Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Belum rezeki jadi isteri - Elly Mazlein
PELAKON dan penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi atau Elly Mazlein, 32, nampaknya belum ada rezeki untuk bergelar isteri kepada pengarah Azmi Hatta, 38, menjelang Syawal kali ini.
Namun jelas Elly, dia dan tunangnya itu masih kekal sebagai pasangan tunang walaupun tarikh asal perkahwinan mereka penghujung tahun lalu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
“Syawal ini kami masih sebagai tunangan. Memang banyak gosip saya dengar berhubung pertunangan saya, tetapi cukuplah saya katakan hubungan antara kami kekal utuh seperti sebelum ini.
“Tidak perlulah saya menjaja kisah percintaan antara kami. Cukuplah kami berdua dan keluarga tahu hubungan antara kami berjalan seperti yang dirancang. Insya-Allah bila tiba masanya, saya akan memberitahu tarikh pernikahan kepada rakan media," jelasnya.
Kini, penyanyi yang sedang terlibat dengan sesi rakaman drama bersiri Mencari Cinta di TV1 sebanyak 40 episod dihujani satu lagi gosip terbaru yang mengatakan dirinya telah menjalani pembedahan di bahagian muka baru-baru ini.
Tidak menolak untuk memperkatakan berhubung perkara tersebut, Elly dengan jelas berkata dia tidak pernah menjalani sebarang prosedur seperti yang diperkatakan kerana dia lebih percaya kepada rawatan-rawatan tradisional.
“Saya mahu jelaskan bahawa saya tidak pernah menjalani sebarang pembedahan sama ada di bahagian mata, hidung mahupun mulut.
“Saya memang amat menitik beratkan soal kecantikan. Namun tidaklah sehingga perlu menjalani pembedahan. Cukup sekadar menjaga pemakanan dan melakukan rawatan-rawatan kecantikan biasa.
“Selain itu, saya juga sering melibatkan diri dengan aktiviti fizikal seperti berjoging kerana kecantikan luaran juga berkaitan dengan kecergasan dalaman," katanya yang ditemui sewaktu majlis berbuka puasa anjuran KRU Music, yang diadakan di Damansara, baru-baru ini.
Bercerita soal sambutan perayaan Aidilfitri esok, Elly berkata dia dan keluarga akan mula berkumpul di Behrang, Perak pada pagi raya. Tidak lama selepas itu, di sebelah malamnya, Elly akan pulang ke Kuala Lumpur.
“Di Behrang kami berkumpulan di rumah nenek sebelah ayah. Manakala kembali ke Kuala Lumpur untuk menjemput kehadiran keluarga sebelah ibu dari Pulau Pinang pada hari raya kedua.
“Ini memang sudah menjadi rutin saya sejak beberapa tahun lalu kerana perkara paling penting adalah menghabiskan hari raya dengan bertemu ahli keluarga dan sanak saudara," katanya yang telah ke Amsterdam untuk rakaman drama Mencari Cinta.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]