Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Memey tak mungkin nikah di Golok


TIDAK! Tidak sama sekali. Biar teruk macam mana sekalipun kami dikeji, kami tidak akan bernikah di Golok atau Selatan Thailand,” demikian tegas pelakon manja menggoda, Memey Suhaiza kala diaju pertanyaan apakah benar khabar kononnya dia dan bakal suami, Norman Hakim bakal berkahwin secara rahsia dalam waktu terdekat.

Sambil menafikan dengan sekerasnya tanggapan itu, Memey menambah bicara, “ Untuk apa saya kahwin lari jika keadaan sudah makin pulih? Tolonglah, saya belum terdesak untuk memilih jalan sebegitu,” luah Memey lagi.

Ya, nama Memey Suhaiza bukan satu lagi yang asing dalam dunia hiburan tanah air. Jika insan lain membina nama dengan bakat yang dimiliki, begitu juga dengan anak kelahiran Kota Tinggi, Johor ini.

Cuma apa yang membuatkan dirinya lebih ‘mahal’ apabila sering dilanda kontroversi. Semuanya berlaku bagaikan petaka. Satu persatu kontroversi menimpa bagaikan batu besar yang menghempap kepalanya.

Sejak mula melangkah dalam bidang seni, kesabarannya teruji dek kerana pertelingkahan dengan saudara sendiri. Tak cukup dengan itu hubungan yang dibina dengan pelakon popular Norman Hakim dihidu sehinggalah mereka akhirnya ditangkap khalwat dan kes tersebut masih lagi dibicarakan di mahkamah syariah sehingga kini. Kontroversi yang melanda Memey tidak pernah berkesudahan sehinggalah gambar-gambar dia bermesra dengan anak-anak Norman menimbulkan kemarahan sebelah pihak lagi, selain dibenci ribuan pemilik laman sosial Facebook.

Enggan mengalah dengan ketentuan yang melanda, Memey kini dalam senyuman pasrah mengorak langkah ke dalam satu fasa yang lebih serius dengan duda anak tiga itu dan tanpa berselindung lagi mereka mengakui hubungan yang dibina semakin intim dan lebih serius.

Malah sudah kedengaran juga kisah berita kononnya mereka bakal mengakhiri kisah cinta yang dibina dengan ikatan yang sah sedikit masa lagi, secara diam-diami.

Belum tiba masa

Biarpun pelbagai soalan panas yang dilemparkan kepada dirinya, Memey tetap tenang dan tidak melatah dengan semuanya. Walaupun masih baru dalam bidang ini, jalan berliku yang dilaluinya benar-benar mematangkannya.

“Saya tidak pernah mengumumkan akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Bila masa saya cakap saya nak kahwin? Saya sangat terkejut dengan apa yang dilaporkan tetapi dalam masa yang sama tak kisah dengan berita itu.

“Sebelum ini abang Norman ada cakap nak pinang saya bulan tujuh ini. Itupun dalam nada bergurau sebab ramai yang usik kami sebenarnya. Jadi saya anggap ia sebagai satu perkara yang tak serius.

“Saya tidak tahu sama ada apa yang diucapkan abang Norman sebagai sesuatu yang serius atau tidak. Jadi saya juga tak mahu cakap lebih-lebih bimbang menimbulkan kontroversi lagi,” katanya tanpa berselindung.

Bercerita mengenai perancangan kahwinnya, dia seboleh-bolehnya tidak mahu terburu-buru memikirkan soal tersebut memandangkan usianya yang masih lagi terlalu muda dan kes mahkamah yang belum selesai.

Ujarnya, sebagai wanita yang mempunyai hati dan perasaan, bohonglah jika dia tidak memikirkan soal itu tetapi untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini masih belum menjadi agendanya.

Seboleh-bolehnya dia mahu menumpukan perhatian dalam bidang lakonan yang masih baru dan memandangkan masih banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan.

“Saya akui hubungan kami makin rapat, saya juga tak mahu lagi dilabel wanita hipokrit dan terus menafikan hubungan kami. Orang pun banyak yang sudah tahu. Apa salahnya kami berpakaian sedondon dan datang ke majlis bersama-sama? Rasanya masyarakat sudah boleh menerima kami dan merestui hubungan ini,”katanya.

Hubungan direstui

Melihatkan hubungan merpati dua sejoli ini, bagaikan melihat pasangan-pasangan lain yang sedang asyik menyulam cinta. Dan tak hairanlah jika mereka semakin berani mempamerkan aksi mesra di khalayak ramai.

Tambah Memey dirinya sudah tidak mahu berselidung lagi memandangkan kedua-dua keluarga merestui hubungan mereka untuk menjalin hubungan yang lebih serius.

“Saya sangat terharu kerana abang Norman merupakan seorang yang berani dan tegas dalam segala benda. Macam kes hitam saya tempoh hari, dia datang berjumpa dengan keluarga saya dan memberitahu apa yang terjadi.

“Keluarga saya menerimanya dan keluarga dia turut menerima saya. Saya sendiri sudah dua tiga kali menziarahi keluarga abang Norman dan ini membuatkan hubungan kami makin rapat,” luah Memey lagi.

Bagi Memey, apabila memandang muka Norman, dia melihat lelaki itu sebagai lelaki yang bijak dan tidak bercakap kosong walaupun ramai yang masih membenci hubungan mereka.

“Kalau orang terus nak membenci kami, apa yang boleh saya katakan? Itu hak mereka untuk suka atau tidak dengan saya. Tapi saya bersyukur kerana masih ramai lagi yang menyokong dan menerima kami.

“Siapa yang mahu dipalit dengan kontroversi? Sejujurnya saya sendiri takut dan tak sanggup untuk menghadapinya. Tapi alhamdulillah saya mampu menghadapi apa yang berlaku selama ini.

“Dulu saya ingatkan rezeki saya dalam bidang ini akan tertutup terus. Tapi ternyata industri kita tak sekejam yang disangka kerana saya masih lagi mendapat tawaran berlakon dan sebagainya,” katanya lagi.

Tak pinggirkan keluarga

Menyelami hati Memey, bagai ada satu kuasa yang menarik untuk berbicara dengan lebih mendalam. Makin banyak yang cuba ditutup, makin banyak lubang yang terbuka.

Begitu juga halnya dengan dirinya. Orang hanya melihat dia sebagai ‘pemain cerita’ yang hebat, tapi dalam hatinya bersarang 1001 rasa yang tak mungkin dapat diungkap dengan kata-kata.

Tuduhan dan lemparan kata-kata nista melingkari dirinya sehinggakan ada kalanya, dia mahu lari dari segala-galanya dan mahu hidup sebagai manusia baru tanpa cacat celanya.

Tak cukup dengan itu, ada juga yang melabelkan Memey sebagai gadis naif yang sibuk mengejar cinta dan melupakan niat asal dirinya menjejakkan kaki ke dalam bidang seni ini untuk membantu keluarga di kampung.

“Saya tak pernah melupakan tanggungjawab saya sebagai anak dan kakak kepada adik-beradik yang lain. Saya masih lagi seperti dulu dan sentiasa berdoa agar tidak pernah berubah hati.

“Tapi kalau ada orang lain nak melabelkan saya lupa diri atau sebagainya terpulanglah. Saya dah tak kisah dengan semuanya asalkan keluarga saya tahu dan dapat menerima saya seadanya.

“Sebagai anak saya sangat bersyukur apabila keluarga tetap menyokong saya. Macam kes khalwat saya dengan abang Norman, walaupun terkejut dengan apa yang telah terjadi tetapi mereka tetap terima saya.

“Semakin ramai yang membenci saya, keluarga tetap ada di sisi dan menyokong saya. Itu yang membuatkan saya sedar saya masih lagi disayangi dan dihargai.

“Kalau nak dengar cakap orang rasanya sudah lama saya lari dan bawa diri. Yang mana baik saya teruskan dan yang kurang baik saya akan simpan sebagai batu sempadan agar tidak diulangi kembali,” jelasnya.

Saat diajukan pertanyaan, sudah berapa kali dia naik turun mahkamah, Memey menjawab: “Tak tahu berapa kali sebenarnya. Rasanya sudah lebih daripada 10 kali naik turun mahkamah dan sampai dah tak ada rasa.”

“Saya mahu kes ini cepat selesai. Walau apa juga keputusannya, saya akan tenang. Macam hari ini, saya masih lagi runsing apabila memikirkan kes yang berlanjutan itu.

“Ia ibarat satu masalah yang tak selesai dan saya jadi tak selesa. Bila difikirkan ia memang mengganggu emosi. Nasib baik masih banyak lagi perkara yang perlu difikirkan,” ujarnya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails