Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sudahlah sakit, dikhianati rakan pula - Watie Elite


SUDAHLAH sakit, dikhianiti rakan baik pula. Itulah yang berlaku pada pelakon dan penyanyi Watie yang cukup terkenal ketika bersama dengan kumpulan Elite satu ketika dahulu. Baru-baru dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan berita yang kononnya Watie terkena penyakit Hepatitis A yang merisaukan.

Tak cukup dengan itu pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya yang tak sanggup untuk ditulis kembali. Malah ramai juga yang mula membuat spekulasi yang kononnya dia menerima padah akibat perbuatan negatifnya sebelum ini.

Inilah yang dinamakan takdir. Ketika dia dimasukkan ke sebuah hospital swasta di ibu negara, ada pula yang cuba bikin panas dengan menyebarkan berita yang kurang enak.

Malah tersebar gambar yang kononnya dia menyambut hari jadi di sebuah kelab terkemuka bersama rakan-rakan yang lain dengan berpakaian seksi dan keterlaluan.

Lantas ia membuatkan namanya semakin panas akibat perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab itu.

“Ketika saya terlantar sakit, ada pula orang yang menabur pelbagai fitnah terhadap saya. Kutuk saya macam-macam dan sebarkan cerita yang tak masuk akal. Saya sedih dengan apa yang telah berlaku,” reaksi pertama Watie tak kala ditanya tentang cerita panasnya.

Ada yang kata Watie menghidapi sakit yang berbahaya iaitu penyakit kelamin, dan tak kurang juga yang mula pandang sinis terhadap dirinya gara-gara dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Jelas Watie, sesetengah berita yang dipaparkan itu kurang tepat dan tak benar sama sekali.

“Saya menghadapi simptom-simptom seperti mata dan air kencing kuning. Bila saya rujuk kepada doktor, dia cakap ini seperti tanda-tanda menghidap Hepatitis.

“Tapi bila buat pemeriksaan saya hanya terkena Hepatitis A yang disebabkan oleh faktor pemakanan dan selama tiga hari saya ditahan di wad.

“Selama ini saya menghidapi gastrik. Dan sampai satu tahap mereka ubat yang saya ambil dah tak berkesan. Mungkin ini juga menjadi salah satu sebab kesihatan saya menurun.

“Tapi saya akui selama ini saya banyak ambil pil makanan tambahan secara berlebihan. Doktor juga cakap mungkin hati saya ada jangkitan,” jelas Watie kepada Pancaindera.

Belum cukup sihat untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, hatinya sekali lagi terguris dek tanggapan sesetengah pihak yang membuat kenyataan bukan-bukan tentang dirinya.

Ada yang mengatakan dirinya terkena penyakit itu akibat amalan seks bebas dan tak kurang juga yang berkata itu kesan minuman alkohol yang diambilnya sebelum ini.Watie menafikan terbabit dengan gejala sosial serius yang menjadi punca kepada kemunduran kesihatannya.

“Kenapa ada orang yang sanggup berkata bukan-bukan pada saya?

“Bila saya buka Facebook sahaja, macam-macam komen negatif yang saya terima. Ini semua tak betul dan jangan ditambah lagi dengan cerita mengarut ini.

“Saya juga manusia biasa yang sentiasa mahu yang terbaik dalam hidup. Tapi ini yang saya dapat. Kecil hati tu memang saya akui. Tapi saya harap ada ketabahan dalam diri untuk meneruskan kehidupan,” luah Watie lagi.

Sepanjang melayari kehidupan sebagai anak seni, Watie tidak pernah sunyi dilanda gosip. Sama ada benar atau tidak, dirinya sentiasa menjadi buruan sesetengah pihak yang kurang senang dengan kerjayanya.

Akui Watie, walaupun pelbagai dugaan yang melanda dirinya, dia tetap tabah dan banyak belajar melalui pengalaman hidup.

Gambar hari jadi

Tak cukup dengan cerita tersebut, sekali lagi Watie menjadi perhatian apabila tersebar gambar-gambar yang kononnya dia menyambut hari jadi bersama rakan-rakan baru-baru ini.

Terkejut dengan penyebaran gambar di Internet itu, Watie tampil membuat penafian yang gambar tersebut bukanlah hari jadinya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Itu bukan majlis hari jadi saya! Saya lahir pada 21 April manakala gambar tersebut sebenarnya pada bulan Oktober tahun lalu. Ini yang buat saya pelik kenapa orang kata itu hari jadi saya?

“Saya sudah tengok gambar itu. Cuba lihat pada gambar kek tersebut tertulis nama Baby. Bukan nama saya. Lagipun saya yang pegang kek itu. Kalau hari jadi saya buat apa saya sibuk nak pegang kek sendiri?

“Ini semua tak sepatutnya disebarkan. Tahun lepas saya sambut hari jadi dengan kenduri doa selamat. Saya muat naik gambar-gambar itu di Facebook. Tapi kenapa orang tak nak sebarkan?

“Saya tahu apa yang saya lakukan tapi tolong berhenti daripada menyebarkan cerita yang bukan-bukan,” tegasnya lagi.

Watie cukup terkenal dengan imej seksi dan beraninya. Maka tidak hairanlah jika kebanyakan gambar-gambar yang dipaparkan dibeberapa blog hiburan tempatan turut memaparkan imej sebegitu.

Jelas Watie dia cukup kecewa dengan apa yang telah berlaku memandangkan itu adalah private party yang hanya dihadiri oleh rakan-rakan terdekat sahaja.

Paling membuatkan dirinya terguris apabila ada di antara rakan baiknya yang memuat naik gambar itu di Facebook.

“Saya cukup kesal dengan semuanya. Seorang teman telah berjanji untuk tidak mempamerkan gambar tersebut, tapi akhirnya dia buat juga perkara yang paling saya tak suka.

“Memang saya akui gambar itu panas dan membuatkan ramai yang kurang senang. Tapi saya ke kelab itu untuk menyambut hari jadi kawan-kawan dan tidak dihadiri orang luar.

“Percaya dengan janji-janji manis yang kononnya gambar itu tak akan tersebar, akhirnya apa yang saya takuti menjadi kenyataan. Tapi apa yang boleh saya lakukan?” katanya yang sedang sibuk berlakon telefilem 3 Neng.

Walaupun tidak dapat menebak apa yang terbuku di hatinya, tapi dapat diagak hatinya cukup terluka apabila dikhianati rakan sendiri.

Jika diselusuri kembali perjalanan seninya, penuh dengan ranjau dan duri yang tak berkesudahan. Tapi Watie tetap bersyukur kerana dia masih lagi mempunyai keluarga dan rakan-rakan baik yang cukup menyayangi dirinya.

“Walaupun dilanda gosip dan kontroversi, keluarga saya tak pernah meminggirkan saya. Mereka tahu apa yang saya lakukan termasuklah beberapa kawan baik.

“Cuma ada segelintir yang tak pandai nak menghormati diri saya. Saya tak perlukan kawan macam itu. Dia mengkhianati apa yang telah dijanjikan dan membuatkan nama Watie kembali panas. Untuk apa saya bersama dengan orang sebegitu.

“Niat saya datang ke majlis tersebut untuk meraikan hari jadi rakan-rakan. Tapi akhirnya saya pula yang kena. Cukuplah sampai di sini saya mempercayai orang,” jelasnya yang berazam untuk lebih berhati-hati agar dirinya tidak ‘dipergunakan’ lagi selepas ini meskipun oleh mereka yang dianggap sebagai kawan sendiri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails