Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Buktikan saya 'bengkok'-Aaron Aziz


DARI sudut mata kasar, pasangan bahagia pelakon kacak Aaron Aziz dengan isterinya Diyana Halik tidak ada kekurangan. Mereka dilihat sangat sempurna tanpa sebarang kecacatan.

Sama cantik, sama padan dan romantik bila kelihatan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kehadiran pasangan yang berasal dari Singapura itu pasti mengundang rasa cemburu dikalangan pasangan yang berkahwin di negara ini.

Mana tidaknya. Kalau dilihat dari sudut gaya dan penampilan, Aaron dan Diyana seperti pasangan kekasih yang belum berkahwin. Ke mana asyik berdua sahaja. Walhal pada hakikatnya, mereka sudah mempunyai sepasang zuriat yang comel - Danish Anaqi, 6, dan Dwi Ariana, 4.

Itu tidak termasuk dengan seorang lagi yang berada dalam rahim Diyana. Kandungan Diyana sudah berusia 32 minggu. Ini bermakna dalam masa lapan minggu lagi, Aaron dan Diyana bakal menimang cahaya mata ketiga. Semestinya, bayi berkenaan dilahirkan di Kuala Lumpur seperti mana yang dihajatinya sebelum ini.

Cerita peribadi pasangan ini pula sememangnya jarang dipertontonkan kepada media. Memang dalam sudut lain ia satu kelebihan kerana dapat menjaga privasi keluarga.

Namun tanpa disedari, ada satu cerita kontroversi melanda pelakon drama Emil Emilda ini. Ia melibatkan maruah diri. Aaron adalah seorang gay. Benarkah sebegitu?

Aaron yang dilahirkan pada 23 Februari 1976 diam seketika saat diminta berbicara mengenai isu berkenaan. Sambil menyedut nafas dalam-dalam, Aaron menjelaskan bahawa ia semata-mata fitnah.

Terangnya, dia bukan seorang hemoseksual. Jenis orang yang tertarik nafsu syahwat kepada kaum sejenisnya. Betul-betul bukan dia.

‘‘Aaron adalah manusia normal yang memerlukan kehadiran seorang wanita dalam hidupnya. Berkahwin dan hidup berkeluarga. Bukannya hidup songsang dan dilaknat sedemikian rupa.

‘‘Kalau benar saya gay, bengkok, patah atau apa sahaja, saya minta orang yang membuat fitnah sedemikian tampil ke hadapan. Kemukakan bukti mengatakan saya demikian. Kita berbicara secara empat mata. Itu barulah namanya lelaki sejati. Bukannya bercakap sedap mulut kemudiannya tidak berani bertanggungjawab dengan perkataan sendiri,’’ jelasnya.

Sambung Aaron, dia beranggapan ada pihak yang kurang senang dengan kejayaan yang dikecapi sekarang ini. Apatah lagi setelah melihat perjalanan seninya yang sangat lancar sejak menjejaki kakinya di industri seni tanah air.

Penyakit hasad dengki, busuk hati dan berunsurkan jahat itu sememangnya terjadi di mana-mana sahaja. Jadi tidak hairanlah sekiranya dia menjadi mangsa ‘mulut longkang’ itu.

Dalam erti kata lain, manusia tidak boleh berhenti mengata selagi ada perasaan negatif itu dalam hati mereka. Macam-macam yang akan dikorek dan disebarkan dengan tujuan untuk bercerita tentang keburukan orang lain. Apatah lagi individu yang dimaksudkan itu melibatkan selebriti atau artis.

Akui Aaron, dia pernah menyertai satu pertandingan pencarian lelaki kacak di Singapura pada tahun 2000. Ada satu slot yang mengkehendakinya memakai seluar pendek yang ketat.

‘‘Janganlah disebabkan saya memakai pakaian sedemikian, orang ramai membuat tanggapan yang macam-macam. Tolonglah berfikir sedikit, tak kanlah peserta perlu memakai jubah untuk segmen pakaian mandi. Saya juga tidak memakai seluar ketat sepanjang masa,’’ katanya.

Aaron juga berfikiran positif menangani masalah itu kerana hakikatnya, dia tidak akan goyah disebabkan cerita-cerita remeh sedemikian. Malah apa yang menjadi teras dan ingatan setiap kali dilanda masalah ialah keluarganya.

Semahunya, aktor berusia 34 tahun itu tidak mahu melibatkan masalah tersebut dalam keluarga. Apatah lagi mengganggu emosi isterinya yang sedang sarat mengandung.

Apa yang dilakukannya sekarang ialah mendoakan agar individu yang terlibat dapat menghentikan serangan fitnah terhadapnya. Dia juga bersedia untuk memaafkan kekhilafan dengan syarat individu itu segera insaf.

Gemar melancong

Ditanya tentang resipi keharmonian rumah tangga Aaron bersama pasangannya, pelakon filem KL Drift II ini tersenyum panjang.

Bicaranya, hanya satu perkara yang dikekalkan iaitu menghabiskan masa bersama isteri dan anaknya. Meski pun agak terhad tetapi Aaron memastikan keluarganya mempunyai aktiviti yang boleh dilakukan bersama.

‘‘Anak-anak semakin membesar. Mereka juga perlu diberi perhatian terutama hujung minggu. Waktu ini sahaja mereka boleh bersantai sama sambil melawat tempat-tempat menarik di Malaysia,’’ katanya.

Duta L’oreal Men itu juga gemar membawa keluarga makan angin di luar negara. Antara lokasi yang pernah dikunjungi adalah Paris dan London. Kali terakhir ke sana pada bulan Mei 2009.

Ia juga bersempena dengan hari jadi Diyana yang disambut pada bulan April sebelum itu. Selama sembilan hari di sana, mereka tidak melepaskan peluang berjalan-jalan di tempat bersejarah seperti Tower Bridge, Tower of London dan London Eye.

Mereka juga sempat membeli-belah barangan berjenama di situ selain merakam kenangan indah di setiap lokasi menarik yang disinggahi.

Aktor kacak ini juga tidak melupakan kehendak si kecilnya yang mahu bercuti di Disneyland Hong Kong pada akhir tahun lalu.

Ujar sang ayah ini, anak-anak zaman sekarang mempunyai cita rasa tinggi. Mereka mahu ibu bapa penuhi keinginan mereka sekiranya tidak mahu melihat mereka nakal.

Dan sebagai lelaki peneraju rumah tangga, apalah sangat nilai wang yang ‘hangus terbakar’ dek percutian itu, dibandingkan dengan masa emas yang cukup berharga bersama isteri dan anak-anak.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails