Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cinta jarak jauh yang bahagia - Diana Amir

SETIAP pasangan sememangnya mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia setelah mendirikan rumah tangga. Begitu juga dengan pelakon Diana Amir yang mencintai Mohd. Habibullah A.Rahman dengan sepenuh rasa dan jiwa, selepas bergelar isteri yang sah kepada lelaki itu. Setelah hampir setahun mengalas tanggungjawab sebagai suami isteri, pasangan ini sudah bersedia untuk punya zuriat sendiri dalam masa terdekat ini. “Perkahwinan saya bersama suami bermula dari bulan Oktober tahun lepas dan kini telah masuk 10 bulan kami menjadi suami isteri. “Insya-Allah saya berharap hubungan ini terus berkekalan sehingga mempunyai cahaya mata untuk membina keluarga bahagia," kata Diana dalam pertemuan dengan penulis di majlis Malam Cinta Rasul di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini. Memperkatakan tentang jodoh mereka, Diana tidak lepas daripada mengucapkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan lelaki sehebat Habib. Walaupun ketika itu menjalin hubungan jarak jauh dan jarang sekali berjumpa seperti pasangan lain, itu bukan halangan untuk hubungan mereka berkembang. Diana percaya Allah telah merancang segalanya yang terbaik buat dirinya. Diana yang amat ceria apabila bercerita tentang orang tersayang berkata, kehidupannya banyak berubah selepas berkahwin. Dia turut bersyukur kerana mendapat seorang suami yang soleh, taat pada agama dan mempunyai ciri-ciri seorang ketua keluarga yang baik. Malah dia percaya suaminya boleh membimbing dirinya dan anak-anak pada masa hadapan. Justeru pada waktu yang sama, Diana mempunyai impian untuk memiliki keluarga yang besar bersama Habib. Menyorot kisah lalu, Diana bertemu dengan suami selepas diperkenalkan oleh seorang rakan. “Ketika pertemuan pertama itu lagi, saya tertarik dengan penampilan dan personaliti Habib. Dia mempunyai keperibadian tersendiri dan saya dapat melihat Habib mempunyai ciri-ciri seorang lelaki yang baik. “Pada mulanya, Habib langsung tidak terfikir dengan siapa dia akan diperkenalkan oleh rakannya itu. Memang dia tahu saya seorang artis tapi tidak sangka akan diperkenalkan secara dekat sebegitu. “Allah telah mengaturkan pertemuan kami dengan sempurna. Saya amat bersyukur kerana hari ini dia telah membimbing saya untuk menjadi insan yang lebih baik," jelasnya. Lelaki yang tabah Menurut Diana, semasa baru sahaja berkenalan, perkara pertama yang membuatkan dia jatuh cinta kepada Habib adalah keperibadian lelaki itu semasa mereka mula berkomunikasi. Dari situlah Diana telah menilai diri Habib bersandarkan segala sudut pandangan. “Selepas lama bersamanya, saya dapati Habib bukan seorang yang suka merungut walaupun dirinya berasa letih dan sibuk, dia kekal sabar. Dia adalah seorang lelaki yang bertanggungjawab dan sanggup melakukan apa saja demi diri saya, sebab itu saya amat menyayanginya. “Selain itu, dia juga seorang yang sangat rajin, penyayang, memahami. Sifat penyabar, pandai mengambil hati dan sentiasa mengambil berat terhadap diri saya itu yang istimewa. Malah sehingga hari ini, dia masih mengizinkan saya untuk meneruskan bidang lakonan kerana dia tahu ini adalah kerjaya saya. Selain itu, Habib juga seorang yang pendiam dan baik hati. “Jika sesuatu dugaan menimpa dirinya, Habib kuat dan tabah menghadapi apa jua keadaan. Dia seorang yang bijak dan tidak pernah menyalahkan sesiapa sebab itu dia menjadi seorang yang tenang untuk berhadapan dengan apa jua masalah," jelasnya tentang peribadi si suami. Jodoh dan pertemuan mereka diatur oleh Yang Maha Esa, justeru sejak kali pertama memulakan komunikasi, hati Diana sudah terasa sesuatu dan yakin lelaki ini mampu membimbingnya. “Ketika pertemuan pertama dan seterusnya, saya telah menilai keperibadian Habib dan dapat melihat dia mempunyai pengetahuan yang sangat tinggi dalam banyak perkara. Bermula dari situ saya terpikat terhadap kebijaksanaan yang dimiliki olehnya selain mempunyai pengetahuan agama. “Hari ini, sebagai seorang isteri, saya sentiasa memberi sokongan kepada suami untuk mencari pengetahuan ilmu secara mendalam untuk masa hadapan demi keluarga," katanya lagi. Tahun ini Habib menyambung pelajaran di peringkat ijazah Sarjana dan Diana turut memberi sokongan kuat terhadap pelajaran suaminya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Ia adalah demi masa depan mereka bersama. Cinta jarak jauh Menyambung bicara tentang kisah cinta mereka yang pernah menjalin hubungan jarak jauh, petua Diana ialah harus membuang perasaan ragu-ragu dan berfikiran positif terhadap diri pasangan. “Cinta jarak jauh itu bukan menghalang diri kami untuk meneruskan percintaan tetapi yang penting perasaan saling percaya antara satu sama lain dan memahami antara satu sama lain bagi memastikan hubungan berpanjangan," jelas pemilik nama penuh Nurdiyana Amir Hashim ini. Tambah Diana, ketika di alam percintaan, mereka berdua saling berjauhan kerana masing-masing mempunyai karier dan dia sibuk di Kuala Lumpur sebagai seorang pelakon dan Habib pula seorang pensyarah di UiTM Merbok, Kedah. “Walaupun kami berjauhan, ketika itu saya banyak membantu memilih jalan untuk bersatu kerana tidak semestinya sebuah hubungan yang kerap bertemu akan terus ke pelamin," katanya. Disebabkan sibuk dengan urusan masing-masing, jelas Diana, komunikasi Diana dan Habib tidak pernah putus dan sering berhubung antara satu sama lain. “Kepercayaan saya terhadapnya begitu kuat sehingga sekarang. Saya yakin dia tidak akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan walaupun berjauhan," beritahu Diana.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails