Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zaiton Sameon terkenang anak

"Dia suka makan lemang," kata Zaiton Sameon, penyanyi yang terkenal dengan lagu Menaruh Harapan ini saat memulakan bicara mengenai kenangan rayanya bersama arwah anak, Azirwan Abu Bakar. Ada air jernih bergenang di mata. Namun lekas-lekas dia menyeka seperti tiada apa-apa yang berlaku. Jelas sekali Zaiton sedaya upaya mahu dilihat kuat dan tabah meski tahu, jika ada yang bertanya mengenai arwah anak, dia sebenarnya tidak mampu menanggung rasa rindu yang menebal di dada. Mesra dengan panggilan Kak Eton, wanita berusia 58 tahun ini seboleh-bolehnya tidak mahu memperkatakan jauh sekali mengenang peristiwa hitam yang pernah dialaminya sehingga meragut nyawa anak tunggalnya yang ketika itu berusia 13 tahun. Kemalangan yang berlaku pada Februari 1990 itu bukan saja meragut nyawa anaknya tetapi turut melibatkan pemuzik pengiringnya, Ismail Shaari. Meski selamat, Zaiton bagaimanapun mengalami kecederaan teruk sehingga menjejaskan daya ingatannya buat seketika sekali gus menjejaskan kariernya sebagai penyanyi. Kini selepas 24 tahun berlalu, Zaiton yang semakin sihat dan ceria. Bagaimanapun dia tidak dapat menyembunyikan kepiluannya terutama dengan kedatangan Syawal kerana saat itu segala kenangan bersama-sama arwah anaknya yang paling dirinduinya datang menjengah. "Setiap kali raya, mesti saya akan lebih merindui dia. Sehari sebelum raya, sudah jadi rutin buat saya untuk ke Rembau, Negeri Sembilan. Menziarahi kuburnya dan kubur arwah ibu. "Tetapi kalau ikutkan, tak cuma waktu raya, setiap kali saya rindu atau saya teringatkannya, saya akan ke sana menziarah kubur dan mendoakan kesejahteraan buat mereka," katanya yang kini tinggal di Kuala Lumpur bersama-sama anak angkatnya, Ika. Kongsi penyanyi ini lagi, antara kenangan yang paling diingatinya adalah keterujaan untuk pulang berhari raya di kampung bersama arwah. "Budak-budak mana yang tak suka balik kampung. Kita pun seronok. Jadi setiap kali nak balik, mesti dia sangat teruja. Cakap saja nak balik kampung dia dah terbayang nak main dengan saudara maranya di sana. "Paling dia suka aktiviti malam raya. Sebab biasalah budak-budak... suka main mercun, main bunga api. Kemeriahan itu yang dia sukakan. "Kalau makan, dia suka makan makanan yang pedas-pedas. Rendang pedas memang kegemaran arwah," kongsinya lagi. Cerita Zaiton lagi, selepas seronok berhari raya di Rembau, dia sekeluarga pasti singgah ke Port Dickson dan Melaka. "Arwah ayah saya orang sana, jadi kami akan singgah sekejap untuk jalan-jalan sebelum pulang ke Kuala Lumpur semula. Tapi itu dululah, sekarang dah tiada sesiapa," katanya. Mengakui bahawa hidupnya tenang dijaga Ika kata Zaiton, sejak hidup sendirian keterujaan menyambut Lebaran sudah semakin berkurangan. "Dulu ada arwah, beraya dengan anak paling seronok. Tapi sekarang ini pun Alhamdulilllah... saya beraya dengan anak angkat yang telah menjaga saya sejak tiga tahun lepas. "Dia pun anak yatim, ibu bapanya sudah meninggal dunia, jadi dia menganggap saya ini macam mak dia, sanggup jaga dan membawa saya menetap dengan dia. Jadi hidup kami sekarang berdualah," katanya. Menurut Zaiton, Ika sedaya upaya memastikan sambutan Lebaran mereka meriah seperti orang lain walaupun dengan cara sederhana. Saban tahun kata Zaiton, Ika membawanya membeli-belah baju raya dan mereka akan masak juadah raya bersama-sama. "Kemudian kami menjemput sahabat handai datang ke rumah. Beraya bersama-sama. Dulu saya masih ingat yang selalu datang ziarah saya adalah kawan baik saya Allahyarham Sudirman Hj Arshad dan Allahyarham Sharifah Aini. "Sebenarnya saya sedih dengan kehilangan Kak Pah. Dia orang yang rapat dan selalu bertanya khabar saya. Kalau dia tak dapat datang. dia akan hubungi saya untuk berborak. "Apabila dia sudah tiada, saya rasa sedih... kawan-kawan saya semua dah pergi," katanya dalam nada sebak. Dalam pada itu kata Zaiton, dia selalu terkenangkan sambutan raya sewaktu kecil di kampung yang lebih meriah berbanding di bandar. "Kalau di bandar tak dapatlah nak merasai keseronokkan seperti memasang pelita di pagar rumah, gotong rotong masak ketupat dan lemang. Saya sukakan suasana itu. Barulah terasa macam Hari Raya. "Apa pun saya bersyukur kerana masih dapat menikmati Syawal pada usia ini dan meraikan seadanya dengan keluarga yang ada," katanya menutup bicara.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails