Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Shila Menolak Cinta


TIDAK seperti remaja lain, pemilik tempat kedua pada pertandingan realiti, One In A Million musim kedua (OIAM2), Shila, mengakui bahawa dia masih belum bersedia untuk menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

Biarpun mengakui pernah beberapa 'terjatuh' cinta atau terpikat dengan lelaki, namun dia akan menolak perkara itu agar tidak berpanjangan.

"Susah untuk cari lelaki yang boleh memahami kerjaya saya. Saya tidak ada masa untuk beri sepenuh komitmen, kesian kalau dia jadi teman lelaki saya.

"Kalau saya tahu ada di kalangan rakan-rakan yang jatuh cinta atau suka pada saya, saya akan beritahu awal-awal pada mereka. Kalau boleh saya tidak mahu bercinta pada ketika ini.

"Memang kadang-kadang saya ada terjatuh cinta atau terpikat dengan seseorang tapi seboleh-bolehnya saya akan cuba hindar," ujar Shila.

Pemilik nama Nurshahila Amir Hamzah ini tidak mahu kerjayanya terganggu akibat dari keasyikan bercinta, malah dia lebih selesa menjalani hidupnya ketika ini ditemani keluarga dan rakan-rakan sahaja.

"Saya mahu fokus kepada kerjaya, sama ada nyanyian atau bidang pengiklanan. Saya lebih selesa jika ditemani dengan ahli keluarga untuk kemana-mana, itu lebih selamat," jelasnya yang juga gemar mencipta lagu.

Mengenai perjalanan karier seninya yang kurang menyerlah berbanding rezeki menjadi duta produk, Shila mengakui perkara itu bukan kemahuan atau pilihannya.

"Saya sedar rezeki saya sekarang bukan di bidang nyanyian tetapi di bidang iklan. peluang untuk menyanyi tidak sebaik iklan. Allah itu maha adil, dia tak bagi kita sema dan tak ambik semua. Saya bersyukur atas apa yang dia beri sekarang.

"Tapi jujurnya saya lebih suka menyanyi, saya tidak puas untuk menyanyi lagi," katanya.

Ketika ditanya penglibatannya dalam bidang lakonan, Shila memberitahu, bapanya Amir Hamzah atau lebih dikenali sebagai ND Lala tidak mengalakkannya menceburkan diri dalam lakonan.

"Papa tidak galakkan saya berlakon kerana tidak mahu suara saya rosak. Lagipun ketahanan badan saya terlalu lemah, saya tidak boleh terlalu lasak," jelasnya yang kini menjadi duta kepada produk minuman Tinge, Spritzer.

Hamil 4 Bulan, Bunga Citra Lestari Adakan Kenduri Kesyukuran


SEPERTI kebanyakan ibu yang pertama kali hamil, artis Bunga Citra Lestari turut tidak ketinggalan menganjurkan kenduri kesyukuran.

Bagaimanapun, majlis tersebut dilakukan secara tertutup dari wartawan.

Perkara itu diberitahu oleh seorang pembantu rumah Bunga.

"Iya ada acara pengajian tapi nggak mau diganggu, acaranya tertutup. Hanya kedua keluarga besar saja yang hadir," katanya yang ditemui di kediaman Bunga di Jakarta Selatan, semalam.

Pembantu rumah itu enggan bercerita lebih lanjut mengenai soal kenduri kesyukuran tersebut.

Apa yang pasti, kenduri itu mengundang beberapa anak yatim.

Walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai kehamilan Bunga, secara tradisinya dalam Islam, kenduri kesyukuran diadakan apabila kandungan artis jelita itu sudah memasuki bulan keempat.

Maria Farida Teruja Dengan Miss Kronika


RAUT wajahnya yang jelita membuatkan ramai yang tidak jemu memandang aktres Maria Farida atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza.

Sukar untuk menelah perasaannya apabila bergelar wanita cantik berstatus janda beranak satu sepertinya. Tidak dinafikan ada yang cuba ‘masuk jarum’ termasuk golongan VIP namun dia pandai menepis setiap tawaran itu.

Andai kata dia sudah bersedia mengisi kekosongan hatinya, bukan suami orang yang menjadi pilihannya.

“Saya mahukan lelaki bujang atau duda untuk menjadi suami saya. Setakat ini, saya belum bertemu dengan lelaki yang boleh mendorong saya meninggalkan dunia lakonan.

“Selain itu, kesibukan dengan kerja membataskan saya untuk mencari pasangan hidup. Lagipun bukan mudah untuk mendapat lelaki yang boleh memahami kerja saya,” katanya yang telah 10 tahun bergelar ibu tunggal.

Memandangkan anak tunggalnya, Mizan Ashley, 13, sudah meningkat remaja, lantas dia mampu memfokuskan waktu kerja sepenuhnya.

Biarpun masa senggangnya akan dibahagikan untuk menemani anaknya menjalani aktiviti luar, namun Maria sendiri turut memanfaatkan masa untuk diri-sendiri.

Jelasnya, mungkin ada mata di luar memandang dan menafsirkan dirinya agak berlainan berbanding di depan kamera.

Biarlah apa pun kata orang, asalkan dia tahu kerja yang telah dilakukan sejak 20 tahun lalu itu. Ternyata banyak pengalaman yang dikutip dalam industri ini.

Yang pasti, berdisiplin dan berdedikasi kepada kerja adalah prinsip yang dipegang sejak awal lagi.

“Saya akan cuba memberikan 100 peratus komitmen kepada kerja yang dilakukan. Saya ceburi bidang ini bukan untuk mencari glamor tetapi disebabkan rasa cinta kepada kerja,” ujar pelakon filem Senario The Movie Episode 2: Beach Boys, My Spy dan Jalang itu.

Atas semangat yang dipegang itu menyebabkan ramai produser yang menyenangi sikapnya lantas memberikan banyak tawaran lakonan.

Buat pertama kalinya, dia berlakon dalam drama bercorak superhero. Maria melakonkan dua watak iaitu watak saintis yang baik bernama Dr. Wawa dan akhirnya bertukar jahat bernama Miss Kronika.

Menariknya, setiap episod drama bersiri Kapoww!!! Lagenda Astromen itu menggunakan teknik janaan imej berkomputer (CGI) dengan dia perlu menggunakan imaginasi untuk merealisasikan sesuatu babak itu.

“Banyak perkara yang menarik dan cabaran yang perlu saya hadapi dalam drama ini. Saya bukan sahaja perlu melakukan aksi pergaduhan dalam drama ini malah perlu memakai kostum yang tebal dan menyebabkan kita cepat berasa tidak selesa dan hendak pengsan apabila berada di tempat bercuaca panas.

“Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan watak Miss Kronika sebab saya menjadi seorang yang sangat jahat dan mahu membunuh semua superhero.

"Jika ditawarkan cerita superhero lagi selepas ini, saya tidak akan menolak jika sesuai dengan skrip dan jalan ceritanya,” tuturnya yang turut menyukai watak berkonsepkan superhero X-Men itu.

Drama 15 episod arahan Azizi Chunk Adnan itu akan disiarkan mulai 7 Mei ini, setiap Jumaat, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104).

Haliza Tiada Niat Menyeksikan Diri Dalam Andartu Terlampau…


BANYAK perkara yang bermain di fikiran tatkala selesai menonton pratonton filem Andartu Terlampau… 21 Hari Mencari Suami! di Cathay Cineplex Damansara semalam.

Bermula daripada garapan cerita yang hampir menyerupai beberapa filem romantik komedi Hollywood mengisarkan tentang wanita yang mendapat pelbagai cabaran ketika mencari pasangan hidup. Namun terbalik pula dalam filem Andartu Terlampau…, ia mengisahkan tentang Nikki atau nama sebenarnya Nik Melati Sukma mendapat desakan keluarga untuk berkahwin.

Sehinggalah cara berpakaian pelakon utamanya, Haliza Misbun yang melakonkan watak Nikki. Mungkin dia memakai seluar pendek dan baju singlet bagi menyesuaikan dengan watak remaja yang dilakonkan.

Ada juga babak-babak yang agak seksi dan berani seperti menampakkan pangkal payudara.

Namun, menurut Haliza, dia tiada niat untuk menyeksikan diri. Alasannya, dia gagal membaca fikiran pengarahnya, Din CJ ketika melakonkan babak yang memintanya memakai gaun seksi itu.

“Saya tiada niat untuk menyeksikan diri. Waktu itu saya tiada gambaran syot bagaimana yang diinginkan oleh pengarah. Kalau saya tahu dia mahu ambil syot dari atas, sudah tentu saya tak akan pakai (gaun).

“Jika rasa babak itu keterlaluan, Lembaga Penapisan Filem (LPF) akan memotong (babak yang tidak sepatutnya) tetapi filem ini lulus bersih,” ujar penerbit dari Big Productions Sdn Bhd itu.

Bukan soal seksi sahaja, ada juga yang berpendapat, pakaian yang dipakai oleh Haliza di hari pernikahannya dengan Omar Shariff (Fahrin Ahmad) tidak sepadan dengan pakaian pasangannya.

Jelas Haliza, memang dia sengaja memikirkan tentang ketidaksesuaian itu bagi menunjukkan pertembungan yang berlaku antara dua individu itu.

“Cara Nikki berpakaian pengantin yang serba tidak kena dengan pengantin lelaki itu merupakan petunjuk yang dia sebenarnya belum bersedia untuk berkahwin tetapi terpaksa menerima lelaki itu. Jadi sebab itu dia buat tetapi tidak ikhlas,” beritahunya.

Apabila membaca perkataan andartu atau anak dara tua, ramai yang meneka cerita itu ditujukan kepada Haliza yang masih membujang sehingga kini.

Walaupun bunyinya agak sinis, dia tidak menafikan cerita itu merupakan luahan hatinya mewakili wanita yang berstatus andartu.

“Apabila berjumpa dengan kawan-kawan yang senasib dengan saya, ramai yang mengeluh susah untuk mencari suami sehingga ada yang enggan pergi mana-mana majlis kahwin.

“Bagi saya, bukan mudah untuk mencari lelaki yang benar-benar berkualiti. Tetapi agak keterlaluan pula jika saya katakan lelaki di luar sana semuanya tidak berguna.

“Yang penting, saya buat filem ini untuk memberitahu yang kami bukannya sengaja memilih untuk tidak berkahwin tetapi disebabkan sukar mencari keserasian dengan lelaki,” jelasnya lagi.

Namun dia mengaku hanya dalam tidak lebih 25 peratus jalan cerita filem itu menyentuh tentang pengalaman dirinya.

Haliza sangat optimis filem yang akan ditayangkan di pawagam mulai 20 Mei ini akan mendapat sambutan baik.

Selain Haliza, filem edaran MIG Productions itu turut membariskan pelakon terkenal seperti Awie, Azhar Sulaiman, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Maimon Muttalib, Abby Abadi dan Erra Fazira termasuk penampilan istimewa pelakon Indonesia Ari Wibowo.

Kristal huru-hara?


LEPAS satu, satu kumpulan rock berpecah. Entah kenapa mereka tak boleh bertahan lama, Raja pun tak faham. Ada saja masalah mereka ini. Ia bukan lagi sesuatu yang mengejutkan, sudah kerap sangat berlaku sejak dulu. Jarang ada kumpulan rock yang dapat bertahan berdekad lamanya. Bergaduh, berantakan sesama sendiri dan tiada disiplin antara puncanya.

Terbaru, Raja dengar kumpulan Kristal pula huru-hara selepas vokalisnya, Razlan dengan Nur Sheila Hashim mendirikan rumah tangga tidak lama dulu. Takkan disebabkan Razlan berkahwin, populariti Kristal menjunam kot! Tapi Raja dengar bukan itu puncanya, tetapi anggota lain khabarnya `berbulu' dengan perangai isteri Razlan, yang dikatakan lebih sudu daripada kuah. Eh! betul ke ni?

Raja diberitahu oleh sumber terdekat dengan kumpulan ini, banyak aktiviti Kristal tersekat di-sebabkan isteri Razlan suka kawal segala-galanya atau mungkin nak jadi 'queen control'. Apabila sudah macam itu, faham-faham sajalah. Itu tak boleh, ini tak boleh. Lambat laun, orang lain naik meluat kerana banyak aktiviti tidak berjalan dengan baik, ada saja masalah timbul. Perkara ini yang menjadikan Kristal menjadi celaru. Seorang anggotanya dikatakan sudah menarik diri dari kumpulan ini. Tapi itu cerita yang Raja dengar sebelah pihak, tak pasti sejauh mana kesahihan cerita di sebelah pihak lagi.

Khabarnya, Kristal sudah merancang untuk cari pengganti Razlan. Calonnya ialah finalis program realiti TV. Kalau Raja sebut namanya, mungkin ramai yang kenal. Maklumlah artis realitinya dikenali ramai. Manakala Razlan khabarnya akan diketengahkan sebagai penyanyi solo. Tapi boleh ke? Khabarnya, jadi masalah sekarang ialah kontrak Kristal dengan syarikat rakaman, membuatkan mereka tidak boleh buat apa-apa hingga tamat kontrak.

Raja dengar anggota Kristal yang lain sudah lama memendam rasa sejak Razlan belum berkahwin lain. Ketika itu, ke hulu hilir, Razlan asyik membawa bakal isterinya itu, sampai pergi show pun nak bawa juga. Soal pandangan orang terhadap mereka, itu yang ditakutkan. Tapi tak apalah, Razlan pun sudah berkahwin sekarang.

Kalau fotografi majalah tak usah nak cakaplah, bakal isteri Razlan itu me-ngalahkan artis. Soal itu, memang tak boleh salahlah Razlan, itu mungkin permintaan wartawan, tapi kena berpada-pada.
Orang lain ada kekasih juga, tapi taklah sampai nak tunjuk sana, sini. Apabila sudah kahwin, lagilah teruk keadaannya, sentiasa tak boleh berenggang. Kan susah jika ada show di luar Kuala Lumpur, dulu bilik boleh berkongsi, kini Razlan kena ada bilik sendiri sebab bawa isteri. Lainlah kalau Razlan tak kisah untuk membayar sendiri bilik untuk bersama isterinya.

Macam manapun, di-sebabkan Kristal bergerak secara berkumpulan untuk cari makan dalam bidang muzik, eloklah perkara ini diselesaikan secara elok. Sayang kalau sudah lama bersusah payah, tetapi akhirnya berpecah begitu saja hanya disebabkan hal-hal peribadi ini. Sepatutnya, masing-masing bersikap profesional, tidak campur aduk dengan perkara peribadi. Tengok kumpulan rock otai seperti Wings dan Search yang masing-masing sudah berkeluarga dan beranak pinak, tetapi semuanya profesional. Tidak ada pun si isteri atau anak mencampuri kerja suami. Si suami pula tidak membawa masalah peribadi atau keluarga dalam kerjaya mereka.

Mungkin Razlan hendak berjuang secara solo. Tapi bukan mudah. Razlan kena ingat berapa ramai rockers yang tampil secara solo akhirnya tidak sampai ke mana pun.

Kami tak bercinta-Liyana Jasmay dan Aizat


Aizat, Liyana jangan ada cemburu

SEKALIPUN dua bintang remaja yang semakin hebat dan popular masa kini - Aizat dan Liyana boleh dikategorikan sebagai artis mesra media, namun untuk meminta mereka memberikan aksi atau pose manja umpama pasangan bercinta di depan lensa bukanlah sesuatu yang mudah, masih tebal perasaan tidak selesa meskipun kedua-duanya dicanang sebagai 'teman tapi mesra'.

Mungkin kedua-duanya tidak mahu lagi mengundang kontroversi cinta yang melanda diri masing-masing sebelum ini, lebih-lebih lagi perlu menjaga hati peminat yang baru saja menobatkan mereka sebagai yang paling popular. Kali terakhir mereka digandingkan sebagai penghias muka depan B*Pop pada 24 Ogos 2008 dan hanya selepas kedua-duanya merangkul trofi Penyanyi Lelaki Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, barulah Aizat serta Liyana dipertemukan sekali lagi dalam satu fotografi. Sebagai artis muda yang berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut, sudah terdengar desus-desus peminat tidak begitu gemar melihat gandingan Aizat bersama Liyana, mungkin mereka cemburu melihat bintang kesayangan atau pujaan hati masing-masing didampingi orang lain.

Bagi Aizat yang kini sibuk menyiapkan album keduanya, dia tidak mampu menghalang orang daripada bercakap kerana masing-masing ada hak untuk menyuarakan pendapat. Tambah Aizat lagi, sekiranya benar wujud dakwaan bahawa peminat tidak suka melihat dirinya digandingkan bersama Liyana, dia sendiri tidak faham, mengapa perkara itu boleh berlaku.

“Aizat masih muda. Aizat bebas berkawan dengan sesiapa saja. Buat masa ini Aizat tak mahu terikat dengan sesiapa pun. Namun, Aizat akui, memang Aizat berkawan baik dengan Liyana (Jasmay). Dia kawan perempuan paling rapat ketika ini, tapi nak kata kami serius bercinta, tidaklah sampai ke tahap itu. Bagi Aizat, masih terlalu awal untuk memikirkan soal hati dan perasaan.

“Sekiranya wujud apa-apa perasaan, biarlah ia datang dengan sendiri dan menjadi rahsia peribadi. Lagipun Aizat dan Liyana, kami berkongsi peminat yang sama kebanyakannya remaja. Jadi Aizat selesa dengan keadaan sekarang. Kami juga tinggal berdekatan, kalau setakat melepak sama dengan kawan-kawan, bagi Aizat itu perkara biasa,” kata Aizat yang lebih selesa beri tumpuan terhadap karier nyanyiannya.
Untuk album kedua Aizat, buat pertama kalinya, dia bertindak sepenuhnya sebagai penerbit bersama abangnya, Anas. Album yang masih belum berjudul itu bakal memuatkan lapan hingga 10 lagu dan sudah hampir 80 peratus disiapkan.
Album terbitan Kasi Gegar Entertainment itu dijangka berada di pasaran sebelum musim bola sepak Piala Dunia 2010 tidak lama lagi.

“Album kedua ini ibarat anak sulung sebab kali ini semua Aizat buat sendiri. Ia akan menampilkan konsep mesej kemanusiaan. Aizat lihat nilai kemanusiaan semakin menipis, penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi seolah-olah memperlihatkan manusia hari ini sudah kembali ke zaman jahiliah tanpa kita sedari.

“Justeru, Aizat memikul tanggung jawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi lagu, lirik dan nyanyian, sekurang-kurangnya dapat mempertingkatkan kesedaran itu supaya gejala sosial ini tidak terus berleluasa. Apabila album terbaru ini sudah menjengah pasaran, Aizat akan buat siri jelajah seluruh Malaysia, mudah-mudahan mesej kemanusiaan itu dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Kejayaan demi kejayaan diraih Aizat dalam masa terdekat, sejak menyertai Akademi Fantasia 5 (AF5) hingga 2010, hanya dalam masa tiga tahun serius di bidang nyanyian, pencapaian Aizat amat membanggakan dan amat jarang dikecapi penyanyi seusianya. Justeru, dakwaan yang dilemparkan kepadanya seperti sombong dan berlagak, adalah sesuatu yang lumrah, tapi hakikatnya benarkah dia semakin riak?

“Aizat rasa semuanya berpunca faktor pembawaan diri. Apabila bertemu orang yang Aizat tak berapa kenal, Aizat tak layan sangat. Justeru, mungkin daripada situ ada yang beranggapan Aizat sombong. Namun, Aizat tak pernah berniat bangga diri.

“Namun, sekiranya masih ada yang beranggapan Aizat berlagak, Aizat minta maaf. Bagi Aizat, setiap manusia pernah melakukan kesilapan, Aizat bukan malaikat. Justeru, Aizat perlu kerja kuat, sentiasa ingat pada Tuhan dan mohon restu daripada ayah dan ibu. Seperkara lagi jangan cuba menghampakan peminat dan melupakan mereka yang banyak beri sokongan,” katanya.

Mengaku menyayangi si dia

LIYANA lebih bersikap terbuka apabila mengakui dia suka dan tertarik dengan cara Aizat menerap mesej kemanusiaan menerusi karyanya, sekali gus mengagumi sikap dan personaliti teman baiknya itu. Bagi Liyana, Aizat boleh dijadikan role model kepada remaja dan bagi dirinya juga. Tanpa berselindung, Liyana juga mengakui Aizat adalah kawan lelakinya yang paling rapat dan memang wujud keserasian antara mereka.

Namun, sebaik diajukan persoalan cinta, Liyana sama seperti Aizat tidak selesa dengan kalimah itu, baginya cinta antara mereka masih terlalu jauh.

“Sekarang kami nak fokus kepada karier dan dalam masa sama menikmati kehidupan gembira. Tapi, kasih atau sayang terhadap lelaki yang bernama Aizat itu memang wujud, bohong sekiranya Liyana menafikannya.

“Memang Liyana ambil berat perihal Aizat, kami sering berkongsi masalah peribadi, namun apabila berbicara soal hati dan perasaan, ia terlalu peribadi untuk diceritakan secara terbuka, Liyana serah pada ketentuan Tuhan,” katanya berterus-terang.

Selain karier seninya yang semakin mengharumkan nama empunya diri, Liyana tidak lupa tanggung jawabnya sebagai pelajar. Sekiranya dia tidak gagal dalam peperiksaan baru-baru ini, tahun ini juga dia dijangka menamatkan pengajiannya. Justeru, setiap Isnin dan Rabu, Liyana meneruskan rutinnya sebagai pelajar dan dia dijadualkan memperoleh diplomanya penghujung 2011.

Karier lakonan Liyana lebih menonjol berbanding nyanyian, tapi dia masih ingin membuktikan dirinya boleh menyanyi sekalipun sudah banyak kali keluar dakwaan Liyana Jasmay sebenarnya tak boleh menyanyi, suaranya sumbang dan hanya merosakkan namanya saja! Baru-baru ini juga dia menarik diri daripada persembahan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 kerana mendakwa dia hanya boleh menyanyi dengan iringan muzik live, sebaliknya segmen itu menggunakan minus one.

Liyana sekali lagi dikritik hebat apabila dia tidak berjaya menyanyi dengan baik menerusi program Muzik-Muzik TV3 sekalipun dia menggunakan khidmat live band ketika mendendangkan lagu Aku Jatuh Cinta. Minum one tak boleh, live band pun gagal, justeru Liyana dikatakan belum mampu bergelar seorang penyanyi.

“Selepas sembilan tahun berlakon, baru sekarang Liyana nampak pencapaiannya. Lakonan adalah my passion. Kini, nyanyian adalah my new passion, baru setahun jagung. Bagi Liyana, untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, ia seharusnya bermula sedari awal sama seperti lakonan. Justeru, mengenai nyanyian, apalah yang boleh diharapkan buat masa ini.

“Mengenai persembahan di Muzik-Muzik itu, memang Liyana akui banyak kelemahannya, Liyana tak buat sound check, memang tak ada keyakinan. Orang kata suara Liyana sumbang, tapi bagi Liyana itu sebenarnya satu latihan nyanyian. Liyana akan cuba memperbaiki kelemahan. Janganlah terlalu tinggi menaruh harapan terhadap karier nyanyian Liyana. Berilah Liyana peluang.

“Dakwaan yang mengatakan Liyana sebenarnya tak boleh menyanyi, sebenarnya orang beri perhatian terhadap apa yang kita lakukan. Bagi Liyana, dakwaan itu sebenarnya berjaya menarik perhatian orang sekalipun orang bercakap daripada sudut negatif. Biarlah apa orang nak kata, kita berada di negara yang bebas bercakap, justeru memang Liyana sudah bersedia berdepan situasi seperti ini. Jangan kusutkan fikiran kita, sudahlah,” katanya lagi.

Bagi memperbaiki kelemahan, Liyana kini sedang mengikuti kelas vokal dan mensasarkan antara tiga hingga lima tahun lagi untuk dia melihat hasilnya.

INFO: Aizat

•NAMA PENUH: Muhammad Aizat Amdan

•TARIKH LAHIR: 21 Januari 1989

•ASAL: Kuala Lumpur

•ALBUM: Percubaan Pertama yang mengandungi lagu hit Hanya Kau Yang Mampu

•ALBUM REPACKAGE: Percubaan Pertama mengandungi VCD karaoke dan single Kau Aku

•SINGLE: Kau Aku yang juga lagu tema drama bersiri Merah Putih, Pergi lagu runut bunyi filem Talentime, Susun Silang Kata dan Mana Oh Mana

•SYARIKAT PRODUKSI: Kasi Gegar Entertainment

•PENCAPAIAN: Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi Lagu Kita, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16; Persembahan Terbaik (Kau Aku) dan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 (Pergi) serta Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

INFO: Liyana

•NAMA PENUH: Liyana Jasmay

•TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988

•ASAL: Kuantan, Pahang

•PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor

•FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari, Niang Rapik The Movie, Khurafat (belum tayang) dan Papadom 2 (mula penggambaran pertengahan 2010)

•DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa, Sari Maya dan terbaru Kapoww The Series

•ALBUM (EP): Liyana Jasmay

•PENCAPAIAN: Aktres Terbaik, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009); Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 dan Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

Lokasi: Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur (03 2144 2200)
Terima kasih: Pengurus, Komunikasi Pemasaran, Julini Yusof
Solekan Liyana: Deqsha (019 349 5383)
Dandanan Liyana: Sha Tambee (017 315 0045).

Isteri 'Achik' di dunia & akhirat


DI TEPI pintu yang bercermin, kala hari semakin gelap, seorang kanak-kanak kecil setia menanti. Sesekali dia mengintai, matanya melilau luas, mencari-cari ke luar rumah. Dengan puting susu erat di mulut, dalam pelat bahasa kanak-kanaknya, berkali-kali dia bertanya, 'Mana ayah? Mana ayah? Kenapa ayah tak sampai lagi ni?'

Penat menanti, akhirnya dia ketiduran tanpa mengetahui selama kehidupannya, dia akan terus menanti.

Ya, benar, semenjak malam itu, anak kecil berkenaan terus bertanya soalan yang sama. Mana ayah? Mana ayah? Kenapa ayah belum balik rumah?

Anak kecil yang bernama Sofia,3 tahun itu sebenarnya tidak akan sama sekali bertemu dengan jawapan kepada persoalan itu.

Ini kerana, lelaki yang ditunggu itu sudah menutup matanya, hayat hidupnya telah berakhir dan dia telah dipanggil semula oleh Allah SWT, pencipta sekalian alam.

Ayahnya, lelaki bernama Adillah Murad Md. Shari yang kita kenali sebagai Achik, pelantun suara kumpulan Spin itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ngeri ketika perjalanan pulang ke rumah kelaminnya di Senawang, Negeri Sembilan pada 17 April lalu.

Kenderaan MPV yang dipandu arwah terbakar di tempat kejadian dan Achik disahkan meninggal sejurus selepas kemalangan di kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, Negeri Sembilan.

Selain Sofia, Achik meninggalkan seorang lagi anak yang masih kecil, Safia, 10 bulan dan seorang balu, HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof (Tasha).

Anak pertama pasangan ini, Puteri Rania meninggal dunia selepas beberapa bulan dilahirkan kira-kira empat tahun lalu.

Kejadian ngeri yang membuatkan dalaman jasad penyanyi itu cedera serius, pembuluh darah pecah dan hatinya hancur berkeping-keping, selepas setengah jam berjanji di talian telefon untuk membawa keluarganya keluar makan selepas persembahan di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

"Saya tidak pernah menyangka, anak-anak akan kehilangan ayahnya dengan cepat. Ketika Sofia dan Sumayyah (panggilan untuk di kecil) masih tidak kenal erti hidup, dia sudah pergi.

"Dulu ketika kami hilang Rania, arwah yang bagi saya kekuatan untuk teruskan kehidupan.

"Sekarang bila arwah yang jadi tulang belakang saya selama ini sudah pergi, saya tak ada sesiapa lagi. Hanya ada dua anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Saya sendiri tidak tahu macamana caranya saya hendak teruskan kehidupan selepas ini," luah Tasha dalam bicara tersekat-sekat, ketika saya dan teman-teman mengunjunginya, lima hari selepas perjalanan arwah ke alam barzakh.

Kami hadir untuk berkongsi rasa dari dalam diri Tasha sendiri, sementelah kami sendiri cukup mengenali Achik sebagai salah seorang penyanyi muda yang cukup baik, bersopan-santun dan berbudi bahasa orangnya.

Dia tidak pernah lokek keringat, malah selalu menerima pelawa Pancaindera untuk memeriahkan acara kami tanpa banyak tanya dan soal tentang ganjaran.

Malah, Achik yang kami kenali juga, bukan seorang artis yang bermasalah sehinggakan sukar sekali untuk mencari meski sekecil hama, sisi negatifnya selama ini.

Mula merinduinya

Melihat Tasha yang pada hari pengkebumian jenazah suaminya di Makam Tuan Haji Said, Seremban, wanita ini cukup tabah, malah jarang sekali menangis kala ditemubual media. Pun dalam pertemuan kali ini, dia berubah sama sekali.

Dalam pandangan matanya yang tidak 'segalak' dahulu, Tasha tidak mampu menahan air mata kata kami bertanya tentang perancangan untuk zuriat yang ditinggalkan arwah.

Barangkali kunjungan selepas lima hari kehilangan itu, telah membuatkan dia mula merindu. Jika sebelum ini dia hanya merasakan suaminya hilang kerana urusan kerja di luar daerah, hari kelima membuatkan dia sudah mencari-cari bau sang suami.

"Benar kak, saya sudah mula rindukan dia. Terbayang-bayang dia ada. Sofia pun lepaskan rindu dengan mencium baju arwah. Saya tak tahu, apa lagi yang perlu saya jawab, bila Sofia hari-hari bertanya mana Achik pergi," katanya lagi.

Menelaah nostalgia, mengenali Achik semenjak pertemuan pertama mereka pada Januari 2002, menurut Tasha dia tidak mungkin akan bertemu dengan lelaki sebaik Achik lagi.

Meskipun mencari untuk sepanjang hidup, dia tahu lelaki seperti Achik tidak akan ada duanya.

"Saya mahu menjadi isteri dia di dunia dan di akhirat. Saya tak akan fikirkan apa-apa lagi selepas ini kecuali anak-anak dan kenangan bersama arwah.

"Sepanjang hidup,masa bercinta, bertunang, lepas kahwin, dia tidak pernah sakitkan hati saya. Cakapnya tidak pernah tinggi . Pemergian Rania membuatkan dia selalu berpesan, kalau apa-apa terjadi kepada dirinya, dia mahu saya jangan menangis.

"Sebab itu, pada hari dia meninggal, di depan orang saya tidak menangis kerana saya ingat pesan dia walaupun dalam dada saya bagai mahu pecah menahan sedih. Tetapi sekarang entahlah, saya berasa sudah tidak kuat lagi," ceritanya lagi.

Setelah Achik tiada, barulah Tasha perasan bahawa arwah sudah meninggalkan beberapa alamat atas pemergiannya itu.

Ini termasuklah perilaku ganjil yang tidak pernah dada sebelum ini dan hanya setelah Achik tiada, barulah Tasha perasan akan segala perubahan itu.

"Dua minggu sebelum meninggal, dia cepat sensitif, suka bersedih. Selalu juga dia buat benda macam dalam keadaan tergesa-gesa. Angkat kain tergesa-gesa, berjalan tergesa-gesa, makan pun hendak cepat, sedangkan masa tu bukan banyak kerja pun, " imbasnya.

Ketika rumah teres setingkat yang suram itu kami tinggalkan, hati sebenarnya sangat berat. Masih mahu bersama 'meratah' pilu seorang isteri yang ditinggalkan, pun saya akur, sekuat mana pun kami mencuba, masih tidak dapat menyelami duka laranya. Sempat juga saya ingatkan Tasha, bahawa dia tidak perlu bersedih.

"Sekarang, Achik sedang bersama Rania. Tasha dengan Sofia dan Sumayyah, itu adil bukan?," dan wanita itu erat mendakap saya sebelum kami berpisah.

Di petang yang rembang, hati kami turut terkesan. Pilu kerana satu kehilangan teman yang budiman. Al-Fatihah.

Memey tak mungkin nikah di Golok


TIDAK! Tidak sama sekali. Biar teruk macam mana sekalipun kami dikeji, kami tidak akan bernikah di Golok atau Selatan Thailand,” demikian tegas pelakon manja menggoda, Memey Suhaiza kala diaju pertanyaan apakah benar khabar kononnya dia dan bakal suami, Norman Hakim bakal berkahwin secara rahsia dalam waktu terdekat.

Sambil menafikan dengan sekerasnya tanggapan itu, Memey menambah bicara, “ Untuk apa saya kahwin lari jika keadaan sudah makin pulih? Tolonglah, saya belum terdesak untuk memilih jalan sebegitu,” luah Memey lagi.

Ya, nama Memey Suhaiza bukan satu lagi yang asing dalam dunia hiburan tanah air. Jika insan lain membina nama dengan bakat yang dimiliki, begitu juga dengan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini.

Cuma apa yang membuatkan dirinya lebih ‘mahal’ apabila sering dilanda kontroversi. Semuanya berlaku bagaikan petaka. Satu persatu kontroversi menimpa bagaikan batu besar yang menghempap kepalanya.

Sejak mula melangkah dalam bidang seni, kesabarannya teruji dek kerana pertelingkahan dengan saudara sendiri. Tak cukup dengan itu hubungan yang dibina dengan pelakon popular Norman Hakim dihidu sehinggalah mereka akhirnya ditangkap khalwat dan kes tersebut masih lagi dibicarakan di mahkamah syariah sehingga kini. Kontroversi yang melanda Memey tidak pernah berkesudahan sehinggalah gambar-gambar dia bermesra dengan anak-anak Norman menimbulkan kemarahan sebelah pihak lagi, selain dibenci ribuan pemilik laman sosial Facebook.

Enggan mengalah dengan ketentuan yang melanda, Memey kini dalam senyuman pasrah mengorak langkah ke dalam satu fasa yang lebih serius dengan duda anak tiga itu dan tanpa berselindung lagi mereka mengakui hubungan yang dibina semakin intim dan lebih serius.

Malah sudah kedengaran juga kisah berita kononnya mereka bakal mengakhiri kisah cinta yang dibina dengan ikatan yang sah sedikit masa lagi, secara diam-diami.

Belum tiba masa

Biarpun pelbagai soalan panas yang dilemparkan kepada dirinya, Memey tetap tenang dan tidak melatah dengan semuanya. Walaupun masih baru dalam bidang ini, jalan berliku yang dilaluinya benar-benar mematangkannya.

“Saya tidak pernah mengumumkan akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Bila masa saya cakap saya nak kahwin? Saya sangat terkejut dengan apa yang dilaporkan tetapi dalam masa yang sama tak kisah dengan berita itu.

“Sebelum ini abang Norman ada cakap nak pinang saya bulan tujuh ini. Itupun dalam nada bergurau sebab ramai yang usik kami sebenarnya. Jadi saya anggap ia sebagai satu perkara yang tak serius.

“Saya tidak tahu sama ada apa yang diucapkan abang Norman sebagai sesuatu yang serius atau tidak. Jadi saya juga tak mahu cakap lebih-lebih bimbang menimbulkan kontroversi lagi,” katanya tanpa berselindung.

Bercerita mengenai perancangan kahwinnya, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terburu-buru memikirkan soal tersebut memandangkan usianya yang masih lagi terlalu muda dan kes mahkamah yang belum selesai.

Ujarnya, sebagai wanita yang mempunyai hati dan perasaan, bohonglah jika dia tidak memikirkan soal itu tetapi untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini masih belum menjadi agendanya.

Seboleh-bolehnya dia mahu menumpukan perhatian dalam bidang lakonan yang masih baru dan memandangkan masih banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan.

“Saya akui hubungan kami makin rapat, saya juga tak mahu lagi dilabel wanita hipokrit dan terus menafikan hubungan kami. Orang pun banyak yang sudah tahu. Apa salahnya kami berpakaian sedondon dan datang ke majlis bersama-sama? Rasanya masyarakat sudah boleh menerima kami dan merestui hubungan ini,”katanya.

Hubungan direstui

Melihatkan hubungan merpati dua sejoli ini, bagaikan melihat pasangan-pasangan lain yang sedang asyik menyulam cinta. Dan tak hairanlah jika mereka semakin berani mempamerkan aksi mesra di khalayak ramai.

Tambah Memey dirinya sudah tidak mahu berselidung lagi memandangkan kedua-dua keluarga merestui hubungan mereka untuk menjalin hubungan yang lebih serius.

“Saya sangat terharu kerana abang Norman merupakan seorang yang berani dan tegas dalam segala benda. Macam kes hitam saya tempoh hari, dia datang berjumpa dengan keluarga saya dan memberitahu apa yang terjadi.

“Keluarga saya menerimanya dan keluarga dia turut menerima saya. Saya sendiri sudah dua tiga kali menziarahi keluarga abang Norman dan ini membuatkan hubungan kami makin rapat,” luah Memey lagi.

Bagi Memey, apabila memandang muka Norman, dia melihat lelaki itu sebagai lelaki yang bijak dan tidak bercakap kosong walaupun ramai yang masih membenci hubungan mereka.

“Kalau orang terus nak membenci kami, apa yang boleh saya katakan? Itu hak mereka untuk suka atau tidak dengan saya. Tapi saya bersyukur kerana masih ramai lagi yang menyokong dan menerima kami.

“Siapa yang mahu dipalit dengan kontroversi? Sejujurnya saya sendiri takut dan tak sanggup untuk menghadapinya. Tapi alhamdulillah saya mampu menghadapi apa yang berlaku selama ini.

“Dulu saya ingatkan rezeki saya dalam bidang ini akan tertutup terus. Tapi ternyata industri kita tak sekejam yang disangka kerana saya masih lagi mendapat tawaran berlakon dan sebagainya,” katanya lagi.

Tak pinggirkan keluarga

Menyelami hati Memey, bagai ada satu kuasa yang menarik untuk berbicara dengan lebih mendalam. Makin banyak yang cuba ditutup, makin banyak lubang yang terbuka.

Begitu juga halnya dengan dirinya. Orang hanya melihat dia sebagai ‘pemain cerita’ yang hebat, tapi dalam hatinya bersarang 1001 rasa yang tak mungkin dapat diungkap dengan kata-kata.

Tuduhan dan lemparan kata-kata nista melingkari dirinya sehinggakan ada kalanya, dia mahu lari dari segala-galanya dan mahu hidup sebagai manusia baru tanpa cacat celanya.

Tak cukup dengan itu, ada juga yang melabelkan Memey sebagai gadis naif yang sibuk mengejar cinta dan melupakan niat asal dirinya menjejakkan kaki ke dalam bidang seni ini untuk membantu keluarga di kampung.

“Saya tak pernah melupakan tanggungjawab saya sebagai anak dan kakak kepada adik-beradik yang lain. Saya masih lagi seperti dulu dan sentiasa berdoa agar tidak pernah berubah hati.

“Tapi kalau ada orang lain nak melabelkan saya lupa diri atau sebagainya terpulanglah. Saya dah tak kisah dengan semuanya asalkan keluarga saya tahu dan dapat menerima saya seadanya.

“Sebagai anak saya sangat bersyukur apabila keluarga tetap menyokong saya. Macam kes khalwat saya dengan abang Norman, walaupun terkejut dengan apa yang telah terjadi tetapi mereka tetap terima saya.

“Semakin ramai yang membenci saya, keluarga tetap ada di sisi dan menyokong saya. Itu yang membuatkan saya sedar saya masih lagi disayangi dan dihargai.

“Kalau nak dengar cakap orang rasanya sudah lama saya lari dan bawa diri. Yang mana baik saya teruskan dan yang kurang baik saya akan simpan sebagai batu sempadan agar tidak diulangi kembali,” jelasnya.

Saat diajukan pertanyaan, sudah berapa kali dia naik turun mahkamah, Memey menjawab: “Tak tahu berapa kali sebenarnya. Rasanya sudah lebih daripada 10 kali naik turun mahkamah dan sampai dah tak ada rasa.”

“Saya mahu kes ini cepat selesai. Walau apa juga keputusannya, saya akan tenang. Macam hari ini, saya masih lagi runsing apabila memikirkan kes yang berlanjutan itu.

“Ia ibarat satu masalah yang tak selesai dan saya jadi tak selesa. Bila difikirkan ia memang mengganggu emosi. Nasib baik masih banyak lagi perkara yang perlu difikirkan,” ujarnya lagi.

Buktikan saya 'bengkok'-Aaron Aziz


DARI sudut mata kasar, pasangan bahagia pelakon kacak Aaron Aziz dengan isterinya Diyana Halik tidak ada kekurangan. Mereka dilihat sangat sempurna tanpa sebarang kecacatan.

Sama cantik, sama padan dan romantik bila kelihatan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kehadiran pasangan yang berasal dari Singapura itu pasti mengundang rasa cemburu dikalangan pasangan yang berkahwin di negara ini.

Mana tidaknya. Kalau dilihat dari sudut gaya dan penampilan, Aaron dan Diyana seperti pasangan kekasih yang belum berkahwin. Ke mana asyik berdua sahaja. Walhal pada hakikatnya, mereka sudah mempunyai sepasang zuriat yang comel - Danish Anaqi, 6, dan Dwi Ariana, 4.

Itu tidak termasuk dengan seorang lagi yang berada dalam rahim Diyana. Kandungan Diyana sudah berusia 32 minggu. Ini bermakna dalam masa lapan minggu lagi, Aaron dan Diyana bakal menimang cahaya mata ketiga. Semestinya, bayi berkenaan dilahirkan di Kuala Lumpur seperti mana yang dihajatinya sebelum ini.

Cerita peribadi pasangan ini pula sememangnya jarang dipertontonkan kepada media. Memang dalam sudut lain ia satu kelebihan kerana dapat menjaga privasi keluarga.

Namun tanpa disedari, ada satu cerita kontroversi melanda pelakon drama Emil Emilda ini. Ia melibatkan maruah diri. Aaron adalah seorang gay. Benarkah sebegitu?

Aaron yang dilahirkan pada 23 Februari 1976 diam seketika saat diminta berbicara mengenai isu berkenaan. Sambil menyedut nafas dalam-dalam, Aaron menjelaskan bahawa ia semata-mata fitnah.

Terangnya, dia bukan seorang hemoseksual. Jenis orang yang tertarik nafsu syahwat kepada kaum sejenisnya. Betul-betul bukan dia.

‘‘Aaron adalah manusia normal yang memerlukan kehadiran seorang wanita dalam hidupnya. Berkahwin dan hidup berkeluarga. Bukannya hidup songsang dan dilaknat sedemikian rupa.

‘‘Kalau benar saya gay, bengkok, patah atau apa sahaja, saya minta orang yang membuat fitnah sedemikian tampil ke hadapan. Kemukakan bukti mengatakan saya demikian. Kita berbicara secara empat mata. Itu barulah namanya lelaki sejati. Bukannya bercakap sedap mulut kemudiannya tidak berani bertanggungjawab dengan perkataan sendiri,’’ jelasnya.

Sambung Aaron, dia beranggapan ada pihak yang kurang senang dengan kejayaan yang dikecapi sekarang ini. Apatah lagi setelah melihat perjalanan seninya yang sangat lancar sejak menjejaki kakinya di industri seni tanah air.

Penyakit hasad dengki, busuk hati dan berunsurkan jahat itu sememangnya terjadi di mana-mana sahaja. Jadi tidak hairanlah sekiranya dia menjadi mangsa ‘mulut longkang’ itu.

Dalam erti kata lain, manusia tidak boleh berhenti mengata selagi ada perasaan negatif itu dalam hati mereka. Macam-macam yang akan dikorek dan disebarkan dengan tujuan untuk bercerita tentang keburukan orang lain. Apatah lagi individu yang dimaksudkan itu melibatkan selebriti atau artis.

Akui Aaron, dia pernah menyertai satu pertandingan pencarian lelaki kacak di Singapura pada tahun 2000. Ada satu slot yang mengkehendakinya memakai seluar pendek yang ketat.

‘‘Janganlah disebabkan saya memakai pakaian sedemikian, orang ramai membuat tanggapan yang macam-macam. Tolonglah berfikir sedikit, tak kanlah peserta perlu memakai jubah untuk segmen pakaian mandi. Saya juga tidak memakai seluar ketat sepanjang masa,’’ katanya.

Aaron juga berfikiran positif menangani masalah itu kerana hakikatnya, dia tidak akan goyah disebabkan cerita-cerita remeh sedemikian. Malah apa yang menjadi teras dan ingatan setiap kali dilanda masalah ialah keluarganya.

Semahunya, aktor berusia 34 tahun itu tidak mahu melibatkan masalah tersebut dalam keluarga. Apatah lagi mengganggu emosi isterinya yang sedang sarat mengandung.

Apa yang dilakukannya sekarang ialah mendoakan agar individu yang terlibat dapat menghentikan serangan fitnah terhadapnya. Dia juga bersedia untuk memaafkan kekhilafan dengan syarat individu itu segera insaf.

Gemar melancong

Ditanya tentang resipi keharmonian rumah tangga Aaron bersama pasangannya, pelakon filem KL Drift II ini tersenyum panjang.

Bicaranya, hanya satu perkara yang dikekalkan iaitu menghabiskan masa bersama isteri dan anaknya. Meski pun agak terhad tetapi Aaron memastikan keluarganya mempunyai aktiviti yang boleh dilakukan bersama.

‘‘Anak-anak semakin membesar. Mereka juga perlu diberi perhatian terutama hujung minggu. Waktu ini sahaja mereka boleh bersantai sama sambil melawat tempat-tempat menarik di Malaysia,’’ katanya.

Duta L’oreal Men itu juga gemar membawa keluarga makan angin di luar negara. Antara lokasi yang pernah dikunjungi adalah Paris dan London. Kali terakhir ke sana pada bulan Mei 2009.

Ia juga bersempena dengan hari jadi Diyana yang disambut pada bulan April sebelum itu. Selama sembilan hari di sana, mereka tidak melepaskan peluang berjalan-jalan di tempat bersejarah seperti Tower Bridge, Tower of London dan London Eye.

Mereka juga sempat membeli-belah barangan berjenama di situ selain merakam kenangan indah di setiap lokasi menarik yang disinggahi.

Aktor kacak ini juga tidak melupakan kehendak si kecilnya yang mahu bercuti di Disneyland Hong Kong pada akhir tahun lalu.

Ujar sang ayah ini, anak-anak zaman sekarang mempunyai cita rasa tinggi. Mereka mahu ibu bapa penuhi keinginan mereka sekiranya tidak mahu melihat mereka nakal.

Dan sebagai lelaki peneraju rumah tangga, apalah sangat nilai wang yang ‘hangus terbakar’ dek percutian itu, dibandingkan dengan masa emas yang cukup berharga bersama isteri dan anak-anak.

Sudahlah sakit, dikhianati rakan pula - Watie Elite


SUDAHLAH sakit, dikhianiti rakan baik pula. Itulah yang berlaku pada pelakon dan penyanyi Watie yang cukup terkenal ketika bersama dengan kumpulan Elite satu ketika dahulu. Baru-baru dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita yang kononnya Watie terkena penyakit Hepatitis A yang merisaukan.

Tak cukup dengan itu pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya yang tak sanggup untuk ditulis kembali. Malah ramai juga yang mula membuat spekulasi yang kononnya dia menerima padah akibat perbuatan negatifnya sebelum ini.

Inilah yang dinamakan takdir. Ketika dia dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu negara, ada pula yang cuba bikin panas dengan menyebarkan berita yang kurang enak.

Malah tersebar gambar yang kononnya dia menyambut hari jadi di sebuah kelab terkemuka bersama rakan-rakan yang lain dengan berpakaian seksi dan keterlaluan.

Lantas ia membuatkan namanya semakin panas akibat perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab itu.

“Ketika saya terlantar sakit, ada pula orang yang menabur pelbagai fitnah terhadap saya. Kutuk saya macam-macam dan sebarkan cerita yang tak masuk akal. Saya sedih dengan apa yang telah berlaku,” reaksi pertama Watie tak kala ditanya tentang cerita panasnya.

Ada yang kata Watie menghidapi sakit yang berbahaya iaitu penyakit kelamin, dan tak kurang juga yang mula pandang sinis terhadap dirinya gara-gara dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Jelas Watie, sesetengah berita yang dipaparkan itu kurang tepat dan tak benar sama sekali.

“Saya menghadapi simptom-simptom seperti mata dan air kencing kuning. Bila saya rujuk kepada doktor, dia cakap ini seperti tanda-tanda menghidap Hepatitis.

“Tapi bila buat pemeriksaan saya hanya terkena Hepatitis A yang disebabkan oleh faktor pemakanan dan selama tiga hari saya ditahan di wad.

“Selama ini saya menghidapi gastrik. Dan sampai satu tahap mereka ubat yang saya ambil dah tak berkesan. Mungkin ini juga menjadi salah satu sebab kesihatan saya menurun.

“Tapi saya akui selama ini saya banyak ambil pil makanan tambahan secara berlebihan. Doktor juga cakap mungkin hati saya ada jangkitan,” jelas Watie kepada Pancaindera.

Belum cukup sihat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, hatinya sekali lagi terguris dek tanggapan sesetengah pihak yang membuat kenyataan bukan-bukan tentang dirinya.

Ada yang mengatakan dirinya terkena penyakit itu akibat amalan seks bebas dan tak kurang juga yang berkata itu kesan minuman alkohol yang diambilnya sebelum ini.Watie menafikan terbabit dengan gejala sosial serius yang menjadi punca kepada kemunduran kesihatannya.

“Kenapa ada orang yang sanggup berkata bukan-bukan pada saya?

“Bila saya buka Facebook sahaja, macam-macam komen negatif yang saya terima. Ini semua tak betul dan jangan ditambah lagi dengan cerita mengarut ini.

“Saya juga manusia biasa yang sentiasa mahu yang terbaik dalam hidup. Tapi ini yang saya dapat. Kecil hati tu memang saya akui. Tapi saya harap ada ketabahan dalam diri untuk meneruskan kehidupan,” luah Watie lagi.

Sepanjang melayari kehidupan sebagai anak seni, Watie tidak pernah sunyi dilanda gosip. Sama ada benar atau tidak, dirinya sentiasa menjadi buruan sesetengah pihak yang kurang senang dengan kerjayanya.

Akui Watie, walaupun pelbagai dugaan yang melanda dirinya, dia tetap tabah dan banyak belajar melalui pengalaman hidup.

Gambar hari jadi

Tak cukup dengan cerita tersebut, sekali lagi Watie menjadi perhatian apabila tersebar gambar-gambar yang kononnya dia menyambut hari jadi bersama rakan-rakan baru-baru ini.

Terkejut dengan penyebaran gambar di Internet itu, Watie tampil membuat penafian yang gambar tersebut bukanlah hari jadinya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Itu bukan majlis hari jadi saya! Saya lahir pada 21 April manakala gambar tersebut sebenarnya pada bulan Oktober tahun lalu. Ini yang buat saya pelik kenapa orang kata itu hari jadi saya?

“Saya sudah tengok gambar itu. Cuba lihat pada gambar kek tersebut tertulis nama Baby. Bukan nama saya. Lagipun saya yang pegang kek itu. Kalau hari jadi saya buat apa saya sibuk nak pegang kek sendiri?

“Ini semua tak sepatutnya disebarkan. Tahun lepas saya sambut hari jadi dengan kenduri doa selamat. Saya muat naik gambar-gambar itu di Facebook. Tapi kenapa orang tak nak sebarkan?

“Saya tahu apa yang saya lakukan tapi tolong berhenti daripada menyebarkan cerita yang bukan-bukan,” tegasnya lagi.

Watie cukup terkenal dengan imej seksi dan beraninya. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan gambar-gambar yang dipaparkan dibeberapa blog hiburan tempatan turut memaparkan imej sebegitu.

Jelas Watie dia cukup kecewa dengan apa yang telah berlaku memandangkan itu adalah private party yang hanya dihadiri oleh rakan-rakan terdekat sahaja.

Paling membuatkan dirinya terguris apabila ada di antara rakan baiknya yang memuat naik gambar itu di Facebook.

“Saya cukup kesal dengan semuanya. Seorang teman telah berjanji untuk tidak mempamerkan gambar tersebut, tapi akhirnya dia buat juga perkara yang paling saya tak suka.

“Memang saya akui gambar itu panas dan membuatkan ramai yang kurang senang. Tapi saya ke kelab itu untuk menyambut hari jadi kawan-kawan dan tidak dihadiri orang luar.

“Percaya dengan janji-janji manis yang kononnya gambar itu tak akan tersebar, akhirnya apa yang saya takuti menjadi kenyataan. Tapi apa yang boleh saya lakukan?” katanya yang sedang sibuk berlakon telefilem 3 Neng.

Walaupun tidak dapat menebak apa yang terbuku di hatinya, tapi dapat diagak hatinya cukup terluka apabila dikhianati rakan sendiri.

Jika diselusuri kembali perjalanan seninya, penuh dengan ranjau dan duri yang tak berkesudahan. Tapi Watie tetap bersyukur kerana dia masih lagi mempunyai keluarga dan rakan-rakan baik yang cukup menyayangi dirinya.

“Walaupun dilanda gosip dan kontroversi, keluarga saya tak pernah meminggirkan saya. Mereka tahu apa yang saya lakukan termasuklah beberapa kawan baik.

“Cuma ada segelintir yang tak pandai nak menghormati diri saya. Saya tak perlukan kawan macam itu. Dia mengkhianati apa yang telah dijanjikan dan membuatkan nama Watie kembali panas. Untuk apa saya bersama dengan orang sebegitu.

“Niat saya datang ke majlis tersebut untuk meraikan hari jadi rakan-rakan. Tapi akhirnya saya pula yang kena. Cukuplah sampai di sini saya mempercayai orang,” jelasnya yang berazam untuk lebih berhati-hati agar dirinya tidak ‘dipergunakan’ lagi selepas ini meskipun oleh mereka yang dianggap sebagai kawan sendiri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails