Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lebaran lebih indah - Fizo Omar

SENYUM manis terukir di bibir Fizo Omar tatkala ditanya tentang persiapan kehidupan berumah tangga. Bagi pelakon ini dia semakin bahagia meniti hari sebagai suami kepada Mawar Abdul Karim. Walaupun masing-masing dihambat dengan kesibukan menguruskan perniagaan masing-masing tetapi mereka masih meluangkan masa berkualiti bersama-sama. "Memang sepanjang Ramadan ini kami berdua terlalu sibuk dengan kerja. Saya dengan bisnes Hot Burger manakala Mawar dengan pelbagai program tudung Fareeda. "Sampaikan satu tahap kami tak berpeluang langsung untuk berbuka puasa di kampung saya di Kelantan. Sebab itu Aidilfitri ini saya mengambil cuti seminggu agar dapat pulang beraya di kampung masing-masing," jelas Fizo. Sementelah ini merupakan sambutan Hari Raya pertama sebagai suami isteri, Fizo sudah mempunyai perancangan untuk meraikannya bersama-sama. "Insya-Allah tahun ini kami meraikan Lebaran di Kelantan selama empat hari. Selepas itu baru kami ke Pulau Pinang untuk meraikan Syawal bersama-sama keluarga Mawar pula. "Ini akan menjadi Hari Raya yang dinanti-nantikan memandangkan kali pertama Mawar beraya di Kelantan," jelasnya yang tidak sabar merasai pengalaman berhari raya sebagai suami isteri. Akan menziarahi pusara ayahnya yang sudah tiga tahun meninggalkan mereka sekeluarga sebaik selepas solat sunat Aidilfiti Fizo juga membeeritahu, selepas itu dia akan menunggu kunjungan tetamu di rumah. Jika berkelapangan dia juga berhasrat menziarah saudara-mara dan sahabat-handai di kawasan sekitar. "Setiap kali raya saya akan cari lemang, serunding dan tapai daun getah. Itu memang menu mesti ada setiap kali menyambut Hari Raya. Selalunya menu-menu tersebut disediakan oleh ibu saya," ujarnya. Jika tahun-tahun sebelum ini Fizo mengadakan rumah terbuka pada hari raya keempat tetapi tradisi itu terpaksa dilupakan seketika memandangkan dia perlu beraya di kampung halaman Mawar. Dia masih ingat sambutan rumah terbuka sebelum ini apabila mereka sekeluarga menyembelih lembu untuk dijadikan lauk kepada para tetamu yang datang. Meskipun terpaksa berbelanja lebih namun itu menjadi tradisi unik keluarga Fizo meraikan tetamu setiap kali tibanya Syawal. "Tahun ini saya tak buat rumah terbuka macam itu tapi sesiapa sahaja yang nak datang beraya pintu rumah saya sentiasa terbuka," tambah pelakon yang berasal dari Selising, Pasir Puteh ini lagi. Mawar teruja PERTAMA kali beraya sebagai isteri, dia tahu keluarganya semakin bertambah dan pastinya kemeriahan tersebut semakin berganda. Tambahan pula dia meraikan Hari Raya pertama di kampung suami, itu menjadi pengalaman manis buat wanita berusia 24 tahun ini. Acap kali mendengar kemeriahan sambutan Hari Raya termasuk cerita-cerita tentang keenakan masakan tradisional Negeri Cik Siti Wan Kembang menambahkan lagi keterujaan untuk beraya di kampung sebelah suaminya sebelum meneruskan kemeriahan lebaran di kampungnya selepas itu. "Bagi saya sambutan Aidilfitri lebih bermakna jika dapat berkumpul bersama-sama keluarga jauh dan dekat setelah penat bekerja sepanjang tahun. "Kalau nak ikutkan sepanjang tahun saya bekerja. Jadi inilah masa untuk saya berkumpul bersama keluarga dan merapatkan kembali silaturrahim. "Kali ini suasananya berbeza memandangkan sudah ada dua keluarga besar untuk diraikan. Pasti banyak perkara menarik yang akan menjadi pengalaman baru buat saya," jelas Mawar lagi. Akui Mawar, dia menyambut Lebaran serba sederhana memandangkan kesibukan tugas sebagai usahawan dan isteri yang membataskan sedikit pergerakannya. Mengimbau kenangan Lebaran yang lalu, Mawar kebiasaannya menemani ibunya ke pasar untuk mencari keperluan memasak juadah istimewa untuk para tetamu. "Setiap tahun itulah aktiviti kami sehari sebelum Hari Raya. Kemudian masing-masing akan bertungkus lumus di dapur menyiapkan juadah seperti nasi beriani, rendang ayam dan banyak lagi," ceritanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails