Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Digelar andartu, Elly pasrah


Abang, Elly tertinggal beg mekap...” Itulah perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut Elly Mazlein selepas kira-kira dua tahun kami tidak bertentang mata.

Sesi fotografi petang itu yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan gara-gara beg yang memuatkan alat soleknya tertinggal.

Saya mengusik Elly, “Tak apalah, sudah faktor usia memang begitu. Kalau dah nak masuk umur 30-an macam-macam akan terlupa.”

Faham benar saya dengan situasi yang dialami Elly. Dan petang itu saya hanya duduk berborak dengannya manakala sesi fotografi terpaksa diatur pada hari lain.

Mengenali pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi ini, memang dia memiliki suara yang manja.

Tapi awas... Ada yang berkata suara manja Elly itu hanyalah pura-pura belaka. Dia sekadar berlakon untuk mendapat perhatian.

Itu semua cakap-cakap orang. Biarlah nak berpura-pura atau pun tidak, asalkan dia tidak menyusahkan saya sudah cukup.

Apabila menyebut nama Elly, tak ada perkara lain yang terlintas di benak fikiran kita melainkan tuduhan dia mempunyai hubungan dengan suami orang.

Ya... sejak 10 tahun dulu lagi apabila sebut saja nama wanita ini, tentu yang terlintas adalah gosip mengenai skandal.

Itulah kisah panas setiap kali kita berbicara tentang wanita bernama Elly Mazlein.

“Cukuplah... Elly tak mahu cakap lagi soal itu. Biarlah orang nak kata apa sekalipun. Elly tak mahu komen panjang kerana sudah penat,” ujarnya.

Kepada Pancaindera Elly mengakui hidupnya tertekan dengan tuduhan yang dilemparkan orang kononnya dia menjadi punca terhadap kehancuran rumah tangga orang lain.

Sebab itulah apabila diajak berbicara perkara tersebut, Elly cuba mengelak. Mungkin dia sudah muak untuk memperkatakan sesuatu yang tetap menjadi buah mulut orang itu.

Andartu? Tak kisah

Bakal menginjak ke usia 30 tahun pada 17 Disember ini, saya berkata sudah tiba masanya untuk dia memikirkan soal berkeluarga.

Saya bergurau dengan menambah wanita yang semakin lanjut usia “harganya” semakin murah. Apa yang hendak difikirkan lagi?

“Tidak ada wanita yang tak mahu berkahwin. Semuanya nak tapi buat masa ini jodoh belum sampai. Elly mempunyai tanggung jawab yang besar untuk keluarga. Mana nak bayar rumah lagi, kereta lagi dan macam-macam.

“Kalau kita kahwin, kita kena bagi komitmen kepada suami. Nak berlakon pun tak boleh macam dulu. Tak boleh nak aktif sangat.

“Sebab Elly seorang yang sayangkan kepada keluarga. Jika kita kahwin tetapi masih bekerja macam kita hidup zaman bujang, ia akan menyusahkan. Itu yang Elly cuba elakkan.

“Sebab itulah sebelum membuat keputusan untuk kahwin, Elly kena pastikan keluarga akan hidup senang dengan wang ringgit yang Elly carikan untuk mereka dulu. Kalau dah kahwin nanti mungkin tak boleh nak bantu lagi,” katanya.

Saat ditanya tidakkah nanti Elly bimbang dipanggil andartu Elly tidak menganggap keputusannya untuk tidak berumahtangga dalam waktu terdekat ini memberi kesan buruk.

Andartu kata Elly hanyalah sebuah ungkapan tetapi soal jodoh itu adalah urusan Yang Maha Esa.

Apa yang pasti Elly tetap mahu berkahwin cuma masanya masih belum tiba.

“Selama hari ini orang selalu bertanyakan Elly soal kahwin. Ya... Elly dapat beri jaminan kalaulah suatu hari nanti jodoh itu sudah sampai, Elly tidak akan menyembunyikan perkara itu.

“Soal nikah dan kahwin perkara baik. Cuma bila Elly mengelak bercerita soal tersebut, ada yang membuat tuduhan kononnya Elly sudah berkahwin dalam senyap-senyap.

“Itu semua tak betul sama sekali. Elly mahu jelaskan kalaulah jodoh sudah sampai, Elly akan berkongsi dengan semua orang termasuk peminat. Jangan bimbanglah,” katanya.

Mana ambil duit?

Album terakhir Elly, Atas Nama Cinta diedarkan pada tahun 2003. Selepas itu syarikat rakamannya NAR Records telah ditutup.

Ramai yang tertanya-tanya dari sumber manakah Elly mencari wang untuk menyara hidupnya dan keluarga?

Dan kerana itulah sering ada suara-suara sumbang yang mengaitkan Elly kononnya ditaja oleh orang itu dan orang ini.

“Maaflah... Segala kesenangan Elly hari ini, Elly yang usahakan. Apabila tak ada album, Elly bukan duduk saja tapi Elly aktif berlakon.

“Bukan nak menunjuk tapi tawaran berlakon untuk Elly memang datang tak putus-putus. Elly kerja siang dan malam nak cari rezeki. Balik pun kadang-kadang awal pagi.

“Syukurlah walaupun Elly tidak aktif di pentas nyanyian macam dulu-dulu tapi rezeki itu sentiasa ada. Elly bersyukur sangat.

“Kalau ada orang nak kaitkan Elly dengan pihak itu atau pihak ini, maaflah! Itu semua fitnah. Elly tahu siapa diri Elly yang sebenarnya,” katanya.

Tunjuk bakat berlakon teater

Daripada seorang penyanyi, beralih kepada pelakon drama, Elly mengembangkan pula kerjaya sebagai seorang pelakon teater.

Teater Sri Mersing yang dipentaskan di Istana Budaya bermula Jumaat lalu sehingga 21 Mac akan datang benar-benar menguji kemampuan wanita ini.

Kali pertama ditawarkan berlakon dengan memegang watak sebagai Sri, Elly merasakan bukan mudah sebenarnya untuk bergelar bintang teater.

“Elly berlakon dengan mereka yang sememangnya hebat dalam bidang seni seperti Datin Rosnani Jamil, Melissa Saila, Rusdi Ramli dan Datuk Mustapha Maarof.

“Dengan bantuan dan tunjuk ajar pengarah Rosden Suboh menjadikan Elly benar-benar hebat apabila berada di pentas.

“Elly tidak menyesal menolak tawaran berlakon selama sebulan semata-mata, untuk memberi tumpuan terhadap teater ini. Walaupun bayarannya tidak semahal berlakon drama tapi Elly mementingkan kepuasan,” katanya.

Sri Mersing mengimbas filem klasik Melayu selepas 50 tahun dengan membangkitkan nostalgia Damak, Sri, Pak Malau dan Awang Sulung.

Tiket-tiket menyaksikan persembahan tersebut dijual dari RM20 sehingga 150 dengan melayari www.ticket2u.biz atau layari menghubungi 03-41498600.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails