melewatkan sahur sepanjang Ramadan. "Tetapi Yusry akan banyak mengalah dan bersahur bersama saya ketika menghampiri waktu imsak kerana saya akan mudah lapar. Kami berbeza kerana Yusry mudah haus dan tidak mudah lapar. "Selain itu banyak lagi hal yang tidak sama antara kami termasuklah Yusry tidak menggemari makanan Itali dan Jepun. Manakala saya sebaliknya.
"Saya jenis yang cerewet dengan makanan dan gemar makan. Yusry pula orang yang ringkas tentang makanan. Jika ada satu lauk pun sudah cukup untuk dia. Saya tidak suka makanan yang tidak sedap, tetapi Yusry boleh habiskannya," ujar Lisa bersungguh-sungguh. Dalam perkembangan sama, pasangan itu turut berkongsi cerita tentang kerjaya mereka. Menurut Lisa, dia bakal menjadi pengacara rancangan hiburan Paparazzi tidak lama lagi selain muncul dalam filem Cicakman 3 dan Ular. Mengakui bahawa lakonan bukan lagi keutamaan buat dirinya, Yusry menjelaskan bahawa dia kini lebih selesa untuk bekerja di belakang tabir. Selain sebuah filem antarabangsa berjudul Vikingdom bakal menemui penonton tidak lama lagi, Yusry turut terlibat sebagai kru belakang tabir dengan beberapa buah filem termasuklah Dendam Orang Mati, Dendam Tok Mudim dan Ular. "Saya tidak berani untuk cakap bahawa saya tidak akan berlakon langsung kerana ia tetap bergantung kepada permintaan peminat. Saya kini lebih selesa melakukan kerja belakang tabir dan filem Ular mungkin menjadi filem pertama dan terakhir yang melibatkan saya serta Lisa sebagai pelakonnya," kata Yusry. Disebabkan kesibukan kerja sepanjang tahun ini, Lisa dan Yusry mengambil keputusan untuk bercuti di Florida, Amerika Syarikat selama dua minggu pada penghujung Disember depan. Percutian itu akan turut ditemani ahli keluarga mereka. Sejurus selesai sesi temu bual bersama pasangan tersebut, Lisa dan Yusry membawa Sensasi Bintang meninjau rumah baharu mereka yang berkonsepkan Inggeris. Banglo dua tingkat di lot sisi itu mula didiami pasangan tersebut beberapa hari sebelum ketibaan Syawal pada tahun lalu. Sehingga kini mereka masih lagi melakukan beberapa kerja-kerja hiasan tambahan bagi menepati konsep tersebut. Jelas Yusry, dia juga lebih gemar membiarkan kawasan laman rumah mereka dibiarkan kosong dengan hamparan hijau daripada rumput, namun si isteri lebih gemar melihat ruang itu dihiasi pokok-pokok bunga. "Yusry tidak tahu apabila saya pergi ke tapak semaian untuk membeli pokok bunga. Kini laman rumah sudah ada pokok berbanding dahulu yang hanya dihiasi rumput hijau sahaja. Tetapi, dia tidak kisah dan mula menyukainya," ujar Lisa sambil menjeling ke arah Yusry.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails