Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fauzi Nawawi dengan siapa pula tu?


CEPAT pasang teropong, kami nampak Fauzi Nawawi dengan dot... dot... dot...”Begitulah reaksi seorang peminat apabila dia mendakwa terserempak dengan pelakon macho abad ini, Fauzi Nawawi ketika berjalan-jalan di ibu kota beberapa minggu lalu.

Seorang peminat bernama Ayu yang mengadu kepada Niezam turut bertanya sama ada Fauzi dengan Lisdawati masih suami isteri lagi ke tak?

Ehh... Ayu... Jaga sikit mulut. Nak mati ke? Sah-sah rumah tangga Fauzi dengan Lisdawati aman bahagia sekarang ni.

Cuma tak dinafikan sebelum ini memang pernah ada gosip mengatakan hubungan Lis dan Fauzi sedikit goyang.

Tapi Fauzi sudah membuat kenyataan, walau apa pun terjadi dia akan tetap mempertahankan rumah tangganya. Maknanya dia tetap sayangkan rumah tangga dan anak-anaknya.

Selepas mendengar penjelasan itu, Ayu bertanya kepada Niezam lagi siapakah perempuan yang dia nampak berjalan dengan Fauzi baru-baru ni itu?

Si Ayu betul-betul curiga kerana dia sangkakan Fauzi mungkin berkahwin lain secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa.

Wanita yang didakwa Ayu bersama Fauzi itu kelihatan seperti akrab dan mesra.

Jawapan untuk Ayu senang saja. Tak salah kalau seseorang itu nak berjalan dengan sesiapa pun asalkan tidak berlebih-lebih cukuplah.

Mungkin orang yang dimaksudkan Ayu itu pelakon yang sama-sama terlibat dengan produksi drama. Ataupun saudara-mara Fauzi sendiri.

Entah-entah Fauzi bersama wartawan hiburan yang baru habis fotografi di ibu kota. Siapa tahu kan?

Ataupun juga lelaki tersebut orang yang seiras dengan Fauzi. Yalah... Selama ini pun banyak tersebar kononnya ada video tak senonoh melibatkan Fauzi di internet sedangkan orang yang dimaksudkan itu adalah lelaki lain yang mempunyai wajah seakan-akan sama.

Jadi kepada si Ayu, harap-harap tidaklah menanam perasaan curiga kepada sesiapa ya.

Bukan apa, Fauzi adalah suami yang bertanggungjawab dan mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi kepada keluarga.

Anak-anaknya dengan bekas isteri pun semuanya bijak selain berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Tanggungjawab dia kepada Lisdawati pun tinggi. Tak main nak gaduh-gaduh sebab kedua-dua mereka memang sporting habis. Tengoklah, setiap tahun Lisdawati beranak.

Digelar andartu, Elly pasrah


Abang, Elly tertinggal beg mekap...” Itulah perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut Elly Mazlein selepas kira-kira dua tahun kami tidak bertentang mata.

Sesi fotografi petang itu yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan gara-gara beg yang memuatkan alat soleknya tertinggal.

Saya mengusik Elly, “Tak apalah, sudah faktor usia memang begitu. Kalau dah nak masuk umur 30-an macam-macam akan terlupa.”

Faham benar saya dengan situasi yang dialami Elly. Dan petang itu saya hanya duduk berborak dengannya manakala sesi fotografi terpaksa diatur pada hari lain.

Mengenali pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini, memang dia memiliki suara yang manja.

Tapi awas... Ada yang berkata suara manja Elly itu hanyalah pura-pura belaka. Dia sekadar berlakon untuk mendapat perhatian.

Itu semua cakap-cakap orang. Biarlah nak berpura-pura atau pun tidak, asalkan dia tidak menyusahkan saya sudah cukup.

Apabila menyebut nama Elly, tak ada perkara lain yang terlintas di benak fikiran kita melainkan tuduhan dia mempunyai hubungan dengan suami orang.

Ya... sejak 10 tahun dulu lagi apabila sebut saja nama wanita ini, tentu yang terlintas adalah gosip mengenai skandal.

Itulah kisah panas setiap kali kita berbicara tentang wanita bernama Elly Mazlein.

“Cukuplah... Elly tak mahu cakap lagi soal itu. Biarlah orang nak kata apa sekalipun. Elly tak mahu komen panjang kerana sudah penat,” ujarnya.

Kepada Pancaindera Elly mengakui hidupnya tertekan dengan tuduhan yang dilemparkan orang kononnya dia menjadi punca terhadap kehancuran rumah tangga orang lain.

Sebab itulah apabila diajak berbicara perkara tersebut, Elly cuba mengelak. Mungkin dia sudah muak untuk memperkatakan sesuatu yang tetap menjadi buah mulut orang itu.

Andartu? Tak kisah

Bakal menginjak ke usia 30 tahun pada 17 Disember ini, saya berkata sudah tiba masanya untuk dia memikirkan soal berkeluarga.

Saya bergurau dengan menambah wanita yang semakin lanjut usia “harganya” semakin murah. Apa yang hendak difikirkan lagi?

“Tidak ada wanita yang tak mahu berkahwin. Semuanya nak tapi buat masa ini jodoh belum sampai. Elly mempunyai tanggung jawab yang besar untuk keluarga. Mana nak bayar rumah lagi, kereta lagi dan macam-macam.

“Kalau kita kahwin, kita kena bagi komitmen kepada suami. Nak berlakon pun tak boleh macam dulu. Tak boleh nak aktif sangat.

“Sebab Elly seorang yang sayangkan kepada keluarga. Jika kita kahwin tetapi masih bekerja macam kita hidup zaman bujang, ia akan menyusahkan. Itu yang Elly cuba elakkan.

“Sebab itulah sebelum membuat keputusan untuk kahwin, Elly kena pastikan keluarga akan hidup senang dengan wang ringgit yang Elly carikan untuk mereka dulu. Kalau dah kahwin nanti mungkin tak boleh nak bantu lagi,” katanya.

Saat ditanya tidakkah nanti Elly bimbang dipanggil andartu Elly tidak menganggap keputusannya untuk tidak berumahtangga dalam waktu terdekat ini memberi kesan buruk.

Andartu kata Elly hanyalah sebuah ungkapan tetapi soal jodoh itu adalah urusan Yang Maha Esa.

Apa yang pasti Elly tetap mahu berkahwin cuma masanya masih belum tiba.

“Selama hari ini orang selalu bertanyakan Elly soal kahwin. Ya... Elly dapat beri jaminan kalaulah suatu hari nanti jodoh itu sudah sampai, Elly tidak akan menyembunyikan perkara itu.

“Soal nikah dan kahwin perkara baik. Cuma bila Elly mengelak bercerita soal tersebut, ada yang membuat tuduhan kononnya Elly sudah berkahwin dalam senyap-senyap.

“Itu semua tak betul sama sekali. Elly mahu jelaskan kalaulah jodoh sudah sampai, Elly akan berkongsi dengan semua orang termasuk peminat. Jangan bimbanglah,” katanya.

Mana ambil duit?

Album terakhir Elly, Atas Nama Cinta diedarkan pada tahun 2003. Selepas itu syarikat rakamannya NAR Records telah ditutup.

Ramai yang tertanya-tanya dari sumber manakah Elly mencari wang untuk menyara hidupnya dan keluarga?

Dan kerana itulah sering ada suara-suara sumbang yang mengaitkan Elly kononnya ditaja oleh orang itu dan orang ini.

“Maaflah... Segala kesenangan Elly hari ini, Elly yang usahakan. Apabila tak ada album, Elly bukan duduk saja tapi Elly aktif berlakon.

“Bukan nak menunjuk tapi tawaran berlakon untuk Elly memang datang tak putus-putus. Elly kerja siang dan malam nak cari rezeki. Balik pun kadang-kadang awal pagi.

“Syukurlah walaupun Elly tidak aktif di pentas nyanyian macam dulu-dulu tapi rezeki itu sentiasa ada. Elly bersyukur sangat.

“Kalau ada orang nak kaitkan Elly dengan pihak itu atau pihak ini, maaflah! Itu semua fitnah. Elly tahu siapa diri Elly yang sebenarnya,” katanya.

Tunjuk bakat berlakon teater

Daripada seorang penyanyi, beralih kepada pelakon drama, Elly mengembangkan pula kerjaya sebagai seorang pelakon teater.

Teater Sri Mersing yang dipentaskan di Istana Budaya bermula Jumaat lalu sehingga 21 Mac akan datang benar-benar menguji kemampuan wanita ini.

Kali pertama ditawarkan berlakon dengan memegang watak sebagai Sri, Elly merasakan bukan mudah sebenarnya untuk bergelar bintang teater.

“Elly berlakon dengan mereka yang sememangnya hebat dalam bidang seni seperti Datin Rosnani Jamil, Melissa Saila, Rusdi Ramli dan Datuk Mustapha Maarof.

“Dengan bantuan dan tunjuk ajar pengarah Rosden Suboh menjadikan Elly benar-benar hebat apabila berada di pentas.

“Elly tidak menyesal menolak tawaran berlakon selama sebulan semata-mata, untuk memberi tumpuan terhadap teater ini. Walaupun bayarannya tidak semahal berlakon drama tapi Elly mementingkan kepuasan,” katanya.

Sri Mersing mengimbas filem klasik Melayu selepas 50 tahun dengan membangkitkan nostalgia Damak, Sri, Pak Malau dan Awang Sulung.

Tiket-tiket menyaksikan persembahan tersebut dijual dari RM20 sehingga 150 dengan melayari www.ticket2u.biz atau layari menghubungi 03-41498600.

Ahli Fiqir setuju untuk berpecah


Berpisah jalan terbaik

Assalamualaikum. Apa khabar? Harap Ahli Fiqir sihat dan diberkati dalam perjalanan hidup. Saya juga berharap Ahli Fiqir sudi menjawab soalan-soalan saya ini.

1. Benarkah dakwaan perpecahan kalian?

2 . Apa yang berlaku kepada Ahli Fiqir sehinggakan mahu berpecah?

3. Bergerak secara solo, adakah ini jalan terakhir?

n Samsiah Norizz,

Bandar Putra, Selangor

AHLI FIQIR

1 Sebenarnya kita bukan berpecah hanya kontrak kami di tamatkan lebih awal. Kami memilih demikian kerana mahu berlaku adil kepada semua. Ini tak bermakna perjuangan kami berakhir setakat ini tetapi dalam masa yang sama masing-masing ada agenda tersendiri yang sudah dirancang.

2. Tiada apa-apa yang berlaku dan tiada pertelingkahan atau pertengkaran pun. Mawar berduri sedang sarat mengandung anak ke dua, jadi keputusan telah dibuat oleh pihak rakaman kami untuk menamatkan kontrak.

Kami masing-masing telah menyetujui perpisahan ini. Biarlah Mawar melahirkan anaknya dahulu dan Cza mempunyai bisnes keluarga yang harus diteruskan.

3. Ia bukan jalan yang terakhir tetapi buat masa sekarang itu jalan yang terbaik. Masing-masing ada komitmen tersendiri dan harap ini jalan yang terakhir untuk sebagai sebuah kumpulan namun secara individu kami akan terus berkarya.

Capai impian sendirian

Assalamualaikum saya merupakan peminat Ahli Fiqir diharap menjawab beberapa soalan saya.

1. Apa perkembangan album kau orang? Dari segi jualan adakah ia semakin meningkat naik?

2. Banyak lagu korang mempunyai lirik yang best. Adakah ini dicipta atau ia ditulis melalui pengalaman kau orang?

3. Apa impian kau orang yang masih belum tercapai?

n Jumanji,

Kluang, Johor.

AHLI FIQIR

1. Dari segi penjualan album kita tidak boleh harapkan apa-apa. Semua artis Malaysia juga mengalami masalah yang sama dari segi penjualan album. Namun kami sangat senang dengan album Irama Berima yang baru sahaja dilancarkan. Lagu-lagu dalam album tersebut begitu diterima dan kami berbesar hati dengannya.

2. Kalau nak diikutkan hampir kesemua ladu kami adalah dari pengalaman sendiri dan orang lain. Lirik-lirik Ahli Fiqir diciptakan berdasarkan pengalaman kami dan orang orang di lingkungan kami. Tapi ia disesuaikan mengikut konsep agar ia mempunyai nilai kormesil yang tinggi.

3. Impian kami untuk menembusi pasaran Indonesia. Tapi itu yang kami tak dapat lakukan ketika masih berkumpulan. Jadi kami rasa segala bermula harus berakhir. Tiada yang kekal. Semua perlu berjuang untuk masa depan masing-masing sama ada tercapai atau tidak. Jadi mungkin selepas ini masing-masing boleh mencapai impian yang diinginkan.

Konsert percuma bunuh industri

Assalamualaikum. Apa khabar Ahli Fiqir? Harap semua sentiasa sihat dan sudi untuk menjawab soalan saya ini.

1. Bagaimana kalian melihat industri seni Malaysia pada waktu ini?

2. Tidak ada perancangan untuk berlakon? Mungkin salah seorang dari Ahli Fiqir ada mendapat tawaran berlakon?

3. Selama bergiat aktif dalam dua muzik, adakah kalian merasa puas dengan pencapaian yang dapat?

n Hafizi Amin,

Kajang, Selangor.

AHLI FIQIR

1. Industri kita sekarang semakin merudum dah tak macam dulu. Album dah kurang laku dan banyak konsert percuma. Ini sebenarnya sedikit sebanyak membunuh industri kita. Dalam pada itu kami juga sangat seronok dan bangga terhadap industri Malaysia ketika ini. Tak jauh ketinggalan dengan industri muzik Indonesia

2. Secara peribadi ada di antara kami yang pernah berlakon sewaktu di Singapura dahulu. Buat masa sekarang semua lebih suka menyanyi. Cza pula sama sekali tidak ada berniat untuk berlakon. Minatnya pada bidang muzik tak pernah luntur dek tawaran berlakon.

3. Daly belum lagu puas mungkin tak akan puas sampai bila-bila. Tapi bagi Cza dia cukup puas dengan apa yang pernah dikecapinya. Namun secara individu masing-masing perjalanan kami masih jauh dan masih banyak yang harus ditempuh.

Reda dengan segalanya

Hai Ahli Fiqir. Apa khabar. Saya merupakan salah seorang peminat setia anda dan sangat berharap anda akan menjadi anak seni yang berjaya pada masa hadapan.

1. Hayat sesebuah kumpulan memang tak lama. Dan kini tiba giliran Ahli Fiqir untuk berpecah. Adakah kau orang redha dengan semuanya?

2. Sukar atau tidak sebenarnya bergerak dalam sesebuah kumpulan?

n Juliana Johari,

Ipoh, Perak.


AHLI FIQIR

1. Kami tak pernah menyesal malahan kami bersyukur kerana kami berpisah secara aman damai. Ini merupakan permuafakatan antara kami dan keputusan yang bukan dipaksa. Nak kata reda tak juga tetapi kami mengakhiri sebuah bab di dalam hidup kami. Dalam masa yang sama perlu meneruskan perjuangan yang berikutnya.

2. Tidak begitu sukar jikalau kita tahu akan tanggungjawab masing-masing. Kita bertuah sebab semua ahli tahu peranan mereka dan ini sudah cukup membuatkan kami gembira. Sama saja seperti bekerja di dalam sebuah perusahaan, kadang kala kita kurang setuju terhadap tujuan yang lain, namun di hujung hari berhasil juga.

Bangga bermula di Singapura

Hai. Saya memang meminati nyanyian anda dan berharap supaya anda dapat meneruskan kecemerlangan yang anda bina selama ini walaupun secara solo.

1. Ahli Fiqir ada nama, tapi tak ada X faktor yang benar-benar berbekas di hati peminat. Apa agaknya yang akan jadi kalau semua anggota bergerak secara solo?

2. Apa kenangan manis yang tidak dapat dilupakan?

3. Bagaimana sambutan peminat Singapura terhadap anda?

n Peminat Setia,

Johor Bahru.

AHLI FIQIR

1. Semua orang ada kekurangan dan kelebihan, X-faktor kami adalah karya kami. Tak ramai kumpulan yang dapat melakukan seperti kami. Kami sangat berterima kasih atas sokongan peminat peminat di Malaysia. Buruk atau baik sekarang waktu berehat dari muzik dan fokus terhadap perjuangan lain.

2. Sebagai orang luar kami merasa bersyukur kerana dapat diterima dan dihargai peminat-peminat Malaysia.Bagi Cza pula terlalu banyak untuk disebutkan. Pernah menyertai MTV Asia Awards 2005 di Jakarta bersama Gigi dan Ratu.

3. Secara terus-terang sambutannya tak sehebat di Malaysia tetapi kami tak pernah lupa tempat bermula. Itu tempat kelahiran Ahli Fiqir dan kami bangga dengannya. Singapura sangat baik terhadap Ahli Fiqir, terima kasih kepada semua peminat Singapura.

"Biarlah orang mengata"-Hattan


SEJAK memegang status duda popular, nama penyanyi Hattan tidak pernah terlepas daripada perhatian masyarakat terutamanya apabila sering kali dikaitkan daripada artis sehinggalah kepada orang biasa.

Tapi itu langsung tidak berjaya menambat hatinya untuk mendirikan mahligai cinta abadi sedangkan anak tunggalnya semakin besar panjang.

Bukan mencari silap ataupun menyalahkan sesiapa tetapi tidak ada siapapun dapat menebak apa yang bersarang di hati penyanyi lagu Bisa Bonar ini walaupun sudah mempunyai beberapa pilihan teman tapi mesranya.

Ada yang mengatakan Hattan sudah “demand” bukan sahaja soal jodoh tetapi juga “demand” dalam mencorakkan kerjaya seni yang sudah dibina sejak sekian lama.

Malah kehidupan yang dikecapi oleh Hattan bukan lagi seperti dulu dan tidak kurang juga yang melabelkannya lupa diri dek kerana kesenangan dan kemewahan harta benda yang dimilikinya hari ini.

Kehebatan duda anak satu ini tidak terbatas setakat bidang nyanyian sahaja. Dia juga sering kali tampil dalam pertandingan-pertandingan pencarian bakat baru selaku juri.

Sering kali tampil dengan komen-komen pedas dan kritikan-kritikan yang bisa mencalarkan hati, ramai juga yang kurang senang dengan sikapnya itu dan ramai juga yang bersetuju dengan memandangkan dia orang lama dalam industri.

Enggan melatah dengan cakap-cakap orang yang tidak senang dengan dirinya, Hattan mengakui dirinya kini semakin sibuk dengan pelbagai tawaran yang diterima dan dia tidak punya masa untuk melayan semua cakap-cakap yang tidak membina mindanya.

“Saya tak peduli dengan semuanya, apa yang orang lain nak cakap biarlah. Semua orang boleh cakap apa sahaja tapi saya tahu apa yang saya lakukan.

“Keluar dengan perempuan orang bercakap. Tak keluar orang tanya. Habis apa lagi? Saya lebih suka mengambil sikap berdiam diri dan melihat keadaan yang berlaku.

“Andai sudah tiba jodoh saya tak menolak. Mencari atau tidak bukan masalah memandangkan itu bukan tujuan utama saya sekarang. Orang boleh label apa yang mereka suka, saya tak kisah.

“Kalau dikatakan fobia dengan perkahwinan, mungkin itu jawapan yang sesuai. Sejak enam tahun lalu saya selesa menguruskan diri sendiri dan Adam Iman dan tak ada sebarang masalah pun.

“Jadi lebih baik go with the flow. Bukankah itu lebih bagus?” ujarnya dengan nada yang serius.

Bercerita mengenai karier seninya pula, Hattan tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dengan kehadiran album Inderawala baru-baru ini.

Serentak melancarkan Inderawala, Hattan juga turut sama mengeluarkan produk Addam Men Skincare khusus untuk lelaki.

Hattan menjelaskan kelahiran produk ini begitu istimewa dan eksklusif untuk peminat yang benar-benar menghargai kewujudannya sejak dahulu lagi dan itu juga lambang kasih sayang dirinya kepada peminat.

“Saya percaya kepada nilai eksklusif. Kalau peminat cari album Inderawala di kedai-kedai kaset, mereka tak akan jumpa kerana ia terlalu istimewa. Kalau nak mereka kena dapatkan Addam Men Skincare barulah boleh dapatkan Inderawala. Ia hadir dalam satu pakej dan saya fikir idea menggabungkan karya kreatif dan produk kecantikan ini satu idea yang baik kerana semua orang suka seni, semua orang juga suka kepada kecantikan dan kebersihan.

“Ini strategi perniagaan saya. Kalau orang lain nak cakap apa biarlah. Kalau ada yang kurang senang dengan cara saya apa boleh buat?

“Saya tak peduli dengan semuanya. Selama ini sudah banyak pengalaman yang saya lalui bukan sahaja dalam bidang nyanyian tetapi juga bidang perniagaan.

“Semuanya saya tanggung sendiri. Jatuh dan bangunnya saya selama ini benar-benar memberikan pengajaran yang cukup bermakna untuk saya melalui hari-hari mendatang,. Inderawala dan Addam Men Skincara adalah cara saya untuk berkongsi keseluruhan idea dan citarasa saya dengan peminat di luar sana” jelasnya yang kini popular dengan lagu Cinta Pertama.

Mengulas lanjut mengenai Addam Men Skincare dan Inderawala, Hattan memberitahu itu merupakan projek usaha sama antara Mum Bio Cos Manufacturing Sdn. Bhd. dengan Addamshop.

Bersedia untuk melantik banyak pengedar dan agen Addam Men Skincare, Hattan berharap mereka yang berminat boleh menghubungi talian 016-7683368 untuk keterangan lanjut.

“Terlalu banyak produk kecantikan untuk wanita di pasaran, tetapi tidak banyak untuk kaum lelaki. Sebab itu saya percaya Addam Men Skincare boleh pergi jauh sebab kurang persaingan, selain kualiti produk yang baik yang kami sediakan,” katanya, mempromosi.

Bercerita mengenai Inderawala juga, Hattan tidak dapat membayangkan rasa terharu atas kelahiran mini albumnya yang mendapat sentuhan komposer Edry Hashim itu.

Walaupun muncul dengan lima lagu baru dalam Inderawala, Hattan masih lagi belum berkesempatan untuk mempromosikan album berkenaan memandangkan jadual seninya yang begitu padat.

“Memang saya tak cukup masa. Saya sangat sibuk dengan persembahan pentas dan berlakon. Semakin banyak tawaran lakonan yang saya terima tetapi banyak juga yang terpaksa saya tolak.

“Nak tak nak saya kena selit juga jadual untuk promosi album dan Addam Men Skincare supaya dikenali ramai, saya tak kisah walaupun agak kelam-kabut untuk melakukan kesemuanya dalam satu masa,” kata watak utama dalam telefilem Rompakan Kabinet ini.

Mulai April ini, Hattan bakal terlibat dalam filem Bravo 5 yang menampilkan gandingannya dengan pelakon-pelakon hebat tanah air yang lain.

Hattan juga akan muncul menyerikan majlis pertandingan akhir Kacak Bergaya Vigor Pancaindera pada 27 Mac ini bertempat di Legend Hotel, Kuala Lumpur.

Syahrini cinta baru Anang


TIGA KALI ciuman lembut singgah di pipi, kening dan bahu Syahrini dari Anang ketika mereka berduet di acara Dahsyatnya Awards menyebabkan pasangan duet ini kini menjadi bualan hangat. Adakah Anang kini sudah menjumpai pengganti KD dalam hidupnya?

Seperti selalu Anang sering berdolak-dalik tentang hubungan ini walaupun khalayak sudah dapat meneka daripada kemesraan mereka. Anang menyatakan ciuman itu hanyalah sebagai ucapan terima kasih pada Syahrini kerana telah sudi menjadi pasangan duetnya.

Syahrini dan Anang berduet dalam lagu ciptaan Anang yang bertajuk Jangan Memilih Aku. Jika dulu Anang berduet dengan KD kini Syahrini menggantikan tempat KD. Banyak suara yang kedengaran bahawa suara Syahrini mirip suara KD namun bagi Anang, Syahrini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Apabila ditanya, Syahrini mengaku terkejut dengan tindakan Anang menciumnya dan menganggap ciuman dari Anang itu hanyalah sebagai penghargaan Anang terhadap pasangan duetnya. Syahrini juga tidak menyalahkan masyarakat jika ciuman itu disalah ertikan kerana menurutnya dia dan Anang memang mempunyai kedekatan sebagai seorang penyanyi dan pencipta lagu.

Anang juga tidak mempunyai masalah jika kemesraan yang ditunjukkannya bersama Syahrini akhirnya akan berkembang di mata masyarakat kerana setiap yang berkembang tersebut menurutnya bukan datang dari mulut mereka berdua. Masyarakat hanya memberi pendapat dan apa yang sebenarnya berlaku hanya dia dan Syahrini sahaja yang tahu.

Saya Selesa Bersembang Dengan Stacy - Syamsul


KALAU tiada angin, masakan pokok akan bergoyang... cerita yang mengatakan pelakon dan pengarah muda, Syamsul Yusof mempunyai hubungan dengan penyanyi lincah, Stacy bukanlah sekadar khabar angin semata-mata.

Biarpun anak kepada pengarah terkenal Yusof Haslam ini berhati-hati apabila berbicara tentang kisah cintanya namun dia tidak menafikan hubungan yang pernah terjalin antara mereka selepas Anugerah Bintang Popular tahun lepas.

"Saya akui kami pernah rapat dahulu namun perkara ini sudah lama. Kami intim sejak ABP tahun lepas lagi.

"Tapi kini kami sudah tidak serapat dahulu, saya pun tidak tahu kenapa," ujarnya.

Menurut jejaka berusia 26 tahun ini, dia selesa berkawan dengan Stacy kerana gadis itu tidak terlalu cerewet dan sentiasa bersederhana.

"Saya senang bersembang dengan dia kerana dia seorang yang sangat simple.

"Pada mulanya saya lamar dia untuk menyanyi dalam soundtrack KL Drift, tapi tak jadi sebab ada masalah teknikal.

"Tapi kami tidak bercinta hanya kawan rapat sahaja. Sekarang masing-masing sudah sibuk dengan kerja masing-masing. Lagi pula dia sudah berpindah rumah," katanya yang kini sibuk dengan filem terbarunya Evolusi KL Drift 2.

Ketika ditanya tentang keistimewaan yang terdapat pada gadis ini jika dibandingkan dengan bekas kekasihnya dahulu, Syamsul berkata, dia bukan seorang yang terlalu memilih pasangan.

"Saya tidak memilih kerana bagi saya semua manusia sama. Apa yang penting kita boleh berkongsi pendapat dan bertolak-ansur antara satu sama lain," katanya.

Bagaimanapun, dia yang pernah melalui episod duka apabila kisah cintanya dengan aktres Diana Danielle putus di tengah jalan ini mahu persoalan tentang cinta hatinya itu tidak mengganggu privasi dan kariernya yang semakin rancak kini.

"Buat masa ini saya tiada sesiapa dalam hidup. Apa yang lebih penting ialah saya akan terus dengan usaha saya untuk menghasilkan lebih banyak filem-filem terbaik dan berkualiti," katanya mengakhiri perbualan tentang persoalan cintanya.

Ziana Menangis Cerita Pengalaman Bersalin Anak Kembar


SELEPAS lapan bulan melahirkan anak kembarnya Muhammad Ariel dan Siti Nour Kaseh, baru semalam Ziana bersedia memperkenalkan anaknya itu kepada pihak media.

Ziana yang pernah dikatakan mahu menyorok anaknya daripada umum bagaimanapun mempunyai alasannya sendiri.

"Tidak pernah terniat hendak sorokkan anak-anak kembar saya," jelas Ziana membuka bicara tentang kisah di sebalik cerita dia ingin menyorokkan anak-anaknya dari pihak media.

Jelas Ziana, dia mempunyai sebab kenapa dia ingin menyendiri sewaktu melalui fasa yang sukar itu.

"Selepas bersalin saya telah dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana mempunyai masalah tekanan darah tinggi yang teruk.

“Sebenarnya saya mengalami masalah tekanan darah tinggi itu seminggu sebelum melahirkan anak sehingga bacaan darah tingginya mencecah 200 di sebelah atas.

"Selepas bersalin, doktor juga menasihatkan supaya saya berehat sekurang-kurangnya enam bulan," ujar Ziana, 42.

Semasa berkongsi cerita mengenai pengalaman 'nyawa di hujung tanduk' ketika bersalin anak kembar, Ziana tidak dapat menahan sebak hingga menitiskan air mata.

Penyanyi bersuara lantang ini menyifatkan kejadian yang berlaku ke atas dirinya adalah begitu tragis, sambil berkali-kali bersyukur kerana dia masih dipanjangkan umur dan dapat membesarkan anak-anaknya itu.

"Saya bersyukur sangat... Allah telah panjangkan umur saya. Sepanjang proses bersalin, saya masih sedar. Tapi selepas sahaja kedua-dua bayi saya keluar, saya sudah tidak tahu apa yang terjadi.

"Saya telah dimasukkan ke unit rawatan rapi selama lima hari. Sepanjang berada di wad itu, saya telah dimasukkan 10 paket darah.

"Menurut doktor, saya telah mengalami tumpah darah yang begitu banyak hingga berada di dalam keadaan kritikal dan mempunyai peluang tipis untuk hidup," katanya ketika majlis memperkenalkan Duta SlimWorld 2010.

Ketika ditanya mengenai perasaanya semasa bertarung nyawa selepas selamat bersalin anak kembarnya itu, Ziana turut berkata ia adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkanya kerana pengalaman melahirkan dua orang anaknya sebelum ini adalah lebih senang.

Pengalaman melahirkan anak kembar bagi Ziana sangat jauh berbeza jika dibandingkan dengan melahirkan dua anaknya yang lain.

"Masa itu, saya hanya fikir bagaimana keadaan anak dan saya menangis dalam hati mengenangkan nasib anak kembar saya.

"Mungkin semangat yang ada dalam diri saya itu membolehkan saya bangun dan menikmati kehidupan sehingga ke hari ini," katanya sambil mengesat air mata.

Selain itu, Ziana turut memberitahu semasa berdepan dengan kejadian hitam dalam hidupnya itu, dia seperti dapat merasai saat kematiannya begitu hampir.

"Saya rasa seperti sudah hampir dengan ajal, tapi Allah itu maha kuasa memberikan peluang kedua kepada saya untuk kembali hidup bersama keluarga, kawan-kawan dan sanak saudara," ujarnya yang pernah dua hari tidak dibenarkan minum semasa menerima rawatan.

Mungkin pengalaman dasyat itu membuat Ziana bertekad tidak mahu melahirkan anak lagi selepas ini.

Jelas Ziana, dia sudahpun memenuhi permintaan suaminya yang hanya mahukan empat orang anak.

"Suami hanya mahu empat orang anak dan saya sudah cukupkan jumlah itu.

"Lagipun pengalaman lahir anak kembar itu membuatkan saya jadi serik dan takut untuk berhadapan dengan kejadian seperti itu lagi," ujarnya yang masih trauma dengan kejadian yang berlaku selepas melahirkan anaknya itu.

Menurut Ziana, dia bersyukur kerana mempunyai seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab.

"Suami saya mengambil cuti selama sebulan untuk menjaga saya semasa dalam pantang.

"Perkara yang sama juga dia lakukan semasa saya melahirkan anak pertama dan kedua. Giliran suami menjaga di sebelah malam, manakala giliran saya pula di sebelah siang," ujar Ziana selaku duta dan jurucakap kepada produk Slim World.

Chef Wan: Duit Bukan Segalanya...


Program masakan baru, Makan Angin dihoskan bersama oleh Chef Wan dan Najib Ali.

KALAU diikutkan usianya yang telah mencecah 52 tahun, selebriti chef bertaraf dunia Datuk Chef Wan sudah boleh berehat dan memikirkan tentang diri-sendiri.

Tambahan pula, beliau bukanlah calang-calang orang dan bukannya dia tidak mampu untuk menyara diri dengan hasil titik peluhnya yang diraih sebelum ini.

Memang benar, ayah kepada aktres dan pengacara Serina Redzuawan yang bakal mendapat cucu tidak lama lagi itu, masih setia dan sibuk dengan kerjayanya itu.

Jika ditanya alasan kenapa dia masih sibuk dengan tugasnya sebagai duta masakan yang menjelajah di setiap pelusok, 'Selebriti Chef Terbaik Dunia' di Gourmand Awards 2009 itu berkata, dia hanya ingin berbakti kepada negara.

“Saya bekerja sekarang bukan kerana duit tetapi melunaskan tanggungjawab saya untuk mempromosikan negara kita.

“Inilah pengorbanan yang saya perlu lakukan apabila dilantik sebagai duta,” katanya yang turut tampil dengan program masakan sendiri, Ekspedisi Chef Wan kepada mStar Online.

Bayangkan, setiap pelusuk tempat yang dijelajahi beliau sebelum ini bukannya selalu mendapat bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

Dari tiket penerbangan hingga membeli barang dapur untuk membuat demonstrasi masakan di luar negara semuanya ditanggung sendiri.

Chef Wan baru selesai menjalani penggambaran 13 episod Makan, yang dihoskan bersama oleh pengacara terkenal dari Singapura Najib Ali.



Beliau juga seperti sudah terbiasa dengan rutin hariannya yang sentiasa berulang-alik dari Malaysia ke luar negara. Sejak selesai kenduri kahwin Serina pada Januari lalu, beliau tidak henti-henti pergi ke luar negara.

Kata beliau yang sentiasa ramah dan murah dengan senyuman itu: “Itulah kehidupan...”

Pada 17 Mac ini, beliau akan terbang ke Pulau Mauritius, seterusnya menghadiri Pesta Makanan di Lombok, Thailand dan Vietnam. Selepas itu beliau ke Paris sebelum singgah ke destinasi berikutnya, Abu Dhabi selama lima hari untuk Pesta Buku.

Anak jati Sungai Koyan, Raub itu juga memberitahu dia baru saja kembali dari Macau dan London untuk penggambaran Ekspedisi Chef Wan untuk musim terbaru ini.

Selain itu, beliau juga baru selesai menjalani penggambaran untuk sebuah lagi program pengembaraan 13 episod Makan Angin.

Program yang menonjolkan budaya dan makanan setempat melibatkan tujuh destinasi terpilih itu turut dihoskan oleh pengacara terkenal dari Singapura, Najib Ali.

Untuk musim pertama ini, beberapa negeri di Malaysia termasuk Sarawak, Melaka, Sabah dan Cameron Highlands serta beberapa tempat di Indonesia seperti Menado dan Sulawesi dipaparkan dalam program itu.

Tinggal beberapa tempat di negara Timur Tengah dan China yang akan disambung penggambarannya dalam masa terdekat ini.

“Ini merupakan kali pertama saya mengacarakan sebuah program dengan Najib Ali. Semuanya berjalan dengan lancar kerana kedua-duanya energetik.

“Najib lebih banyak bercakap tentang tempat yang dipaparkan dalam program itu manakala saya pula menyentuh lebih terperinci tentang juadah makanan,” kata Chef Wan mengenai program yang akan disiarkan di Suria TV (Singapura) dan saluran AFC (Astro) itu.

Menurut Chef Wan, Najib Ali sendiri mengakui siri 'Makan Angin' mempunyai trademark yang lebih mirip ke tukang masak terkenal itu.

"Kata Najib, seperti semua program masakan yang menyerlah adalah saya dan bukan dia. Lagipun personaliti Najib lebih ke arah hiburan," kata Chef Wan.

"Teman Tapi Mesra" - Eira Syazira


Eira akui rapat dengan Azad.

SELEPAS tujuh tahun bergelar anak seni, namanya juga tidak terkecuali menerima tempias gosip.

Eira Syazira, 26, yang pernah digosipkan dengan suami orang suatu masa dulu, kini semakin matang menangkis sebarang gosip liar mengenai dirinya.

Terbaru, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini juga turut dikatakan penyebab kepada hubungan cinta antara Azad Jazmin dengan Faezah Elai berakhir.

"Saya mula kenal Azad semasa kami bersama membintangi drama 'Cinta Balkis' pertengahan tahun lepas. Sebelum ini, saya tidak kenal dia dan tidak tahu dengan siapa dia bercinta.

"Selepas saya dengar Azad sudah putus cinta dengan Faezah, baru saya tahu mereka bercinta.

"Jika saya yang menjadi punca keretakan hubungan mereka, sudah pasti Faezah akan menelefon atau jumpa saya," ujar pelakon drama "cinta balkis" ini.

Bagaimanapun, Eira yang tidak mudah melatah mendengar gosip mengenai dirinya itu, turut tidak menafikan dia dengan Azad berkawan rapat dan boleh dianggap seperti 'teman tapi mesra'.

"Saya tidak menafikan yang kini kami memang sangat rapat. Tapi hanya rapat sebagai kawan. Buat masa ini, hanya dia seorang sahaja lelaki yang rapat dengan saya.

Eira bakal tampil dengan dengan album pertama, Aril ini.

"Selepas bergandingan dalam drama Cinta Balkis, kami berdua menerima banyak tawaran untuk berlakon bersama.

"Mungkin sebab itu, kami berdua semakin rapat. Saya senang dengan Azad, dia seorang yang peramah, kelakar dan baik," katanya yang meminati lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

Eira yang masih berahsia dan menafikan dakwaan dia dan Azad bercinta bagaimanapun tidak menolak sekiranya jodohnya dengan jejaka dari utara tanah air itu.

"Saya tidak mahu cakap lebih-lebih, bercinta ataupun tidak. Kalau itu jodoh saya, saya akan terima.

"Azad seorang yang matang, lagipun umurnya sudah 34 tahun. Dia banyak menolong saya terutamanya untuk urusan menyiapkan album pertama yang bakal dikeluarkan April ini," kata Eira yang sedang berguru dengan penulis lirik dan komposer terkenal Adnan Abu Hassan.

Pelakon wanita utama filem Ngangkung ini turut memberitahu dia tidak pernah meletakkan ciri-ciri tertentu dalam menentukan jodohnya suatu hari nanti.

"Saya tidak meletakkan syarat atau mahukan cici-ciri tertentu pada seorang lelaki, yang penting dia mesti seorang yang baik dan bertanggungjawab.

"Pastinya lelaki yang akan saya kahwin itu adalah pilihan saya sendiri," katanya yang pernah bercadang untuk menamatkan zaman bujangnya ketika berumur 25 tahun.

Walaupun masih baru beberapa bulan berkawan, namun Eira turut memberitahu keluargaanya juga senang dengan cara Azad.

"Keluarga saya tidak pernah membantah saya berkawan dengan Azad, dia juga pernah datang ke rumah saya. Buat masa ini, tiada halangan daripada keluarga saya," katanya yang bakal merakamkan lagu berduet dengan Azad.

Johan Tak Perlu Publisiti Yang Merosakkan Nama Dan Kariernya


PELAWAK, pelakon dan pengacara Johan Raja Lawak jelas mempamerkan reaksi tidak selesa ketika diajukan pertanyaan berhubung cerita-cerita 'kurang enak' yang timbul kebelakangan ini.

Kisah peribadi yang menyentuh anak lelakinya yang baru lahir, keluarga dan kisah-kisah lama begitu menyentak kredibilitinya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa.

Menurut Johan yang ditemui di Gelanggang Akhir Raja Lawak 4, kelmarin, dia tetap bertegas dengan pendiriannya dan tidak mahu beri muka dengan spekulasi dan artikel nista yang dilemparkan terhadapnya oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab itu.

Jika artikel sedemikian ditulis dengan bertujuan untuk mengaibkan dan menjejaskan 'periuk nasi'nya sebagai anak seni, Johan lebih senang jika dia tidak diberi sebarang publisiti langsung.

"Jika artikel yang ditulis tentang saya hanya berunsur fitnah dan boleh memburukkan nama baik dan karier, lebih baik tak payah beri publisiti pada saya langsung.

"Saya faham dan hormati tugas wartawan tapi jika setakat menulis cerita-cerita tidak betul yang menyelak kisah 'dalam kain' saya dan keluarga, lebih baik jangan tulis apa-apa tentang saya langsung.

"Adakah wartawan itu atau orang luar mengenali saya sedalamnya? Hanya keluarga saja yang tahu siapa diri saya.

"Apabila wartawan itu tampil dengan penulisan yang mencalar nama saya tanpa mendapatkan penjelasan saya, tentulah saya tidak senang.

"Jika wartawan itu benar-benar bersikap terbuka dan beretika, tentu dia berani untuk bertanya dan berbincang dengan saya terlebih dahulu dan bukannya menulis cerita bukan-bukan tentang saya tanpa usul-periksa.

"Terus-terang saya katakan, saya tidak perlukan sebarang publisiti yang hanya merosakkan nama saya dan keluarga," katanya yang amat menghargai pihak media yang memaparkan perkembangan kerjayanya berbanding cerita-cerita yang tidak berasas.

Sejak kelahiran puteranya, Ahmad Sodiq Hainana, Johan mengakui, tanggungjawabnya semakin lebih besar untuk menyara keluarga. Justeru, dia tiada masa untuk melayan hal-hal sebegini dan tidak ambil peduli tentang apa jua pandangan serong orang luar terhadapnya.

"Kini, tanggungjawab saya lebih besar. Saya perlu bekerja lebih keras untuk menampung anak dan isteri. Saya tiada masa hendak layan hal-hal begini dan hanya ingin fokus pada kerja sahaja.

"Tiada orang luar yang lebih mengenali siapa diri saya dan perasaan saya melainkan diri saya sendiri.

"Sebaiknya jika mana-mana pihak yang tidak mengetahui kebenaran tentang sesuatu hal, janganlah mudah serkap jarang atau membuat tohmahan.

"Bagaimanapun, tak perlulah saya nak jelaskan satu persatu kepada orang ramai kebenaran apa jua cerita tidak baik yang ditulis tentang saya.

"Biarlah, saya sudah tidak ambil peduli. Apa yang paling penting adalah keluarga dan 'periuk nasi' saya," tegas Johan.

Dalam pertemuan singkat itu, Johan turut berkata, dia masih belum bersedia untuk mencanangkan tentang anaknya, Ahmad Sodiq Hainana untuk tatapan umum.

Malah, sebagai bapa dan ketua keluarga, dia lebih selesa jika hanya dia sahaja yang tampil ke depan berbanding ahli keluarganya.

"Saya belum bersedia untuk tunjukkan anak saya kepada umum. Apa pun, keadaannya bertambah baik dan telah pulang ke rumah. Sebagai bapa dan ketua keluarga, saya lebih senang jika keluarga saya tidak diberikan publisiti.

"Kalau boleh biarlah cuma saya sahaja yang menonjol dan dikenali atas kerja yang saya lakukan. Tidak perlulah anak dan isteri saya tampil untuk tatapan umum.

"Pada yang sudah mengetahui dan mengenali saya dan keluarga, tidak mengapalah. Tapi buat yang tidak mengetahuinya, biarlah saya saja yang menonjol menerusi kerja yang saya lakukan dan bukannya kerana cerita peribadi. Itu lebih baik," katanya mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails