Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kami tak bercinta-Liyana Jasmay dan Aizat


Aizat, Liyana jangan ada cemburu

SEKALIPUN dua bintang remaja yang semakin hebat dan popular masa kini - Aizat dan Liyana boleh dikategorikan sebagai artis mesra media, namun untuk meminta mereka memberikan aksi atau pose manja umpama pasangan bercinta di depan lensa bukanlah sesuatu yang mudah, masih tebal perasaan tidak selesa meskipun kedua-duanya dicanang sebagai 'teman tapi mesra'.

Mungkin kedua-duanya tidak mahu lagi mengundang kontroversi cinta yang melanda diri masing-masing sebelum ini, lebih-lebih lagi perlu menjaga hati peminat yang baru saja menobatkan mereka sebagai yang paling popular. Kali terakhir mereka digandingkan sebagai penghias muka depan B*Pop pada 24 Ogos 2008 dan hanya selepas kedua-duanya merangkul trofi Penyanyi Lelaki Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009, barulah Aizat serta Liyana dipertemukan sekali lagi dalam satu fotografi. Sebagai artis muda yang berpengaruh dan mempunyai ramai pengikut, sudah terdengar desus-desus peminat tidak begitu gemar melihat gandingan Aizat bersama Liyana, mungkin mereka cemburu melihat bintang kesayangan atau pujaan hati masing-masing didampingi orang lain.

Bagi Aizat yang kini sibuk menyiapkan album keduanya, dia tidak mampu menghalang orang daripada bercakap kerana masing-masing ada hak untuk menyuarakan pendapat. Tambah Aizat lagi, sekiranya benar wujud dakwaan bahawa peminat tidak suka melihat dirinya digandingkan bersama Liyana, dia sendiri tidak faham, mengapa perkara itu boleh berlaku.

“Aizat masih muda. Aizat bebas berkawan dengan sesiapa saja. Buat masa ini Aizat tak mahu terikat dengan sesiapa pun. Namun, Aizat akui, memang Aizat berkawan baik dengan Liyana (Jasmay). Dia kawan perempuan paling rapat ketika ini, tapi nak kata kami serius bercinta, tidaklah sampai ke tahap itu. Bagi Aizat, masih terlalu awal untuk memikirkan soal hati dan perasaan.

“Sekiranya wujud apa-apa perasaan, biarlah ia datang dengan sendiri dan menjadi rahsia peribadi. Lagipun Aizat dan Liyana, kami berkongsi peminat yang sama kebanyakannya remaja. Jadi Aizat selesa dengan keadaan sekarang. Kami juga tinggal berdekatan, kalau setakat melepak sama dengan kawan-kawan, bagi Aizat itu perkara biasa,” kata Aizat yang lebih selesa beri tumpuan terhadap karier nyanyiannya.
Untuk album kedua Aizat, buat pertama kalinya, dia bertindak sepenuhnya sebagai penerbit bersama abangnya, Anas. Album yang masih belum berjudul itu bakal memuatkan lapan hingga 10 lagu dan sudah hampir 80 peratus disiapkan.
Album terbitan Kasi Gegar Entertainment itu dijangka berada di pasaran sebelum musim bola sepak Piala Dunia 2010 tidak lama lagi.

“Album kedua ini ibarat anak sulung sebab kali ini semua Aizat buat sendiri. Ia akan menampilkan konsep mesej kemanusiaan. Aizat lihat nilai kemanusiaan semakin menipis, penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi seolah-olah memperlihatkan manusia hari ini sudah kembali ke zaman jahiliah tanpa kita sedari.

“Justeru, Aizat memikul tanggung jawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi lagu, lirik dan nyanyian, sekurang-kurangnya dapat mempertingkatkan kesedaran itu supaya gejala sosial ini tidak terus berleluasa. Apabila album terbaru ini sudah menjengah pasaran, Aizat akan buat siri jelajah seluruh Malaysia, mudah-mudahan mesej kemanusiaan itu dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Kejayaan demi kejayaan diraih Aizat dalam masa terdekat, sejak menyertai Akademi Fantasia 5 (AF5) hingga 2010, hanya dalam masa tiga tahun serius di bidang nyanyian, pencapaian Aizat amat membanggakan dan amat jarang dikecapi penyanyi seusianya. Justeru, dakwaan yang dilemparkan kepadanya seperti sombong dan berlagak, adalah sesuatu yang lumrah, tapi hakikatnya benarkah dia semakin riak?

“Aizat rasa semuanya berpunca faktor pembawaan diri. Apabila bertemu orang yang Aizat tak berapa kenal, Aizat tak layan sangat. Justeru, mungkin daripada situ ada yang beranggapan Aizat sombong. Namun, Aizat tak pernah berniat bangga diri.

“Namun, sekiranya masih ada yang beranggapan Aizat berlagak, Aizat minta maaf. Bagi Aizat, setiap manusia pernah melakukan kesilapan, Aizat bukan malaikat. Justeru, Aizat perlu kerja kuat, sentiasa ingat pada Tuhan dan mohon restu daripada ayah dan ibu. Seperkara lagi jangan cuba menghampakan peminat dan melupakan mereka yang banyak beri sokongan,” katanya.

Mengaku menyayangi si dia

LIYANA lebih bersikap terbuka apabila mengakui dia suka dan tertarik dengan cara Aizat menerap mesej kemanusiaan menerusi karyanya, sekali gus mengagumi sikap dan personaliti teman baiknya itu. Bagi Liyana, Aizat boleh dijadikan role model kepada remaja dan bagi dirinya juga. Tanpa berselindung, Liyana juga mengakui Aizat adalah kawan lelakinya yang paling rapat dan memang wujud keserasian antara mereka.

Namun, sebaik diajukan persoalan cinta, Liyana sama seperti Aizat tidak selesa dengan kalimah itu, baginya cinta antara mereka masih terlalu jauh.

“Sekarang kami nak fokus kepada karier dan dalam masa sama menikmati kehidupan gembira. Tapi, kasih atau sayang terhadap lelaki yang bernama Aizat itu memang wujud, bohong sekiranya Liyana menafikannya.

“Memang Liyana ambil berat perihal Aizat, kami sering berkongsi masalah peribadi, namun apabila berbicara soal hati dan perasaan, ia terlalu peribadi untuk diceritakan secara terbuka, Liyana serah pada ketentuan Tuhan,” katanya berterus-terang.

Selain karier seninya yang semakin mengharumkan nama empunya diri, Liyana tidak lupa tanggung jawabnya sebagai pelajar. Sekiranya dia tidak gagal dalam peperiksaan baru-baru ini, tahun ini juga dia dijangka menamatkan pengajiannya. Justeru, setiap Isnin dan Rabu, Liyana meneruskan rutinnya sebagai pelajar dan dia dijadualkan memperoleh diplomanya penghujung 2011.

Karier lakonan Liyana lebih menonjol berbanding nyanyian, tapi dia masih ingin membuktikan dirinya boleh menyanyi sekalipun sudah banyak kali keluar dakwaan Liyana Jasmay sebenarnya tak boleh menyanyi, suaranya sumbang dan hanya merosakkan namanya saja! Baru-baru ini juga dia menarik diri daripada persembahan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 kerana mendakwa dia hanya boleh menyanyi dengan iringan muzik live, sebaliknya segmen itu menggunakan minus one.

Liyana sekali lagi dikritik hebat apabila dia tidak berjaya menyanyi dengan baik menerusi program Muzik-Muzik TV3 sekalipun dia menggunakan khidmat live band ketika mendendangkan lagu Aku Jatuh Cinta. Minum one tak boleh, live band pun gagal, justeru Liyana dikatakan belum mampu bergelar seorang penyanyi.

“Selepas sembilan tahun berlakon, baru sekarang Liyana nampak pencapaiannya. Lakonan adalah my passion. Kini, nyanyian adalah my new passion, baru setahun jagung. Bagi Liyana, untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, ia seharusnya bermula sedari awal sama seperti lakonan. Justeru, mengenai nyanyian, apalah yang boleh diharapkan buat masa ini.

“Mengenai persembahan di Muzik-Muzik itu, memang Liyana akui banyak kelemahannya, Liyana tak buat sound check, memang tak ada keyakinan. Orang kata suara Liyana sumbang, tapi bagi Liyana itu sebenarnya satu latihan nyanyian. Liyana akan cuba memperbaiki kelemahan. Janganlah terlalu tinggi menaruh harapan terhadap karier nyanyian Liyana. Berilah Liyana peluang.

“Dakwaan yang mengatakan Liyana sebenarnya tak boleh menyanyi, sebenarnya orang beri perhatian terhadap apa yang kita lakukan. Bagi Liyana, dakwaan itu sebenarnya berjaya menarik perhatian orang sekalipun orang bercakap daripada sudut negatif. Biarlah apa orang nak kata, kita berada di negara yang bebas bercakap, justeru memang Liyana sudah bersedia berdepan situasi seperti ini. Jangan kusutkan fikiran kita, sudahlah,” katanya lagi.

Bagi memperbaiki kelemahan, Liyana kini sedang mengikuti kelas vokal dan mensasarkan antara tiga hingga lima tahun lagi untuk dia melihat hasilnya.

INFO: Aizat

•NAMA PENUH: Muhammad Aizat Amdan

•TARIKH LAHIR: 21 Januari 1989

•ASAL: Kuala Lumpur

•ALBUM: Percubaan Pertama yang mengandungi lagu hit Hanya Kau Yang Mampu

•ALBUM REPACKAGE: Percubaan Pertama mengandungi VCD karaoke dan single Kau Aku

•SINGLE: Kau Aku yang juga lagu tema drama bersiri Merah Putih, Pergi lagu runut bunyi filem Talentime, Susun Silang Kata dan Mana Oh Mana

•SYARIKAT PRODUKSI: Kasi Gegar Entertainment

•PENCAPAIAN: Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) menerusi Lagu Kita, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16; Persembahan Terbaik (Kau Aku) dan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 (Pergi) serta Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

INFO: Liyana

•NAMA PENUH: Liyana Jasmay

•TARIKH LAHIR: 28 Mac 1988

•ASAL: Kuantan, Pahang

•PENDIDIKAN: Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor

•FILEM: Castello, Syaitan, Maut, Histeria, Kami The Movie, Papadom, Pisau Cukur, Duhai Si Pari Pari, Niang Rapik The Movie, Khurafat (belum tayang) dan Papadom 2 (mula penggambaran pertengahan 2010)

•DRAMA: Laila Sari, Zeti & Mawas, Ponti Anak Remaja, Niang Rapik The Series, Najwa, Sari Maya dan terbaru Kapoww The Series

•ALBUM (EP): Liyana Jasmay

•PENCAPAIAN: Aktres Terbaik, Anugerah Skrin 2009 (ASK2009); Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22 dan Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009.

Lokasi: Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur (03 2144 2200)
Terima kasih: Pengurus, Komunikasi Pemasaran, Julini Yusof
Solekan Liyana: Deqsha (019 349 5383)
Dandanan Liyana: Sha Tambee (017 315 0045).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails